Hujan lebat memaksa Rizman memandu perlahan. Jalan raya saat itu
memang sesak memandangkan waktu itu memang waktu para pekerja pulang kerja.
Sesekali tersekat dalam kesesakan jalan raya memang menguji kesabaran. Namun
cepat-cepat dilapangkan hatinya dengan beristighfar. Terbayang wajah manis
Cinderella, membuatkan hatinya tenang. Memang anak gadis itu begitu istimewa di
hatinya. Lebih tepat anak gadis bernama Cinderella itu begitu mengingatkan dia
pada Haryati.
Hampir sama tingkah laku dan rentak langkah Cinderella dengan
Haryati. Malah rona kemerahan wajah, rona kehijauan anak matanya juga saling
tidak tumpah seperti Haryati. Wajah ala-ala Hindi, kerana arwah nenek Haryati
India Muslim memang berasal dari Bombay, India. Berkahwin dengan atoknya yang
berketurunan jawa berasal dari Indonesia. Haryati mewarisi kecantikan asli
India neneknya. Begitu juga Cinderella. Setiap hari dia pasti mahu melihat raut
wajah Cinderella. Merasa masakan Cinderella dan berbual-bual dengan Cinderella
yang merupakan pendengar yang baik.
Namun dia sedar. Tingkahlaku dan layanannya pada Cinderella telah
menerbitkan bibit cemburu di hati isterinya, Sarah. Walaupun puas sudah dia
menerangkan yang dia hanya menganggap Cinderella seperti anaknya sendiri.
Dengan itu dia merasa bertanggungjawab mahu membiayai pengajian Cinderella. Dia
mahu Cinderella menjadi anak yang berjaya. Niat itu memang tulus ikhlas dari
hatinya memandangkan Cinderella juga mengingatkannya dengan anak kandungnya
yang hingga sekarang masih belum dapat dikesan jejak duduknya. Dia ikhlas bukan
sebab ada udang di sebalik batu. Namun Sarah tetap juga mahu berprasangka.
Imbas kembali
Sarah menatang dulang gelas berisi milo panas dan cucur udang.
Petang sebegitu mereka gemar bersantai di taman mawar putih. Namun hari itu
Sarah nekad bertelus dengan Rizman. Memang dia tidak senang dengan layanan baik
suaminya pada Cinderella.
“Abang, kenapa saya tengok sejak budak Cinderella tu ada kat rumah
ni, abang selalu aje ambik berat tentang dia. Dia bukannya anak kita. Dia cuma
orang gaji aje, tak payah la layan dia lebih-lebih,” ujar Sarah dengan satu
keluhan.
“Apa masalah awak kalau saya layan baik-baik budak Cinderella tu.
Saya tak anggap dia orang gaji. Saya dah anggap dia macam anak saya.
Lebih-lebih lagi dia memang sebaya dengan Faris,” ujar Rizman pula.
“Saya bukannya apa. Cuma tak nak budak tu naik lemak, lupa diri
nanti kalau dimanjakan sangat,” ujar Sarah masih tak puas hati.
“Saya tak rasa Cinderella tu macam tu. Dia bukan macam yang awak
sangka. Dia budak baik. Layanan saya pada Cinderella sama macam layanan saya
pada Faris. Tak ada lebih atau kurang,” ujar Rizman lagi.
“Kenapa abang sibuk-sibuk nak budak Cinderella tu sambung belajar.
Siap nak biayai yuran pengajian dia lagi. Tak cukup ke sekadar kita bagi dia kerja
aje kat rumah ni?” soal Sarah.
“Sarah, kan abang dah terangkan, abang kesian dengan budak tu. Dia
pun pandai dalam pelajaran, cuma dia tak ada peluang menyambung pengajian
kerana dia sebatang kara, tak ada keluarga. Abang simpati dengan dia Sarah,” ujar
Rizman.
“Boleh percaya ke simpati abang tu? Ke abang da syok sangat dengan
budak tu? Mengaku aje la yang abang da berkenan dengan dia kan?” soal Sarah
sinis.
“Ish, awak ni, ke situ pulak. Kenapa pulak saya nak berkenan kat
dia yang sebaya umur dengan Faris, anak kita? Kan saya dah cakap tadi, saya
kesian dengan budak tu. Awak tu jangan ikut sangat perasaan cemburu awak tu.
Dah tua-tua gini pun nak cemburu lagi?
Malaslah saya nak layan,” ujar Rizman lagi.
“Tengoklah awak tu. Sejak budak Cinderella tu ada kat rumah ni,
awak pun dah malas nak melayan saya. Tapi rajin pulak awak melayan budak tu.
Kalau dah melayan dia, dari pagi hingga ke malam pun awak tak kisah,” ujar
Sarah lagi.
“Yang awak nak cemburu saya melayan dia kenapa? Sarah, kita ni dah
tua-tua gini mengaku aje la yang kita rasa lebih nak bersama dengan anak-anak.
Saya bersyukur ALLAH lorongkan pada kita untuk mencurah kasih pada Faris selama
ini dan dengan rahmat-Nya juga Cinderella menjejak langkah ke rumah kita ni.
Malah saya rasa rumah kita ni makin meriah dengan adanya Cinderella. Awak pun
tak la jemu asyik mengadap muka Mak Siti aje. Ada jugak teman bergebang,” ujar
Rizman lagi.
“Abang jangan nak mengelak. Dah lebih 25 tahun kita kahwin, saya
faham sangat rentak hati abang. Anak mata abang takkan menipu. Abang ada
perasaan pada Cinderella kan? Mengaku aje la abang,” ujar Sarah lagi dengan
suara yang sedikit sebak.
“Astaghfirullah… Dah berapa kali saya cakap, saya hanya simpati
pada budak Cinderella tu. Memang dah 25 tahun kita kahwin, saya ingatkan awak
sangat faham saya. Rupanya awak memang tak faham-faham saya. Tak macam…’
Bicaranya terhenti. Sekilas wajah penenang hatinya membesar di
minda. Haryati!
“Tak macam kak Yati? Memang dari dulu, di hati abang hanya ada kak
Yati aje. Tak pernah ada saya di hati abang. Bukannya saya tak tahu. Abang suka
dengan budak Cinderella tu sebab mukanya ada iras dengan Haryati kan?” tuduh
Sarah sudah teresak.
Gugur juga air mata yang ditahan-tahan selama ini. Isteri mana yang
tak cemburu dan sakit hati melihat suami sendiri melayan mesra gadis yang tiada
langsung pertalian keluarga dengan mereka? Anak mata Rizman tidak akan mampu
menipu hatinya. Memang dia kenal sangat cara Rizman memandang Cinderella.
Memang dalam hati Rizman ada Cinderella kerana sebelum-sebelum ini wajah Rizman
tidak pernah bercahaya ceria. Hadirnya Cinderella bagaikan matahari yang
menyinari hati Rizman.
Berkali-kali Sarah mengesat air matanya. Namun esakannya makin
lebat pula.
“Saya cuma tak nak dia lupa diri aje. Nanti dia pula yang jadi boss
dalam rumah ni, kita pulak yang jadi hamba,” ujar Sarah lagi.
“Astaghfirullah, ke situ pulak
awak ni. Dahlah. Saya kena ke hospital. Kejap tadi ada panggilan urgent
operation malam ni hingga pagi esok. Mungkin saya balik rumah lusa,” ujar
Rizman lagi lantas menjamah cucur udang dan mencicip milo panas. Mendengar
kata-kata Rizman, Sarah terdiam. Memang kebiasaan kalau Rizman punya on call di
hospital, dia memang tidak pulang ke rumah untuk beberapa hari.
“Abang, Haziq nak datang rumah kita, tapi belum pasti lagi bila.
Boleh dia datang lusa malam?” soal Sarah teragak-agak.
“Eh, bila budak Haziq tu balik Malaysia? Bila dia contact
awak?” soal Rizman lagi.
Mereka beriringan menuruni tangga ke ruang tamu.
“Malam tadi. Rupanya
dah lebih sebulan dia bertugas di Hospital Jitra,”
“Jemputlah dia datang hari Sabtu
minggu depan. Abang pun dah lama tak jumpa dia. Jadi doktor jugak budak tu,
kan. Dulu kecik-kecik nakalnya bukan main. Sejak mereka sekeluarga berpindah ke
Turki, kita dah terputus hubungan dengan keluarga mereka,” ujar Rizman sambil
mengenakan butang baju kemeja-T nya.
“Dulu-dulu Haziqlah jadi pengubat
rindu saya pada tangisan bayi. Saya dah anggap
dia dan adiknya macam anak sendiri bang. Malah Haziq pun dah jadi teman
sepermainan dengan Faris. Bila keluarganya dah berpindah, sunyi sungguh.
Alhamdulillah, waktu tu kita dah ada Faris,” ujar Sarah sebak.
Sarah memang rapat dengan Haziq dan keluarganya. Walaupun mereka
tidak ada pertalian darah, Haziq sudah dianggap seperti anaknya sendiri
walaupun Haziq dan keluarganya hanyalah jiran mereka sewaktu mereka berdua
masih tinggal di Langkawi dulu. Haziqlah pengubat hati memandangkan perkahwinan
dia dan Rizman tidak dikurniakan zuriat, sehinggalah mereka mengambil Faris sebagai
anak angkat.
Hari minggu itu Faris tidak ke resort dan Rizman pun tidak
ada on calldi Hospital Jitra. Seawal selepas subuh tadi lagi kedua
beranak itu sudah berpakat mahu berjoging di sekitar Taman Suria 5 itu selepas
sama-sama solat subuh berjemaah di Masjid Al-A’la. Seusai pulang dari
berjoging, keduanya bersantai-santai meregangkan badan di taman mawar putih.
“Assalamualaikum,”
Suara itu memang cukup dikenali Faris walaupun kedudukannya saat
itu membelakangi si pemberi salam. Sekilas dia menjerling ke wajah papanya.
Tidak semena-mena wajah papanya berubah girang tatkala menatap wajah gadis itu.
“Waalaikumussalam, kamu dari mana Cinderella?” soal Rizman membalas
senyuman Irdina.
Anak matanya lekas-lekas merenung wajah gadis itu. Santun gadis itu
tampak begitu memikat hati Rizman. Entah kenapa hatinya merasa tenang tatkala
merenung wajah cantik manis gadis itu. Memang senyuman gadis itu menjadi
pengubat rindunya pada Haryati.
“Oh, saya dari masjid Tuan. Tuan, saya minta maaf. Selepas solat
subuh tadi, saya tak sedar tertidur. Bila terjaga, hari dah siang. Tu yang
cepat-cepat saya balik rumah ni. Saya minta maaf,” ujar Irdina tunduk memandang
rumput karpet di halaman villa itu.
“La… Ya ke. Kami tak perasan pulak yang Cinderella pun ikut pergi
masjid jugak pagi tadi. Tak apa. Lekaslah masuk rumah. Mesti Mak Siti tengah
cari Cinderella tu,” ujar Rizman lagi.
Irdina mengangguk. Sempat juga dia mengerling ke wajah Faris. Namun
lelaki itu sedikit pun tidak menyapanya. Terus saja dia berlalu masuk ke rumah.
Lama Rizman memandang Irdina sehingga susuk tubuh gadis itu lenyap
dari pandangan matanya, barulah dia kembali merenung wajah Faris.
“Baik betul budak Cinderella tu kan. Memang rezeki kamu bawa dia ke
rumah ni. Sejak dia ada di rumah ni, rumah ni macam bercahaya pulak. Tak la
tiap-tiap hari asyik mengadap muka mama dan Mak Siti kamu aje kan, hehe,” ujar
Rizman sambil tersengeh.
“Papa suka ke dengan Cinderella tu? Is tengok papa rajin bersembang
dengan dia,” ujar Faris cuba memancing komen papanya tentang Irdina.
Rizman tersenyum meleret sebelum menjawab soalan Faris itu.
“Gadis cantik macam tu, siapa yang tidak suka? Cinderella
mengingatkan papa pada mama Haryati kamu dan anak perempuan papa. Papa pun tak
tahu mana lagi nak cari mama Haryati kamu dan anak papa tu. Dah tentu anak papa
sebaya kamu dan Cinderella sekarang. Jika ada jodoh, nak aje papa jodohkan kamu
dan anak papa tu. Biar kamu betul-betul jadi anak menantu papa,” ujar Rizman.
Kata-kata Rizman buat Faris terkesima.
‘Maaf papa, Is dah jadi suami orang papa. Dah tak boleh nak jadi
anak menantu papa. Dah tak boleh nak jadi suami pada anak perempuan papa. Sebab
Is dah jadi suami orang. Suami Cinderella.’
Namun kata-kata itu hanya bergema di hati Faris. Mungkin tidak akan
terluah selagi belum tiba masanya.
“Is, kamu berkenan tak dengan budak Cinderella tu?” Soalan cepu mas
dari Rizman buat Faris tersentak dari lamunan.
“Err… Kalau dulu-dulu kat sekolah, Is memang pernah minat dia papa.
Papa ingat lagi dengan batang-batang mawar papa yang Is potong dulu?” soal
Faris mengajak papanya mengimbau masa lampau.
Rizman ketawa. Memang sudah dijangka, pasti Faris ada buat sesuatu
dengan batang-batang mawar putih yang dipotongnya dulu.
“Kamu bagi batang-batang mawar tu pada Cinderella ke?” serkap
Rizman tak sabar nak tahu.
Kata-kata Rizman buat Faris tersenyum hingga ke telinga. Memang dia
tidak mampu menyembunyikan perasaannya pada Cinderella. Perlahan-lahan dia
mengangguk dengan pipi yang sudah merona kemerahan. Dengan pengakuan itu Rizman
ketawa terbahak-bahak.
“Kenapa papa ketawa?”
“Bapak borek, anak rintik”
Dengan kata-kata itu Faris pun ikut ketawa. Walaupun mereka berdua
bukan anak beranak kandung namun kemesraan mereka berdua seperti anak beranak
kandung. Tanpa pengetahuan Rizman dan Faris, tingkahlaku mereka diperhatikan
Irdina dari dalam dapur. Tersenyum dia memerhati dari jauh.
“Ehm… Tak baik tau anak dara mengintai teruna dari balik dapur.
Hehe..”
Usikan itu serta-merta membuat Irdina kelam kabut.
“Oh, Mak Siti. Maaf tak perasan Mak Siti di belakang saya. Ada
apa-apa lagi yang boleh saya tolong Mak Siti?” soal Irdina lagi.
“Kamu panggilkanlah Tuan Rizman dan Tuan Muda sarapan. Mereka dua
beranak tu kalau dah bergebang, memang tak ingat-ingat nak isi perut,” ujar Mak
Siti tersenyum-senyum.
Dari gerak geri Irdina dan Faris, Mak Siti dapat membaca, ada
sesuatu antara mereka berdua. Cuma dia tak dapat meneka apa yang tersembunyi.
Namun sebagai seorang manusia yang sudah lebih awal makan garam, dia merasakan
apa yang tersembunyi antara Irdina dan Faris lebih bersifat perasaan yang
terpendam.
Namun tanpa mereka sedari, tingkah dan perbualan mereka rupanya
menjadi tontonan seseorang.
“Mak Siti dan Cinderella siap hidangkan sarapan di meja makan
utama. Biar saya aje yang panggilkan Tuan dan Faris,” ujar Sarah menjeling pada
Irdina.
Irdina dan Mak Siti mengangguk perlahan. Tanpa berkata apa-apa
mereka segera menurut arahan Sarah. Irdina mengangkat wajah memandang Mak Siti.
Mak Siti hanya menggelengkan kepala dan mengangkat bahu. Mak Siti pelik
sendiri. Tidak pernah Sarah mengeluarkan arahan sebegitu. Sebelum ini tidak
pernah-pernah Sarah meninggikan suara atau mengarahnya membuat itu dan ini.
Hari ini entah kenapa Sarah nampak lain macam. Hatinya tiba-tiba merasa tak
tenteram. Dalam diam dia mendoakan yang baik-baik untuk keluarga itu.
Irdina membawa sejug sunquick suam untuk dihidangkan di meja makan.
Kata Mak Siti, Rizman dan Faris suka sangat minum air sunquick suam awal pagi,
senang lawas katanya. Irdina menuangkan air ke cawan Rizman. Serta-merta pula
Rizman meminum air itu.
“Hmm… Sedapnya sunquick ni. Siapa buat air ni Mak Siti?” soal
Rizman.
Mak Siti menyumbing senyuman. Matanya mengerling ke wajah Irdina.
“Siapa lagi Tuan, kalau bukan cik Cinderella kita ni. Apa-apa pun
yang dimasaknya, semuanya sedap-sedap belaka Tuan,” ujar Mak Siti yang sedang
sibuk menyenduk nasi lemak ke pinggan.
“Hm… Tak ada apa Tuan. Air sunquick biasa aje tuan,” ujar Irdina
lagi.
“Air sunquick tu luar biasa sebab kamu yang buatkan,” ujar Rizman
sambil mencicip lagi air minuman itu.
Mendengar kata-kata pujian Rizman pada Cinderella, Sarah mencebik
muka masam. Menggunung lagi rasa cemburunya pada gadis itu.
‘Kalau Cinderella, semuanya sedap. Ada-ada aja yang dia nak puji.
Aku bini dia ni, apa yang aku masak, semuanya tak pernah dipuji. Dari dulu, dia
hanya suka puji orang yang tak ada di depan mata saja. Dulu Haryati. Sekarang,
Cinderella ni pulak.’
Faris mengulum senyuman. Malu dia mahu menunjukkan wajah senang
hatinya pada komen papanya dan komen Mak Siti itu. Tiba ketika Irdina menghulurkan
gelas, Faris mendongak sekilas memandang ke anak mata Irdina. Faris mahu
mencapai gelas itu namun tanpa sengaja, jarinya tersentuh jari Irdina. Bagai
terkena kejutan elektrik, cepat-cepat Irdina menarik jarinya. Terkejut dengan
tindakan itu, Faris terlepas pegangan gelas. Gelas itu jatuh di lantai dan
pecah.
“Maafkan saya Tuan Muda, saya tak sengaja,”
Tanpa berlengah, Irdina terus menunduk dan mengutip serpihan kaca
gelas yang bertaburan di lantai. Faris terkedu seketika. Sarah hanya menjeling
dengan muka masam.
“Cindralela, biar aje kaca tu di lantai. Kejap Mak Siti ke dapur,
ambilkan penyapu dan penyodok,”
Mak Siti segera bergegas ke dapur. Namun kerana merasa kekok
diperhatikan Irdina tetap mengutip juga serpihan kaca yang pecah.
“ALLAH.. Aduhh..,”
Setitis darah menitis dari jari manis kanan Irdina. Belum sempat
Faris bertindak, Rizman dulu yang mendapatkan jari Irdina. Luka di jari Irdina
ditekan kuat, agar kuman yang terdapat pada luka itu tidak masuk ke dalam
tetapi mengalir keluar. Paling tidak disangka, Rizman kemudian menghisap darah
kotor keluar dari jari Irdina. Sarah hanya membatukan diri. Dalam diam dia
merasa geram dengan tindak tanduk Rizman yang semakin berubah terhadap Irdina.
“Is, darah banyak mengalir ni. Cepat, tolong papa ambilkan peti
ubat kat almari ruang tamu tu,”
Walaupun luka di jari manis Irdina tidaklah seteruk mana, entah
kenapa Rizman sungguh risaukan Irdina. Bagaikan dia sudah menganggap Irdina
seperti anaknya sendiri. Faris dan Mak Siti sama-sama tiba di sisi Rizman. Cuma
Faris tiba dengan peti ubat di tangan, manakala di tangan Mak Siti pula
terjinjing penyapu dan penyodok.
“Ya Allah… Cindralela, kan Mak Siti dah cakap tadi, biarkan aje
kaca gelas tu di lantai. Kan dah berdarah jari tu. Ishh… Itulah, tak dengar
cakap Mak Siti,”
Mak Siti tarik muka geram. Irdina tertunduk. Rasa bersalah kerana
tak dengar nasihat Mak Siti.
Belum sempat Rizman membuka peti ubat, deringan telefon bimbitnya
mematikan tingkah. Sempat dia mengisyaratkan pada Faris agar menyambung merawat
luka di jari manis Irdina. Faris mengangguk. Sementara Rizman menjawab telefon
bimbit sambil menaiki tangga ke bilik tidur, Sarah membuntutinya. Ada perkara
yang ingin diperkatakan pada Rizman. Memang dia tak puas hati.
Faris memandang lama luka di jari Irdina.
“Cinderella, jom kita ke ruang anjung depan sana. Mak Siti tolong
bersihkan serpihan kaca ni ya,” ujar Faris lantas menapak ke anjung rumah.
Mak Siti mengangguk. Pantas saja tangan tuanya menyapu serpihan
kaca itu ke dalam penyodok. Dia akhirnya menghilang ke dapur.
“Cinderella, sila duduk.”
Faris mengisyaratkan agar Irdina duduk di sofa di anjung rumah.
Teragak-agak Irdina mendaratkan punggung di sofa empuk itu. Faris melutut di
sebelahnya. Cermat dia membuka peti ubat. Iodine dikeluarkan.
“Mana luka tadi?”
Segan-segan Irdina menghulurkan jemarinya. Faris meneliti jari
manis Irdina seketika. Darah dah berhenti mengalir. Segera dia menyapu iodine
pada luka itu, kemudian luka itu dibalut dengan plaster ubat luka.
“Ok, dah siap. Lepas ni awak buat kerja baik-baik. Jangan cuai
lagi. Jaga diri. Jangan terluka lagi,” ucap Faris serentak merenung seketika
wajah Irdina.
Irdina yang terpana dengan renungan itu serta-merta menundukkan
wajah. Perlahan dia mengangguk. Faris bingkas bangun.
“Tu..an Muda, terima kasih,” ucap Irdina.
Faris tidak menoleh. Hanya sekadar mengangguk. Irdina pelik.
Tingkahlaku Faris terhadapnya hanya acuh tak acuh saja.
‘Indra Faris, aku semakin tidak dapat membaca hatimu. Siapa sebenarnya
aku di hatimu?’
Dengan detikan itu Irdina melepaskan keluhan.
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada
bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…
~ Annur Iman ~