Anak Muda Indonesia
Aku memandang ke arah anak muda yang muncul entah dari mana. Dia terus duduk dihadapan kami. Aku perhatikan anak muda itu dengan rasa curiga. Naluriku menyatakan bahawa budak ini tidak berniat jahat. Wajahnya seperti orang yang baik-baik. Tetapi aku tetap berwaspada. Pemuda itu kelihatan gementar bila aku merenung ke arahnya. Agaknya kerana tidak selesa dipandang begitu dia menundukkan kepalanya.
“Bapak ini dari Malaysia ya?” tanya anak muda itu dengan suara yang lembut.
Kami terus membisu sambil memerhati kelakuannya.
“Bapak ini yang bersepeda tadi ya?” katanya lagi.
Aku lihat dia agak gelisah kerana pertanyaannya tidak dibalas.
“Ya kami dari Malaysia. Memang itu sepeda kami bagaimana kamu tahu?” Anuar bertanya.
Dia kemudian memanggungkan kepalanya dan tersenyum kepada kami.
“Sebenarnya semasa bapak berdua bergowes tadi. Aku ada dibelakang bapak. Aku naik motor...Kagum bangat aku sama bapak berdua. Sebenarnya aku kepingin sekali mahu ketemu dengan orang Malaysia.” Pemuda itu meluahkan keinginannya.
“Kenapa kamu kata begitu... siapa kamu sebenarnya?”tanyaku lagi pada anak muda tersebut.
“Nama aku Sidoharjo...panggil sahaja aku Sido. Aku ini penuntut Universitas Diponegoro Semarang. Sebetulnya pak.. aku amat kagum dengan rakyat Malaysia.”
“Kagum! Apa yang kamu kagumkan?” balas Nuar.
“Malaysia begitu berkembang maju. Negaranya kurang rasuah tidak seperti kami. Lebih penting mereka benar-benar melaksanakan hukum Islam. Yang paling aku kagumi mereka kebanyakkannya mampu bertutur dengan bahasa Inggeris dengan baik. Aku amat meminati bahasa Inggeris. Tetapi di sini bahasa itu tidak dituturkan dengan meluas. Aku tidak bisa mempraktikkan bahasa Inggeris di sini. Rugi amat rasanya.” luah anak muda itu dengan panjang lebar. Aku tersenyum ke arahnya.
“Ya... bahasa Inggeris ini mesti selalu di praktiskan, baru ianya berkesan.” Dia mengangguk tanda setuju dengan apa yang aku katakan itu.
Kami yang mendengar pujiannya tentang Malaysia merasa sangat gembira. Luahan dari orang asing tentang negara kita, amat mengesankan hatiku. Sebenarnya orang luar kagum dengan apa yang kita miliki. Tetapi sayangnya kita tidak menghargai apa yang kita ada.
“Sebenarnya Sido masalah di Malaysia sama juga dengan Indonesia. Isu rasuah, kecurian, pembunuhan dan apa sahaja jenayah yang ada di Indonesia ada berlaku juga di Malaysia. Tetapi ianya masih terkawal. Sebenarnya bukan sahaja kerajaan yang harus memainkan peranan. Tetapi masyarakat juga mempengaruhi keadaan sekitar.
Di Malaysia tahap rasuahnya rendah kerana masyarakat melihat ianya satu perbuatan yang keji. Tetapi saya harus katakan yang rasuah itu tetap masih ada. Saya percaya kerajaan Indonesia juga melihat ke arah budaya kerja yang bersih dan pengurangan kes rasuah. Kerajaan kami dan rakyat Indonesia harus lebih berusaha.” kataku sambil menepuk bahu anak muda itu.
Sido kelihatan tersenyum lebar mendengar kata-kataku. Dia mula merasai kemesraan kami.
“Pak! Bagaimana bapak berdua boleh merencanakan untuk bergowes ke sini. Sedangkan di sini merbahaya, maling dan penjahat ramai, bapak tak takut?”
Aku dan Anuar saling berpandangan. Soalan itu juga adalah soalan yang sering ditanya oleh ramai orang terutamanya teman-teman kami sendiri sebelum ini.
“Untuk berjaya kita mesti menguasai ketakutan kita. Kami ingat hanya satu perkara sahaja Sido...di mana-mana sahaja ada orang baik dan orang jahat. Bukan di Indonesia sahaja tetapi di Malaysia juga. Kami berniat baik melakukan kembara ini.”
“Kami tidak putus-putus berdoa agar dapat bertemu dengan orang-orang yang baik. Ini risiko yang kami ambil untuk datang ke sini. Kami percaya ALLAH pasti akan melindungi kami.” tambah Nuar dengan senyuman.
“Sido! Kami dengar Indonesia memang sangat membenci rakyat Malaysia. Sampai ada sanggup berkempen untuk ganyang Malaysia. Malahan ada yang membakar bendera. Adakah ini benar? adakah ia mewakili majoriti rasa rakyat Indonesia pada kami atau hanyalah permainan politik?”
Sido merenung aku, “Sehingga saat ini bagaimana pandangan bapak tentang kami?”
“Sejujurnya sampai saat ini kami hanya bertemu ramai orang yang baik hati, jujur dan melayan kami dengan baik.” kataku pada anak muda itu.
“Kecuali dia.” kata Anuar ringkas sambil memuncungkan mulutnya pada orang yang telah menipunya tadi. Aku ketawa teringatkan kejadian tersebut.
“Sebenarnya isu ganyang Malaysia itu hanyalah propaganda politik sahaja pak. Yang melakukan itu semua adalah segolongan orang yang marah dan kecewa dengan kejayaan Malaysia. Usah diberatkan fikiran memikirkan tentang mereka.” terang Sido tentang perkara yang sebenarnya.
“Oh...begitu sebenarnya ya.” kata kami serentak.
“Apa rencana bapak selanjutnya?” tanya Sido.
“Ikut rencana awalnya kami mahu bermalam di sini sahaja. Sini dibenarkan untuk tidur enggak?”
“Bapak bisa tidur di mana aja usah khuatir. Tapi yang benar bapak mahu bermalam di sini?”
Aku merenung ke arah anak muda itu. “Apa maksud kamu?”
“Ah! Enggak apa-apa. Tapi di sini waktu malamnya ramai sekali orang mampir tidur. Aku takut bapak rasa enggak senang di sini. Bagaimana jika aku cadangkan satu masjid yang tidak kurang menariknya.”
“Masjid? Masjid apa dan di mana?” tanya aku pada Sido.
“Masjid Menara berhampiran dengan jalan Jepara dan Sunan Kudus.”
“Masjid Menara? Tidak pernah saya dengar nama masjid tu. Apa yang istimewanya masjid tersebut? Jauh enggak dari sini?”
“Aku enggak mahu cerita sepenuhnya. Aku mahu bapak lihat dan rasai apa yang ada di sana. Kurang lebih 30km dari sini. Ia dibina oleh Sunan Kudus temannya Sunan Kali Jaga.”
“Sunan Kudus?” kataku pada Sido.
Aku memang berminat dengan cerita-cerita tentang Wali-wali Songo kerana kehebatan mereka mengembangkan Islam di Indonesia.
“Macam mana Nuar. Masih ada masa lagi ni. okey ke?” tanyaku pada Anuar.
“Baik kami mahu ke sana. Tapi kami tidak tahu jalannya.” ujarku sebaik sahaja Anuar bersetuju dengan rancangan aku.
“Ah! senang aja pak...ikut jalan terus sahaja. Nanti bila bapak sampai di Kudus tanya pada orang di sana. Mana arahnya ke Masjid Menara pasti mereka akan membantu bapak.” kata Sido dengan senyuman.
“Oh! Terima kasih Sido. Kami amat menghargai infomasi kamu. Jom Nuar jangan buang masa lagi takut nanti malam baru kita sampai.” kataku mengajak Anuar untuk meneruskan perjalanan.
“Nanti dulu Meran. Ambil gambar dulu disekitar tempat ini. Entah bila pula kita akan sampai ke sini lagi.” kata Anuar padaku.
Kami kemudiannya mengambil gambar bersama-sama dengan Sido, sebagai kenangan.
“Kau tengok Nuar orang-orang Indonesia ini punya jati diri yang tinggi. Mereka menjaga dan memelihara tempat sejarah mereka dengan baik sebagai tatapan dan pedoman pada generasi yang akan datang.” luahku semasa kami berjalan menuju ke arah basikalku.
‘Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang belajar dari sejarah mereka sendiri. Mereka bukan hanya mengharapkan bantuan dari kerajaan untuk membantu memulihara tempat-tempat sejarah ini tetapi atas dasar keinginan sendiri agar warisan bangsa ini dijaga dengan baik. Untuk anak cucu mereka pada masa yang akan datang. Sejarah adalah kenangan dan masa depan adalah perjuangan.’ luahku dalam hati.
Dari sejarahlah kita belajar dan dewasa menjadi bangsa yang cemerlang.