Bab 24

HANNA setia menanti di sisi Johan yang terkedang di katil.  Bau ubat-ubatan kuat menyucuk ke rongga hidung. Dada Johan turun naik dengan tarikan nafas lemah.  Johan bernafas menggunakan alat bantuan oksigen yang terserkup di mulut.

"Bila awak nak bangun?  Saya rindu nak dengar suara awak.  Jangan takutkan saya begini."

Mengucur laju air mata di pipi mulus Hanna.  Tidak dapat dia bayangkan kesakitan yang ditanggung oleh insan yang paling dia cintai itu.  Andai dia mampu, ingin saja dia berkongsi rasa sakit itu agar penderitaan Johan berkurangan.  Namun apa yang mampu dia lakukan kini hanyalah berdoa dan yakin agar Johan pulih seperti sediakala.

Tidak lepas-lepas mata bundarnya menatap wajah pucat Johan yang kaku.  Berulang kali nama Johan diseru agar kekasih hatinya itu mendengar dan setidak-tidaknya memberi respon positif.  Maryam dan Johari telah lama menjadi pemerhati dan menyaksikan kegusaran Hanna yang tidak bertepi. Hanna langsung tidak menyedari kehadiran mereka berdua sehinggalah terasa bahunya disentuh seseorang.  Wajah didongak dan senyuman nipis terlakar di bibirnya.

"Hanna, ibu ada bawakan makanan.  Pergilah makan. Tak baik biarkan perut kosong macam tu, nanti masuk angin."  

Belakang badan Hanna diusap lembut.  Walaupun Hanna belum lagi diiktiraf sebagai menantu yang sah, kasih dia pada Hanna sama dengan anaknya sendiri.  Langsung tiada bezanya.

Muka Hanna diangkat dan pandangan mata mereka bersabung.  Perlahan-lahan kepalanya digeleng. Lidah terasa payau dan pahit.  Tidak ada gunanya dia menjamah makanan itu, sedangkan bakal suaminya masih belum sedarkan diri.

Maryam mengalih pandang kepada suaminya, Johari.  Suami yang telah dinikahinya hampir dua dekad itu cuba menyembunyikan matanya yang berkaca.  Hatinya disayat pilu. Anak kandungnya sendiri sedang bertarung antara hidup dan mati. Entah bila Johan akan sedar dia sendiri pun tidak pasti.

Pada waktu melawat itu, mereka menyambut kehadiran Jeremy dan Monica.  Sugul wajah kedua-duanya melihat jasad Johan yang berselirat dengan wayar.  Monica cuba menyembunyikan matanya yang digenangi air.. Air jernih yang hampir menitis ke pipinya diseka dengan jemarinya yang runcing.  

Monica menapak ke arah Maryam, tangan wanita tabah itu disalami.  Secalit senyuman nipis ditayang sebagai pengubat rasa duka. Mata tua itu sembab.  Lingkaran gelap di bawah matanya jelas kelihatan. Mungkin wanita itu tidak lena tidur memikirkan untung nasib anak sendiri.

"Saya Monica, dan itu Jeremy.  Kami merupakan rakan sekerja Johan."   Monica memperkenalkan diri mereka secara rasmi.

Walaupun ini bukanlah pertemuan kali pertama mereka, namun mereka tidak sempat untuk berkenalan di majlis pertunangan Johan dan Hanna dahulu.  

"Mak cik sabar, ya.  Kami doakan Johan cepat sembuh.  Dengar-dengarnya, pembedahan kepala Johan berjalan dengan lancar.  Tak lama lagi sedarlah dia." Lembut suara Monica memujuk. Dia dan Jeremy bergegas ke hospital sejurus dimaklumkan akan kecelakaan yang menimpa Johan oleh Hanna.  

Maryam mengangguk bersama segaris senyuman.  Sempat dia menzahirkan rasa terima kasihnya kepada kedua-dua rakan sekerja anaknya itu.  Monica mendapatkan Hana yang termenung di tepi jendela. Gadis itu merenung jauh ke luar sana dengan perasaan berbaur.  Bahu pemilik hati Johan itu disentuh lembut. Hanna termengadah, lantas bibirnya mengukir senyuman tawar saat retina matanya menangkap lekuk wajah Monica.

Punggung Monica dilabuh di tepi Hanna.  Raut wajah Hanna yang sugul cukup menggambarkan isi hatinya yang bergejolak dengan seribu satu rasa.  Dia sendiri tidak pasti, adakah dia mampu menjadi seperti Hanna, kuat dan sabar mengharungi dugaan yang menimpa.

"Aku tahu Johan kuat.  Aku kenal sangat dia macam mana.  Kau tahu, ada suatu hari tu semasa di Casa Piena, tangan Johan melecur sebab disambar api semasa hendak masukkan pizza ke dalam ketuhar.  Dia masih boleh senyum dan rawat luka tu sendiri. Lepas tu dia terus masuk kitchen dan sambung kerja macam biasa.  

Luka tu agak besar juga sebenarnya, sampai darah menitis pun dia tak sedar.  Habis waktu kerja kami paksa dia ke klinik untuk cuci luka. Dia sakit, tapi dia tahankan aje sebab tak mahu aku rasa bersalah, sebab aku yang minta tolong dia masukkan pizza tu ke dalam oven.  Johan memang baik. Aku yakin, Tuhan akan bantu orang-orang baik macam Johan. Tak lama lagi dia akam sedar, percayalah."

Hanna tidak dapat menahan air matanya lagi.  Hanna memeluk tubuh Monica seeratnya. Kehadiran Monica sedikit sebanyak mengurangkan rasa bimbangnya terhadap Johan.  Meringankan rasa takut yang bersarang di dada, dan seterusnya memberikan secebis harapan untuk mendengar Johan memanggil namanya semula.

Monica dan Jeremy beredar apabila waktu melawat hampir ke penghujungnya.  Jeremy memandu begitu perlahan di jalan raya. Adakalanya, kereta yang dipandu Jeremy terbabas ke pinggir jalan sehingga Monica kecut hati.

"Jeremy, are you okay?"

Jeremy angguk sekali.  Hati kecil Monica menelah, ada sesuatu yang mengganggu fikiran Jeremy di kala itu.  Hendak bertanya takut dikatakan sebagai penyibuk pula.

"Kalau kau tak larat bagi aku saja yang drive.  Kau nampak letih sangat ni. Tak cukup tidur ke?"

Jeremy diam membisu.  Hatinya sakit!  

"Ataupun kau sedih sebab tengok Johan jadi begitu?  Aku pun sedih juga. Kitchen Casa Piena sunyi tanpa Johan."

Jeremy tidak mengendahkan kata-kata Monica.  Fikirannya berserabut dan kacau-bilau. Ia jelas terpancar pada riak wajah Jeremy yang mendung.  Setelah meredah kesesakan jalan raya hampir 30 minit, Jeremy menurunkan Monica di kediamannya. Belum sempat Monica mengucapkan terima kasih, decitan tayar kenderaan pergi meninggalkan Monica yang termangu-mangu.

Tidak senang duduk Monica memikirkan keadaan Jeremy.  Dia menjangkakan ada sesuatu perkara yang merunsingkan jiwa jejaka pujaan hatinya itu.  Justeru, dia cuba mencari Jeremy di tempat biasa. Selalunya, apabila tamat waktu kerja di Casa Piena, Jeremy sering berlibur di sebuah kelab malam kegemarannya.  Monica mencuba nasib mencari Jeremy di situ.  

Dalam keriuhan suara manusia yang berdansa diiringi muzik bingit bagaikan sebuah pesta, lensa mata Monica menangkap sosok tubuh Jeremy di hujung bar dalam keadaan mukanya yang terlangkup ke meja.  Selangkah demi selangkah langkah diatur. Langkah terakhirnya terhenti saat dia menghenyakkan punggung di kerusi bulat berkaki panjang. Bau alkohol kuat menusuk hidung. Bergelas-gelas alkohol nampaknya sudah diteguk Jeremy malam itu.  

Hati wanita itu diusik pilu yang maha dahsyat.  Keadaan Jeremy tidak ubah seperti seorang gelandangan yang tersesat.  Bahu lelaki itu disentuh, lalu digoyang beberapa kali. Jeremy termengadah, dan matanya digosok cuba menangkap imej yang terpapar di depan mata.

"Mo… Monica.  Kau buat apa kat sini?" soal Jeremy antara dengar dengan tidak.

"Aku cari kau.  Aku dah agak kau mesti ada di sini.  Oh my goodness, are you okay, Jeremy?" Rambut yang terjuntai di hadapan muka Jeremy disebak ke tepi.  Walau dalam keadaan apa sekalipun, Jeremy tetap kacak di matanya.

Jeremy senyum tipis.  Pandangan mata dibawa kepada pelayan bar.  Gelas kosong diangkat kepada pelayan dan terus saja pelayan itu melakukan kerjanya.  Segelas lagi vodka terhidang di meja. Monica terlebih dahulu merampas gelas itu dan meneguknya rakus.  Mata dicerlung tajam kepada Jeremy. Marah, dia teramat marah. Monica menepis tangan Jeremy sebelum sempat jejaka itu meminta minumannya lagi.

"Cukup, Jeremy!  Apa kena dengan kau ni?  Apa masalah sampai kau mabuk begini sekali?"

Cahaya neon yang berwarna-warni menyimbah ke wajah ayu Monica.  Terpegun Jeremy seketika dengan godaan itu. Tanpa sebab munasabah Jeremy menghamburkan ketawanya terbahak-bahak.   Ketawa itu tetap tidak dapat menandingi muzik bingit yang sedang bergema. Lagipun, para pengunjung di situ lebih suka melakukan hal masing-masing.  Kelab malam itu bagaikan syurga dunia bagi mereka.

Geram dengan sikap Jeremy yang tidak serius, Monica merentap lengan Jeremy sekuat hati agar mengikutnya keluar dari tempat yang tidak berfaedah itu.  Sejurus mereka sampai di tempat parkir, Jeremy memuntahkan segala isi perutnya sehingga tekaknya berasa pedih. Monica mengusap belakang badan Jeremy dengan linangan air mata.

"Good morning!" sapa Monica dengan senyuman manis.  

Jeremy menarik gebar hingga ke dada.  Tangannya memicit-micit kepalanya yang sakit dan berdenyut-denyut.  Ingin sekali dia bertanya kepada Monica apa yang gadis itu buat di studio apartmentnya sekarang ini.  Sisa-sisa memori yang terlintas di kepala mematikan niatnya dengan serta-merta.

"Lapar?  Aku tengah sediakan sarapan.  Sekejap lagi kita makan." Monica seakan dapat membaca fikiran Jeremy dan terus saja memberi penjelasan.

T-shirt yang tersangkut di kepala katil disambar oleh Jeremy lalu menyarungkannya ke tubuh.  Kedua-dua belah kakinya memijak lantai untuk mendekati Monica yang sibuk menuang kopi ke dalam muk.

"Aku minta maaf," ucap Jeremy terpunduk.  

Tidak berani dia bertentang mata dengan Monica.  Dia malu kerana Monica terpaksa menyaksikan segala kebodohannya semalam.

"Kau tak buat salah apa-apapun pada aku.  Kenapa perlu minta maaf?" tutur Monica bersahaja.  Muk berisi kopi yang berasap tipis diletakkan di depan Jeremy.

"Minum dulu, kasi hilang sakit kepala kau tu."

Hati Jeremy tersentak seperti terkena renjatan dek suara lunak milik Monica.  Saat itu, hatinya diresapi satu rasa yang sukar dia ungkapkan. Saat itu juga, dia cuba menyelami rasa hatinya yang berbolak-balik.  Kenapalah dia tidak nampak, bahawa selama ini gadis itu terlalu mengambil berat akan hal dirinya.

"She dumped me.

Tanpa ditanya laju sahaja kata-kata itu meluncur keluar dari ulas bibir Jeremy.  Tiada apa yang perlu dia selindungkan lagi.

Monica pada waktu itu sedang berdiri membelakangi Jeremy secara tidak sengaja melorek senyum.  Roman wajahnya diseriuskan apabila dia mengambil tempat duduk bertentangan dengan pemuda itu. Anak mata mereka berlaga buat seketika sebelum masing-masing mengalih pandang.

"Itu bukan alasan untuk kau memudaratkan diri sendiri.  Aku kecewa dengan kau. Johan sedang terlantar sakit dan entah bila akan sedarkan diri.  Kau pula bertindak bodoh dengan mabuk todi. Kau orang ni memang tak nak jadi kawan aku dah ke?  Semuanya nak tinggalkan aku?" 

Monica tidak dapat menahan sendunya lagi.  Dia tidak betah memendam perkara yang terbuku di kalbu.  Dia tidak sanggup untuk kehilangan kedua-dua orang sahabat serentak.

"Kau tak faham, Monica.  Aku dan Lucy sudah merancang untuk menikah.  Dalam sekelip mata dia berubah begitu saja. Sakit hati aku ni, sakit!"  

Kopi yang sudah suam itu diteguk hingga habis.  Berdenting bunyi muk yang berlaga dengan meja akibat hentakan kecil dari Jeremy.  Monica menggigit bibirnya sendiri. Rasa sakit yang dirasai Jeremy akibat ditinggalkan tidak sesakit hatinya yang ditolak cintanya dalam diam.  Butakah Jeremy yang tidak melihat huluran cintanya sejak dulu?

"Kau patut bersyukur kerana Lucy menunjukkan belangnya lebih awal.  Bayangkan jika kau dapat tahu semua itu setelah kau orang berdua menikah.  Mampu ke kau hadapi semua ni? Fikirlah, fikir."

Jeremy mati kata.  Monica memang betul.  Dia tidak boleh menyangkal kebenaran itu.  Mungkin lukanya lebih parah dari ini. Otaknya yang dangkal tidak pernah memikirkan itu semua.

Monica membawa muk yang kotor ke sinki.  Dua keping roti bakar dibiarkan tidak dijamah.  Bagus saja dia memberi ruang kepada Jeremy untuk merenung kekhilafan diri dengan beredar.  Dia sudah menasihati Jeremy apa yang dirasakan perlu. Selebihnya biarlah Jeremy sendiri yang menguruskannya.

"Aku balik dulu.  Kau rehatlah, dan ingat… jangan buat macam tu lagi." 

Jaket yang tersangkut di belakang pintu dicapai dan tombolnya dipulas.  Jeremy masih kaku di kerusi. Separuh hatinya menjerit nama Monica agar jangan pergi.  Separuh lagi hatinya enggan berbuat apa-apa. Bodoh! Gadis sebaik Monica sanggup kau lepaskan! Suara hatinya berperang sesama sendiri.   

Baru beberapa minit Monica meninggalkan dia, terasa satu ruang kosong yang amat besar di lubuk hati.  Dia rasa sedih apabila ditinggalkan. Rasa serba tidak kena bila tidak mendengar suara Monica yang menyapa gegendang telinganya.  Dia mahukan Monica sentiasa di sisinya tiap saat dan waktu. Menegur, dan menatap senyuman manis gadis itu yang polos dari hati.

Jeremy bermain-main dengan sebentuk cincin yang dibelinya tidak lama dulu.  Cincin itu dibeli khas sebagai kejutan untuk melamar Lucy. Malangnya niatnya itu terbatal kerana Lucy terlebih dahulu meninggalkannya bersama lelaki lain.  Tanpa dipinta, wajah Monica terlayar di minda bersama sebuah senyuman manis. Betapa Monica terlalu mengambil berat tentangnya sehingga menyedarkannya akan sesuatu.  Percikan rasa itu mencetus api cinta yang kian marak membakar jiwa.

'Mo… Monica.'

"Monica!" 

Walau masih tersisa rasa pening penangan bergelas-gelas arak yang ditogok, sepasang kakinya diayun laju cuba mengejar bayang Monica yang pergi hampir lima minit yang lalu.  Kelibat Monica semakin hilang di pelupuk mata. Batang tubuh gadis itu lenyap ke dalam lif dan langkah kaki Jeremy diperlaju seperti ribut.

Tatkala pintu lif hampir tertutup, tangan sasa Jeremy menahan lalu tubuh dilolos ke dalam kotak yang bakal membawa mereka ke lobi.

"Jeremy!"

Monica terlongo.  Tidak percaya dengan aksi yang ditonton.  Jeremy tercungap-cungap menyedut oksigen dan bebola mata bergerak-gerak mencari iris mata Monica.  Ditatap mata bening itu sedalam-dalamnya. Bibir nipis itu tidak sabar lagi untuk menutur kata. Lif laju bergerak menuju ke lobi dari tingkat 17.  

"A… apa kau buat ni?" tanya Monica tergagap-gagap.

"Shhhh…."  Jeremy meletakkan jari telunjuknya ke bibir.

Saku seluarnya diseluk, lalu sebuah kotak baldu berbentuk hati dikeluarkan dan diletakkan di atas tapak tangan.  Tubuh direndahkan dengan sebelah lutut menongkat ke lantai. Penutupnya dibuka menyerlahkan sebentuk cincin bertakhtakan berlian yang kemilau indah di bawah pancaran neon.  Monica semakin kaku dan beku di tempat dia berdiri. Rentak pernafasannya semakin tidak keruan.

"Will you… marry me?"  

Membulat mata Monica apabila sebaris pertanyaan keramat itu menerjah gegendang telinganya.  Serentak itu juga pintu lif terbuka. Mujurlah ruang lobi lengang tanpa sesiapa yang lalu-lalang.

"Monica, will you be my wife?" soal Jeremy lagi apabila Monica cuma diam membisu.  

Titis demi titis peluh mengalir di dahinya.  Seksanya menanti jawapan dari gadis kesayangannya itu, lebih seksa dari melupakan cintanya kepada Lucy.

Lambat-lambat Monica angguk.  Anggukannya semakin laju selaju air matanya yang mengalir penuh terharu.  Terlakar senyuman manis di wajah Jeremy. Dia bangun, dan cincin itu terus saja disarungkan ke jari manis Monica.  Spontan tubuh genit itu ditarik ke dalam pelukannya dan mereka berpelukan agak lama. Ungkapan cinta mereka dizahir dalam tautan pandangan mata.

"I love you…," ucap Jeremy tanpa ragu lagi.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh