“BUAT masa sekarang ni, awak buat kerja-kerja pejabat. Kalau ada kerja yang bersesuaian untuk awak nanti, saya akan beritahu kemudian,” beritahu Haikal, ramah.
“Eh! Tak apalah Encik Haikal. Saya tak kesah. Saya terima saja kerja yang diberikan pada saya,” kata Dalia dalam nada serba salah.
“Awak tak kesah tapi saya kesah. Tak pasal-pasal, saya kena sound dengan kawan baik saya tu,” balas Haikal dalam nada seloroh.
Dalia berkerut dahi. Kawan baik? Adakah Rafiq yang dimaksudkan oleh Haikal itu?
“Err… maaf. Nampak sangat saya ni tak pandai nak melawak,” ujar Haikal tatkala melihat wajah berkerut Dalia.
“Eh! Bukan macam tu, Encik Haikal. Saya cuma terfikir siapa kawan baik yang encik maksudkan tadi. Encik Rafiq ke?” tukas Dalia. Dia menggeleng perlahan.
“A’ah. Rafiq kawan baik saya. Kami dah berkawan sejak dari sekolah rendah lagi.”
“Sekolah rendah?”
“Ya! Kami bersekolah yang sama. Masuk universiti yang sama juga.”
Dalia mengangguk faham.
“Kalau awak ada masalah, awak beritahu pada saya.” Haikal mengerling jam di dinding.
“Encik Haikal ada meeting ke?” tanya Dalia tatkala melihat tingkah laku Haikal.
“A’ah, Dalia. Saya minta diri dulu. Nanti saya minta Nazirah beritahu tugas awak di pejabat ni,” jawab Haikal. Dia mencapai briefcase dan telefon bimbit dari atas meja.
“Baiklah, Encik Haikal. Terima kasih sebab terima saya bekerja di syarikat ni.” Dalia menunduk sebagai tanda hormat buat Haikal.
“It’s okey, Dalia. Awak jangan rasa bersalah atau risau. Saya bantu mana yang patut saja. Selebihnya bergantung pada awak,” balas Haikal berserta senyuman di bibir.
Dalia turut sama tersenyum. Seminit kemudian, Haikal beredar dari bilik itu. Matanya meneroka segenap ruang dalam bilik pejabat itu. Rasa kagum melihat dekorasi bilik tersebut.
“Dalia?” tegur seseorang dari arah muka pintu.
Dalia tersentak. Dia menoleh ke belakang.
“Encik Haikal minta saya beritahu tugas-tugas Dalia di pejabat ni,” beritahu Nazirah sambil melangkah masuk ke dalam bilik.
“Iya! Terima kasih, puan.” Dalia tersenyum. Wajah Nazirah di hadapan dipandang.
Nazirah turut sama tersenyum. Dia beredar dari bilik itu sambil diekori oleh Dalia. Amanah yang diberi perlu dilaksanakan.
Dalia mengekori daripada belakang. Dia mengucap syukur kerana memperolehi pekerjaan. Rasa terhutang budi atas kebaikan Rafiq dan Haikal.
“Kau?” tegur seseorang mengejutkan Dalia. Serta-merta dia mematikan langkah tatkala wajah yang menegur menyapa mata.
“KAU buat apa kat sini?” tanya Ziqri berserta rasa terkejut.
Dalia turut sama terkejut. Tidak menyangka akan berjumpa dengan Ziqri lagi.
“Kau buat apa kat sini?” Ziqri masih lagi bertanya. Tubuh Dalia ditarik kasar supaya mengekorinya.
“Apa ni? Lepaslah!” ronta Dalia tatkala Ziqri menarik tubuhnya. Dia meronta minta dilepaskan.
Ziqri tidak mengendahkan rontaan Dalia. Dia membawa tubuh Dalia keluar dari ruangan pejabat.
“Lepaslah!” Buat kali kedua Dalia meronta. Namun, Ziqri tidak mengendahkan permintaannya itu.
Ziqri menolak kasar tubuh Dalia sebaik sahaja berada di tangga kecemasan. Wajah Dalia di hadapan dipandang tajam.
“Kau buat apa kat sini?” Buat kali ketiga Ziqri bertanya. Dia mendengus kasar.
“Suka hati sayalah nak buat apa kat sini. Yang Encik Ziqri ni sibuk kenapa?” balas Dalia. Dia meraba lengannya yang terasa sakit.
“Sibuk? Bila masa aku sibuk hal kau? Sini office member aku. So, aku ada hak nak tanya,” kata Ziqri dalam nada sinis.
Dalia tidak menjawab. Ziqri tidak ada hak untuk tahu kenapa dia berada di situ.
“Oh! Kau kerja kat sini?” tebak Ziqri tatkala teringatkan kata-kata Rafiq.
“Kalau betul, kenapa?” soal Dalia berani.
Ziqri yang mendengar lantas ketawa.
Dalia yang melihat berkerut dahi. Gila! Rengusnya dalam hati.
“Kau ni memang perempuan tak tahu malu dan tak sedar diri. Kau ingat bila kau kerja kat sini, kau boleh tackle lelaki-lelaki kaya? Aku kenallah perempuan jenis macam kau ni. Ambil kesempatan pada lelaki,” tuduh Ziqri tanpa usul periksa.
“Kau merepek apa ni?” bengang Dalia tatkala dituduh sebegitu.
“Merepek? Aku cakap yang betul. Aku dah jumpa ramai perempuan macam kau ni,” kata Ziqri lagi bernada sinis.
Dalia mengepal tangan menahan kemarahan dalam hati. Sakit hatinya dituduh sebegitu.
“Aku nak kau berambus dari sini,” arah Ziqri dalam nada serius. Diluruskan tangan ke arah anak tangga.
Dalia tersenyum sinis. Siapa Ziqri untuk menghalaunya? Ziqri bukan siapa-siapa dengannya. Ziqri bukan bosnya. Tanpa membalas, dia beredar dari situ. Ada baiknya dia tidak melayan Ziqri lagi. Buat sakit hatinya sahaja.
“Eh! Kau nak pergi mana?” tegur Ziqri tatkala Dalia beredar dari situ. Pantas, dia menarik kasar lengan Dalia sehingga membuatkan gadis itu terdorong ke belakang.
Tindakan Ziqri itu turut membuatkan Dalia tidak dapat menstabilkan tubuh. Malah, langkahnya terpesong sehingga membuatkan dia jatuh ke bawah.
“Wei!” panggil Ziqri terkejut. Tidak menyangka tindakannya tadi telah membuatkan gadis itu jatuh ke bawah.
Dalia mengadu sakit. Dia cuba bangun dari jatuhan namun tidak berjaya.
“Aku… aku…” Ziqri beredar dari situ. Tidak dihiraukan Dalia yang sedang menahan kesakitan. Apa yang pasti, dia tidak mahu dipersalahkan atas apa yang berlaku kepada Dalia.
Dalia hanya memandang. Dia menahan kesakitan di tubuh. Berharap agar dia diselamatkan.
“DALIA ada datang kerja tak?” tanya Rafiq ingin tahu. Sejak dari pagi tadi lagi dia ingin menelefon Haikal bertanyakan tentang Dalia.
Haikal tidak membalas. Suara Rafiq kedengaran ceria.
“Dalia okey tak? Kerja dia?” Rafiq tidak sabar. Senyuman meniti di bibir.
“Raf!” sahut Haikal dari hujung talian. Serba salah untuk memberitahu perkara yang sebenar kepada Rafiq.
“Hai, lain macam saja suara kau ni, Haikal. Kenapa? Kau ada masalah ke?” tegur Rafiq tatkala menyedari kelainan pada suara Haikal.
Haikal menghela nafas berat.
“Dalia tak datang kerja ke, Haikal?” Rafiq masih lagi bertanya. Seperti ada perkara yang dirahsiakan oleh Haikal mendengarkan suara kawan baiknya itu.
“Dalia!” sebut Haikal, sepatah.
“Dalia? Kenapa dengan Dalia? Dia tak datang ke?” Rafiq berdebar. Dia menanti jawapan daripada Haikal.
“Dalia masuk hospital. Dia…”
“Hospital?” pintas Rafiq, laju seraya bangun dari duduk.
“Dalia jatuh tangga. Sekarang dia ada di hospital,” jelas Haikal dalam nada serba salah. Rasa bersalah atas apa yang terjadi kepada Dalia ketika ini.
“Ya Allah! Macam mana boleh jadi macam ni, Haikal? Macam mana Dalia boleh jatuh tangga? Dalia macam mana sekarang?” soal Rafiq bertubi-tubi.
“Aku tak tahu cerita sebenarnya, Raf. Aku keluar pergi meeting tadi. Aku dapat call daripada Nazirah beritahu yang Dalia jatuh tangga. Aku sedang siasat kes ni,” jelas Haikal masih rasa bersalah.
Rafiq tidak membalas. Perasaan risau menujah dalam hati.
“Raf, aku…” Belum sempat Haikal menyudahkan ayat, talian sudah pun dimatikan. Sudah pastilah Rafiq akan menyalahkan dia atas apa yang berlaku.
Rafiq segera beredar dari pejabat. Dia perlu mengetahui keadaan Dalia. Salah dia juga kerana mencadangkan agar Dalia bekerja di syarikat Haikal. Jika dia mempelawa Dalia bekerja di syarikatnya, pasti semua ini tidak akan berlaku.
“KAU tak pergi kerja ke, Dalia? Bukan kau kata yang kau dah dapat kerja?” tegur Shafiq, tiba-tiba dari arah pintu bilik.
Dalia terkejut. Dia mengukirkan senyuman sebelum menoleh memandang Shafiq.
“Kerja tu tak sesuai dengan aku,” balas Dalia dalam nada perlahan.
“Tak sesuai?” ulang Shafiq lalu ketawa.
Dalia hanya mendengar suara ketawa Shafiq.
“Kau siapa sampai nak memilih kerja? Kau ingat kau tu ada degree? Ada diploma? SPM pun kau tak ada. Jangan nak berlagak sangat,” sindir Shafiq masih lagi ketawa.
Dalia tersenyum kelat. Wajah ketawa Shafiq dipandang kasih.
“Kau ni tak reti nak bersyukur. Orang dah bagi kerja, kau tak nak pulak,” tegur Shafiq pula. Dalia yang sedang duduk di atas katil dipandang seketika.
“Aku…” Dalia mematikan ayat. Terasa sakit di tubuhnya ketika ini.
“Kau kena sedar siapa kau yang sebenarnya. Kau tu bukannya pandai sangat. Jangan nak berlagak sangat. Jangan nak demand sangat.” Shafiq masih lagi menegur. Dia yang sudah pun melabuhkan duduk di atas kerusi di ruang tamu hanya menggeleng dengan sikap Dalia.
Dalia tidak membalas. Kata-kata Ziqri terimbas dalam kotak fikiran. Tergamak Ziqri menuduhnya sebegitu. Semiskin hidupnya, belum pernah lagi dia mengambil kesempatan terhadap orang lain.
“Suka hati dia saja nak tuduh aku perempuan tak tahu malu. Tak sedar diri. Dia tu siapa nak label aku macam tu? Kurang ajar!” marah Dalia kemudian sambil mengepal tangan. Sakit hatinya terhadap Ziqri masih lagi bersisa.
“KAU pasti yang Dalia masuk hospital?” soal Rafiq inginkan kepastian.
“Nazirah beritahu aku. Kenapa Raf?” jawab Haikal dari hujung talian.
“Dalia tak ada kat hospital,” beritahu Rafiq. Ada nada risau di situ.
“Tak ada? Kau biar betul Raf? Nazirah sendiri yang call ambulance.”
“Betul, Haikal. Aku dah ke hospital dan check. Dalia tak ada kat sana.”
“Habis tu? Dalia kat mana?”
“Aku tak tahu. Aku risaukan dia, Haikal,” luah Rafiq. Dia meraup wajah berserta keluhan berat. Perasaan risau menujah dalam hati.
Haikal turut sama risau.
“Aku call dia tapi tak berangkat.”
“Kau dah tanya abang dia?”
“Belum.”
“Mungkin Dalia balik rumah. Kau dah check rumah dia?” Haikal sekadar menduga.
Rafiq tidak membalas. Ada benarnya kata-kata Haikal. Mungkin Dalia ada di rumah dan dia belum lagi ke rumah gadis itu.
“Raf?” tegur Haikal tatkala Rafiq membisu.
“Aku ke rumah dia tengok. Harap dia ada di sana,” balas Rafiq lalu mematikan talian. Berdoa agar Dalia berada di rumah.
Haikal menghela nafas ringan. Dia turut sama berharap agar Dalia berada di rumah. Rasa bersalah atas apa yang berlaku kepada Dalia.
“Aku kena siasat apa yang terjadi pada Dalia,” suara Haikal sambil menggenggam erat telefon bimbit. Mungkin ada baiknya dia bertanya kepada Nazirah dengan apa yang terjadi.
“ASSALAMUALAIKUM,” suara Rafiq dari luar pagar rumah.
Shafiq yang sudah pun terlena di kerusi terkejut. Pantas, dia bangun dari perbaringan untuk melihat.
“Assalamualaikum.” Rafiq meninjau ke dalam rumah. Mencari kelibat Dalia.
“Waalaikumussalam,” sahut Shafiq sambil membuka pintu.
“Shafiq!” panggil Rafiq tatkala kelibat Shafiq menyapa mata.
“Ha… Rafiq. Kau buat apa kat sini?” tanya Shafiq berserta kerutan di dahi. Dia melangkah menghampiri Rafiq di pintu pagar.
“Dalia ada, Shafiq?” soal Rafiq tidak sabar.
“Dalia?” ulang Shafiq sebaik sahaja menghampiri Rafiq. Dia membuka pintu pagar buat pemuda itu.
“Dalia ada?” Rafiq melangkah masuk ke halaman rumah.
“Kenapa kau cari adik aku?” Pelik Shafiq melihat Rafiq. Pemuda itu kelihatan risau dan tergesa-gesa.
“Haikal kata Dalia masuk hospital. Aku ke hospital tadi tapi Dalia tak ada kat sana. Sebab itu aku cari dia kat sini,” jelas Rafiq akan tindakannya itu.
“Hospital? Dalia masuk hospital? Sebab apa?” Shafiq berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Rafiq.
“Dalia jatuh tangga kat office Haikal,” beritahu Rafiq berserta nafas berat.
“Jatuh tangga?” sebut Shafiq, terkejut.