Setelah
hampir dua jam di dalam feri, akhirnya Faris tiba ke negeri tumpah darah
Mahsuri itu. Pulau lagenda yang telah ditinggalkan hampir lapan tahun lalu
kerana papa dan mamanya berpindah ke Jitra. Di situ dia bersekolah dan tempat
dia mengenali pemilik sekeping nama itu. Mawar Irdina! Dia ke situ kerana
dialah peneraju Mawar Putih Resort yang baru saja beroperasi. Resort
rekreasi dan rumah tumpangan itu memang direka berdasarkan ilham dari mawar
putih, idea papanya. Malah banyak mawar
putih ditanam di sekitar Mawar Putih Resort.
Lokasinya memang di tepi Pantai Cenang kerana rekreasi pantai itu
memiliki elemen ketenangan yang diidamkan Faris. Faris yakin para pelancong pasti
sukakan Mawar Putih Resort, kerana baru saja resort rekreasi dan rumah
tumpangan itu beroperasi kurang dari sebulan, hampir setiap hari rumah
tumpangan di Mawar Putih Resort penuh. Para pelancong dari dalam dan luar
negara juga tidak putus-putus berkunjung di Mawar Putih Resort. Taman mawar
putih rekaannyalah yang paling menarik minat pelancong dan pengunjung.
Selain itu, Faris ke situ kerana mahu berjumpa dengan ustaz Firdaus.
Biarpun dia pernah tertangkap dengan ustaz Firdaus berhubung suratnya pada
Irdina dulu, hubungan mereka tetap erat. Namun pertemuan itu hanya sebagai
alasan. Di hatinya ALLAH saja yang tahu betapa hatinya melonjak-lonjak mahu
tahu perkembangan Irdina yang merupakan pelajar cemerlang ketika SPM mereka
dulu.
Setelah selesai urusan check
in di Mawar Putih Resort, tanpa mengunci pintu rumah tumpangan itu, Faris
menapak keluar, berjalan di tepi pantai sambil meranduk air laut. Dia menunggu
ustaz Firdaus yang pulang sebentar ke rumahnya. Ustaz Firdaus ada mempelawa
Faris ke rumahnya tapi Faris menolak. Lebih selesa bersantai di tepi pantai saja.
Dapat juga dia tenangkan fikiran tatkala mendengar deruan ombak memukul gigi
pantai. Faris duduk bersila di pelantar kayu betul-betul di tepi Pantai Cenang.
“Jauh menung kamu Faris?”
Segera sebungkus nasi dan sebuah bekas makanan disambut Faris dari
tangan ustaz Firdaus.
“Apa ni ustaz? Susah-susah aje ustaz,” ujar Faris lagi.
“Ni nasi berlauk ustazah Seri yang masak. Keropok lekor dalam tupperware
tu kudapan kamu malam-malam nanti,” ujar ustaz Firdaus lagi.
“Alhamdulillah, terima kasih pada ustaz dan ustazah ya,” ucap Faris
lagi.
“Hm…kamu ni kenapa? Berkerut aje dahi tu? Kerja kamu macam mana?”
soal ustaz Firdaus lagi.
“Alhamdulillah, saya dah grad setahun lalu. Sekarang saya
diamanahkan papa untuk menguruskan Mawar Putih Resort ni. Baru nak belajar-belajar
dalam dunia pengurusan ni ustaz, banyak juga cabarannya. Doakan saya
dipermudahkan segala urusan ya ustaz,” ujar Faris lagi.
“Insya-ALLAH, moga ALLAH permudahkan. Tak sangka betul ustaz Mawar
Putih Resort ni kamu tuannya. Bukan setakat taman mawar putihnya jadi tarikan,
tetapi perkhidmatan dan pengurusannya yang Islamik memang mengagumkan. Memang
lain dari yang lain. Ada surau di dalam resort tu, dan ada pula muazin
yang akan laungkan azan setiap kali tiba waktu solat. Lagu-lagu nasyid dan
zikir pun kerap dimainkan. Malah ada pulak tanda ‘haram’ dibawa masuk minuman
keras ke dalam resort, secara tak langsung mendisiplinkan pelancong dan
pengunjung agar menjaga tata tertib mereka biarpun mereka bukan Islam.
Penyediaan makanan pun halal dan makanan kampung. Memang ustaz sendiri puas
hati. Kita kalau buat bisnes, biar tak bercampur haram dan halal,” ujar ustaz
Firdaus panjang lebar.
Tersenyum Faris mendengar komen ustaz Firdaus. Memang dia berazam
untuk mendirikan Mawar Putih Resort yang penuh dengan pengurusan dan ciri-ciri
resort Islamik. Pasangan yang dah berkahwin saja yang dibenarkan menginap di
situ, baik pelancong dari dalam atau luar negara. Baik yang beragama Islam atau
bukan Islam.
“Alhamdulillah, setakat ni saya tengok, sambutan terhadap Mawar Putih
Resort amat memberangsangkan. Ramai sukakan Mawar Putih Resort,” ujar Faris
lagi.
“Alhamdulillah, baguslah. Itulah berkat mengangkat Islam di tempat
utama. Jadi, apa yang buat kamu runsing sampai berkerut dahi tu? Perempuan?
Kamu kan dah ada kefahaman agama. Dah bekerja jugak. Tunggu apa lagi? Hantar
pinangan, kahwin aje la,” ujar ustaz Firdaus seakan dapat membaca apa yang
sedang bersarang dalam fikiran Faris.
“Nak ke dia kahwin dengan saya ni ustaz? Haha… Macam lawak pulak
bila fikir pasal kahwin. Saya rasa macam masih muda sangat nak fikir pasal
kahwin, tapi entah kenapa hati saya tak tenang bila terfikirkan dia ustaz. Hati
saya tertanya-tanya khabar dia. Apa yang dia buat sekarang,” ujar Faris lagi.
Ustaz Firdaus tersenyum.
“Jadi, dia yang membawa kamu untuk bekerja di sini?” serkap ustaz
Firdaus.
Faris menurunkan kaki ke bawah. Dikuis-kuis pepasir di tanah. Hari
sudah semakin gelap. Hujan renyai-renyai membuatkan dia memeluk tubuhnya yang
kedinginan. Perlahan dia mengangguk. Memang dia bekerja di situ kerana gadis
itu. Mawar Irdina! Sekeping nama itu begitu menggetarkan jiwa lelakinya.
“Kalau kamu segan nak kongsi
dengan ustaz, kamu berkongsi aje dengan Dia dalam sujud istikharah kamu.
Insya-ALLAH moga Dia tenangkan hati kamu dan beri jalan keluar. Tak ada sesuatu
pun yang ditentukan-Nya melainkan kesemuanya ada hikmah-Nya. Dia memberikan
hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki. Sesiapa yang diberi hikmah,
sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Banyakkan berfikir segala
yang berlaku itu merupakan takdir ALLAH. Insya-ALLAH moga fikir itu menjadi
zikir,” ujar Ustaz Firdaus lagi.
Satu persatu kata-kata Ustaz Firdaus menusuk ke hatinya. Berkongsi
dengan ALLAH dalam sujud istikharah? Terasa malu pulak nak mengadu pada ALLAH.
Sedangkan sebelum ini jarang-jarang sangat dia mengadu pada ALLAH, apatah lagi
membawa kakinya ke masjid. Rumah ALLAH itu hanya dijejaki tatkala solat jumaat,
solat tarawih dan solat hari raya saja.
Suara azan sayup-sayup kedengaran dari masjid tak jauh dari Mawar
Putih Resort.
“Dah azan tu. Jom solat di masjid,” tingkah ustaz Firdaus, seraya
menghayun langkah menuju masjid.
Melihat ustaz Firdaus sudah bergegas, Faris turut ikut melangkah,
walaupun dia masih memikirkan lagi kata-kata ustaz Firdaus tadi.
Berulangkali
Irdina mendongak ke luar tingkap, kalau-kalau Rosmah dan Iryani sudah pulang dari
bandar. Langit yang mendung tambah membuatkan hari semakin gelap. Azan maghrib
baru saja kedengaran. Irdina memperligatkan lagi menyental pakaian.
‘Ish,
janganlah mak cik dan Iryani pulang sehingga aku selesaikan semua kerja-kerja
ni. Kalau tak, siaplah aku kena marah dengan Iryani dan mak cik lagi.’
Irdina sedih tatkala memikirkan nasib dirinya. Memang dia jadi
orang gaji rumah itu seumur hiduplah nampak gayanya. Surat tawaran ke
universiti ditolak kerana tiada siapa yang mahu menyara pengajiannya. Lainlah
Iryani, dapat masuk kolej kerana Rosmah dan Haron yang menanggung pengajiannya,
walaupun Haron sudah jarang-jarang pulang ke rumah itu. Ayah angkatnya itu
lebih banyak berada di rumah bini mudanya yang jenis queen control. Akhirnya dia menyisih ingatan tentang hal-hal lain,
lalu menumpukan perhatian pada kerja rumah yang masih tak luak walaupun dia
sudah bertungkus lumus menyiapkan semuanya sejak pagi tadi. Mana taknya, baru saja
dia selesai membasuh, Iryani dan Rosmah menambah lagi pakaian kotor mereka.
Irdina mengesat lelehan peluh sebelum terus menyental pakaian demi
pakaian. Mesin basuh yang tiba-tiba rosak memaksa Irdina membasuh semua pakaian
Rosmah dan Iryani menggunakan tangan. Bunyi gril pintu menyentakkan fokus
Irdina. Dadanya mengalun debaran. Telahannya pasti Rosmah dan Iryani sudah
pulang.
‘Habislah.
Siaplah aku kena marah lagi dengan dua beranak tu. Sakit-sakit badan mengelap
lantai tengahmalam semalam pun tak hilang lagi. Tambah pula dengan kerja rumah
hari ini. Ya ALLAH, bantu aku untuk aku terus kuat mengharung segala dugaan ini.
Pinjamkan aku kekuatan, amin.’
“E’ehm…”
Suara itu memang cukup dikenali. Kelam kabut Irdina bangun. Kain
basahan yang tersidai di pintu bilik air segera dicapai, dibuat tudung kepala.
Dadanya yang tadi hanya berdebar, kini bertukar seperti gelora di lautan. Cepat-cepat
dia menurunkan lengan baju t-shirtnya. Kain batiknya yang tadi di paras betis
segera diturunkan hingga menutupi buku lali. Tubuhnya menggeletar. Dalam hati
dia berdoa, agar tuan punya suara itu tak buat perangai lagi. Irdina
menjenguk-jenguk juga ke belakang Haron, kalau-kalau ada kelibat isteri kedua
Haron.
‘Tiada
pun. Jadi apa agaknya hajat pak cik Haron kali ni? Rindukan mak cik dan
Iryanikah?’
“Err…pak cik Haron, bila sampai? Maaf pak cik. Dina tak sedar pak
cik masuk tadi. Dina tengah basuh kain. Pak cik balik sorang aje? Mak cik
Mariah, err…tak ikut sama?” soa Irdina tergagap-gagap.
Sesekali anak mata Irdina melirik ke arah pintu gril di depan
rumah. Berderau darahnya tatkala melihat pintu gril itu berkunci mangga.
Mukanya sudah pucat lesi. Otaknya ligat memikirkan ikhtiar kalau peristiwa
sebelum ini berulang lagi. Namun segera hatinya meningkah. Tak baik buruk
sangka. Namun jika berulang lagi, dia tidak akan teragak-agak membuka langkah
seribu demi maruahnya yang satu itu.
Haron tersenyum merenung anak angkatnya itu atas ke bawah. Sejak
tadi dia hanya tersandar di tepi pintu memerhatikan gelagat Irdina yang sedang
menyental pakaian. Anak matanya jatuh pada tubuh gadis itu. Beberapa kali dia
cuba menodai gadis itu, namun tidak kesampaian tatkala gadis itu mengungut mahu
memberitahu Rosmah. Hari ini, belum tentu lagi.
“Sunyi aje rumah ni? Mak cik kamu mana Dina?” soal Haron tanpa
menjawab soalan Irdina.
“Err…mak cik dan Yani keluar beli barang,” jawab Irdina.
Dia semakin tidak sedap hati. Kain basahan yang dijadikan tudung
itu dililit lagi. Cuma kain batiknya yang lencun ke paras pehanya memang tidak
dapat ditutup. Memang terserlah bentuk betisnya yang bagai bunting padi dan
pehanya yang bagai pauh dimayang itu.Tubuhnya yang mula kesejukan itu sudah menggeletar.
Haron menelan liur berulangkali. Anak matanya mula memerah menahan
rasa hati.
“Dina, sudah-sudahlah buat kerja tu. Badan kamu dah menggigil sejuk
tu. Pergilah kamu tukar baju dulu,” ujar Haron mengumpan Irdina keluar dari
bilik air.
Irdina mengangguk. Dia melangkah keluar dari bilik air. Saat
berpapasan dengan Haron, Irdina menunduk hormat. Namun belum sempat kakinya
melangkah lagi, kain basahan yang menutup kepalanya disingkap lembut.
“Rambut Dina cantik kenapa tutup? Malu dengan pak cik?” soal Haron
lembut.
Irdina memeluk tubuh. Dia menyandar tubuh ke dinding. Otaknya ligat
berfikir. Jika orang tua itu memerangkapnya di dalam bilik, memang tubuhnya
akan jadi habuan orang tua itu malam itu.
‘Ya
ALLAH, lindungilah. Hanya Kau sebaik-baik Penolong.’
“Pak cik nak buat apa ni? Tolonglah jangan apa-apakan Dina. Pak cik
dah macam ayah Dina. Kasihanilah Dina. Tolonglah…,” rayu Irdina.
Air matanya merembes. Dia mati akal. Haron senyum simpul.
“Eh, dulu bolehlah kau action
mengugut nak report pada mak cik kau.
Sekarang, mak cik kau tak ada di rumah. Tak ada sesiapa yang dapat tolong kau
kali ni, haha,” ujar Haron lagi.
Irdina berlari ke tengah rumah. Dia mencapai kusyen, lalu dibalingkan
pada Haron. Haron ketawa sambil langkahnya makin ligat mendekati Irdina.
“Haha…Mana kau nak lari. Kau takkan terlepas kali ni Dina,”ujar
Haron lagi.
Makin seronok Haron dengan adegan kejar-mengejar begitu. Irdina
berlari nak menaiki tangga ke tingkat atas, namun Haron lebih pantas menarik
lengannya. Dia tergelincir jatuh ke lantai. Betisnya sedikit tersingkap.
Melihatkan betis putih bersih itu, Haron semakin galak. Dia memegang kedua
belah tangan Irdina.
“Jangan pak cikk. Tolonggg… Tolongg…,” ucap Irdina
tercungap-cungap.
Tiba-tiba dia teringatkan pesanan ustazah Seri.
“Jangan
berhenti berharap, kerana ALLAH tak pernah berhenti mengingatkan, rahmat dan
kasih sayang-Nya itu hanya untuk hamba-Nya yang bersabar tatkala diuji. Jangan
merasa seorang diri, kerana ALLAH itu dekat dengan kita. ALLAH itu lebih dari
cukup!”
‘Ya
ALLAH bantulah aku. Lindungi aku.’
“Haha… Mana lagi kau nak lari. Kau takkan dapat lari. Sesiapa pun
takkan dapat tolong kau kali ni,” ujar Haron lagi.
“Ya ALLAH, bantulah aku,” ucap Irdina dengan air mata bercucuran.
Serentak itu Irdina menendang tubuh Haron jatuh ke lantai. Irdina
bangun berlari ke rak buku di sebelah pintu dapur. Terasa kakinya disentap, dia
sempat mencapai sebuah buku tebal di rak buku. Buku tebal itu dihentakkan ke
kepala Haron. Haron menggelupur di lantai. Irdina terpana. Rupanya buku tebal
itu Al-Quran tafsir pemberian ustazah Seri. Memang dia terlupa, dia yang
letakkan Al-Quran itu di rak itu tengahari tadi.
Serentak itu guruh berdentum di luar rumah. Sebelum Haron pulih,
dia perlu cepat-cepat melarikan diri. Terus Irdina keluar rumah melalui pintu
belakang. Sehelai tudungnya di ampaian ditarik menutupi kepala. Irdina memeluk
tafsir Al-Quran itu ke dada. Dalam hujan renyai, Irdina nekad meninggalkan
rumah batu dua tingkat itu demi maruah dirinya.
Haron yang sudah tersedar segera bangun. Irdina tidak boleh
terlepas kali ni. Melihat samar-samar kelibat Irdina berlari ke tepi pantai,
Haron terus mengejarnya.
Menyedari Haron sedang mengejar, Irdina lari lagi. Sepanjang jalan
kawasan itu memang gelap. Seketika dia melangkah ke perkarangan rumah Hilda.
Namun hujan lebat menenggelamkan suaranya, sedangkan Haron sudah semakin
hampir. Dalam cuaca maghrib yang sudah semakin gelap Irdina hanya bertawakal
melangkah.
Irdina masuk ke perkarangan Mawar Putih Resort. Dia menghampiri
satu rumah tumpangan yang tidak berkunci. Setelah memastikan tiada sesiapa,
Irdina terus masuk ke dalam rumah itu dan menguncinya dari dalam. Dia menekup
mulut bila ternampak kelibat Haron kelihatan meninjau-ninjau di sekitar tempat
itu.
‘Ya
ALLAH, bantulah hamba-MU yang lemah ini. Selamatkan aku.’
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada
bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…