Teksi yang dinaiki akhirnya tiba di hadapan Villa Mawar Putih.
Ketika kaki Irdina menjejak ke halaman villa itu, anak matanya tidak berkedip
merenung taman mawar putih itu. Faris tersenyum. Serta-merta kenangan sepuluh
batang mawar putih lalu terimbas di minda.
“Kalau awak nak tahu, sepuluh batang mawar putih yang saya bagi
awak dulu, saya petik dari pasu papa. Tapi tu dulu sewaktu kami tinggal di
Langkawi. Bila dah berpindah ke sini, papa tanam pokok-pokok mawar ni di tanah.
Jadilah taman mawar putih macam ini. Sejak itu rumah ni diletakkan nama Villa
Mawar Putih. Sebab papa sangat sukakan mawar putih. Juga lambang ingatan cinta
papa pada Mama Haryati,” ujar Faris lagi.
“Malam tadi awak cakap kat rumah ni hanya ada papa awak, mama Sarah
awak dan Mak Siti pembantu rumah. Siapa pula Mama Haryati?” soal Irdina
teragak-agak.
“Mama Haryati, isteri pertama papa. Hilang tanpa dapat dikesan.
Namun cinta papa pada mama Haryati tak pernah pudar. Mama Haryati sangat
sukakan mawar putih. Sebab itulah papa tanam dan buatkan taman mawar putih ni
sebagai ingatan, kasih dan cinta papa buat mama Haryati,” ujar Faris lagi.
Irdina kurang jelas, namun dianggukkan juga kepalanya. Faris
melangkah ke pintu belakang rumah. Irdina membuntutinya. Teringat pula dia pada
pintu belakang rumah batu dua tingkat keluarga angkatnya dulu. Memang dia selalu
masuk rumah itu ikut pintu belakang saja.
“Kita masuk pintu belakang aje. Lagipun sekarang baru jam 9 pagi.
Biasanya waktu sekarang papa dan Mama Sarah dah keluar pergi kerja. Mak Siti
pula mesti dah keluar ke pasar. Jomlah masuk,” ujar Faris lagi.
Irdina mengangguk lagi. Terpegun dia melihat dapur villa itu yang
sungguh kemas dan bersih itu. Memang keluarga itu begitu mementingkan kebersihan.
Tong sampahnya pun bersih. Pasti sampahnya sudah dibuang awal-awal pagi lagi.
Kalau di rumah batu dua tingkat keluarga angkatnya dulu, kerja buang sampah tu
sudahpun menjadi rutin hariannya setiap malam.
Faris membuka pintu sebuah bilik tamu di sebelah bilik Mak Siti.
Bilik itu memang sudah siap dikemas Mak Siti.
“Masuklah. Ini bilik awak. Bilik saya di tingkat atas sana. Bilik
Mak Siti kat sebelah ni aje. Ketuk aje kalau awak nak apa-apa,” ujar Faris
lagi.
Irdina mengangguk. Belum sempat dia melangkah masuk ke bilik itu,
suara seseorang mengejutkan mereka. Saat itu spontan Irdina bersembunyi di
belakang Faris.
“Tuan Muda rupanya. Bila sampai?” soal Mak Siti.
Di tangannya terjinjing raga penuh dengan sayur, barang dapur dan
bahan-bahan mentah. Memang Mak Siti baru pulang dari pasar. Mak Siti mengalih
pandang pada Irdina yang kelihatan takut-takut. Mak Siti tersenyum.
“Eh, siapa tu Tuan Muda?”
Faris segan-segan dengan Mak Siti.
“Err… Mak Siti, mulai hari ni, Cinderella akan jadi pembantu Mak
Siti,” ujar Faris.
Irdina pelik. Cinderella? Serta-merta Irdina dan Mak Siti saling
berpandangan. Irdina menghulur tangan bersalam dengan Mak Siti.
“Oh, jadi inilah Cindralela yang Tuan Muda selalu ceritakan tu ya.
Cantik orangnya,” ujar Mak Siti lagi.
Kali ini sebutannya memang tidak dibaiki lagi. Tidak lepas-lepas
Mak Siti memandang Irdina atas dan bawah. Sudah terpikat dia dengan kesantunan
gadis itu. Anak mata Irdina pula mencerlung ke wajah Faris, penuh tanda tanya.
“Cindralela?” ucap Irdina perlahan.
“Ya Cinderella. Mak Siti, nanti Mak Siti tolong terangkan segala
kerja rumah pada Cinderella ya,” ujar Faris lagi.
Mak Siti menggaru kepalanya. Hairan bin pelik dia.
“Macam mana Tuan Muda boleh bawa balik Cindralela ke sini. Siap
jadikan dia pembantu Mak Siti lagi. Tuan Rizman dan Puan Sarah dah tahu ke?” soal
Mak Siti lagi.
“Hm…tak ada apa-apa, cuma Cinderella ni ha…ditinggalkan kereta buah
labunya gara-gara mencari kasutnya yang hilang di tepi pantai,” ujar Faris
berseloroh sambil tersenyum-senyum memandang Irdina.
Irdina sedikit tergelak melihat muka Mak Siti yang begitu serius
memikirkan kata-kata gurauan Faris itu.
‘Ish…nakal jugak Faris ni.’
Mak Siti sudah mula memicitkan kepalanya.
“Buah labu? Kasut hilang? Hm… Apa-apalah Tuan Muda ni, buat pening
kepala Mak Siti aje la. Hishh..,” keluh Mak Siti lagi.
Faris ketawa.
“Mak Siti, nantilah saya beritahu papa dan mama. Mulai hari ini,
Cinderella akan bekerja di sini dan dia akan duduk di bilik ini ya Mak Siti.
Cinderella, apa-apa hal, bilik Mak Siti kat sebelah ni aje tau,” ujar Faris
sekali lagi memandang wajah Irdina.
Irdina mengangguk. “Terima kasih.. Err..Tuan Muda,” ujar Irdina
kekok menggunakan panggilan yang digunakan Mak Siti pada Faris.
“Tuan Muda jangan risau. Tahulah Mak Siti jaga cik Cindralela yang
cantik manis ni. Cindralela masuk berkemas dulu apa yang patut ya. Lepas tu Cindralela
datang ke dapur. Nanti Mak Siti terangkan kerja rumah di sini,” ujar Mak Siti
lagi.
Irdina mengangguk faham. Segaris senyuman nipis dihadiahkan pada
Mak Siti sebelum dia menutup pintu bilik itu. Sempat juga dia mengerling
kelibat Faris yang sedang menaiki tangga ke tingkat atas. Dalam diam dia
bersyukur dan merasa tenang. Rumah inilah kehidupan baru buat dirinya kini.
‘Terima kasih Faris.’
Rizman dan Sarah baru selesai menjamah makanan. Rizman yang paling
banyak menambah nasi. Sudah lama dia tidak menjamah masakan itu. Ternyata lauk
itu mengembalikan ingatannya pada Haryati. Haryati juga sangat pandai memasak
lauk kegemarannya itu. Biasanya masakan Mak Siti tidaklah sesedap masakan yang
ini.
“Mak Siti, lauk ayam masak merah ni sedap betul, terangkat selera
saya. Ni yang buat saya tak jemu nak menambah nasi ni,” ujar Rizman sudah siap
menyinsing lengan.
“Ya la Mak Siti. Pecah minyaknya lain dari yang lain. Sedap juga
baunya. Resepi baru ke?” soal Sarah pula.
Tersipu-sipu Mak Siti tersenyum.
“Tuan, lauk hari ini bukan Mak Siti yang masak, tapi Cindralela
dari Langkawi yang masakkan,” ujar Mak Siti lagi.
Rizman dan Sarah saling berpandangan.
“Cindralela dari Langkawi?” ucap Rizman.
“Siapa tu Mak Siti?” soal Sarah pula.
“Hm…yang itu Tuan dan Puan kena tanya dengan Tuan Muda. Tuan Muda
yang bawa Cik Cindralela balik pagi tadi. Katanya Cik Cindrarela terlepas
kereta labu kerana kasutnya hilang. Mak Siti pun tak faham apa maksudnya tu,” ucap
Mak Siti lagi.
Sekali lagi Rizman dan Sarah saling memandang. Kedua-duanya
mengangkat bahu.
“Faris dah pulang ke? La… Kenapa Mak Siti tak bagitahu awal-awal?
Faris tak makan sama ke? Tak nampak pun batang hidungnya ni,” ujar Rizman lagi.
“Katanya dia makan lambat. Nak rehat. Letih agaknya dia Tuan,” ujar
Mak Siti lagi.
“Hm… Mana budak Cindralela tu Mak Siti? Panggillah dia ke sini,”
ujar Sarah pula.
Mak Siti menggangguk.
“Sekejap ya, saya panggil dia,” ujar Mak Siti segera berlalu ke
dapur.
Belum sempat Mak Siti kembali, muncul Faris. Tangan mama dan
papanya dikucup.
“Is, siapa Cindralela yang Mak Siti cakap tu?” soal Sarah.
Tersengeh Faris mendengar soalan Mama Sarahnya itu.
“Bukan Cindralela la mama, tapi Cinderella. Dia kawan Is waktu di
sekolah dulu. Tapi sebab hidup susah, dia tak dapat melanjutkan pelajaran dan
hanya duduk di rumah. Di rumah dia tinggal dengan keluarga angkat yang melayannya
macam orang gaji. Dia kena halau, kebetulan berjumpa dengan Is waktu Is ke
Langkawi. Jadi Is bawa dia balik rumah. Boleh kan dia bekerja kat sini? Mak
Siti pun ada pembantu,” ujar Faris lagi.
“Ish Is nih. Kalau ye pun nak bawa dia balik rumah ni, bincanglah
dengan mama dan papa dulu. Is boleh
disabitkan kesalahan melarikan anak dara orang tau kalau suka hati aje nak bawa
dia datang sini. Kalau keluarga angkatnya buat laporan polis, memang kita
bersalah Is,” ujar Sarah risau.
“Tapi, dia ikut Is dengan kerelaan mama. Lagipun keluarga angkatnya
tu memang tak ada pertalian darah langsung dengan dia. Dia pun dah berumur
lebih dari 18 tahun, jadi dia sendiri memang ada hak untuk tentukan arah tuju
hidupnya. Betul tak papa?” soal Faris lagi.
“Hm…kalau dah dia sendiri yang nak ikut Is balik dan kerja kat
rumah ni, papa rasa tak ada masalah,” ujar Rizman pula.
Perbualan mereka terhenti bila Mak Siti dan Irdina keluar menemui
Rizman dan Sarah.
“Inilah Cindralela kawan pada Tuan Muda,” kata Mak Siti.
Tanpa mengangkat wajah, Irdina terus bersalam dengan Sarah. Saat
itu anak mata Rizman tidak berkalih ke tempat lain. Wajah Irdina ditatapnya dalam.
Sarah mula tidak senang dengan tingkah Rizman itu. Memang sejak pertemuan
mereka dan Irdina beberapa tahun lalu ketika Irdina pengsan di tepi jalan,
Rizman tidak putus-putus bercakap tentang Irdina yang wajahnya mirip Haryati.
“Cinderella ni Irdina kan?” soal Rizman. Dia masih mengingati nama
itu.
Serentak itu Irdina mengangkat wajah. Matanya bertatapan dengan
mata Rizman. Entah kenapa ada detikan debar di dadanya saat itu. Memang lelaki
bernama Rizman itu pernah ditemuinya. Lelaki itu dan isterinya yang
menjumpainya pengsan, membawa dia ke hospital dan menghantarnya pulang ke
rumah.
Irdina mengangguk dengan segaris senyuman. Entah kenapa dia merasa
hatinya tenang tatkala menatap wajah lelaki yang dipanggil Mak Siti sebagai
Tuan Rizman itu. Seakan ada perasaan kasih yang menjalar ke hatinya.
“Ya Tuan. Saya Irdina,” ujar Irdina.
Irdina masih ingat pada pak cik dan mak cik?” soal Rizman dengan
senyuman.
Faris hanya mematungkan diri mendengar perbualan Rizman dan Irdina.
Dia sendiri merasa teruja pertama kali melihat papanya tersenyum begitu. Tak
tahu pula dia yang papa dan mamanya pernah bertemu Irdina sebelum ini.
“Mana boleh saya lupa pada tuan dan puan yang menolong saya waktu
itu,” ujar Irdina membalas senyuman Rizman.
“Eh, macam mana kamu boleh dihalau keluarga angkat kamu pula?
Ceritakanlah apa yang berlaku. Insya-ALLAH kami cuba membantu apa yang patut,”
ujar Rizman lagi mahu tahu hal yang sebenar.
“Panjang ceritanya Tuan. Insya-ALLAH saya ceritakan,” ujar Irdina
lagi.
Irdina menceritakan segala-galanya tentang keluarga angkatnya,
tentang layanan mereka terhadapnya dan bagaimana dia boleh melarikan diri dari
rumah itu kerana sikap nafsu binatang bapa angkatnya yang mahu mengambil
kesempatan ke atas dirinya.
“Oh, jadi luka-luka di badan kamu tu sebenarnya bukan sebab kamu
terjatuh, tapi sebab kamu sering dipukul ibu angkat kamu?” soal Sarah lagi.
Walaupun sudah diterangkan Irdina, namun hatinya merasa tidak
senang. Bagaikan dia masih meragui kejujuran Irdina. Irdina mengangguk.
“Kalau macam itu kisahnya, kami sangat berbesar hati untuk kamu
tinggal di sini dan bekerja di sini saja. Mak Siti pun tak kisah kan?” Sarah
memandang Mak Siti.
“Memang saya suka dengan Cik Cindralela ni, cik puan. Bertemanlah
saya di dapur lepas ni. Taklah saya bersendiri aje buat kerja dapur,” ujar Mak
Siti lagi.
Serentak itu Mak Siti terus memeluk Irdina.
“Kenapalah mereka sanggup melayan buruk pada Cik Cindralela yang
cantik manis ni. Alhamdulillah ALLAH jodohkan kamu dengan keluarga ini. Mulai
hari ini, kamu anggaplah Mak Siti macam saudara kamu sendiri ya. Lagipun Mak
Siti pun sebatang kara. Dapat juga mengubat rindu Mak Siti pada arwah anak Mak
Siti yang sudah meninggal dunia lebih 20 tahun lalu. Kalau dia masih hidup,
pasti dia sebaya Cik Cindralela dan Tuan Muda,” ujar Mak Siti sayu.
Mendengar kata-kata Mak Siti, Irdina segera membalas pelukan Mak
Siti. Air matanya merembes.
“Terima kasih Mak Siti. Terima kasih pada Tuan Rizman, Puan Sarah
dan Tuan Muda yang sanggup terima saya bekerja dalam rumah ini,” ujar Irdina
lagi.
Segera wajah Rosmah, Haron dan Iryani terbayang di mindanya. Namun
dia tersenyum sendiri tatkala wajah itu bersilih dengan wajah Mak Siti, Sarah,
Rizman dan wajah Faris. Terdetik persoalan di hatinya, entah bagaimanalah rumah
batu dua tingkat itu sekarang. Namun cepat-cepat dia memadamkan detikan itu
tatkala Mak Siti sudah menarik tangannya ke meja makan, kerana kebiasaannya, Mak
Siti lebih suka makan setelah Rizman dan Sarah selesai makan walaupun kedua
majikannya itu sering saja mengajaknya makan bersama mereka.
Setiap hari Rosmah menanti namun tiada juga berita dari pihak
hospital dan pihak polis berkenaan kehilangan Iryani dari wad. Tubuhnya tidak mempunyai khudrat lagi untuk
melakukan segala kerja rumah.
“Mariah, mana Yani? Kenapa masih tak ada berita tentang Yani? Aku
nak anak akuu... Nak anak akuu.. Yanii… Yanii…,” jerit Rosmah bagai terkena
hysteria.
Kebetulan Haron tiada di rumah beberapa hari ini kerana ada kerja di
luar, jadi itulah masa yang ditunggu-tunggu oleh Mariah untuk menjalankan
misinya yang sudah sekian lama dirancang. Misi mengusir Rosmah dari rumah batu
dua tingkat itu.
“Hey perempuan tua. Kenapa kau tanya aku? Manalah aku tahu ke mana
anak kau menghilang? Entah-entah dia lari dari wad dan pergi ikut jantan. Kalau
kau nak pergi cari dia, pergilah. Pergilah cari anak kesayangan kau tu. Dah
tentu dia tengah berseronok dengan jantan sampai dah lupakan kau kat sini. Kau
duduk kat sini pun buat menyemak rumah aje. Bukan boleh buat kerja rumah pun.
Lebih baik kau berambus dari rumah nii…” ujar Mariah lagi.
Pintu rumah terus dikuak. Rosmah teresak-esak menangis. Namun
tatkala melihat pintu rumah terbuka untuknya, dia cepat-cepat menapak keluar
dari rumah sehelai sepinggang. Hanya bertemankan batang penyapu buruk yang dijadikan
tongkat untuk menghayun langkah. Kakinya masih tidak sembuh-sembuh. Malah luka
di kakinya semakin membengkak dan kebiru-biruan.
Sebaik saja dia melangkah keluar dari rumah itu, pintu pagar pun
segera ditutup dan dikunci. Tahulah dia kini yang Mariah memang sengaja mahu
dia keluar dari rumah itu. Dia menoleh seketika memandang rumah batu dua
tingkat itu. Air matanya berlinang. Rumah itu rumah pusaka peninggalan arwah
ayah untuknya memandangkan dia anak tunggal dalam keluarganya.
Namun setelah berkahwin dengan Haron, nama rumah itu telahpun dipindahkan
atas nama Haron. Tak pernah terlintas di fikirannya Haron mengahwininya hanya
kerana harta. Setelah berkahwin, barulah Rosmah tahu hati budi Haron. Malah
dengan hasutan dan pengaruh Mariah, Haron berubah menjadi seperti lembu yang
dicucuk hidungnya. Apa saja permintaan Mariah, semuanya dituruti. Malah dia
sanggup membuang isteri dan anaknya.
Air matanya berlinang lagi tatkala terbayangkan kemesraan
keluarganya suatu ketika dulu. Sewaktu Irdina juga ada bersama mereka. Hatinya
dipagut sesalan bila terkenangkan Irdina. Dia akhirnya menerima segala yang
menimpanya ini adalah pembalasan ALLAH terhadap apa yang telah dilakukan pada
Irdina. Itulah padahnya berbuat zalim terhadap gadis yang tidak berdosa itu. Mujur
juga dia sempat membawa sedikit wang bersama gelang emas milik Irdina. Wang itu
untuk beli tiket teksi dan feri. Gelang emas itu pula mahu dipulangkan pada
Irdina agar Irdina dapat mencari keluarganya nanti. Dari jauh dia memandang
sayu rumah batu dua tingkat itu.
“Andai berada dalam rumah sendiri terasa berada di neraka, lebih
baik aku tinggalkan saja rumah itu. Satu hari nanti aku akan kembali untuk
menuntutnya,” bisiknya lagi.
Mariah yang sejak tadi mengintai di celahan tingkap tersenyum
menang melihat Rosmah berjalan terencot-encot meninggalkan rumah itu. Malam ini
Haron akan pulang ke rumah. Dia sudahpun merancang untuk memberitahu Haron
bahawa Rosmah sendiri yang meninggalkan rumah itu kerana nak mencari Iryani. Kini
rumah batu dua tingkat ini akan menjadi miliknya dan anak-anak. Sekali lagi
Mariah tersenyum kegembiraan.
Note : Untuk makluman para pembaca
yang budiman, novel Mawar Putih Buatmu akan terbit dan menemui pembaca pada
bulan November 2014 ini.. Nantikan ya…