“Mama, Yani nak minta sesuatu, agak-agak boleh tak?” soal Iryani
sambil mengurut bahu Rosmah.
Rosmah tersenyum. “Hmm...ada apa ni sayang?” soal Rosmah merasa
pelik.
“Mama, kat sekolah ramai kawan-kawan dan guru-guru sibuk tanya
pasal Dina pada Yani. Yani malaslah nak jawab. Dah penat dah Yani bohong cakap
Dina sakit. Hmm…apa kata mama benarkan Dina ke sekolah? Kerja-kerja kat rumah
ni, nanti mama boleh suruh Dina bereskan bila Dina balik dari sekolah,” ujar
Iryani.
Rosmah menarik nafas panjang.
“Hmm…sebenarnya guru besar dan guru kelas Yani pun ada callmama,
tanyakan Dina. Mama pun dah malas nak berdalih lagi. Elok jugak biar Dina ke
sekolah. Guru kelas Yani cakap Dina pelajar pandai, betul ke?” soal Rosmah.
“Hmm…Dina tu pandai lebih sikit aje dari Yani, mama. Sebab Dina tu
kan suka membaca.” Dia akui Irdina memang suka membaca kerana ke mana-mana saja
dia pergi, pasti ada buku pelajaran yang dikilik di tangan.
“Hmm…mama tahu sangat anak mama ni tak suka membaca. Kamu tu suka
menonton drama Korea aje tiap-tiap hari. Kan lebih elok kamu banyak membaca?
Biar lebih pandai dari Dina tu,” ujar Rosmah lagi.
Iryani mengurut bahu Rosmah lagi.
“Hmm…ya la mama. Nanti dah dekat SPM nanti Yani belajarlah.
Sekarang Yani nak enjoy dulu. Hmm…mama,
macam mana? Boleh tak Dina ke sekolah? Err…mama takkan berhentikan sekolah Dina
kan?” soal Iryani lagi meminta
kepastian.
“Hmm…Dina pelajar pandai, mama takkan berhentikan sekolah Dina
hingga Dina SPM hujung tahun ni,” ujar Rosmah lagi.
Jauh di sudut hati Rosmah, masih terbit rasa amanahnya terhadap
Irdina. Bahkan wang dan harta yang ditemui di sisi Irdina turut diambil dengan
rasa amanah. Bohonglah dia jika tidak punya perasaan pada Irdina sepanjang dia
membesarkan Irdina. Bahkan Irdina menjadi pengubat hatinya yang berduka selama
lebih lima tahun tidak menimang cahaya mata. Irdina bagai satu rahmat dari
ALLAH untuk dia dan suaminya. Tatkala menjaga Irdina, dua bulan kemudian dia
disahkan mengandung. Namun setelah melahirkan Iryani, dia sudah tidak boleh
mengandung lagi kerana mengidap kanser serviks. Rahimnya telah dibuang. Dengan
sebab itu dia sudah tidak boleh mengandung. Lalu Haron menjadikan asbab itu
untuk bernikah lagi.
Dengan wang yang ditemui itulah Rosmah membesarkan Irdina. Wang itu
juga digunakan membiayai persekolahan Irdina dan rawatan sakitnya. Irdina sejak
kecil mengidap sakit lelah. Namun setelah Irdina dan Iryani sama-sama membesar
berusia tujuh tahun, kasih sayangnya pada Irdina sudah bertukar menjadi benci
kononnya Irdina pernah melukakan jari Iryani sehingga berdarah. Pisau di tangan
Irdina buktinya. Malah Irdina pernah jatuhkan Iryani dari basikal sewaktu
pulang dari sekolah sehingga lutut Iryani pecah dan berdarah. Gara-gara
kemalangan itu, Iryani ditahan selama seminggu di hospital dan menerima
beberapa jahitan pada lukanya.
Iryani pula sering mengadu Irdina selalu memukulnya. Lebam-lebam di
lengan dan pehanya sebagai bukti. Teruklah tangan dan kaki Irdina diketam dan
dicubit Rosmah sehingga kaki dan tangan Irdina lebam-lebam. Bermula saat itu
setiap malam Irdina seringkali lena bertemankan air mata. Namun Irdina tidak
mengambil hati kerana dia sayangkan Rosmah. Walaupun segala kemalangan yang
menimpa Iryani sewaktu kecil dulu semuanya angkara Iryani sendiri, Irdina tidak
pernah membuka mulut memberitahu Rosmah. Ini kerana Irdina sayangkan Iryani lebih
dari rasa benci walaupun sebenarnya mereka bukanlah adik-beradik kandung.
Mendengar kata-kata Rosmah pada Iryani itu membuatkan Irdina
tersenyum mengucap syukur. Tiba-tiba saja ada air mata yang gugur bercucuran.
Selama ini dia berdoa semoga ALLAH lembutkan hati Rosmah untuk benarkan dia
kembali ke sekolah. Hanya ilmu saja harta yang tidak akan hilang selamanya.
Bahkan ilmu itu yang akan menjaga dirinya di dunia dan di akhirat nanti.
Pintu dikuak kasar dari luar bilik. Terpacul Iryani memeluk tubuh.
“Aku rasa kau dah dengar semuanya yang mama cakap kan? Kau tunggu
apa lagi? Cepatlah siapkan kerja sekolah aku yang bertimbun tu,”desak Iryani
lagi.
Irdina mengesat air matanya.
“Terima kasih Yani. Kakak akan siapkan kerja sekolah Yani ni ya,”
ujar Irdina gembira.
Sepanjang hari itu Irdina berhempas pulas menyiapkan kerja sekolah
Iryani sehinggakan Rosmah dan Iryani dah selesai makan malam pun, Irdina masih
di dalam biliknya.
“Mana pula Dina ni Yani? Dinaa… Dinaa…,” pekik Rosmah lagi.
Iryani mengangkat bahu sambil menjilat jari. Terkocoh-kacah Irdina
ke dapur mendapatkan Rosmah.
“Ya mak cik. Maaf mak cik, Dina tertidur tadi,” ujar Dina
berbohong.
Sejak distatuskan anak pungut, panggilan mama bertukar kepada mak
cik. Mendengar alasan itu membuatkan Rosmah menyinga lagi. Jarinya ditujal
kasar ke dahi Irdina.
“Ish, geramnya aku. Waktu maghrib macam ni pun kau boleh membuta.
Dasar pemalas! Kau cuci semua pinggan mangkuk ni dan kemas dapur. Tak siap sebelum
jam 10 malam ni, siaplah kau aku kerjakan,” ancam Rosmah lagi.
“Baik mak cik,” ujar Irdina seraya mengangkat pinggan mangkuk ke
sinki.
Rosmah berlalu ke ruang tamu untuk berehat. Melihat mamanya
berlalu, Iryani mendekati Irdina.
“Ingat tau Dina! Kau mesti siapkan kerja sekolah aku malam ni
jugak! Jangan tidur selagi kau tak siapkan semuanya. Faham kan?” ujar Iryani
mengingatkan dengan senyum sinis.
Irdina menganggukkan kepala. Cepat-cepat dia mencuci pinggan
mangkuk itu. Sebentar lagi dia akan sambung siapkan kerja sekolah Iryani pula.
Bila dah biasa dengan bermacam kerja berat begitu, penat dan lelah menjadi
sebati dalam hidupnya. Dapat ke sekolah semula itulah menjadi motivasi pada
dirinya untuk terus bertahan walaupun dia tidak tidur semalaman. Namun dalam
kepayahan Irdina masih mampu tersenyum mengucap syukur. Dia mahu menjadi
setegar air sungai. Tetap mengalir walaupun di celahan batu tajam.
‘Ya Allah, pinjamkan kekuatan padaku untuk terus sabar mengharungi
segala ujian dan dugaan-MU. Andai kepayahan yang perlu kurintangi ini baik di
sisi-MU, maka aku redha…’
Petang itu seusai kelas tuisyen subjek Matematik di sekolah, Irdina
nak terus pulang ke rumah. Dia tahu banyak kerja rumah yang perlu dibereskan. Pasti
banyak suruhannya bila kaki Irdina menjejak ke rumah batu dua tingkat itu
nanti. Jadi, sebelum pulang, dia pastikan sebahagian besar kerja sekolahnya
sudahpun siap. Tak campur lagi dengan kerja sekolah Iryani yang perlu dibereskannya
malam nanti, sedangkan Iryani hanya bersenang-lenang menonton TV.
“Dinaa…psss… Sinilah kejap.”
Irdina mengalih pada empunya suara. Siapa lagi kalau bukan Iryani.
“Ada apa lagi ni Yani? Tak cukup lagi ke duit yang kakak dah bagi
Yani tengahari tadi?” ujar Irdina lagi.
Setelah memastikan tiada sesiapa di sekitar kelas itu, Iryani terus
menyerahkan buku-buku sekolahnya kepada Irdina. Irdina mencebik, sudah faham
sangat dia. Pasti Iryani mahu keluar lagi. Kebelakangan ini kerap juga dia
melihat Iryani membonceng motosikal Shahrul. Entah ke mana mereka pergi dia pun
tidak tahu.
“Yani, petang semalam kan Yani dah keluar. Kenapa hari ni nak
keluar lagi?” soal Irdina risau.
“Suka hati akulah nak keluar bila-bila pun. Kau tu jangan sibuk
jaga tepi kain orang. Cepat-cepat balik rumah. Banyak kerja rumah yang kau kena
bereskan. Pasal hal aku kau jangan sibuk. Ni buku-buku aku ni, kau bawa balik.
Macam biasa kau siapkan semua kerja sekolah aku tu sebelum pagi esok. Kalau
mama tanya, kau bagi alasan biasa, ok?” Iryani angkat kening gaya Ziana Zain.
“Yani keluar berdua aje dengan Shahrul, kakak risau la. Kita pun
tak kenal Shahrul tu macam mana orangnya. Entah mamat motor mana tu.
Entah-entah dia ambik dadah ke? Senang-senang aje Yani bonceng motorsikal dia
ke mana-mana. Nanti kalau Shahrul tu buat apa-apa pada Yani, macam mana?” duga
Irdina lagi.
“Haha… Sejak bila kau ambil berat pasal aku ni? Nak jadi kakak aku
konon. Dah la… Simpan aje nasihat suci murni kau tu. Kau pergilah balik. Aku
keluar berseronok aje. Dah Shahrul minat kat aku, aku tumpang la enjoy
dengan dia. Lagipun bukan aku yang kena keluar duit belanja. Kami bukan buat
apa-apa pun. Sesaja nak enjoy. Makan-makan, minum-minum. Jangan jeles!
Ok, aku pergi dulu,” ujar Iryani sambil mengenyitkan mata seraya berlalu pergi.
Irdina mengerling beg plastik di tangan Iryani. Beg plastik itu
mengandungi baju salin Iryani. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.
Rupa-rupanya dalam diam ada seseorang yang memerhatikan mereka.
“Ehm…”
Irdina mengalih ke belakang kelas. Terpacul Hilda dengan senyuman.
“Ida rupanya. Aku ingatkan siapa. Ida tak balik lagi?” soal Irdina
terus berdiri mengemas buku-bukunya.
Hilda menggeleng. “Aku tunggu kau, Dina. Nak balik sama-sama. Papa
aku dah belikan basikal untuk aku pergi dan balik sekolah. Jadi lepas ni
dapatlah aku temankan kau Dina,” ujar Hilda riang.
“Betul ke? Alhamdulillah, dapatlah kau temankan aku pergi dan balik
sekolah,” ujar Irdina dengan senang hati.
Irdina menggalas beg dan berjalan beriringan dengan Hilda.
“Dina, kau ok?” soal Hilda.
“Biasalah. Yani buat hal lagi,” ujar Irdina dengan satu keluhan.
“Dia keluar dengan Shahrul lagi ke?” soal Hilda pula.
“Ha’ah Ida. Aku dah tak tahu nak cakap macam mana lagi pada Yani.
Kalau jadi apa-apa, biarlah dia tanggung sendiri. Bukan aku tak larang. Bila
aku buka mulut dia kata aku sibuk jaga tepi kain baju dia. Mentang-mentanglah
dia anak mak cik Rosmah. Last-last aku jugak yang kena menjawab untuk
dia,” ujar Irdina.
“Aku tabik la kat kau Dina. Teruk-teruk kau selalu kena buat kerja
rumah tapi masih boleh bersabar. Kalau aku, dah lama aku cabut lari,” ujar
Hilda.
“Hmm…nak buat macam mana. Aku memang tak ada keluarga lain. Biarlah
aku terus bersabar, namun sabar aku pun ada hadnya. Tunggulah sehingga aku habis
SPM. Mungkin waktu tu aku boleh lari dari rumah kot, hehe...,” ujar Irdina bergurau.
“Hmm…ya la, Dina. Jomlah balik. Nanti kau lambat sampai rumah, kang
mengamuk lagi mak cik Rosmah. Cepatlah kau pergi ambil bekas kuih kat kantin
tu. Aku tunggu kat bangsal basikal ya,” ujar Hilda.
Hilda melangkah ke bangsal basikal manakala Irdina bergegas ke
kantin sekolah. Ketika Irdina dan Hilda mengayuh basikal beriringan untuk
pulang, tiba-tiba jalan mereka dipintas seseorang.
“Stopp…
Stopp… Kejap… Kejap… Saya nak bagi ni je.
Baca, jangan tak baca!”
Sepucuk surat dilayangkan masuk ke dalam raga basikal Irdina dan si
pemberi surat mengayuh basikalnya laju ke hadapan sambil melambaikan tangan.
Irdina dan Hilda saling memandang. Hilda sudah tersenyum-senyum.
“Wahh…ada peminat nampaknya. Siap bagi surat lagi. Faris tu budak
pandai Kelas Tingkatan lima Cemerlang. Student top sekolah tu. Kau pulak
budak pandai Kelas Tingkatan lima Gemilang. Padanlah kau dua orang ni,” ujar
Hilda sengaja mengusik.
Irdina tidak selesa dengan kata-kata Hilda. Dia memandang kiri dan
kanan jalan. Mujur tiada sesiapa di situ. Bimbang hal itu dirakam anak mata
Iryani yang sudah seperti CCTV yang mengekori ke mana saja dia pergi.
“Apa kenalah si Faris ni nak bersurat-surat. Tak naklah aku layan.
Waktu sekarang ni waktu belajar. Bukan waktu melayan perasaan. Apa orang kata,
cinta monyet?” ujar Irdina sambil membelek-belek surat itu.
Walaupun Irdina pernah menerima mawar putih, lampu basikal dan
kaset pemberian Faris, belum tentu lagi dia mahu mengikat sebarang perhubungan
dengan lelaki itu.
“Alaa… Kau ni Dina. Kalau aku, aku suka tau dapat surat.
Sekurang-kurangnya kau bacalah apa isi hati Faris tu. Mesti dia tulis dia minat
kat kau tu,” ujar Hilda lagi.
“Hish, tak naklah aku surat tu. Aku nak fokus pelajaran. Aku tak
nak diganggu. Lebih baik aku buang aje surat ni. Tak naklah aku bagi apa-apa
harapan pada dia,” ujar Irdina lagi.
Terus surat itu dilayangkan ke dalam semak di tepi jalan. Hilda memandang
hening surat itu mendarat ke dalam
semak.
“Alaa… Tak payahlah pedulikan surat tu. Jomlah balik. Kalau mak cik
Rosmah jumpa surat tu, habislah aku kena cili. Lebih baik aku tak buat salah,”
ujar Irdina lagi lantas kembali mengayuh basikal.
Dia perlu ke warung Mak Leha dan Pak Diman pula. Sungguhpun begitu,
Irdina tidak pernah pula menceritakan tentang sepuluh batang mawar putih yang
diterima dari Faris sebelum ini. Sejak hari ke sepuluh itu dia sudah tidak lagi
menerima batang mawar seperti hari-hari sebelum ini. Cuma kali ni Faris berikan
surat pula.
‘Faris, saya tak nak beri harapan kosong pada awak. Saya mahu
berjaya dalam pelajaran. Ilmu saja teman saya. Saya dah terima sepuluh batang
mawar dulu. Jadi untuk apa saya perlu terima surat awak? Jika hari ini saya
terima surat itu, saya takut saya tak mampu nak terima hati awak kemudian hari
nanti. Lebih baik saya menolak sekarang,
jadi tiada siapa yang akan terluka. Maafkan saya, Indra Faris. Bukan masanya
lagi. Titik.’
Hilda yang masih terpaku di tepi jalan memandang lama surat itu.
Melihat Irdina sudah jauh, cepat-cepat dia mengambil surat itu lalu disorokkan
ke celah buku teks Matematiknya. Kemudian Hilda pun bergegas mengayuh basikal
beriringan dengan Irdina. Dalam hati Hilda tak sabar-sabar nak baca surat itu.
‘Kalau Dina tak nak layan surat Faris, apa salahnya kalau aku yang
layan? Dina tak minat Faris, tapi aku minat.’
Dengan detikan itu Hilda mengulum senyuman.
Belum lagi Irdina menyorong masuk basikal, pintu belakang rumah
batu dua tingkat itu sudahpun terbuka. Tepat tekaannya. Rosmah sudah tercegat di
situ. Irdina dapat meneka, pasti Rosmah sudah menyediakan bertimbun kerja rumah
buat dirinya. Dia memberi salam, menyalami Rosmah dan bergegas ingin masuk ke
dalam rumah. Namun cubitan di pinggang membuatkan Irdina mematungkan diri di
hadapan Rosmah.
“Petang baru balik? Tak tahu ke banyak kerja kat rumah ni? Berapa
kali aku nak ingatkan kau? Lepas sekolah terus balik. Tak payah pergi merewang
ke mana-mana. Kira baguslah aku benarkan kau ke sekolah semula. Jangan hingga
aku berhentikan sekolah kau dan jadikan kau orang gaji aku seumur hidup!” ujar
Rosmah sambil mencubit-cubit tubuh Irdina.
“Aduhh… Mak cik, ampun mak cik. Sakitt.. Minta maaf mak cik. Hari
ni ada kelas tuisyen sampai petang. Lepas habis kelas, Dina pergi ambil
bekas-bekas kuih dan terus Dina pulang. Dina tak pergi ke mana-mana pun.
Aduhhh… Ampun mak cik. Dina sakitt…,” ujar Irdina lagi meraung-raung.
“Ohh…pandai menjawab ya. Sini kau. Sinii… Lain kali habis kelas
pagi terus balik. Tak payah pergi kelas tuisyen tu. Balik buat kerja rumah ni.
Kau ingat kau boleh duduk makan, tidur free kat rumah aku ni? Banyak
cantik muka kau. Dah la pak cik kau dah nikah lagi satu. Ditinggalnya aku macam
ni. Mesti kau suka kan tengok aku susah macam ni kan? Lain kali, aku cakap,
jangan nak menjawab. Kau dengar tak? Ishh…geramnya aku. Aku renyuk-renyuk kang
budak nii…,” ujar Rosmah sambil menampar-nampar wajah Irdina dan memukul-mukul
kaki dan lengannya.
“Ampun mak cik. Dina tak buat dah. Dina tak pergi tuisyen dah.
Ampun mak cik. Sakit mak cikk. Sakitt…,” jerit Irdina sekuat hati.
“Tahu pun sakit. Puas hati akuu… Haa…dah, pergi masuk dapur!
Bereskan semua kerja-kerja kat dapur tu. Jangan kau makan selagi belum siap
semua kerja tu,” pesan Rosmah lagi lantas berlalu ke biliknya dengan hati yang
berbahang.
Irdina menyandarkan tubuh ke dinding rumah. Dia mengusap lengan dan
kakinya yang kebiruan akibat saban hari dicubit dan dipukul Rosmah. Air matanya
menitis berjurai-jurai.
‘Ya ALLAH…kuatkan aku...’
Terhenjut-henjut Irdina masuk ke dalam bilik. Ditanggalkan tudung
sekolahnya. Seketika dia merenung lebam-lebam di tubuhnya. Sengal-sengal
semakin terasa berbisa. Saban hari dia hanya menyapu lebam-lebam itu dengan
minyak gamat saja. Sehingga rakan-rakan di sekolah turut bertanyakan padanya
apabila mereka tercium bau minyak gamat. Namun dihelahkan yang dia terjatuh dan
lebam-lebam biasa saja.
Irdina menukar baju, lantas bergegas ke dapur. Seperti biasa, diangkat
pinggan mangkuk ke sinki, baju-baju kotor pula dikumpulkan ke dalam mesin
basuh. Petang nanti dia perlu ampaikan baju-baju itu. Menjelang malam, dia
perlu memasak makan malam dan seterusnya membereskan kerja sekolah Iryani pula.
Semuanya dilakukan dengan ketabahan dan kesabaran.
Dari dapur, Irdina mendengar raungan tangisan Rosmah. Dia tahu
Rosmah masih bersedih kerana Haron menikah lagi. Sepanjang minggu ini Haron
tiada di rumah kerana berada di rumah isteri barunya. Disebabkan hal itu Rosmah
tertekan dan melepaskan segala kemarahannya pada Irdina. Namun keadaan itu
lebih baik bagi Irdina kerana ketiadaan Haron itu akan lebih memberikan
keselesaan kepada dirinya.
Setiap kali Haron di rumah, dia ketakutan. Takut tiba saatnya dia
tidak mampu lagi menjaga dirinya dari nafsu gila bapa angkatnya itu. Bukan
sekali dua Haron cuba menodainya ketika ketiadaan Rosmah dan Iryani. Namun
setiapkali Haron memecah masuk ke biliknya, Irdina juga mengancam mahu
memberitahu hal itu pada Rosmah. Kerana itulah Haron begitu bencikannya. Memang
perkara itu Irdina rahsiakan dari pengetahuan sesiapa pun. Hanya doa pada ALLAH
sebagai pelindung.
“Dina, kenapa Yani tak balik lagi?” soal Rosmah yang tiba-tiba saja
muncul di muka pintu dapur.
Irdina mengurut dada terkejut dengan sapaan Rosmah.
“Err…Yani cakap dia ada studygroup di rumah kawannya, mak
cik,” ujar Irdina terketar-ketar.
Masuk kali ini sudah lebih dari tiga kali dia terpaksa berbohong
dengan Rosmah. Itulah yang dipinta Iryani kepadanya.
“Oh…tuisyen di rumah Amiza ya?” soal Rosmah lagi.
“Minta maaf mak cik. Dina tak tahu Yani ke rumah kawannya yang mana
satu. Yani tak ada cakap. Dia hanya cakap ada studygroup di rumah
kawannya saja,” ujar Irdina lagi.
Mendengar kata-kata Irdina, Rosmah pun berlalu. Irdina memejamkan
mata kelegaan.
‘Nasib baik mak cik tak banyak tanya. Kalau tidak, jenuh jugak aku
nak menjawabnya. Nasib kaulah Yani.’
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada
bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…