Selesai solat isya’, Faris menapak turun ke ruang tamu. Rizman
sudah siap sedia mahu menjamah makan malam.
“Eh Is, baru turun? Petang tadi Is tak makan? Tu luka kat dahi dan
lengan kamu tu dah ok ke?” soal Rizman.
Faris mengambil tempat duduk berhadapan dengan papanya. Sesekali
dia mengerling pada Mak Siti yang sedang sibuk menyenduk nasi. Anak matanya
sibuk-sibuk juga mencari kelibat Cinderellanya. Tak ada pula. Telahannya,
agaknya Cinderella di dapur. Seketika Mak Siti menghilang dan seketika kemudian
masih lagi Mak Siti bersendiri yang keluar dari dapur menatang hidangan makan
malam itu.
‘Pelik, mana pulak Cinderella ni?’
“Is? Is dengar tak apa yang papa tanya tadi?” soal Rizman lagi.
Rizman hairan sendiri. Anak lelakinya itu bagaikan sedang berkhayal
saja. Cepat-cepat Faris mengalih pandang ke wajah papanya.
“Eh, apa papa tanya tadi? Maaf papa, Is tak perasan papa tanya
tadi,” ujar Faris lagi.
Rizman tersenyum. Bagaikan dia sudah dapat membaca apa yang terhuni
di fikiran Faris saat itu. Faris mencicip jus oren.
“Mak Siti, Cinderella ok?” soal Rizman, sengaja mahu menarik
perhatian Faris.
Mak Siti mengangguk. “Alhamdulillah, Tuan Rizman jangan risau,
Cinderella baik-baik aje. Cuma dia perlukan rehat. Sekejap lagi rasanya dia
keluar. Tadi saya tengok dia sedang mengaji Quran selepas pulang dari masjid
selepas isya’ tadi,” ujar Mak Siti lagi.
Jus oren yang dicicip Faris diletakkan kembali ke atas meja.
Dahinya berkerut hairan.
“Mak Siti, kenapa dengan Cinderella?” soal Faris lagi.
“Mama kamu marah-marah Cinderella petang tadi. Dia tak sengaja
terpecahkan pasu bunga antic mama kamu. Apa lagi? Naik minyak la mama kamu. Teruslah
Cinderella dimarahnya. Cinderella pulak papa rasa masih trauma dengan apa yang
dilaluinya di rumah keluarga angkatnya dulu,” ujar Rizman lagi.
Faris merasa bingung. Tak faham. “Trauma?” soal Faris lagi.
“Trauma tu maksudnya waktu mama kamu mengamuk tadi, dia rasa macam
mak ciknya yang marahkan dia. Dia menangis, menjerit minta tolong, macam
hysteria,” ujar Rizman lagi.
Sungguh Faris tidak tahu betapa apa yang dilalui Irdina di rumah
keluarga angkatnya dulu turut memberi trauma pada dirinya. Sebentar kemudian,
Mak Siti tiba menatang semangkuk puding jagung.
“Tuan Muda, ini puding yang Cinderella simpankan untuk Tuan Muda,”
ujar Mak Siti lagi.
“Oh ye ke. Terima kasih Mak Siti. Nanti saya makan pudding ni,”
ujar Faris lagi.
“Cik puan Sarah di mana Mak Siti?” soal Rizman.
Sejak selesai solat tadi kelibat isterinya langsung tidak
kelihatan. Mak Siti menggaru-garu kepalanya.
“Entahlah Tuan. Saya pun tak ada nampak Cik Puan Sarah sejak petang
tadi,” ujar Mak Siti lagi.
“Mak Siti pergilah panggilkan cik puan. Panggilkan sekali
Cinderella makan malam. Rasanya Cinderella pun tak makan sejak tengahari tadi
kan Mak Siti?” tanya Rizman lagi.
“Oh, baiklah Tuan. Saya pergi panggilkan cik Puan dan Cinderella,”
ujar Mak Siti lagi.
Baru saja Mak Siti mahu menapak ke bilik majikannya, Sarah sudahpun
menapak ke ruang tamu. Jadi Mak Siti terus saja menapak ke bilik Irdina. Tanpa
mengetuk pintu, Mak Siti menjengukkan wajah ke dalam bilik. Senyumannya singgah
ke tubuh Irdina yang pulas tertidur di sejadah. Wajah jernih itu tampak
keletihan. Mak Siti akhirnya tidak sampai hati mahu mengejutkan Irdina.
“Ha, mana Cinderella, Mak Siti?” soal Rizman lagi.
Serentak itu Sarah mencebikkan bibir. Ada saja hal tentang Irdina
yang diambil berat suaminya. Hal dirinya tidaklah Rizman ambil berat
sepertimana Irdina.
“Cinderella dah tidur Tuan. Letih sungguh dia. Tak sampai hati saya
nak kejutkan dia. Tak apalah, Tuan, Puan dan Tuan Muda makanlah dulu. Nanti biar
saya aje yang temankan dia makan bila dia dah bangun nanti,” ujar Mak Siti.
“Ha…jomlah kita makan. Kan Mak Siti dah cakap yang Mak Siti akan
temankan Cinderella makan. Abang tu, jangan tak lalu makan pulak kalau
Cinderella tak ada kat sini,” sempat lagi Sarah menyindir.
“Ish, awak ni Sarah. Ke situ pulak. Depan rezeki jangan nak cari
pasal. Saya cuma ambil berat tentang Cinderella aje,” ujar Rizman lagi.
“Eh, jemputlah makan, Tuan, Puan, Tuan Muda. Mak Siti minta diri ke
dapur dulu ya. Kalau ada apa-apa yang kurang atau nak tambah apa-apa,
panggillah Mak Siti,” ujar Mak Siti lagi segera berlalu ke dapur.
Seperti jangkaan Mak Siti, ketika jarum hampir mendekati jam 11
malam, Irdina pun terjaga dari tidurnya. Terkebil-kebil Irdina memandang jam di
dinding biliknya.
‘Astaghfirullah, macam mana aku boleh tertidur pulak ni? Kesian Mak
Siti. Mesti mengemas sorang-sorang di dapur.’
Irdina bingkas bangun. Dilipatnya telekung solat dan sejadah. Dia
mencapai tudung putih yang biasa dipakainya di dalam rumah agam itu kemudian
dia terus pergi ke meja makan. Pinggan mangkuk yang masih belum bercuci masih
di meja makan. Jadi di mana Mak Siti? Langkahnya dihayun lagi ke dapur dan
senyumannya memekar tatkala menjamah seraut wajah tua itu sudah berada di alam
mimpi. Tidur berbantalkan lengan, bertilamkan meja dapur. Siap berdengkur lagi.
Segera Irdina menapak semula ke meja makan, mengutip segala pinggan
mangkuk. Semuanya dilakukan secara perlahan-lahan agar Mak Siti tidak terbangun.
Dia tidak mahu mengganggu lena Mak Siti. Akhirnya ke semua pinggan mangkuk
sudahpun dibawa ke pantry. Perlahan-lahan juga dia membasuh satu demi satu
pinggan mangkuk. Namun tiba-tiba…
“Assalamualaikum. Mawar, awak sihat?”
Suara itu begitu menggetarkan jiwanya ditambah rasa terkejut juga.
Perlahan dia menoleh ke arah pemilik suara itu. Senyuman nipis dihulurkan
bersama anggukan kecil.
“Waalaikumussalam. Alhamdulillah, saya sihat. Tuan Muda tak tidur
lagi? Tuan Muda nak minum apa-apa ke?”
Bergetar suaranya saat melantunkan soalan demi soalan itu yang pada
zahirnya hanya untuk menutup rasa gugup yang mula menjalari tingkahnya saat
itu. Irdina terus mencuci pinggan mangkuk. Faris menapak semakin dekat.
Akhirnya dia bertenggek di tepi pantry di sebelah Irdina. Di tangannya
terjinjing mangkuk puding yang masih belum disentuh. Baru saja dia keluarkan
dari peti sejuk.
“Saya nak minta tolong awak,” ujar Faris tersenyum-senyum.
“Tolong apa tu Tuan Muda?” soal Irdina kembali.
“Ni, puding ni akan terasa sedap bila si pembuatnya sendiri makan
bersama saya,” ujar Faris benar-benar memaksudkan apa yang dikata.
Irdina menelan liur. Macam tak percaya apa yang didengarnya
sebentar tadi. Cermat-cermat dia membilas mangkuk terakhir yang kemudiannya
ditiarapkan cermat di rak pinggan mangkuk. Faris sudahpun mengambil tempat di
dapur itu.
“Awak nak ke mana tu. Awak duduk aje di sini diam-diam. Jangan buat
bising. Kalau tak nanti Mak Siti bangun,” ujar Faris separuh berbisik.
Irdina mengangguk kalut. Dia mendaratkan duduk di tempat yang
dimaksudkan Faris. Terkejut dia bila Faris pun duduk di sebelahnya. Rasa kekok
menyebabkan Irdina tidak habis-habis mengerling ke sana ke mari. Bimbang
kalau-kalau Mak Siti bangun. Paling malang kalau cik Puan Sarah atau Tuan
Rizman sendiri yang bangun dan terserempak mereka berdua-duaan di situ. Faris
menghulurkan sudu yang sempat diambil di dapur tadi pada Irdina. Irdina tunjuk
muka hairan.
“Satu aje sudu?”
Faris jungkit bahu.
“Saya nak awak suapkan saya. Boleh?”
Di situ Faris menyumbing senyuman lagi.
‘Ish, buang tebiat ke apa Faris ni? Mengada-ngada pulak dia malam
ni, ish…’
Perlahan-lahan Irdina mengangguk. Macam terpaksa aje.
“Cepatlah suapkan saya. Banyak tau pahala isteri suapkan suami.
Bila lagi awak nak tambahkan pahala awak!” Sekali lagi Faris senyum simpul.
Mendengar perkataan isteri dan suami itu, Irdina pula yang
tersenyum. Malu-malu. Cepat-cepat dia menyudu sedikit puding ke mulut Faris.
“Hmm… Sedapnya puding ni. Agaknya perasaan awak pada saya pun sama
macam rasa puding ni kan. Lemak manis, hehe,” Serkap Faris lagi.
Serta-merta wajah Irdina merona kemerahan. Faris pula semakin galak
menatap wajah cantik Irdina.
‘Mawar, kenapalah saya baru perasan yang muka awak ada buah tomato
dua biji. So cute sayang.’
“Tapi, siapalah saya ni kan. Saya rasa saya tak layak terima cinta
lemak manis awak, Mawar,” nada Faris menjadi lirih pula.
Irdina termangu dengan ayat itu.
‘Habis, awak rasa ada orang lainkah yang lebih layak terima cinta
saya?’
Namun soalan itu hanya di hati. Satu lagi sudu puding disuapkan ke
mulut Faris. Kalau memang Faris mahu dia menyudukan puding ke mulutnya hingga
habis pun pasti dia akan sudukan.
“Bagi sini sudu tu,” pinta Faris.
Segera Irdina menghulurkan sudu itu tanpa banyak bicara.
Tidak disangka Faris pula yang menyudukan baki puding itu ke mulut
Irdina pula.
“Sedap kan puding awak ni? Apa yang awak rasa bila makan puding
awak ni?” soal Faris lagi.
Irdina menelan puding sebelum menjawab soalan Faris.
“Err.. Saya rasa puding ni lembut dan lemak manis,” jawab Irdina
tidak teragak-agak.
Dia menundukkan wajah. Faris tarik senyum hingga ke telinga.
“Kalau awak nak tahu, macam itulah perasaan saya pada awak sejak
dulu,” ujar Faris.
Serta-merta Irdina mengangkat wajah dan anak mata mereka bersatu di
situ. Cepat pula Faris mengalih pandang.
“Tapi saya tahu, hati awak dah ada orang lain,” lirih pula suara
Faris.
“Maksud Tuan Muda?” soal Irdina spontan.
“Dr. Haziq minat sungguh kat awak kan. Lelaki handsome tu yang awak
minat kan?” Serkap Faris.
‘Cemburu rupanya dia, hehe..’
Irdina tiba-tiba tersenyum. Terus dia mengangkat bahu. Anak matanya
saat itu singgah mencermati plaster di dahi Faris yang hampir tertanggal.
Tiba-tiba dia teringatkan mak cik cleaner tempoh hari.
“Tuan Muda, dahi tuan muda dah baik? Lengan sakit lagi tak?” soal
Irdina.
Sengaja Irdina mahu mengalih topic. Faris tersenyum.
“Mawar, kenapa awak tak jawab soalan saya? Awak janganlah nak tukar
topic pulak. Jangan berpura-pura nak ambik berat pasal luka kat dahi dan lengan
saya ni. Kan saya hidup lagi ni. Sempat lagi merasa puding air tangan awak,”
ujar Faris lagi.
Serba salah pula Irdina bila Faris menyerkap yang bukan-bukan
terhadapnya. Dia memang mahu mengambil berat tentang luka di dahi dan lengan
Faris itu. Bukan dia nak tukar topik.
“Err..
Belum sempat Irdina menjawab, tiba-tiba mereka terdengar Mak Siti
bersin. Bingkas Faris bangun mencuci mangkuk puding.
“Awak, cepat buatkan saya milo panas. Kering pulak tekak saya asyik
bercakap aje. Kalau Mak Siti tanya apa-apa, pandai-pandailah awak jawab,” bisik
Faris.
Bingkas saja Irdina mencapai mug. Belum sempat Irdina memberikan
mug berisi milo panas itu pada Faris, Faris sudah menapak naik ke biliknya.
Waktu itu juga Mak Siti menjenguk ke pantry.
“Eh, Cinderella tak tidur lagi? Allah.. Kenapa tak kejutkan Mak Siti.
Habis semuanya Cinderella yang kemaskan,” ujar Mak Siti kesal.
“Oh, tak apa Mak Siti. Saya dah biasa. Maaf Mak Siti, selepas
mengaji tadi saya tertidur,” ujar Irdina pula.
“Mak Siti tengok Cinderella penat sungguh, jadi Mak Siti tak sampai
hati nak kejutkan. Bagi aje Cinderella rehat. Hm..Cinderella nak minum ke?” soal
Mak Siti memerhati mug berisi milo panas di tangan Irdina.
“Err… Sebenarnya milo panas ni Tuan Muda yang minta saya buatkan.
Tapi dia dah naik ke bilik pulak,” ujar
Irdina terkulat-kulat.
Mak Siti tersenyum.
“Pergilah kamu hantarkan milo panas tu pada Tuan Muda. Tak salah
pun kan,” ujar Mak Siti sambil merenung wajah Irdina penuh makna.
Segan-segan Irdina mengangguk. Cepat-cepat dia mengatur langkah.
Tiba di hadapan bilik Faris, pintu bilik pun diketuk.
“Milo panas Tuan Muda,” bisik Irdina setelah pintu dibuka.
“Ok. Kalau macam ni, saya nak awak buatkan saya milo panas
tiap-tiap hari dan hantarkan pada saya pada jam tepat-tepat jam 12 tengahmalam
macam waktu sekarang. Boleh tak Mawar?” Sengaja Faris mahu menduga Irdina.
Teragak-agak Irdina mengangguk. Setelah mug bertukar tangan, Irdina
mahu menapak turun.
“Mawar…,’
Pantas Irdina menoleh. Senyuman Faris menyambut wajahnya saat itu.
“Terima kasih…,”
Irdina mengangguk. Langkah diatur menuruni tangga. Hatinya
tiba-tiba merasa tenang. Jiwanya pula girang. Entah kenapa. Akhirnya hanya
senyuman Faris menghiasi mindanya.
‘Faris, bukan Haziq yang ada dalam hati ini. Tetapi Indra Faris.
Indra Faris itu awaklah. Suami saya..’
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada
bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…
~ Annur Iman ~