Bab 6 : Mencari jalan
Jam menunjukkan pukul 6.35 petang. Maknanya sudah lebih sejam Masjid Agung Demak kami tinggalkan.
“Jauh lagi ke Meran?” tanya Nuar yang berkayuh di belakang aku.
“Jauh tak jauh lagilah. Kalau ikut peta ni dalam 10 km lagi, akan sampai ke Kudus. Tapi nak pergi ke Masjid tu aku tak tahu mungkin dalam 5 ke 6 km lagi kot. Sebelum pukul 8 ingat boleh sampai.”
Aku tak tahu berapa lama lagi kami perlu berkayuh. Tempat itu tiada dalam petaku. Kami hanya bergantung pada nama tempat itu sahaja, Kota Kudus. Setengah jam sudah berlalu. Di langit remang kemerahan semakin jelas kelihatan. Menandakan sebentar lagi mentari akan bersembunyi.
“Dah nak gelap ni. Nuar nampaknya kita kena berkayuh waktu malam. Berhati-hati, Jalan agak gelap dan kenderaan banyak.”
Sebenarnya aku tidak gemar berkayuh waktu malam. Waktu malam pandangan terhad, keadaan itu boleh menyebabkan kemalangan. Memang berkayuh waktu malam lebih santai kerana kita tidak tahu jalan dihadapan bagaimana dan kurang penat. Kayuhan malam juga lebih selesa kerana cuacanya yang sejuk dan tidak panas seperti siang hari. Tetapi risikonya 70% lebih merbahaya dari kayuhan waktu siang. Dengan pandangan yang terhad bukan sahaja pada pengayuh tetapi pemandu yang lain. Biasanya pemandu kenderaan seperti kereta dan lori kurang berhati-hati dan ambil berat pada benda di kiri dan kanan bahu jalan. Tumpuan mereka lebih ke arah hadapan jalan.
Jika mereka tidak perasan kita berkayuh di tepi kenderaan, silap-silap kita boleh tergesel. Lebih teruk lagi jika terperosok bawah tayar. Bagi sesetengah pengayuh, mereka suka berkayuh waktu malam tetapi bukan kami.
Bagi aku kayuhan waktu malam bukan sahaja merbahaya tetapi yang lebih penting sebenarnya kita rugi. kenapa aku katakan rugi? Kerana apabila kita melakukan kayuhan basikal matlamat kita adalah untuk menjelajah sesuatu tempat, untuk melihat tempat tersebut. Bila kita berkayuh di waktu malam apa yang boleh kita nampak? Apa gambar yang boleh diambil sebagai kenang-kenangan. Kegelapan membunuh semua pemandangan yang menarik. Anda kehilangan sesuatu yang sangat bermakna dalam kembara anda.
‘Selamat datang ke Kudus.’ aku melihat tulis yang besar itu.
‘Akhirnya sampai juga aku di kudus.’
Jam menunjukkan sudah pukul 8.10 malam. Masjid Menara masih lagi tidak kelihatan. Tenagaku semakin berkurangan. Dalam hati mula terbit rasa menyesal juga. Inilah akibatnya jika melakukan sesuatu tanpa perancangan awal. Aku buka peta, tetapi aku tak tahu di mana kedudukan kami sekarangg.
‘Aduh! Bodohnya aku ini. Kenapalah aku boleh ikut cakap budak tu. Dah elok-elok nak tidur di masjid sana. Tiba-tiba gatal ubah rancangan nak pergi tempat yang tak tahu ni.’ omel aku dengan rasa kecewa.
Sebagai pengembara berbasikal rasa menyesal dan marah seperti itu memang perkara biasa. Bila kita menjangkakan ianya semua akan berakhir dengan mudah, sebenarnya ia tidak semudah itu. Ada sahaja perkara yang berlaku diluar jangka kita. Rasa marah, kecewa, benci dengan kebodohan sendiri adalah perkara biasa bagi seseorang pentouring.
‘Aduh... bodohnya aku. Kebodohan yang tidak boleh diajar. Hanya orang bodoh sahaja membodohkan diri sendiri.’ marah aku pada diri sendiri..
“Nuar! Aku rasa dah sampai tempat tu. Tapi masalahnya mana nak cari masjid tersebut.”
“Mungkin didepan sana kot.” balas Nuar sambil matanya leka melihat lampu-lampu neon.
Kami memperlahankan kayuhan. Jalan semakin lama semakin sesak dengan kenderaan.
‘Manalah agaknya arah masjid tu.’ mataku melilau mencari sebarang papan tanda.
Ketika ini semangatku sudah mulai menurun. Badan terasa penat sekali. Mahu sahaja aku berhenti di tepi jalan. Azamku masih kuat untuk sampai ke Masjid itu. Aku paksakan diri untuk terus mengayuh.
“Macam mana ni Meran... dah dekat pukul 9.00 malam ni. Tempat tu langsung tak nampak lagi.” luah Nuar dengan suara yang lemah.
“Akupun dah tak larat lah Meran, dan penat sangat ni. Kalau susah-susah sangat kita berkhemah aje tepi jalan ni.” Nuar memberi cadangan.
“Tak pe lah kita kayuh ke depan sikit. Tengok macam mana. Jika tak jumpa juga kita cari mana-mana tempat untuk kita bermalam.” kataku memberi cadangan akhir.
“Aku ikut sahaja. Tapi jangan kayuh laju sangat.” kata Nuar dengan wajah tidak bercahaya.
Sudah masuk jam 9.00 malam. Iannya sudah melebihi target asal yang aku tetapkan.Kini aku sudah berada di jalan raya hampir 3 jam lebih. Jika jarak yang diberikan oleh Sido itu benar, sepatutnya kami sudah lama sampai. Aku tak tahu sama ada Sido salah memberi maklumat atau kami telah melalui jalan yang salah. Tiba-tiba aku terlihat satu papan tanda besar yang menunjukkan arah ke Masjid Menara.
‘Ah! akhirnya, ada juga petunjuk’ kataku dalam hati sambil menarik nafas lega.
“Nuar arah sana menunjukkan ke arah Masjid.” kataku seraya menunjuk ke arah simpang ke sebelah kiri jalan.
Kami berkayuh mengikut arah petunjuk tersebut. Sebaik sahaja membelok ke jalan tersebut. Aku terkejut kerana dijalan itu kenderaan lebih banyak dan jalan sesak.
‘Amboi banyaknya kenderaan dan orang. Macam ada pesta sahaja.’ getus dalam hatiku.
‘Aduh! Macam mana ni ramainya orang.’ kataku sendirian.
‘Mana pulak nak dihalakan, lepas keluar dari sini.’ mataku meliar untuk mencari mana lokasi masjid tersebut.
Pencarian ini aku rasakan begitu lama dan sukar sekali. Tidak pernah aku rasa mengalami kesukaran seperti ini selama aku berkayuh.
‘Aduh! Menyesal juga aku pergi ke tempat ni. Tak sangka begitu jauh dan susah sekali nak jumpa. Patutnya kami tidur di masjid Agung Demak tadi. Ini mengatal nak pergi tempat yang tak tahu apa dia dan di mana. Kalau lagi setengah jam tak jumpa aku ingat, aku akan cari hotel atau apa sahaja tempat untuk kami tidur.’ fikir aku mencari jalan penyelesian.
“Nuar, aku tak tahu dekat mana Masjid tu...dah berapa banyak lorong dan jalan kita masuk masih tak jumpa. Aku tahu kau penat, akupun begitu juga. Macam ni lah kita kayuh lagi setengah jam kalau kita tak jumpa juga. Kita tidur kat mana-mana aje. okey tak?”
Anuar menganggukkan kepalanya. Dia sudah tidak mampu bercakap lagi. Aku tahu dia sudah terlalu penat. Kesian dan rasa bersalah melekat dihatiku. Jalan yang kami lalui sekarang sudah tidak aku cam lagi. Begitu banyak simpang dan selekoh yang kami redah. Tiap kali kami berhenti bertanya, kebanyakkannya memberi arah yang berlainan. Sampai naik pening dibuatnya.
“Udah dekat... didepan aja pak!”
Tapi bila kayuh ke depan masih tak ke temu. Akhirnya setelah puas berkayuh dan masa setengah jam yang aku tetapkan itu telah cukup. Akupun berhenti di tepi jalan berhampiran sebuah toko buku. Aku memandang ke arah Anuar.
“Nuar! maafkan aku. Kita tak jumpa tempat itu. Dah berjam mengayuh masih tak nampak bayangan tempat itu. aku tak tahu mereka semua tipu kita atau tidak. Apa cadangan kau?”
“Aku dah tak mampu untuk berfikir Meran. Aku dah penat sangat ni... dah rasa tiada tenaga dah. Kita cari tempat tidur je lah.” dengan nada lemah Nuar bersuara.
Tersayat hatiku mendengar kata-kata Nuar itu. Aku tahu dia telah berkayuh melebihi tahap kemampuan dirinya.
“Okey. Kau rehat dekat sini sekejap. Aku pergi tanya orang dekat kedai buku tu. Mana ada hotel atau tempat bermalam yang sesuai. Kau tunggu sekejap ya.”
‘Aku harap taukeh kedai ni boleh bagitahu mana ada hotel dekat sini.’ harapku dalam hati.
Masuk sahaja dalam kedai buku itu. Aku lihat seorang lelaki tua sedang tekun menyusun buku di atas rak.
“Selamat malam pak. Maaf ya mengganggu. boleh saya tumpang tanya?”
Lelaki tua itu memandang ke arahku dan wajahnya begitu serius sekali.
“Saya mahu cari masjid atau hotel disekitar tempat ini sini ada enggak?” kataku dengan senyuman ramah.
“Ada. Jalan dibelakang toko ini. Terus sahaja dan belok ke kiri. Di situ ada tempatnya.” katanya ringkas. Dia terus menyusun buku-bukunya tanpa memandang ke arah aku lagi.
“Yang benar pak? tadinya udah 6 orang saya tanya jawapannya lebih kurang sama sahaja. Tetapi bila kami pergi tidak ketemu. Yang benar ini? maafkan saya. Bukan niat saya mahu kurang ajar. Cuma minta kepastian dari bapak.” aku cuba selembut yang boleh kerana aku sudah penat dipermainkan orang.
“Aku sudah katakan. Mahu ikut atau tidak terpulang lah pada kamu. Ayuh pergi dari sini.” katanya dengan nada yang lebih keras.
Tersentak juga aku mendengar kata-katanya.
‘Amboi sombongnya.’ getus dalam hatiku sambil mengelengkan kepala.
Dengan rasa jengkil aku ucapkan terima kasih pada taukeh kedai yang sombong itu. Aku berpatah balik menuju ke arah Nuar. Aku tidak menceritakan apa yang berlaku di kedai buku itu.
“Nuar. Okey dah. Kita kena lalu jalan dibelakang ni lepas tu jumpa simpang yang pertama terus masuk. Di situ ada tempat bermalam.”
“Hotel ker Masjid?” tanya Nuar kembali.
“Aku tak tanya pula. aku terlupa la.” aku tersengih pada Nuar.