WAJAHNYA
seketika kelat, seketika manis.
Diperhatikan Zafran, cuba ditelah apa yang bermain di hati dan fikiran
gadis itu namun jelas dia terlalu naïf dalam mendifinisi sinar wajah
wanita. Segelas air dingin sudah hampir
habis disedut namun kekal berpeluh hatinya melihat resahnya Enna sewaktu mata
mereka bertembung.
“Ada apa
sebenarnya ni? Tadi awak call saya kata ada perkara penting yang
nak dibincangkan. Siap menyebut antara
hidup dan mati?” tersenyum dia
mengungkap ayat keramat di hujungnya.
Enna merenungnya
seketika, kembali kepada ketul-ketul ais di dalam gelas yang masih mengapung
bersama air. Dimain-mainkan strow dengan
ketul-ketul ais itu, menerbit bunyi kecilan.
“Enna. Ada yang boleh saya bantu? Awak nampak teruk hari ni.” Lirih nadanya, persis memujuk adik kecil.
Sejak di
universiti mereka kian rapat, apa sahaja susah dan senang, duka dan gembira
dikongsi berdua. Zafran sudah seperti abang kepada Enna dan Enna lah si adik
manja yang perlukan bantuan dan perhatian setiap masa. Zafran ikhlas memberi
kerana dia senior sementara Enna masih terlalu naïf seluk beluk kampus dan bandar.
Zafran batuk
sekali, memberi isyarat dia masih di situ dan menunggu.
Enna angguk
perlahan, gelas air ditolak sedikit menjauh, sudah bosan bermain gayanya. Dia bersedia dengan menyelesakan duduk. Zafran ditenung dalam, Zafran juga bersedia
menampan.
“Begini.” Diam lagi dia.
“Emak dengan
abah baru datang dari kampung, ada dekat rumah.”
“Oh, ok. So?” Zafran mahu dijelaskan sejelasnya, tidak mahu
meneka sendiri. Tenang dia menunggu
selanjutnya cerita Enna.
“Emak dengan
abah nak jumpa awak.”
“Untuk?”
“Zaf, apa yang
susah sangat ni?”
“Apa yang susah?
Saya susahkan apa?” berkerut Zafran
tidak berjaya dia mentafsir apa di dalam soalan Enna.
“Saya tak faham
Enna, boleh tak jelaskan sejelas-jelasnya?”
“Kita dah kenal
lama, dah banyak masa saya habiskan bersama awak. Awak jangan nak sia-siakan masa saya lagi. Tak berapa bulan lagi umur saya dah jejak 25
tahun. Lelaki 25 tahun tak dianggap terlajak, tapi perempuan dah dikira anak
dara tua, awak tahu kan?”
“Enna? Saya
betul-betul tak faham apa yang awak maksudkan.
Apa kaitannya usia awak dengan saya?”
Zafran menyemah pandangan ke persekitaran memastikan tidak ada yang
sedar kegawatan jiwa mereka tika itu.
“Saya memang
lebih tua dari awak tapi saya tak takut digelar terlajak dan siapa berani kata
awak anak dara tua?”
“Emak dengan
abah nak awak jumpa mereka, sahkan awak akan melamar saya dalam waktu terdekat.”
“Enna!” Sedikit terjerit Zafran, sungguh dia tidak
menyangka gadis itu akan menyebut begitu sedangkan mereka tidak pernah
membincangkan berkenaan hati dan perasaan.
Zafran kesal sungguh.
“Enna kita kawan
dah lama, betul kata awak kita membesar bersama tapi dalam hati saya, awak
hanyalah kawan karib. Sahabat tidak
mungkin ditukar kepada kekasih. Antara
kita seakan sudah tidak ada rahsia lagi, memang tak boleh menjadi pasangan
bercinta lebih-lebih lagi kahwin.”
“Kenapa tak
boleh? Kalau dengan Sha, awak memang merancang, kan?” sudah berbunga cemburu dia.
Zafran mengeluh
perlahan, disemah lagi matanya ke sekitar restoran, masih ramai pengunjung
makan dan minum juga berbual-bual seperti mereka, tidak seorang pun mempeduli
sesama sendiri kecuali rakan semeja.
Zafran bersyukur tidak ada yang mempedulikan dia.
“Kenapa
tiba-tiba awak menyebut Shaza dalam cerita kita ni?”
“Jujur dengan
saya Zaf, awak masih mengharap Sha, kan?”
“Sama ada saya
menunggu sesiapa atau mengharap sesiapa, tak ada kena-mengena dengan sesiapa,
dengan awak pun tak ada kaitan.”
“Awak
mensia-siakan masa saya. Bertahun-tahun
saya bersama awak, sampai masa begini awak buat saya? Apa yang akan saya katakan pada orang tua
saya nanti?”
“Saya tak pernah
mintak awak tunggu saya dan tak pernah berimpianpun, kita hanya kawan,
Enna. Tak pernah sekali pun kita
menyebut soal hati dan perasaan, kan?”
“Memang kita tak
menyebutnya tapi tidakkah awak sedar perasaan saya pada awak?”
Zafran geleng
berkali-kali, dia berpeluk tubuh,
bersandar kemas. “Kalau awak sebutkan
pun, saya tak akan mengubah status awak di hati saya, Enna. Kita kawan, sahabat karib dan awak sudah saya
anggap adik. Awak tahu bagaimana saya
dengan Sha kan? Dan awak menjadi saksi janji saya sewaktu berpisah dengan
dia. Tidak akan ada yang dapat mengganti
tempatnya di hati saya. Bukankah itu
janji saya dan saya mohon awak sampaikan kepada dia.”
Enna mengeluh,
berkaca dalam matanya. Sepantasnya
dialih mata merenung lain, tidak mahu Zafran melihat air matanya.
“Dan, untuk
pengetahuan awak, saya sudah pun bertunang.”
Kaget benar
Enna, tajam Zafran ditujahnya. Zafran
pula tewas, tunduk dia tidak mampu menampan tajamnya tikaman mata Enna.
“Baru sesaat
tadi awak katakan awak sudah berjanji tidak akan menggantikan Sha dengan
perempuan lain. Bahasa apa yang awak
guna ni? Awak bercakap bahasa apa
Zafran?” sudah beremosi singa betina
dia.
Zafran
gelisah. “Sudah nasib saya.”
“Bertunang, awak
kata nasib? Baik benar nasib awak? Petik jari berderet perempuan gilakan
awak. Sehabis dengan Sha, saya perawat
awak sampai awak sembuh. Dah sembuh,
bertunang dengan perempuan yang baru dalam hidup awak. Lepas ni apa lagi? Kahwin pulak dengan
perempuan lain? Hah? Itu juga nasib?”
Zafran bungkam,
bingung terus. Sungguh tidak disangka
Enna berperasaan lain padanya.
Subhanallah. Beristighfar dia di
dalam hati.
Enna berang,
bingkas meninggalkan Zafran termangu sendiri.
Ya Allah, kenapa
begini jadinya? Apa salah aku? Zafran
mengeluh sendiri, dia bangun seraya meletak wang kertas lima puluh ringgit di
atas meja seraya memberikan isyarat kepada pelayan restoran dia sudah meletak
wang di situ. Meski wang masih berbaki tetapi Zafran sudah tidak peduli,
sedekahkan sahaja kepada mereka. Dengus hati kecilnya. Kesal tindakan Enna
membuat dia tidak keruan.
DI BILIK, Enna
masih berbuku kesal di hati. Cintanya
pada Zafran sudah lama tumbuh malah dia sudah berusaha memisahkan lelaki itu
dengan buah hatinya seperti dirancang, perpisahan berlangsung lancar dan dia
beroleh kemenangan yang pertama juga berjaya merawat luka lelaki itu. Sewaktu
menginjak tangga menara gading dia sudah menyatakan kepada orang tuanya dia
sudah ada teman istimewa. Melarang sama sekali dia dijodohkan dengan sesiapa
kerana sebaik dia dan teman lelaki itu tamat pengajian, mereka akan
bersatu. Berpegang kepada janji itu,
orang tuanya kini menuntut ditunaikan.
Sudah jauh terlajak kata mereka, sedangkan bayang kekasih hati Enna
masih belum dilihat mereka. Dia mula
tertekan dan ditekan juga.
Semalam orang
tuanya datang melawat dan menyatakan Shaza sudah pulang, sudah tamat
pengajiannya. Rindu dia pada sahabat itu
tetapi rasa bimbang kedudukannya kian terancam.
Meski Zafran tidak pernah menyebut nama Shaza dihadapannya namun dia
dapat menelah, dalam hati Zafran masih ada Shaza.
Kenapa engkau
selalu bernasib baik Sha? Dulu engkau jadi pujaan walaupun anak
yatim piatu yang miskin, nenek merempat mengharap belas ikhsan ketua
kampung. Tahu-tahu rupa-rupanya engkau
anak orang kaya! Bijak benar engkau orang menyembunyikan rahsia ya? Kaya
rupa-rupanya engkau. Teringat dia apa
yang diceritakan orang tuanya sepanjang siang berkenaan keterujaan mereka pada
Shaza.
“Nek Piah dah
meninggal, kesian tak sempat jumpa cucu dia. Sha lewat dua hari aja.”
“Oh, Sha dah
balik? Tamat belajar atau bercuti?”
“Habis
belajar. Cantik benar dia sekarang.”
“Eh, dulu pun dia
memang cantik. Cantik ikut emak dia.”
Ibunya menambah pujian suami.
“Ya, arwah
Sharifah memang cantik. Cantik dia turun
pada anaknya.” Tidak sudah-sudah suami
isteri itu memuji Shaza dan ibunya, buat menambah sakit hati Enna.
Enna hanya
angguk, dia mengakui gadis itu memang cantik tetapi sengaja dinafikan kerana
sudah terbit rasa cemburu. Sewaktu
membesar bersama, dia sangat menyayangi Shaza.
Pernah mereka berjanji sehidup dan semati bersama dan sanggup dia
bermusuhan dengan rakan sebaya yang menghina Shaza. Tetapi masa berlalu, dia semakin bijak
membaja iri. Cemburu benar dia kelebihan
gadis itu. Dari meletak Zafran sebaris
Shaza sebagai sahabat karib, semakin hari dia semakin berkeinginan Zafran
melebihkannya dari Shaza. Zafran tidak
pernah berat timbangan antara mereka berdua tetapi Enna mahu dia dilebihkan.
Shaza dah balik,
mesti Zafran dah tahu sebab itu dia berpaling tadah. Kerana ini dia dingin pada aku. Menangis, meraung Enna sendiri dalam sepi
ruang bilik itu. Dia menyewa apartmen tiga
bilik sendirian, tidak dikongsi dengan sesiapa demi membuat persediaan selepas
berkahwin. Sudah lengkap serba kemudahan dan perhiasan persis rumah kelamin.
Dia merancang menyediakan rumah untuk Zafran yang masih menetap bersama
keluarganya. Sebuah bilik tidur
pengantin disediakan dan dia menghuni sementara menunggu putera raja mencemar
duli.
Sepulang dari
bertemu Zafran setengah jam tadi, dia melihat cahaya bolos dari bawah pintu
bilik orang tuanya menandakan mereka belum tidur, mungkin menunggu dia membawa
perkhabaran gembira. Dengan berjengket
dia melewatinya dan perlahan-lahan menutup pintu bilik, tidak mahu orang tuanya
mendengar. Dia mahu bersembunyi di situ
sementara perasaan pulih.
Enna membiar
matanya lencun, dia mahu menghambur semua kesakitan malam itu juga kerana esok
dia akan menyusun agenda baru untuk dirinya sendiri dan orang tuanya.
“Zafran, engkau
permainkan perasaan aku, engkau pergunakan aku untuk kepentingan sendiri.
Mengapa engkau jahat sangat? Mengapa
engkau jahat?” Ditumbuk-tumbuk tilam yang menempatkan dia. Meski empuk, berhenjut tetapi berasa
menyakitkan. Sakit benar dia disakiti
cinta Zafran pada Shaza.
Sha, aku
sentiasa bela engkau, hanya aku sahabat engkau.
Engkau mana ada kawan baik selain aku dan maklong. Tapi mengapa bayangan engkau sentiasa
menyakitkan aku? Aku nak kita macam
dulu, tapi kerana cinta Zaf, kita jadi begini.
Aku terpaksa benci engkau. Aku
paksa diri aku Sha… lagi dia menangis,
sudah tersedan sendirian.
Pintu bilik
diketuk perlahan, disusuli suara ibunya memanggil. Enna pantas merenung tombol pintu yang
terlupa dikuncinya. Tergesa-gesa dia
menumbangkan diri berpura-pura tidur.
Pintu bilik dikuak ke dalam.
“Enna? Dah tidur ke?
Tak makan dulu?” sifat keibuan
memerangkap jiwa Enna namun dimatikannya diri, terus berpura-pura lena.
“Tak tukar baju,
tak mandi terus tidur?” ibunya menggosok
bahu Enna, lembut.
“Sejuk benar aircornd ni, tak berselimut pun.” Dia menyelimutkan Enna dari kaki ditarik
hingga menutup bahu.
Sehabis kerja
mudahnya dia meninggalkan Enna berteman air mata. Dan sebaik kedengaran pintu bilik dikatup ibu
itu, Enna membuka mata