Aku dan Anuar terpapam mendengar kata-kata
Yanto...ringkas, ikhlas dan amat menusuk hati. Serta-merta tembok kesangsian
dan kerisauanku pecah hancur berkecai. Aku tak tahu adakah dia ini mewakili
semua warga Indonesia atau hanya dia sahaja. Tetapi yang aku tahu semasa keluar
dari Imigresen dan Kastam tadi mereka juga tidak meminta sebarang duit rasuahpun. Aku
tak tahu adakah kerana mereka terlupa atau tidak. Tanpa banyak bicara aku terus
memeluk Yanto dan merasakan erti persahabatan di antara dua negara. Tiada rasa
curiga dan membenci sesama kami. Aku rasa sangat terharu dan rasa bersalah juga
kerana membuat andaian yang bukan-bukan.
’Pasti bila aku balik nanti akan aku ceritakan
tentang apa yang aku alami ini.’ tekad dalam hatiku.
Pandanganku tentang
siapa sebenarnya warga Indonesia mulai berubah sedikit. Sebenarnya kita ini
hidup penuh dengan prasangka. Ianya tidak semestinya benar hanya dengar khabar
angin atau cerita orang kita terus percaya. Aku berharap apa yang ALLAH
tunjukkan di sini akan membenarkan kata hatiku yang diluar sana ada orang
sebaik Yanto. Aku mesti berterus terang pada Yanto apa yang aku fikirkan semasa
dia menolong aku tadi.
“Yanto maafkan saya kerana bersangka buruk
pada kamu. Sebelum datang ke sini teman-teman di Malaysia sering ingatkan pada saya
bahawa berurusan dengan warga Indonesia ini kita kena bagi duit. Tetapi sebetul
dan sejelasnya mereka dan aku sudah silap. Tidak kira apa bangsapun, jika
mereka mahukan habuan tetap mereka mahukan. Rasuah dan duit kopi ini tidak kira
apa bangsa pun tetap ada...Tetapi hari ini kamu menyedarkan saya bahawa bukan
semua orang Indonesia seperti itu.” kataku dengan rasa kesal dan malu.
Yanto menepuk-nepuk bahuku dan tersenyum,
“Udahlah bapak...manusia ini dilahirkan dengan
sifat penuh prasangka sehinggakan ada ramai juga yang berprasangka buruk pada
ALLAH sekalipun. Berprasangka itu baik kerna membuatkan kita lebih berhati-hati
tetapi jangan sampai ianya mempengaruhi pandangan kita. Sebenarnya bukan bapak
sahaja ramai juga orang luar malahan orang Indonesia sendiri sering salah
faham. Minda kita ini memang udah disetkan sentiasa lihat benda yang negatif
dulu. Udahlah aku harap selepas ini bapak akan melihat bangsa jawa ini orangnya
ikhlas dan mulus pada tetamu...” luah Yanto dengan panjang lebar.
Aku tersenyum padanya, ”Sudah semestinya
Yanto...kamu menyedarkan saya.”
”Sekarang
bapak rencananya mahu ke mana? Jika ada kelapangan ayoh! mampir sahaja ke rumah
aku barang sehari dua. Nantinya bisa aku bawa mutar-mutar lihati bandar
Semarang ini.” Yanto mempelawa kami.
Sekali
lagi aku terkejut dengan tawaran Yanto itu. Bukan senang dalam sejam sahaja
berjumpa kita boleh mempelawa orang asing datang dan tinggal di rumah kita.
Tetapi Yanto ini berlainan sekali. Aku agak terkejut juga dengan cara layanan
Yanto itu. Aku memandang ke arah Anuar untuk mendapatkan pandangan. Anuar
mengelengkan kepalanya dan berkata,
”Kembara kita masih jauh lagi...”
Aku faham apa yang Nuar maksudkan itu.
“Yanto saya sangat berterima kasih atas budi
baik Yanto. Sebenarnya perjalanan kami masih jauh... kami mahu ke Bali.
Semuanya sudah kami rencanakan program setiap hari. Jika kami tidak ikut
program yang kami rancangkan itu mungkin kami tidak akan sampai ke Bali. Jika
diikutkan hati mahu sahaja kami ke rumah Yanto. Tapi masa tidak mengizinkan.
Begini sahaja... Jika dilain masa dan di izinkan ALLAH. Kami pasti akan datang
lagi ke sini dan kami akan pergi ke rumah Yanto.” kataku dalam senyuman.