Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,900
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 9

KERAMAHAN Athar terhadap kedua orang tua Haura membuatkan Haura senang hati. Wajah abah yang nampak gembira memuaskan hati Haura. Itu sahajalah yang mampu dia lakukan sebagai seorang anak. Dia tahu, lambat laun dia akan kehilangan abahnya. Keadaan abah semakin hari semakin kronik. Tubuh abahnya juga semakin cengkung. Sungguh, Haura juga tidak menyangka bahawa semudah itu Athar menarik perhatian abahnya yang bersikap tegas.

            "Abah, rehatlah dulu. Nanti sambung borak lagi," ujar Haura sambil membawa segelas minuman dan ubat-ubatan buat abahnya.

            "Kejap lagilah abah rehat. Abah banyak benda nak cerita dengan suami kamu ni. Jadi, Haura ni dulu mudah sakit. Dia tak boleh tertekan sangat takut nanti dia demam panas. Masa dia sekolah rendah dulu, tak sah dalam sebulan tu dia tak demam kalau abah dia ni tak ada kat rumah. Abah nak pergi outstation pun kadang-kadang kena bawa dia sekali supaya dia tak sakit. Jadi Athar, abah harap kamu boleh jaga satu-satunya anak abah ni dengan baik. Dia sajalah lambang kasih sayang mak dan abah dia," tambah Encik Mahmud lagi. Dia mengusap lembut kepala Haura yang sedang duduk bersimpuh di sebelahnya. Ubat yang dihulurkan oleh Haura ditelan sebelum dia meneguk segelas air suam.

           Athar tersenyum dengan cerita yang disampaikan oleh ayah mertuanya. Kebahagiaan keluarga Haura sedikit sebanyak membuatkan dia turut senang diterima menjadi sebahagian daripada mereka. Hanya dengan keikhlasan dan ketulusan yang ditunjukkan kepada Encik Mahmud sahaja, dia terus diterima untuk menjadi suami kepada Haura. Ini sahajalah yang mampu dia lakukan untuk menebus kebaikan Haura terhadapnya.

         "Athar janji abah. Athar akan jaga Haura sebaik mungkin. Athar akan cuba untuk jadi yang terbaik dalam hidup kami. Anak abah ni dah terlalu banyak sedarkan Athar di atas kesilapan yang Athar lakukan selama ini. Kalau Athar tak ditemukan dengan Haura entahlah apa akan jadi dengan adik Athar tu. Athar betul-betul sayangkan Haura. Athar janji yang Athar takkan kecewakan abah," ujar Athar.

          Buat seketika, Athar dan Haura saling berpandangan. Masing-masing saling berbalas senyuman. Mereka bahagia. Namun, jauh di sudut hati Athar dia takut untuk meninggalkan wanita itu. Apa yang akan berlaku pada Haura jika dia pergi buat selamanya? Suatu hal lagi, dia tidak mampu mengatakan bahawa masanya hanya tinggal sedikit. Dia tidak mampu mengatakan bahawa dia seorang pejuang kanser. Dia tidak mahu Haura tambah bersedih dan risau memandangkan keadaan abah mertuanya yang menghidap penyakit jantung.

          "Abah pegang janji Athar tu. Haura pergilah tidur. Abah masih banyak benda nak cerita dengan Athar ni. Dah, jangan risau sangat pasal abah," kata Encik Mahmud. Seolah-olah mahu masa untuk dia dan Athar sahaja saat itu. Haura hanya mengangguk seraya melangkah masuk ke dalam dapur.

          "Nampak sangat abah Haura tu suka dengan Athar. Muka dia nampak ceria. Dulu masa kamu dengan Ridhwan bukan main tegang lagi abah nak terima bekas tunang kamu tu," kata Puan Suria yang sedang membasuh pinggan.

             Haura tersenyum dengan omongan ibunya. Dia menarik kerusi sebelum melabuhkan duduknya di ruangan makan itu. Cincin yang tersarung di jari manisnya dipusing-pusing. Dia bahagia. Melihat abahnya ceria membuatkan dia bahagia memilih Athar sebagai pendamping hidupnya. Masa perkenalan di antara mereka hanyalah lima bulan. Namun, dia merasakan seolah-olah dia sudah lama mengenali suaminya itu.

           "Anak mak bahagia?"

            "Mak, kebahagiaan mak dan abah pun kebahagiaan Haura. Memang Haura dah capai semua impian Haura. Haura dah ada rumah sendiri, Haura dah ada kafe sendiri dan tak bergantung dengan mak dan abah lagi. Tengok abah senang macam tu dan bersifat terbuka sudah tentunya buat Haura bahagia. Mak doakan Haura, supaya jodoh Haura dan Athar berpanjangan. Macam mak dan abah," ujar Haura.

              Puan Suria tersenyum melihat air muka Haura yang manis dengan senyuman. Dia melabuhkan duduk di sebelah anak tunggalnya sebelum mengenggam erat tangan wanita itu. "Itu kan dah jadi tugas mak doakan satu-satunya anak mak ni. Mak nak tanya sikitlah, kamu kenal dia baru lima bulan. Kamu dah ada apa-apa perasaan pada dia ke? Ke sekadar nak tengok abah senang tengok kamu dah ada peneman hidup?"

            Soalan sarkastik itu membuatkan Haura tertawa. Wajahnya serta merta membahang kemerahan. Ada debaran yang mula mengetuk dinding hatinya. Dia tidak pernah menyatakan perasaannya pada Athar. Bahkan, Haura masih dalam situasi yang keliru. "Mak ni selalu baca apa yang Haura rasa. Kalau mak nak tahu, Haura tertarik dengan dia bila Haura nampak sikap bertanggungjawab dia ke atas adik dia. Tapi cakap hal perasaan, Haura masih keliru dan tak yakin dengan apa yang Haura rasa. Apa Haura cintakan dia atau tidak. Haura tak pasti mak," ujar Haura. Dia tertunduk apabila ibunya mula berubah reaksi.

              "Jadi perkahwinan kamu ni bukan atas perasaan cinta? Kamu jangan cakap pada mak yang kamu terima dia sebab abah," tegas Puan Suria. Dia kaget dengan pengakuan daripada Haura itu. Risau kalau-kalau anak tunggalnya itu hanya bahagia berdasarkan mulut. Bukan hatinya.

              "Mak, Haura ikhlas terima Athar sebagai suami Haura. Pasal perasaan tu, Haura masih keliru dengan apa yang Haura rasa. Semuanya terlalu awal bagi Haura. Haura cuma tertarik dengan peribadi dia. Itu saja," kata Haura. Ada ketegasan di sebalik suaranya apabila Puan Suria mula berubah riak. Takut kalau-kalau ibunya salah anggapan.

                Malam itu sebaik sahaja Haura masuk ke dalam kamar dia kaget melihat Athar yang sedang membentangkan tilam di atas lantai. Wajah pemuda itu kelihatan tegang. Haura jadi gerun tatkala teringat akan baran Athar. Namun, senyuman di bibirnya masih dikekalkan. "Awak buat apa ni?"

                "Tidur bawah."

                  "Kenapa?"

                    Seketika, Athar memandang wajah Haura yang terpinga-pinga di hadapannya. Masih terngiang-ngiang di halwa telinganya tatkala mengetahui bahawa tiada cinta yang dihulurkan oleh isterinya ini kepadanya. Athar kecewa. "Aku rasa nak tidur bawah. Kenapa? Ada yang tak kena ke?"

                 "Selama tiga hari kita sah jadi suami isteri, awak..."

                  "Oh pasal tu. Aku rasa kau ada jawapannya. Aku tak nak buat kau terpaksa jalankan tanggungjawab kau sebagai isteri untuk layan aku. Aku minta maaf kalau aku buat kau rasa terpaksa selama tiga hari ni," ujar Athar acuh tak acuh seraya melabuhkan tubuhnya di atas tilam.

                   Haura bungkam dengan sikap dingin Athar. Pelik benar kata-kata Athar yang seakan-akan berjauh hati. "Kenapa dengan awak ni? Tadi awak baik-baik saja kan dengan abah. Sekarang yang awak..."

                 "Kau cintakan aku?" pintas Athar. Nada suaranya yang semakin tegang membuatkan Haura kaget. Tiada lagi ketenangan yang terbias di sebalik wajah lelaki itu. Haura hanya memandang wajah Athar dengan seribu tanda tanya. Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Apa yang Haura tahu, dia keliru.

                  "Kenapa kau diam?"

                   "Kenapa awak tiba-tiba tanya saya macam ni? Awak was-was dengan hubungan kita ke?" soalan dibalas dengan soalan. Haura masih kaku berdiri membelakangi pintu. Nampaknya, situasi mereka kembali tegang malam itu.

                     Athar tersenyum sinis dengan soalan Haura. Sudah terang lagi bersuluh bahawa hanya dia yang mencintai wanita itu. Sesungguhnya, bertepuk sebelah tangan itu sangat memeritkan. Namun, Athar pujuk diri sendiri bahawa seeloknya Haura tidak payah merasakan perasaan itu. Dia tidak mahu Haura sakit jika masanya sudah tamat. Jujur, dia mahu diberikan waktu untuk dia menghulurkan cintanya buat Haura. Dia juga memerlukan cinta daripada isterinya itu. Tapi, dia tiada kuasa untuk mengawal waktu.

                  "Kalau dah nak tidur nanti, matikan suis lampu," arah Athar seraya memejamkan matanya. Komunikasinya dan Haura berakhir saat itu juga. Dia tidak mahu hal itu terus dipanjangkan.

                   Tingkah Athar membuatkan Haura kesal. Dia mengeluh berat. Apa yang terjadi padanya dan Athar malam ini? Tadi baru sahaja mereka menunjukkan wajah yang bahagia di hadapan abahnya. Kenapa Athar tiba-tiba mempersoalkan perasaannya terhadap pemuda itu? Persoalan demi persoalan bermain di benak fikiran Haura. Akibatnya, Haura tidak mampu lena malam itu.

                   Meskipun kegelapan memenuhi bilik itu, namun Haura masih tidak mampu lelap. Sekejap dia mengiring ke kanan sekejap dia mengiring ke kiri menghadap Athar yang sudah dibuai lena. Tatkala wajah mereka saling bertentangan, tatkala itu juga pandangan Haura tunak merenung wajah suaminya. Tangannya diangkat mengusap wajah Athar dengan lembut. Senyuman di bibirnya mengendur tatkala teringat akan motifnya untuk menerima Athar. Benar, dia hanya mahu membuatkan abahnya senang hati. Cinta? Entah, Haura masih tidak merasakan perasaan itu. Lalu, setitis demi setitis air matanya mengalir ke pipi. Kenapa perasaan sebu ini datang lagi? Entah, Haura buntu.

               "Saya tak cintakan awak. Tapi saya ikhlas untuk jadi pendamping hidup awak hingga ke akhir hayat saya. Saya minta maaf Athar," ucap Haura seraya mengusap air matanya yang mengalir. Namun, matanya membuntang saat Athar tiba-tiba sahaja mencelikkan matanya. Cepat-cepat Haura menarik tangannya dari terus mengelus wajah pemuda itu. Namun, Athar lebih tangkas mengenggam pergelangan tangan Haura.

             "Baguslah kalau kau tak cintakan aku. Jangan biarkan perasaan kau hanyut dalam hubungan ni. Aku tak nak sakitkan orang yang aku sayang. Aku tak nak bila kau dah mula cintakan aku, hati kau disakiti. Tapi satu hal aku nak kau tahu, aku sangat mencintai kau... Haura Ilyana," ujar Athar sebelum mengucup lembut tangan Haura. Segaris senyuman terukir di bibirnya sebelum dia memejamkan matanya semula. Tangan Haura dibiarkan melekap ke wajahnya. Usapan lembut itu sangat menenangkannya dari memikirkan kesesakan yang bermain di fikiran.

              Haura tergamam dengan ucapan cinta daripada Athar. Bawah bibirnya diketap tatkala rasa sebu itu semakin mencengkam sudut hatinya. Air matanya tak putus-putus mengalir ke pipi. Kenapa dia harus merasakan hal seperti ini kalau tiada cinta buat Athar? Kenapa dia tidak sanggup mengecewakan hati Athar? Kenapa hatinya jadi libang libu saat Athar mengatakan cinta buatnya? Sungguh, Haura semakin sesak tatkala ini. 


Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa