“Encik Adam saya
nampak dia keluar pukul sebelas tadi, ada appointment
kut. Encik Zafran dah keluar lunch.”
“Lunch?”
Lisa angguk
yakin benar. “Saya dengar dia bercakap
di hand phonenya tadi sewaktu masuk
lif. Ada janji dengan kawan kut.”
“Oh ya ke?”
Shaza berpura-pura puas hati jawapan Lisa, angguk dan berundur.
“Cik Sha tak nak
lunch ke?”
“No,”
“Nak kirim?”
“I puasa.” Tiba-tiba dia berasa kecil hati diabaikan
Zafran, diketepikan untuk hari yang ke dua itu. Sudah kembali dia ke kerusinya,
lampu bilik sudah digelapkan sama seperti lampu di luar bilik, sesendeng yang
menabiri dinding cermin ditutup rapat.
Dia mahukan privacy untuk waktu itu, tidak mahu dilihat sesiapa.
Shaza bersandar
kemas, kepala turut disandar pada penyandar kerusi, dipusing membelakangkan
pintu masuk. Kaki dilunjur ke atas tong
sampah yang bertutup, dipejamkan matanya.
Untuk beberapa detik dia nyaman begitu, tenang dan aman namun, tiba-tiba
berasa hiba pula. ‘Kenapa? Apa salah aku?’ hah…. Dia memusing kerusinya, frame gambar di
atas meja dicapai, direnung lama akhirnya dibawa berpusing sama. Dia kembali kepada kedudukan sebelumnya,
melunjur kaki ke atas tong sampah, dipeluk frame gambar dia bersama orang
tuanya.
‘Sha rindu
ibu.’ Dari rasa dipinggir Zafran dia terpanggil merindu Sharifah. Rapat mata dipejam, dibiar air suam merenik
lalu membolos kelopak mata. Meski rapat
namun, menitis juga beranak sungai di pipi.
Tidak dipedulinya, biar. Dia mahu
sepuasnya melayan perasaan.
Terasa ada hujung
jari dingin menyentuh pipi yang basah, hanya satu jari terasa, dibiarnya, masih
belum puas melamun membayangkan diri sedang dibujuk ibu. Dalam angannya Sharifah sedang memujuk dengan
kelembutan keibuan dan kasih sayang, kepingin melentuk menumpang di dada ibu,
mendengar degum jantung yang pasti mendendang irama puisi senandung kasih ibu
tetapi mengapa bau wangian ibu macam…
Shaza membuka
mata, mendongak dia. “Hah!” pantas kaki yang berlunjur dijatuhkan,
ditolak kerusinya menjauh, laju kerusi meluncur ke belakang.
“Bila you
masuk?” kaget benar dia, seakan mahu
memarahi dikejutkan begitu.
“Sorry, Lisa kata awak puasa. Jadi saya syak awak tidur di
sini. Sengaja saya tak nak kejutkan
awak.”
Shaza
membetulkan duduknya, air mata dikesat keras berkali-kali, frame gambar diletak
di atas meja. Zafran menghulur tisu yang
dicabut dari kotak di sudut bilik. Lampu
turut dipasang, terang seluruh bilik menampakkan mata Shaza yang masih basah
dan pipi yang memerah.
“Kenapa Za?” kedengaran merdu benar.
Shaza menggeleng,
semakin ditanya dia semakin sebak, sudah tidak tertahan, berpusing dia mengelak
dari renungan Zafran. Zafran mengambil
kotak tisu, dihulur kepada Shaza. Shaza mencabut banyak tisu,
dikeromot-keromot, ditekap ke mata.
Zafran membiar. Setelah puas, dia
mengayuh kerusinya menghampir tong sampah, Zafran membantu memijak paddle tong bagi membolehkan penutup
tong sampah terbuka. Shaza membuang
gumpalan tisu yang separuh basah. Tisu
lain dicabut dari kotak, dikesat baki air mata yang masih bersisa di bulu-bulu
mata dan pipi. Zafran membiat juga. Shaza menyedut cairan hidung, puas sudah
menangis. Dikesat lagi dengan tisu lain,
dibuang lagi. Dia mendongak, merenung
Zafran yang setia berdiri di sisi.
Tersenyum dia, kotak tisu diletak di atas meja. Zafran turut senyum,
angguk.
“Puas dah?”
Shaza senyum
lagi, basah lagi dalam matanya. Tertawa
dia perlahan bagi mengawal tangisan lain, Zafran mencabut banyak tisu dihulur
kepada Shaza. Shaza menyambut tanpa merenung Zafran, berasa malu gagal mengawal
tangisan demi tangisan.
“Za, kalau awak
rasa nak menangis, menangislah puas-puas.
Selagi ditahan, lagi akan berasa sakitnya.”
Shaza sudah
tersedan, tersedu-sedu di sebalik gumpalan tisu yang ditekop ke muka. Dibiarkan Zafran lagi beberapa detik,
akhirnya Shaza benar-benar puas sudah.
Dengan gaya marah dia mencampak gumpalan tisu ke dalam tong sampah. Panjang nafas ditarik, dihembus juga
keras. Sudahnya dia senyum semanisnya.
“Awak pergi
mana?”
Zafran sudah
duduk di kerusi hadapan meja Shaza.
Tepat matanya merenung Shaza.
“Jumpa
kawan. Sebab itukah awak menangis teruk
macam ni?” berkerut Zafran, lama
direnungnya Shaza.
“Tak lah.”
“Lisa kata awak
puasa, tapi pagi tadi saya nampak awak minum di sini.”
‘Hah. Bila dia
mengintip aku?’ Shaza malu sendiri namun, terus keras.
“Bila masa saya
minum? Saya puasalah.”
Zafran senyum,
bekas air mineral yang penutupnya masih ditusuk straw tegap di atas meja,
belakang labtop ditunjuk dengan memuncung.
“Puasa makan
aja? Minum boleh?”
Shaza tertawa
perlahan, diambil cawan air mineral lalu dibuang ke dalam tong sampah.
“Apa awak peduli
saya nak puasa makan ke, puasa minum ke.”
Keras tetapi sayu bunyinya.
“Merajuk?”
“Tak ada masa
saya nak merajuk.” Shaza tertawa
perlahan tiada nada gembira, hanya lagu tanpa irama.
“Tak rindu ke?”
Shaza berkerut
merenung Zafran, tidak faham dia.
“Mana Shaza
boleh rindu Zafran kan? Siapalah
saya. Pungguk macam nak mati merindu
bulan, bulan tertawa megah kan?”
Shaza mengeluh,
berpura-pura mentertawakan peribahasa Zafran.
“Sejak bila jiwang sangat ni? Bukan awak gangster ke?”
“Gangster tak
ada perasaan ke? Perasaan gangster di
pajak gantung?”
Shaza tertawa
lagi.
“Ke mana dua
hari ni, sibuk sangat ke?”
Zafran pula
senyum, manis menguja.
“Dua hari ya?”
“Iyalah, dua
hari awak menghilang. Sibuk benar
ke? Kenapa saya tak sibuk?”
Zafran pula
mengeluh, perlahan keluhannya, bersandar lelah gayanya.
“Kita keluar
petang ni? Saya hantar awak balik.”
“Kereta saya?”
Zafran mencari
idea. “Tinggalkan di sini.”
“Esok nak datang
kerja jalan kaki?”
Zafran
berdengus, menjeling nakal. “Esok nak
pergi kerja saya singgah ambil awak.”
“Nak bagi alasan
apa kat papa? Ingat mama tak tanya mengapa?”
“Okay, sekejap
lagi saya mintak kawan pomen saya datang ambil kereta awak, bawak ke bengkel.
Konon-konon kereta awak rosak.”
“Rosak apa?”
“Tak kan rosak
apa pun kena repot kat mama awak kut?”
“Iyalah, tak
boleh stat ke, tayar bocor ke, bateri habis ke.”
Zafran
mengerling lagi.
“Jangan lupa,
awak tu bakal adik tiri saya.”
“Za, cakap aja
awak tak sudi keluar dengan saya. Habis cerita.
Tak payah nak corner sana nak corner sini cari alasan.” Zafran sudah bangun, keras. Marah benar gayanya meninggalkan bilik Shaza.
Shaza termangu
sendiri. Mengapa tiba-tiba Zafran jadi
emosi.
‘Aku yang sedih
diabaikan dua hari, dia pulak yang merajuk.
Apa sebenarnya masalah dia?’
Shaza tidak mahu
lagi mempeduli, satu persatu dokumen disediakan Lisa dibaca, disemak teliti dan
ditandatangani.