Home Novelet Cinta BERIKAN AKU WAKTU
BERIKAN AKU WAKTU
Syaf_Asriqa
28/5/2020 21:10:30
120,895
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
BAB 13

Maaf aku tak kejutkan kau. Kau nampak nyenyak sangat tidur tu. Rasa bersalah kejutkan kau. Lagi pun aku dah lambat nak ke bengkel. Jangan risau pasal aku. Aku baik-baik saja. Aku dah buatkan sarapan untuk kau sebagai tebusan semalam aku tak jadi masak. Jangan lupa makan. Kalau kau nak keluar aku izinkan. Tapi jangan balik lambat. I love you, sweetheart.' – Athar ^_^

                Usai membaca nota ringkas daripada Athar, Haura membuka tudung saji. Senyuman tergaris di bibirnya melihat sekuntum bunga mawar merah yang diletak bersebelahan sepinggan nasi goreng dengan telur mata dan sayur tomato yang dibuat emoji senyum. Athar memang bijak membuatkan rasa gusar Haura hilang begitu saja. Dia melabuhkan duduk seraya mula menjamah nasi goreng yang disediakan oleh Athar. Enak. Athar memang pandai masak.

                Hari itu, Haura disambut dengan baik oleh pekerjanya setelah dua minggu dia tidak menjenguk kafenya di sebuah pusat membeli belah. Ada yang mengucapkan tahniah di atas perkahwinannya dan Athar. Ada juga yang mengusiknya kerana Haura itu tidak pernah bercerita dan berkongsi mengenai percintaannya dengan Athar selama mereka berkenalan. Haura jadi malu bila dia tidak henti-henti disakat oleh pekerjanya. Haura juga mula membuat kek coklat untuk diberikan kepada Amin nanti. Memandangkan dia sangat merindui remaja lelaki itu, maka Haura membuat keputusan untuk memberikan kejutan kepada Amin.

             "Nak buat kek untuk encik suami ke?" soal Maya. Tukang masak di kafe itu.

             "Tak adalah. Saya nak buat untuk adik kesayangan saya," ujar Haura. Senyuman di bibirnya semakin melebar. Teruja untuk bertemu dengan Amin. Tangannya sibuk mencampurkan bahan-bahan untuk membuat kek ke dalam mangkuk.

              "Termasuk abang kesayangan dia sekalilah tu. Kau ni Maya. Tanya soalan yang ada jawapan depan mata," giat Munaf pula. Pembantu di kafe itu.

              Tak semena-mena, suasana dapur meriah dengan sesi giat menggiat. Sesekali, Haura tertawa dengan keceriaan pekerjanya. Sebab itu Haura tidak pernah takut meninggalkan kafenya tanpa pemantauan. Dari pengurus sehinggalah pekerja bawahan semuanya saling bekerjasama dan seolah-olah sebuah keluarga.

               Setelah adunan disiapkan, Haura membakar kek tersebut. Saat itu juga, tiba-tiba sahaja telefon pintar yang diletak di dalam poket apron berdering. Lantas, Haura mencapai telefonnya. Tertera nama Hazrul di dalam panggilan. Automatik senyuman Haura mati. Laju sahaja tangannya menyentuh punat hijau seraya menjawab panggilan.

               "Haura! Datang ke HKL sekarang. Athar..."

                Tatkala suara Hazrul kedengaran di dalam talian, riak wajah Haura mula berubah masam. Lantas, dia menanggalkan apron. Mengarahkan Maya untuk mengambil tempatnya menjaga adunan kek yang sedang dibakar. Saat itu juga, Haura tidak bisa berasa tenang. Dia terus menonong keluar dari kafe dan menuju ke hospital yang ditempatkan oleh suaminya itu. Ketika itu juga jantung Haura berdegup kencang. Sebaik mungkin juga Haura mengatur nafasnya dengan langkah yang semakin laju. Fikirannya mula menerawang memikirkan keadaan Athar semalam. Adakah Athar diserang oleh musuhnya lagi? Adakah Athar sedang menghidap penyakit kronik sehingga pemuda itu terlantar di hospital?

"HAURA! Awak jangan marah Athar pasal ni. Dia tak nak saya hubungi awak. Tapi saya risau dengan keadaan dia. Saya minta maaf sebab..."

              "Awak buat benda bodoh apa pula kali ni Athar?" bidas Haura saat langkahnya terhenti di hadapan Athar yang baru sahaja keluar dari ruang kecemasan. Turun naik nafas Haura akibat kelelahan. Melihat wajah Athar yang bengkak juga membuatkan kemarahannya mula membakar dinding hatinya. Jelas, wajah kusut suaminya itu menjelaskan bahawa Athar baru sahaja bergaduh.

              "Hazrul. Aku dah kata..."

              "Awak ingat tulang awak tu besi ke? Huh? Awak dah gila ke Athar! Saya dah cakap kawal baran awak..."

              "Kau tak percayakan aku ke yang aku boleh kawal baran aku?" bidas Athar. Sakit hatinya tatkala Haura memarahinya tanpa bertanya perkara yang telah berlaku. Entah mengapa dia rasa mahu marah sahaja saat ini. Barangkali impak dia bergelut dengan samseng yang cuba mengucar-ngacirkan bengkel Hazrul.

             "Muka awak tu yang dah jelaskan pada saya yang awak tak mampu nak kawal baran awak! Awak nak mungkir janji ke? Awak ni memang penipu!" bentak Haura seraya menolak kuat tubuh Athar. Sungguh, dia berang. Emosinya benar-benar tidak stabil ketika itu. Dia hanya mampu melampiaskan kemarahannya sahaja.

             Melihatkan itu, Hazrul semakin serba salah. Belakang kepala digaru. Wajah Athar dan wajah Haura dipandang silih berganti. Semuanya disebabkan dia! Kalau saja dia tidak pedas dalam berkata-kata kepada samseng yang tidak mahu membayar kereta yang sudah dibaiki semua ini tidak akan berlaku.

           "Haura. Awak salah fahamni. Athar..."

          "Biarkan!" bidas Athar. Sungguh, kata-kata Haura membuatkan dia kecewa. Haura tidak percaya bahawa barannya sudah semakin hilang. Tidakkah Haura nampak bahawa dia sedang belajar untuk menjadi orang yang tenang? Saat itu, bukan sahaja tubuhnya yang sakit malahan hatinya juga seolah-olah ditoreh oleh isterinya itu.

        "Kerja awak memang nak bertumbuk saja kan? Awak tu dah jadi suami saya, Athar! Lepas ni apa lagi? Macam mana kalau kita dah ada anak nanti? Awak nak ajar anak kita jadi samseng juga ke?  Awak nak ajar anak kita pukul orang..." Haura kematian kata tatkala dia hampir terlepas kata. Dia mengetap bibirnya sambil mengenggam baju Athar. Saat pandangan Athar semakin kelihatan kecewa, saat itu juga hati Haura jadi sebu. Senyuman sinis di bibir Athar membuatkan Haura kaku.

          "Dah habis?" soal Athar sambil mengenggam tangannya yang berbalut. Bibirnya diketap menahan marah.

            Haura diam. Kepalanya tertunduk. Bahunya jatuh bagaikan orang yang kalah di medan perang. Kenapa dengan dia? Emosinya benar-benar tidak dapat dikawal saat itu. Perlahan-lahan, tangannya dijatuhkan dari mengenggam baju pomen Athar yang kotor dengan debu. Namun, lelaki itu tangkas mengenggam pergelangan tangan Haura.

            "Jawablah! Kenapa kau diam? Nak cakap apa lagi?!" bentak Athar. Sama seperti Haura, emosinya tidak terkawal tika itu.

           "Apa yang berlaku?"

            "Kau melawak? Kau serang aku tuduh aku yang bukan-bukan dan sekarang kau tanya apa..."

             Athar kematian kata. Tiba-tiba pandangannya jadi kabur. Seolah-olah ada dua figura Haura di pandangannya saat itu. Telinganya juga terasa berdesing sehingga membuatkan kepalanya mula terasa pusing. Serta merta tangan Haura terlepas dari genggaman Athar. Jantungnya juga terasa berdegup laju dari kadar yang biasa saat itu. Saat sakit yang menyerang kepalanya semakin menyucuk, saat itu juga pandangannya semakin gelap. Athar tersandar di belakang dinding. Nafasnya turun naik menahan sakit.

             Melihatkan itu, Haura mula panik. Berkali-kali dia menyeru nama Athar yang sedang tersandar lemah di belakang dinding sambil mengenggam rambutnya. Seolah-olah suaminya itu sedang diserang sebuah kesakitan yang maha hebat.

          "Athar, awak kenapa? Awak sakit..."

          Akhirnya, Athar rebah di sisi Haura. Sakit itu benar-benar meragut kekuatannya sekelip mata. Hazrul lantas memanggil petugas untuk meminta bantuan. Haura lantas teresak-esak sambil memangku kepala Athar. Wajah pucat Athar membuatkan dia ketakutan. Sungguh, Haura kesal memarahi Athar tanpa bertanya terlebih dahulu. Semuanya hanya kerana keresahannya sahaja. Dia tidak mampu mengawal kemarahannya tatkala melihat wajah Athar yang kusut.


p:s// terima kasih kerana sudi membaca karya saya ^_^ saya harap pembaca boleh tinggalkan komen sebab saya masih dalam proses belajar dan nak tahu cerita yang saya tulis ni macam mana... hehehe

dan pembaca yang ada wattpad bolehlah follow saya ye https://www.wattpad.com/user/Syaf_Asriqa


Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaf_Asriqa