Home Novel Travelog Kembara berbasikal ke Indonesia 2012 - Semarang - Bali
bab 3 : Saat cemas


         Setelah Kad Sim dibeli dan dipasang pada telefon. Aku cuba menghubungi isteriku. Langsung tidak mendengar nada deringan dari telefonnya.

’Aik! macam ada masalah sahaja ni. Kenapa tak ada dengar bunyi nada tone.’ kataku dalam hati.

Aku menjadi agak bengang juga. Rasa seperti tertipu pula. Kad yang dibeli tak boleh digunakan.

’Apa hal pulak ni...tak kan tak boleh pakai kot. Dah lah beli kad ni dekat 15,000 rupiah. Dah beli tak boleh pakai pulak.’ mengomel aku dalam hati.

’Kenapa tak boleh...rasanya semua prosedur cara untuk membuat panggilan ke luar negeri sudah aku ikut.’ kataku dalam hati.

“Nuar! aku cuba buat panggilan tapi tak boleh lah...” kataku pada Nuar.

“Cuba kau hantar SMS pula.” cadang Nuar.

Aku kemudian cuba menghantar pesanan ringkas (SMS). Jika tak boleh juga memang rugilah duit aku. Selang 3 minit kemudian aku menerima balasan pesanan dari Isteriku. Aku menarik nafas lega.

“Yes!... Nuar dah boleh. Rasanya aku hanya boleh hantar pesanan tak boleh telefon kot.”

“Dah boleh? nanti aku cuba pulak.” Nuar tersenyum melihat gelagatku.

Sementara menunggu Anuar mencuba talian telefonnya aku pergi ke basikalku mengambil peta. Lalu aku bersandar di basikalku sambil meneliti peta laluan kami.

’Nampaknya laluan kami ini dilaluan yang betul.’

Sekali sekala aku menjeling ke arah Nuar. Dia masih leka mendail nombor telefon Isterinya.

“Tak dapatlah Meran...aku tak tahu nombor ini tak boleh pakai ke atau telefon ini ada problem.”

“Kau dah masukkan kod nombor untuk panggilan antarabangsa?” tanyaku.

“Dahh...!dah semua aku tekan. Macam kena tipu jer.” bebel Nuar dengan suara yang sedikit keras.

Aku tahu Nuar sedang marah. Aku memandang ke arah Gadis itu. Wajahnya sedikit pucat. Senyuman manisnya tadi telah hilang melihat Nuar sedang marah.

”Kau cuba hantar SMS.” aku memberi cadangan.

Nuar cuba menghantar SMS pula. Tetapi pesanan yang cuba di hantar berkali-kali tidak berjaya.

Pad pada telefonnya ditekan berkali-kali dan dengan agak kuat. Aku tahu dia tengah geram. Aku terdengar Nuar mula membebel seorang diri.

“Tak guna betul...duit dah lah habis dekat 15 ribu. Punyalah mahal lepas tu tak boleh pakai pulak. Aku rasa dia orang ni memang nak menipu ni. Memang cekik darah betul budak Indon ni.” aku terdengar Anuar meninggikan suaranya.

“Woi! penipu! kau orang jual kad yang dah rosak ya. Dah lah aku kena bayar sampai 15 ribu lepas tu tak boleh pakai. Ni lagi kau suruh aku beli sampai 50 ribu...kau gila ke apa? kau nak main-mainkan aku kan!” jerit Nuar pada gadis Indonesia itu.

Terkejut aku melihat kemarahan Nuar telah meletus. Muka Anuar menyinga menyimpan amarahnya. Sekoyong-koyong kemudian muncul dari dalam rumah itu 3 orang lelaki yang berbadan agak sederhana. Mereka merenung ke arah Anuar.

“Apa-apaan ini!” luah seorang dari lelaki itu dengan suara yang garau.

’Alamak masalah besar ni.’ gumamku dalam hati.

Aku nampak ketiga-tiga orang lelaki Indonesia itu menghampiri Anuar. Melihat keadaan itu, Anuar yang sedang duduk terus berdiri. Matanya merenung ke arah ketiga-tiga orang lelaki tersebut.

Aku segera menyimpan kembali petaku lalu berlari menuju ke arah mereka. Apabila sahaja melihat aku datang, ketiga-tiga orang lelaki tersebut memandangku dengan pandangan yang tajam.

“Sabar Nuar, sabar.” aku memujuk Nuar yang dalam kemarahan.

“Telefon enggak boleh, SMS juga enggak boleh. Gi mana ni dik?” tanyaku berdiplomasi.

“Bapak itu biayanya enggak cukup. Aku udah bilang kartunya itu enggak cukup biayanya. Perlu dibeli penambahan lagi. Aku usulkan pada bapak agar dibeli 50 ribu rupiah lagi. Tiba-tiba aja dia terus naik angin. Aku jadi kaget, bilang aku mahu menipunya.”

Aku memandang ke arah Anuar yang masih kemarahan. Sepanjang aku kenali Anuar dekat 20 tahun jarang sangat dia marah tak tentu pasal.

“Budak ni Meran...Dia ingat kita ni banyak duit sangat ker? dah ler beli kad ni mahal. Nak telefon ke Malaysia tak boleh. Lepas tu dia suruh aku beli lagi sampai 50 ribu rupiah. Ingat aku ni bodoh sangat ke... yang inipun tak boleh, lagi nak suruh tambah lagi. Geram betul aku.” luah Nuar.

Aku menggarukan kepala. Aku tak sangka jadi begini. Mataku memandang ke arah Anuar, Gadis itu dan ketiga-tiga orang lelaki tersebut. Mereka itu hanya berdiam diri sahaja dan aku tahu mereka bersedia untuk sebarang kemungkinan. Ini semua adalah salah faham sahaja. Dengan tiba-tiba salah seorang dari lelaki bertiga itu berjalan menghampiri Anuar. Aku menjadi agak panik juga.

’Eh! apa dia nak buat ni.’ kataku dalam hati sambil turut bersedia.

“Bapak boleh beri saya Ponsel bapak sebentar.” kata lelaki itu dengan nada yang lembut dan tenang.

Tanpa berkata apa Anuar menghulurkan telefon bimbit yang ada dalam genggamannya. Lelaki itu menyambut telefon Nuar dan cuba mendail nombor yang di dail oleh Nuar. berkali-kali dia mencuba tetapi masih tidak berjaya.

’’Mesti ada benda yang tak kena ni. Telefon tak boleh...hantar message pun tak boleh. Tapi kenapa telefon aku boleh pula.’ Aku membuat analisi sendiri.

“Nanti dulu dik.” kataku pada gadis itu,

“Kartu Sim ini harganya berapa?” kataku pada gadis itu.

Gadis itu memandangku dengan pandangan takut-takut.

“15 ribu rupiah pak.” katanya ringkas.

“Dan kartu tambahan ini pula berapa?” tanyaku sambil mengangkat kad tambah nilai.

“Ini pula 50 ribu rupiah.”

Aku lalu mengeluarkan kalkulator. Aku membuat pengiraan bagi mengetahui jumlah perbezaan antara Rupiah dan Ringgit Malaysia. 15,000 rupiah bersamaan dengan RM5.00. Terpampang nombor itu pada skrin kalkulatorku. Aku mulai tersenyum. kemudiannya aku mengira pula kad tambah nilai yang mahu dijual pada Anuar. 50,000rupiah bersamaan dengan RM15.00. Sebaik melihat nombor itu aku terus aku bertanya pada gadis itu. Semua orang memerhatikan aku dengan penuh tanda tanya.

“Dik! jika aku mahu telefon ke Malaysia berapa jumlah ongkos sekurang-kurangnya mesti ada dalam kartu sim?” tanyaku pada gadis itu.

“Sekurang-kurangnya mesti ada 25ribu rupiah pak.” katanya.

Aku menganggukkan kepala. Kemudiannya aku mengira jumlah minimum itu. Nuar hanya memerhatikan sahaja tindakan yang aku lakukan. Apabila sahaja figura nombor yang tertera pada skrin itu aku lihat, Aku tersenyum sendirian. Dari senyuman bertukar menjadi tawa.

’La... rupanya macam ni ke’ getus aku dalam hati.

Aku terus ketawa sendirian. Semua orang memandang ke arah aku dengan hairan. Nuar mengerut keningnya. Setelah ketawaku tinggal sisa-sisa, Anuar bertanya dengan muka yang keliru.

“Kau ini apa kena Meran! orang tengah marah dan serius macam ni kau boleh gelak-gelak pulak!” bebel Nuar pada aku.

Aku mengaru-garu pipiku yang tidak gatal.

“Aku gelak sebab kita ni bodoh...” kataku sambil terus ketawa.

Air muka Anuar berubah. Aku tahu dia marah dengan jawapan aku. Aku cuba meredakan kemarahannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.