Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,895
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 16

USAI menghantar pemergian Athar yang berangkat kerja di muka pintu, Haura melangkah ke kamar untuk membersihkan kamar mereka. Getah rambut dicapai dari kotak sebelum rambutnya yang dibiar lepas diikat sanggul. Tatkala Haura berdiri di hadapan meja solek, saat itu juga ingatannya mengimbas kejadian malam semalam. Sekali lagi Haura merasakan keanehan pada Athar tatkala suaminya itu memuntahkan isi perutnya. Seawal pukul 3 pagi Haura menangkap bunyi itu. Bila Haura bertanya ketika mereka bersarapan, Athar mengatakan bahawa Haura bermimpi. Masalahnya, Haura dengar begitu jelas. Namun, kerana kepalanya pusing Haura tidak mampu untuk bangun.

                 Haura benar-benar merasakan bahawa Athar menyimpan sesuatu daripadanya. Rambut Athar yang gugur dan semakin nipis juga memberikan persoalan dalam diri Haura. Apakah masalah yang sedang menimpa Athar ketika ini? Beberapa detik Haura berfikir mengenai perkara itu dan ketika dia tidak menemui jalan Haura menggelengkan kepalanya. Dia tidak mahu terus-terusan ditujah dengan rasa risau.

                 Lantas, Haura memulakan aktivitinya. Dia melangkah masuk ke dalam stor untuk mengambil vakum. Sesekali, Haura menggiat Amin yang sedang melakukan tugasannya. Amin semakin bijak selepas dihantar ke institusi kemahiran untuk golongan orang istimewa. Haura cukup senang melihat perubahan Amin ketika ini. Sejurus sahaja Haura membuka stor, kelihatan stor begitu berselerak dengan barang-barang lama. Habuk memenuhi ruangan itu.

                Tanpa berlengah, Haura terus membersihkan stor terlebih dahulu. Barangan lama yang tidak digunakan lagi disusun satu per satu sehinggalah Haura menemui sebuah kotak yang dipenuhi dengan album gambar. Mula-mula, Haura tak mahu mengendahkan kotak tersebut. Namun sebahagian hatinya ingin sekali melihat album tersebut. Mana tahu dia bisa melihat wajah Athar ketika zaman kanak-kanaknya dulu. Teringat akan hal itu, Haura tersenyum simpul.

                Haura mengangkat kotak tersebut lalu dia melabuhkan duduk di ruang tamu bersama Amin. Ada tiga buah album yang dikeluarkan oleh Haura. Album pertama sahaja sudah menarik perhatian wanita itu. Benar, album itu menunjukkan foto-foto Athar ketika zaman kanak-kanaknya. Athar seorang budak yang aktif dalam sukan. Kebanyakan foto-foto itu menunjukkan Athar yang aktif dalam lumba lari, sukan taekwando dan juga bola sepak. Album-album itu seolah-olah memberikan pengenalan kepada Haura mengenai Athar yang tidak pernah diceritakan oleh suaminya itu.

                 Namun, album ketiga serta merta membuatkan senyuman Haura mati. Bibirnya diketap menahan rasa sakit yang tiba-tiba menyelubungi dirinya. Masakan tidak, dalam album itu terpampang kebahagiaan Athar bersama seorang gadis berambut perang dengan wajah seperti orang Serani. Cantik. Ada foto ketika mereka bercuti di Thailand. Ada juga foto ketika mereka menunggang kuda dengan Athar memeluk tubuh gadis berketurunan Serani itu dari belakang. Saat itu juga tangan Haura semakin ligat membelek-belek album tersebut. Mereka kelihatan seperti sepasang kekasih yang secocok. Foto-foto mesra itu membuatkan perasaan Haura terus berkecamuk. Dia mengeluh kasar seraya menutup album tersebut.

                 "Itu Kak Aria. Teman wanita abang sebelum abang masuk penjara," kata Amin sambil menunjuk foto gadis berambut perang itu.

                "Kak Aria? Dia ada kat mana sekarang?"

                 Amin menggelengkan kepalanya. Dia menyambung semula melakukan kerja rumahnya. Dia mahu siapkan awal-awal kerana Athar sudah berjanji untuk membawanya ke pusat permainan.

               Haura tarik nafas panjang lalu dihembuskan perlahan-lahan. Dia menggelengkan kepalanya seraya menepis semua perasaan negatif yang sedang berkecamuk di dinding hatinya. Sudah semestinya dia cemburu! Mereka kelihatan intim. Pandangan cinta mereka juga menunjukkan bahawa mereka saling mencintai antara satu sama lain.

              Album terus diletakkan ke dalam kotak. Namun, sebuah sampul berwarna coklat menarik perhatian Haura lagi. Lantas, dia mencapai sampul tersebut. Tertera nama hospital di atas sampul surat tersebut. Jantung Haura mula berdegup kencang. Dia menarik isi yang terdapat di dalam sampul dan alangkah terkejutnya Haura melihat MRI otak. Terasa kelat liur yang ditelan saat dia cuba mengamati MRI itu. Ada ketulan putih yang kelihatan di sebaliknya.

            "Apa kau buat ni Haura?!"

            Serta merta, MRI yang berada di tangan Haura ditarik seiringan dengan tengkingan Athar. Haura kaget. Dia mendongak memandang Athar yang berdiri di hadapannya. Jelas, riak wajah pemuda itu kelihatan tegang. Wajahnya membahang kemerahan seolah-olah mahu menerkam Haura sahaja. Melihat wajah Athar membuatkan Haura gerun. Dia lantas menunduk. Ketegangan benar-benar berlaku ketika itu saat Athar merengus seraya mengangkat semula kotak tersebut untuk dimasukkan ke dalam stor.

            "Aku nak cakap sikit dengan kau ni!" bentak Athar lagi seraya mencengkam lengan Haura untuk bangun. Terkocoh-kocoh Haura mengekori Athar dari belakang sebelum tubuhnya ditolak kasar ke atas katil. Haura mengadu kesakitan tatkala cengkaman Athar membuatkan lengannya terasa perit. Dahinya berkerut. Terhinggut bahu Haura saat Athar menghempas dan mengunci pintu dari dalam.

             "Siapa suruh kau bongkar barang-barang aku?"

             Haura bungkam. Hanya pandangannya sahaja yang memandang wajah Athar yang sedang bersandar di belakang pintu sambil berpeluk tubuh. Tiada ketenangan di sebalik wajah pemuda itu. Apa yang tinggal hanyalah ketegangan.

           "Kau pekak ke? Aku tanya ni jawablah!"

            Haura diam lagi. Sesak dadanya melihat baran Athar muncul. Dia juga masih kaget tatkala Athar tiba-tiba pulang. Sudahlah dia baru sahaja dihurung dengan rasa cemburu. Sekarang, Athar mahu membentak dan menengkingnya pula.

            "Eh jawablah! Kenapa kau bongkar barang-barang peribadi aku?! Kau ada mulut kan? Cakap!" bentak Athar lagi. Suaranya memenuhi ruangan bilik itu. Malahan, dia menerpa ke arah isterinya seraya mencengkam dagu Haura dengan kuat. Serta merta, Haura menggigil ketakutan melihat reaksi Athar yang seolah-olah mahu memukulnya.

          "Athar, sakit..."

           "Kenapa... kau... bongkar... barang... peribadi... aku? Haura Ilyana!" tegas Athar sambil mengetatkan cengkamannya. Satu per satu dia tuturkan kata-katanya dengan kemarahan yang semakin mengawal fikirannya.

           Haura menepis tangan Athar dari terus menyakitinya. Namun, tangan Athar semakin kuat mencengkam rahangnya. Sungguh, terasa mahu patah rahang Haura tatkala cengkaman Athar semakin ketat. "Saya minta maaf. Saya tak sengaja. Saya cuma nak tengok gambar awak saja. Sungguh, saya tak tahu barang tu barang terlarang untuk saya tengok. Saya minta maaf, Athar," jelas Haura dengan nada yang terketar-ketar. Pandangannya mula kabur dengan air mata yang memenuhi tubir mata. Perasaannya berkecamuk.

              Keluhan berat dilepaskan. Athar melepaskan cengkamannya seraya mendengus. Bahu Haura yang terhinggut-hinggut dipegang. Tangkas, Haura menepis seraya mengengsot ke belakang kepala katil. Air matanya semakin deras mengalir ke pipi. Sungguh, luluh hati Haura tatkala Athar berkelakuan kasar terhadapnya. Bagaimana jika suaminya mahu memukulnya? Athar itu mempunyai sikap baran. Haura sendiri tidak mampu menghalang jika Athar mula bersikap baran.

             "Jangan buat macam tu lagi."

              Diam.

              "Faham?"

               Angguk.

              Melihat Haura seolah-olah dalam ketakutan membuatkan Athar serba salah. Dia memicit dahinya seraya melabuhkan duduk di birai katil. Tangan Haura lantas ditarik. Namun, tangkas Haura menepis seraya memeluk erat kedua belah lututnya. "Jangan sentuh saya kalau awak nak pukul saya," tegas Haura. Dia memberanikan dirinya memandang wajah tegang Athar. Saat Athar mahu mendekatinya, saat itu juga esakannya semakin kuat. Entah mengapa tindakan Athar sebentar tadi menakutkan Haura.

            "Sayang... aku minta maaf. Aku tak tahu syaitan apa yang rasuk aku tadi sampai aku kasar dengan kau. Janganlah macam ni. Aku cuma takut..."

            Jeda.

          Haura sudah melihat keputusan MRI itu. Apakah Haura sudah melihat nama Athar? Athar jadi takut. Dia tertekan. Tambahan pula terdapat albumnya bersama Aria si kekasih hati yang pergi meninggalkannya setelah dia dimasukkan ke dalam penjara. Bukannya dia tidak mahu membuang album itu, tapi dia sendiri terlupa dengan kewujudan album tersebut.

           "Gambar tu... perempuan tu cantik. Awak nampak bahagia dengan dia. Siapa dia dalam hidup awak?" soal Haura dengan nada suara yang bergetar. Seperti biasa, pujukan Athar sering saja melemahkan Haura. Buat seketika, pandangan mereka saling bersatu. Athar tersenyum lemah sebelum bersandar di kepala katil berselebahan Haura.

           "Bekas kekasih aku yang dah lari tinggalkan aku seperti mana mak aku tinggalkan arwah abi aku. Dia lari lepas aku masuk penjara. Kau tahu kata terakhir yang dia ucapkan pada aku adalah dia menyesal berhubung dengan aku. Aku tak mampu nak bagi dia kekayaan seperti mana skandal dia bagi dia kekayaan. Dia lupa yang aku selalu kerja keras untuk senangkan dia. Bercuti di tempat yang mewah. Hadiahkan dia barang-barang mahal. Sebab tulah lepas dia tinggalkan aku bertahun-tahun aku tak percaya pada cinta. Bertahun-tahun aku anggap semua perempuan tak guna sampailah aku jumpa kau. Kau dah hapuskan fikiran negatif aku," jelas Athar. Dia tersenyum hambar ketika menceritakan semula kisahnya dan Aria.

             Haura terkelu. Sadis sekali kisah Athar. Ditinggalkan. Hanya itu sahaja yang sering Athar hadapi. Lantas, Haura mengenggam tangan Athar. Saat itu pandangan mereka semakin tunak. Athar mengusap lembut sisa air mata Haura bersama dengan senyuman yang masih terkulum di bibirnya.

         "Aku ni jahat kan. Selama ni kau selalu ada untuk aku tapi aku sakitkan kau sampai kau takut dengan aku. Aku cuma tak nak kau buruk sangka dengan aku. Itu saja," ujar Athar.

         "Salah saya. Saya bongkar barang-barang lama awak. Saya yang bersalah dalam hal ni. Tapi, MRI..."

          "Arwah abi aku punya. Eh, aku ni balik sebab nak ambil barang aku yang tertinggal. Aku balik kerja semula ya. Kau jaga diri dengan Amin kat rumah ni. Aku pergi dulu," ujar Athar apabila Haura mula bertanyakan mengenai MRI miliknya. Dia mengucup lembut kepala Haura seraya melangkah keluar dari kamar. Saat itu juga, buru-buru Athar mengambil MRI yang disembunyikan di dalam kotak tersebut. Dia tidak mahu Haura tahu kewujudan MRI itu lagi.

            Tingkah Athar membuatkan Haura pelik. Kenapa Athar seolah-olah sedang menyimpan sebuah rahsia daripadanya? Haura mula mengesyaki sesuatu. Lantas, dia menarik nafas panjang lalu dihembuskan perlahan-lahan. Dia mahu menyiasat sendiri jika Athar tidak mahu berkongsi dengannya. Dia perlu tahu mengenai MRI itu. Lantas, Haura mencapai telefon pintarnya. Dia segera menaip nama hospital dan nama doktor yang sempat dibacanya sebentar tadi di dalam nota telefon. Tidak dapat tidak, Haura cuba memujuk hatinya bahawa dia harus bersedia meghadapi segala kenyataan bila-bila masa sahaja.


p:s// hai korang ^_^ terima kasih kerana sudi membaca karya saya. Siapa ada wattpad bolehlah follow saya dan baca bab selanjutnya dalam tu sebab saya up lagi cepat kat wattpad https://www.wattpad.com/story/227027808-berikan-aku-waktu


Previous: BAB 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa