KETIKA Shaza Amira melangkah ke kediaman serba mewah dan serba sempurna, hatinya berasa sakit. Jika dibandingkan dengan kediamannya dan Nek Piah, bagaikan langit dengan bumi. Rumah papan yang hampir mereput. Siang panas, malam bernyamuk. Rupa-rupanya, papanya orang kaya. Gazebonya sahaja jauh lebih cantik, lebih tegap dan lebih nyaman. Anak mata Shaza Amira meliar memandang sekeliling.Shaza Amira terus dibawa ke sebuah bilik kosong serba indah dan lengkap. Sampai sahaja di dalam bilik itu, Puan Nadia menghidupkan suis penyaman udara. Suasana dingin menyelinap segar dan berbau wangi haruman penyaman udara berjenama mahal. Terdapat sebuah katil bersaiz king, ditutupi cadar daripada kain kapas corak warna tiga dimensi dan selimut lembut daripada kain serupa. Puan Nadia menyebak tabir tingkap cermin yang bertutup rapat. Cahaya siang menerjah menembusi cermin, memperlihatkan awan yang bertompokan di dada langit.
“Ni bilik Sha. Nanti, Sha susunlah ikut cita rasa Sha sendiri. Minta tolong bibik. Kalau nak tukar perabot pun boleh, beritahu papa,” ujar Tuan Rusman.
“Ni bilik siapa?” soal Shaza Amira.“Bilik Shalah,” jawab Tuan Rusman.8Puan Nadia tidak menyampuk. Dia hanya tersenyum tanda gembira dengan kehadiran Shaza Amira. Tidak sudah-sudah dia menghias bilik itu untuk keselesaan.
“Tak perlulah sediakan Sha bilik tetamu. Sha boleh duduk bilik biasa aje,” ujar Shaza Amira.
“Ni bilik Shalah. Masa Sha kecil dulu, Sha main kat sini. Cuma katil tu aje mama dah tukar kepada katil besar. Katil baby, mama masih simpan. Kalau nak tengok, papa boleh keluarkan,” ujar Tuan Rusman sambil memeluk bahu Shaza Amira.Shaza Amira menggeleng.
“Bilik papa mana?”
“Kat sebelah. Dulu, kat tengah-tengah ni ada pintu untuk berulang-alik, tapi bila bilik ni dah diubah suai kepada bilik dewasa, pintu tu dah ditutup almari pakaian ni,” ujar Tuan Rusman sambil menunjuk pintu almari di bahagian tengah.Almari pakaian yang meliputi sekeping dinding di hujung katil seperti terlalu besar untuk memuatkan pakaiannya
“Orang lain tak ada ke kat dalam rumah ni?”
“Ell belajar kat Australia selama dua tahun. Tak lama lagi baliklah. Biliknya kat sebelah tangga. Abang Adam ke Hong Kong.”
“Hong Kong?” gumam Shaza Amira, perlahan berbau iri hati.Bercuti sampai ke Hong Kong? Mewahnya dia dengan harta papa! Bisik hati Shaza Amira.
“Ya, tapi lusa baliklah. Nanti Sha kenal-kenallah dengan abang. Bilik Abang Adam kat atas. Kat loteng. Lelaki, kenalah duduk tinggi-tinggi untuk memantau persekitaran supaya dalam keadaan selamat. Tapi Abang Adam jarang ada kat rumah. Dia dah beli kondominium dekat-dekat sini. Papa dah arahkan dia makan malam kat sini lusa,” ujar Tuan Rusman, tersenyum. Nampak gembira memiliki keluarga yang lengkap.
Namun, kebahagiaan dan kegembiraan Tuan Rusman itu memedihkan hati Shaza Amira.
“Sha, ni barang-barang peribadi kesayangan ibu Sha,” ujar Puan Nadia lembut sambil membuka pintu almari paling kiri.Shaza Amira mendekati almari itu.
Bersusun pakaian dan kotak-kotak sederhana besar yang jelas dijaga rapi di dalam almari itu.
“Memang arwah tak minta mama simpan dan serahkan kepada Sha, tapi mama rasa tanggungjawab mama berbuat begini sebab barang-barang ni kesayangan dia. Yang lain-lain, mama dah sedekahkan kepada yang memerlukan. Lepas ni terserah Sha nak buat apa pada barang-barang ni,” ujar Puan Nadia.
Tuan Rusman tidak berkata apa. Hanya membelek beberapa helai pakaian yang bergantung di dalam almari.
Puan Nadia pula meminta diri selepas itu. Ada kerja lain katanya.
Shaza Amira memang serba kekok dan serba tidak selesa, namun diusahakan juga demi arwah ibunya. Kata Tuan Rusman, rumah itu rumah Puan Sharifah. Shaza Amira dibesarkan di situ sebelum dibawa pergi Nek Piah. Rumah itu masih atas nama Tuan Rusman dan Puan Sharifah. Shaza Amira berhak sepenuhnya ke atas rumah itu kerana ia merupakan hadiah perkahwinan Tuan Rusman dan Puan Sharifah.
Tuan Rusman berhasrat mahu menukar nama pemilik kekal rumah yang didiaminya itu kepada Shaza Amira. Shaza Amira seakan-akan tidak percaya, tetapi Puan Nadia mengiakan. Hairan benar! Mengapa tiada bantahan daripada isteri papanya dan anak-anak? Kalau benar mereka ada muslihat sehingga menjerat Tuan Rusman dalam perkahwinan, pastinya seluruh harta itu sudah dimiliki mereka.
Kata Tuan Rusman, dia dan Puan Sharifah tinggal di situ sebaik sahaja berkahwin. Shaza Amira dibawa keluar Nek Piah sewaktu berusia satu tahun. Tuan Rusman mengahwini Puan Nadia selepas dua bulan pemergian Puan Sharifah. Nek Piah tidak membenarkan Shaza Amira dijaga Tuan Rusman dan isteri baru.
Meskipun kecewa dipisahkan dengan anak kesayangan, tetapi Tuan Rusman akur pada perintah Nek Piah dan keluarga Puan Sharifah demi kasihnya kepada ibu Shaza Amira. Shaza Amira langsung tidak faham cerita Tuan Rusman yang hambar, tetapi Tuan Rusman masih belum bersedia menyingkap kisah silam memandangkan arwah Nek Piah sudah pergi. Katanya, hanya yang baik-baik harus disebut.
Ertinya, adakah yang tidak baik pada diri nenek? Shaza Amira tidak bersedia mengakui. Dia melihat hanya yang cantik-cantik dan yang molek-molek pada Nek Piah dan Azilah.
“Papa harap Sha selesa kat sini,” ujar Tuan Rusman sambil memegang kedua-dua belah bahu Shaza Amira dan merenung ke dalam mata anak gadisnya itu.
Papa memang kacak. Punya karisma tersendiri dan seorang usahawan berjaya. Daripada kelebihan yang dimiliki papa, tak susah untuk dia memiliki mana-mana wanita. Patutlah cepat dapat pengganti sedangkan tanah kubur ibu masih basah dan merah. Mungkin Mama Nadia yang menggoda papa, bisik hati Shaza Amira.
Tuan Rusman sudah meninggalkan bilik Shaza Amira selepas berpesan kepada anaknya supaya berehat sementara menunggu waktu makan malam. Tinggallah Shaza Amira bersendirian sambil mengimbau kenangan di dalam bilik itu yang hanya dalam khayalan. Semuda usia11satu tahun dibawa keluar dari situ, agak mustahil untuk mengingati apa-apa.
Shaza Amira merenung sebuah bingkai gambar yang tergantung di dinding yang menempatkan foto Tuan Rusman bersama isteri dan seorang bayi comel di atas dukungan si bapa. Menurut Tuan Rusman, gambar itu diambil sewaktu Shaza Amira berusia sebulan. Masih banyak gambar-gambar mereka sekeluarga dalam simpanan Tuan Rusman.
Di rumah kampung, tidak ada gambar-gambar begini. Hanya sekeping gambar ibu sewaktu masih muda belia yang dibingkaikan. Mengapa nenek tidak menyimpan gambar ibu? Berkerut dahi Shaza Amira berfikir, kemudian ditinggalkan nostalgia mengusik jiwa di dinding itu. Manis senyuman arwah ibunya seakan-akan memberitahunya dia bahagia di sana.
Shaza Amira mengelus permukaan katil. Ditekan-tekan perlahan untuk menikmati kelembutannya. Perlahan-lahan Shaza Amira membaringkan tubuh di atas katil itu dan dihenjut berkali-kali. Dia tersenyum puas. Dipejamkan mata, mahu membayangkan momen indahnya sewaktu di bilik itu lama dahulu.