Sepeninggalan Irdina, Rosmah resah sendiri. Bimbang kalau-kalau
Irdina membuat laporan polis terhadap apa yang telah mereka lakukan terhadap
dirinya selama ini.
“Yani, betul ke Yani tak tahu ke mana Dina pergi?” soal Rosmah lagi.
“Betul ma. Yani memang tak tahu ke mana Dina pergi,” ujar Iryani
lagi.
Tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja mendarat di hadapan rumah batu
dua tingkat itu. Haron menekan hon beberapa kali.
“Dah balik pun orang tua tu. Ingatkan dia duduk di rumah bini muda
dia tu, dah tak ingat kat kita di sini,” ujar Rosmah lirih.
Rosmah menekan butang, pintu pagar pun terbuka. Kereta Proton Waja
milik Encik Haron meluncur laju masuk ke halaman rumah.
“Maa…bukan papa sorang aje yang balik ma,” ujar Iryani kalut.
Rosmah menjenguk ke luar tingkap. Memang bukan Haron seorang diri pulang
tetapi berempat.
“Kenapa pulak orang tua ni bawak perempuan tu dan anak-anak tirinya
ke sini?” dengus Rosmah mula tak senang hati.
Namun Rosmah tetap memaniskan wajah menyambut kepulangan suaminya.
“Mariah, masuklah. Inilah rumah abang. Mari anak-anak papa. Mulai
hari ini inilah kediaman kita,” ujar Haron dengan senyum lebar.
Mendengar kata-kata Haron, Rosmah dan Iryani saling memandang.
Mariah menapak keluar dari kereta bersama dua orang anaknya, Adli dan Suzana.
Adli berusia 15 tahun, manakala Suzana berusia 12 tahun.
“Wahh…besarnya rumah papa. Untung kita dapat papa kan abang?” ujar
Suzana.
“Abang tak suka tinggal sini. Abang lagi suka tinggal di rumah lama
kita. Rumah ni busuk, tak bersih. Buruk pula tu. Macam mana kita nak tinggal sini?”
ujar Adli lagi sambil menutup hidung.
“Ya la.. Kenapa ada bau busuk dalam rumah ni, bang?” soal Mariah
pula.
Mariah berjalan ala-ala mak datin sambil menjeling-jeling ke
sekitar rumah itu tanpa mempedulikan Rosmah yang tercegat di ruang tamu. Tegur
pun tidak. Bila sampai di dapur, Mariah terus cepat-cepat lari ke ruang tamu
sambil menekan tekaknya.
“Uwekk… Uwekk… Kenapa dapur rumah ni kotor sangat. Banyak pinggan
mangkuk yang tak cuci. Baju kotor pun bertimbun-timbun tak dibasuh. Patutlah
busuk,” ujar Mariah sambil menutup hidung.
Haron mencerlung wajah ke arah Rosmah.
“Ros, kenapa tak kemaskan dapur? Mana Irdina?” soal Haron sambil
anak matanya meliar mencari Irdina.
Telahannya pasti Irdina sudah pulang sejak menghilangkan diri malam
tadi. Namun tidak kelihatan pula kelibat anak angkatnya itu.
“Irdina dah lari malam tadi pa,” ujar Iryani.
“Oh ya ke. Baguslah kalau dia dah berambus. Taklah aku menyampah
tengok muka budak tu. Kalau macam tu awak dan Iryani aje yang bersihkan dapur.
Cuci semua pinggan mangkuk dan basuh semua baju kotor tu. Takkan awak nak
biarkan dapur ni berkulat dan berulat? Pandai-pandailah kemas. Untuk
pengetahuan awak, mulai hari ni, Mariah, Adli dan Suzana akan tinggal di sini,”
ujar Haron lagi.
Terbeliak mata Rosmah mendengar kata-kata Haron. Kelihatan Suzana
berlari-lari anak menaiki anak tangga ke bilik Iryani. Pintu bilik Iryani
ditolak.
“Waa…cantiknya bilik ni. Zana nak bilik ni, boleh ke papa?” soal
Suzana girang.
“Eh, itu kan bilik Yani, papa,” ujar Iryani dengan mulut ternganga.
“Yani boleh tukar ke bilik bawah. Bilik Yani tu Zana akan duduk.
Adli boleh duduk di bilik Irdina kat bawah tu ya,” ujar Haron lagi.
“Bilik kita mana bang?” soal Mariah dengan suara manja.
“Hm…Ros, Ros tukar ke bilik bawah tu dengan Yani ya. Mariah akan
duduk di bilik atas,” ujar Haron lagi.
Kali ni Rosmah pula yang terbeliak. Dia mengetap bibir menahan
geram. Iryani segera memeluk mamanya.
“Papa, kenapa mak cik Mariah duduk bilik mama pulak?” soal Iryani lagi.
“Yani, ikut cakap papa kalau kau nak terus tinggal di sini. Kalau
tak nak, kau boleh berambus dari rumah ni,” ujar Haron.
Iryani tersentak. Bagaikan dia tak percaya apa yang dituturkan
papanya. Bagaikan itu bukan papanya. Sanggup papanya menghalau dia keluar dari
rumah itu.
“Oh ya, Ros jangan lupa masak makan malam ya. Kami semua lapar,”
ujar Haron lagi sambil menarik lengan Mariah naik ke bilik.
Adli masuk ke bilik Irdina, manakala Suzana sudahpun melompat riang
di atas katil Iryani. Iryani memeluk mamanya erat-erat. Setitis demi setitis
air mata Rosmah gugur. Entah kenapa saat itu dia terbayangkan wajah Irdina.
Terpacul persoalan, mungkinkah sudah tiba pembalasan Tuhan buat dirinya?
Iryani menyental berus ke baju Mariah. Ikutkan hati mahu saja dia
sentalkan berus itu ke muka Mariah. Geram berbaur dendam kerana Mariah
memperlakukan dia dan ibunya seperti orang gaji di rumah mereka sendiri. Namun
dalam diam tanpa pengetahuan Rosmah dan Mariah, Iryani masih menjalin
perhubungan dengan Shahrul. Mereka juga kerapkali keluar bersama malah Shahrul
juga pernah menidurinya.
Bukannya Iryani tak tahu Shahrul tu kutu rayau. Memang Iryani
keluar dengan Shahrul semata-mata mahu berseronok dan melepaskan tekanan. Rumah
bukan lagi syurga buatnya. Tetapi sudah ibarat seperti neraka. Setiap hujung
minggu, pasti Iryani keluar malam, semata-mata mahu mencari keseronokan luar.
Sewaktu sekolah dulu, Irdinalah yang selalu menasihatinya agar tidak berkawan
dengan Shahrul. Namun dia sendiri degil. Lonjakan nafsu remajanya dulu
menyebabkan dia lupa diri. Hanyut hingga kini. Padahal dia tahu Shahrul pasti
tidak mahu bertanggungjawab terhadap dirinya.
Kalau dulu Irdina yang siapkan semua kerja sekolahnya, basuh
pakaiannya, memasak dan melakukan kerja rumah, kini semua kerja itu beralas di
bahunya pula. Air matanya mengalir bersama emosi geram dan dendam. Dia kesal. Jika
dia tidak rosakkan mesin basuh tempoh hari, pasti Irdina tidak lari dari rumah
dan masih melakukan semua kerja itu.
Siaplah kalau dia jumpa Irdina lagi. Irdina akan bayar semua sakit
yang dirasainya itu. Lebih-lebih lagi bila ibunya, Rosmah sudah jatuh sakit.
Terpaksalah dia pula yang melakukan semua kerja rumah itu.
“Yanii… Yanii…,” suara itu kedengaran lagi dari dapur.
Terkocoh kacah Iryani berlari ke dapur.
“Ye mak cik, ada apa?” soal Iryani.
“Kenapa kau biarkan mesin basuh ni penuh melimpah begini? Kau ni
tak reti buat kerja ke? Sama macam mak kau yang pemalas tu. Asyik membuta aje
kerjanya,” ujar Mariah menyinga tak sudah-sudah.
“Mama tak sihat mak cik. Mama jatuh bilik air pagi tadi waktu cuci
baju. Mesin basuh ni dah rosak mak cik. Tak apa. Biar saya aje basuhkan semua
baju ni mak cik,” ujar Iryani lagi.
Semua pakaian kotor di dalam mesin basuh dipindahkan ke dalam
baldi. Iryani akan mencuci semua pakaian itu dengan tangan kerana mesin basuh itu
rosak. Kalaulah dia tak rosakkan mesin basuh itu, sudah tentu dia tak perlu
susah-susah mencuci pakaian dengan tangan.
Mariah menapak ke bilik Rosmah. Ditendang kasar pintu bilik itu
sehingga Rosmah terkejut dan terjaga dari tidurnya. Rosmah mengurut dadanya.
“Oh, kau senang-lenang membuta kat sini ya. Bangunlah pergi masak.
Sekejap lagi abang Haron nak balik makan,” arah Mariah.
“Mariah…kaki aku sakit. Nak gerak pun tak boleh. Macam mana aku nak
jalan dan buat kerja dapur tu semua?” ujar Rosmah pula.
“Elleh, nak bagi alasan konon. Nah, ambik batang penyapu ni, buat
tongkat. Kalau tak siap hidangan makan tengahari ini, kau anak-beranak jangan
makan. Biar mati kebulur dua-dua beranak!” ujar Mariah lagi lantas berlalu ke
halaman rumah.
“Mamaa… Mamaa…,”
Jeritan di bilik air itu mengejutkan Rosmah yang baru melangkah ke
dapur bertongkatkan batang penyapu. Segera Rosmah mendapatkan Iryani di bilik
air.
“Mamaa… Mamaa…” Esakan Iryani makin kuat.
Pintu bilik air segera dikuak. Alangkah terkejutnya Rosmah, melihat
tubuh Iryani tersadai di lantai bilik air dengan darah yang berlumuran.
“Ya ALLAH… Kenapa dengan kau ni Yani?” soal Rosmah.
“Yani tak tahu Yani dah mengandung, maa… Yani terjatuh, lantai
licin. Mama tolong Yani. Yani sakit maa…,” jeritan Yani menyebabkan Mariah
turut terkocoh-kacah ke bilik air.
“Mengandung? Padanlah gugur. Rupanya kau ni perangai bohsia ya?”
pekik Mariah.
“Mariah, tolonglah bawa Yani ke hospital,” rayu Rosmah lagi.
“Pandai buat, pandailah tanggung!” pekik Mariah lagi lantas berlalu
ke ruang tamu.
Langkahnya terhenti bila Haron muncul di pintu dapur.
“Ada apa ni Mariah? Rosmah?” soal Haron curiga.
“Anak awak gugur. Entah jantan mana yang membuntingkan anak awak
tu. Entah-entah sengaja disorokkan, takut kita halau dia dari rumah,” ujar
Mariah.
Haron menjenguk ke dalam bilik air. Iryani sudahpun lemah. Darah
semakin membuak-buak keluar.
“Abang, bawalah Yani ke hospital bang. Kesian Yani, bang,” ujar
Rosmah melutut di kaki Haron.
“Tak payah awak nak kasihankan anak awak yang jahat tu. Biar dia
rasakan. Siapa suruh pergi tidur dengan jantan. Tanggunglah sendiri,” ujar
Mariah dengan nada geram.
Haron cepat-cepat masuk ke dalam bilik air, mengangkat tubuh Iryani
yang sudah lemah. Iryani segera dikejarkan ke hospital. Rosmah merasa lega.
“Hmm…kau bernasib baik sebab abang Haron masih nak tolong anak kau
tu. Dah dah… Kau tunggu apa lagi? Pergilah bersihkan darah tu. Kemudian
bereskan basuh baju tu. Jangan lupa siapkan makan tengahari. Sekejap lagi
anak-anak aku balik, nak makan. Seusai berkata-kata, Mariah pun berlalu ke
ruang tamu semula.
Rosmah mengesat air matanya. Serta-merta wajah Irdina kembali
terbayang di minda. Entah ke mana Irdina menghilang, dia pun tak tahu. Dia mula
merasakan Tuhan sedang memberi balasan pada dirinya kerana pernah berlaku zalim
pada Irdina selama ini.
“Ya ALLAH, aku bersalah. Ampunkan aku. Irdina, di mana kau nak. Mak
cik nak minta maaf…,” ujar Rosmah beberapa kali.
Iryani ditahan di Hospital Langkawi kerana menjalani rawatan. Namun
keesokkan harinya, hospital gempar tatkala Iryani hilang. Iryani dipercayai
melarikan diri.
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada
bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…