#11

SEJAMBAK bunga ros putih yang digubah cantik di dalam bakul mencuri perhatian semua kaki tangan di Casa Piena.  Jambangan indah itu terus dibawa ke dapur untuk diberikan kepada pemiliknya.

"Astaghfirullahaladzim… terkejut saya!" Johan beristighfar sambil menggosok-gosok dadanya yang seakan-akan ingin pecah.

Masakan tidak, ketika dia baru selesai mengikat apron dan mengangkat wajah, sosok Kenji menjelma dan berdiri tegak di depannya.  Manakala jarak antara mereka pula begitu dekat.

"Sorry, cef.  Saya tak sengaja.  Bunga tu untuk cef." Muncung Kenji dihala kepada jambangan bunga tulip di tangannya.

"Apa ni?" soal Johan dengan dahi berkerut.

"Errr… bungalah, cef."  Kenji masih lagi memegang jambangan indah itu kerana Johan seperti teragak-agak untuk menyambutnya.

"Untuk saya?" tanya Johan tidak percaya.

"Ya.  Kalau cef tak nak, saya nak!" gurau Kenji bila Johan bergeming.

"Dari siapa?" Johan bertanya lagi.  Khuatir jika penghantarnya tersilap orang.

"Entahlah, cef.  Macam ada kad kat situ," beritahu Kenji.

Di sebalik kuntuman bunga-bunga mawar  yang mekar itu terselit sekeping kad dalam sampul kecil yang  tercatat dengan nama 'Encik Ravioli.' Melihatkan kad itu, terus saja Johan mengambil sampul berkenaan dan kadnya ditarik keluar.

'I am truly sorry.  
Your ravioli was just perfect.'

Hanna

Pipi Johan memerah.  Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia menerima bunga dari seorang gadis. Gadis yang langsung dia tidak kenali ataupun berjumpa. Seperti jambangan bunga itu juga, hati Johan menjadi kembang dan berbunga-bunga.  

"Dalam diam dah ada buah hati. Pandai betul simpan rahsia," usik Jeremy yang entah bila berada di sebelah Johan.

"Eloklah si Johan tu bercinta diam-diam.  Nanti kau kebas buah hati dia, Johan juga yang gigit jari. Kau tu kan buaya!" Monica turut menambah rencah. Jeremy di sebelah terkekeh-kekeh ketawa.

Johan sudah tersipu-sipu malu. Dikawal rasa itu agar tidak terlakar jelas di wajah.  Hatinya meronta-ronta untuk mengenali siapakah gerangannya si Hanna itu yang berjaya mengocak ketenangan hatinya.

"Hanna ada kat luar.  Kalau cef cepat, sempatlah jumpa dia," beritahu Kenji. Jeremy menepuk-nepuk bahu Johan lantas menyedarkan pemuda itu dari khayalan.

Kaki menapak penuh debar ke ruang depan restoran.  Kelibat Hanna yang duduk membelakanginya menambahkan lagi rasa debaran di dada.  Haruman fruity-floral, Sandalwood dan Vanilla yang menyapa deria baunya mengukuhkan lagi telahan Johan.

"Maafkan saya, ni Cik Hanna ke?" tanya Johan sopan.

Hanna terus menoleh tatkala namanya disebut oleh seseorang. Lekuk wajah Johan di depannya ditenung buat beberapa saat. Begitu juga dengan Johan.  Wajah bujur milik Hanna bersama ulas bibir yang merah dan kulit indah tanpa cela itu membuatkan lidah Johan terkelu.  Dia bungkam apabila sorot mata Hanna yang redup memanah hatinya sehingga Johan menjadi tidak keruan.

"Ya, sa… saya Hanna," jawab Hanna tersekat-sekat.

"Oh!  Terima kasih sebab bagi saya bunga, dan…." Johan terdiam sejenak, "dan juga permohonan maaf awak," sambung Johan lagi.

Hanna tersenyum lebar.  Lenyap segala rasa bersalahnya terhadap Johan sejak semalam.  Bebelan Shakira benar-benar berjaya membuat dirinya tersedar dari khilaf dirinya sendiri.  Semalaman dia dihantui oleh rasa bersalah akibat terlalu mengikut kata hati.

"Terima kasih.  Saya tak sepatutnya memandai-mandai buat semua tu. Mungkin saya terlalu mengikut emosi. Harap Encik Ravioli tak berkecil hati," tutur Hanna ikhlas.  

"Johan, panggil je saya Johan," beritahu Johan apabila dilihat Hanna selalu memanggilnya dengan gelaran Encik Ravioli.

Mata Hanna terbuntang saat mendengar Johan menyebut namanya.  Ketawa halus keluar dari ulas bibir merah itu serentak dengan gelengan perlahan.

"Kenapa, Cik Hanna?  Nama saya lucu sangat ke?"  Johan agak tersinggung dengan ulah Hanna yang mengetawakannya.  Wajah Johan berubah mendung dengan tiba-tiba.

"Jangan salah faham.  Saya bukan ketawakan Encik Johan.  Saya cuma terkejut dengan kebetulan ni." Penjelasan Hanna masih belum dapat dihadam dengan baik oleh Johan.

"Nama awak, Johan.  Nama saya, Johanna. Tapi kawan-kawan panggil saya, Hanna."  Penerangan Hanna meleraikan segala tanda-tanya di benak Johan.  

Lantas kedua-duanya menyambung tawa.  'Kebetulan yang sangat indah,' bisik hati Johan.

Setelah beberapa minit berbual-bual, Johan meminta diri ke dapur untuk menyambung tugasnya semula.  Berat langkah Johan untuk beredar. Apakan daya, dia cuma seorang pekerja yang terpaksa patuh kepada arahan.

"Berseri-seri wajah orang bercinta," usik Monica apabila melihat senyuman Johan yang masih meleret.

"Kau pun apa kurangnya.  Semakin hari semakin pandai bergaya.  Dah pandai pakai gincu merah dan skirt.  Dulu sememeh je macam si Kenji tu.

Kalau suka, cakaplah suka.  Nanti melepas si Jeremy tu kat orang lain, kau juga yang rugi."

Merona kemerahan pipi mulus Monica.  Tiada siapa yang tahu akan isi hatinya terhadap Jeremy. Bagaimana pula Johan dapat membaca rahsia hatinya itu, sedangkan dia pasti tidak pernah memberitahu sesiapa.

"Jangan risau, rahsia kau selamat dengan aku," bisik Johan sambil tersengih.  Sempat Johan mengenyit nakal kepada Monica yang tersipu-sipu malu.

Langkah Johan diatur ke sinki untuk mencuci tangan terlebih dahulu sebelum ke bahagian membuat pasta. Tepung dan bahan-bahan membuat pasta yang lain disukat dengan teliti sebelum proses menguli dijalankan. Fikiran Johan kini tidak henti-henti memikirkan tentang Hanna.

°•°•°•°


"SAMPAI bila kita nak menyorok kat sini?  Duit pun makin lama makin susut," rungut Mus yang duduk bersilang kaki.

"Rilekslah, Mus.  Bukan selalu kita dapat bersenang-lenang macam ni." Epul kelihatan tenang menonton tv. Tin-tin minuman dan juga bekas-bekas makanan berselerakan di meja tidak ubah seperti tempat longgokan sampah.

"Aku bosan, kau tahu tak!  Bosan!" pekik Mus lantas bangun menghampiri jendela yang terbuka luas.

Hembusan bayu yang sejuk menampar-nampar ke muka. Bukit-bukau dilitupi oleh kabus tebal dan kelihatan indah bila dilihat dari tingkat dua belas.  Namun, segala apa yang terpapar di ruang mata tidak dapat melenyapkan resah yang melanda diri Mus.

"Itulah kau.  Terkurung je dalam rumah ni 24 jam, macam mana tak bosan.  Cuba kau keluar ambil angin. Tengok pemandangan indah, cuci mata.  Hilanglah rasa bosan kau tu," tempelak Epul tanpa menoleh sedikitpun kepada Mus.

"Kau cakap memanglah senang.  Kau lainlah, suka berjoli sana-sini habiskan duit.  Lepas tu berjudi kat kasino sana. Balik ke rumah pagi-pagi buta dengan bau arak."  Mus berbalas kata dan tidak mahu kalah dalam perang mulut yang baru bermula.

Mus merengus lalu berlalu ke dapur dan membuka peti sejuk untuk mengambil minuman.  Terasa perit tekaknya apabila bertekak dengan Epul yang suka bersikap sambil lewa dan berfikiran singkat.  Tiba-tiba telefon pintar milik Mus bergema di pangsapuri yang disewa khas sejak mereka melarikan diri. Nama Mukhlis yang tertera membuat rentak jantung Mus semakin rancak.

"Kenapa tak jawab panggilan tu. Bisinglah!" marah Epul apabila tontonannya terganggu.  Epul merungut-rungut butiran yang kurang jelas dengan mulut yang penuh dengan kerepek kentang.

"Big boss yang telefon.  Kaulah yang jawab. Aku malas nak bersoal-jawab," kata Mus bersahaja.  

Mus melenggang ke bilik tidur.  Tingkap bilik dibuka seluas-luasnya.  Dibiar saja angin kencang menghembus masuk sehingga langsir melayang-layang.  Tubuh lelaki itu disandarkan ke katil; sebelah kaki diluruskan manakalah sebelah lagi dilipat sambil memanggung kepala. Damai dan menenangkan, tetapi entah kenapa hatinya kusut. Dia lelah hidup terpenjara di dalam rumah itu. Dadanya terasa sempit dan jiwa mula memberontak untuk bertindak di luar kawalan.

Mus mengubah posisi setelah beberapa minit merenung ke luar tingkap.  Gigitan bayu dingin hingga ke tulang hitam membuatkan kelopak mata semakin layu.  Lantas sebuah beg kecil dikeluarkan dari laci bersebelahan. Kotak rokok dan satu bungkusan plastik yang membuat Mus tersenyum ketika melihat isinya diletakkan di atas katil.

'Nasib baik penawar aku ada,' monolog hatinya.

Sebatang rokok dikeluarkan dari kotaknya, lalu bahan di dalam plastik lutsinar itu dicampurkan bersama tembakau.  Rokok tersebut digulung semula dengan rapi sebelum hujungnya dicucuh dengan pemetik api berlambang tengkorak. Sedutan demi sedutan membawa Mus masuk ke dalam dunia khayalannya sendiri sehingga dia terlupa akan rasa sakit hatinya kepada Epul, amarahnya yang begitu membuak-buak terhadap Mukhlis dan juga rasa takut jika tertangkap oleh pihak berkuasa.

Kabus tebal yang menyelubungi bukit-bukau begitu memukau pandangan mata.  Puncak bukit berkabus itu bagaikan sebuah singgahsana indah di matanya. Langsir yang berterbangan ditiup angin pula seumpama selendang si Puteri yang menggamit dirinya agar terus melewati detik indah itu bersama-sama.  Kepalanya terasa ringan, kosong dan bebas. Mus seperti seekor burung yang terbang bebas di angkasa.

"Huh, khayal tak sudah-sudah!" marah Epul tatkala menolak daun pintu bilik itu.  Bilik berbau kepam asap rokok itu seperti menjolok anak tekaknya yang bakal menghamburkan isi perutnya.

Jasad Mus yang berselimut tebal terkedang di atas katil seperti mayat hidup cukup menjelaskan segala-galanya.  Dia terpaksa menceroboh bilik rakan subahatnya itu setelah ketukan bertalu-talu di pintu langsung tidak diendahkan.  

"Bos, Mus tengah membuta ni.  Bos call lain kalilah." Epul menamatkan perbualan apabila melihat Mus berada di bawah sedar.  Leher kemeja T yang dipakainya ditarik menutupi hidung, mengurangkan bau kepam yang mengasak rongga pernafasannya yang kian menyempitkan dada.

Pandangan Epul meneroka ke segenap ruang bilik Mus yang selama ini bertutup rapat.  Dia merapati seluar jeans kepunyaan Mus yang tersangkut di belakang pintu dengan berhati-hati.  Diraba-raba poket belakang jeans hapak berkenaan untuk mencari sesuatu.

"Wah, macam ni punya banyak duit dia cakap tak ada?  Haji Bakhil betul," bebel Epul seraya menarik beberapa helai wang kertas RM50.

'Ambil sikit-sikit sudahlah.  Dia bukannya perasan pun,' getus hati Epul yang sudah berkira-kira untuk membuat taruhan besar pada malam ini.  Dia sudah membayangkan lenggok manja GRO yang bakal melayani serakahnya malam nanti.

"Senangnya dalam hati… la la la la…," nyanyi Epul dengan gembira seraya ke bilik air untuk menyiapkan diri.

°•°•°•°


JOHAN melayan perasaannya sendiri setelah seharian penat bekerja di Casa Piena.  Raut wajah Hanna yang manis telah mencuit hati lelakinya dan membuat ia bergetar.  Babak pertemuan antara dia dan Hanna sering diulang tayang di dalam minda. Jika masa boleh dihentikan, pasti dia akan terus kekal di situ sampai bila-bila untuk menatap mata bening milik Hanna yang telah melekat di hatinya.

Senyumannya mati tatkala lensa matanya terjatuh kepada MacBook di atas meja.  Kedudukan alat elektronik itu seperti beralih dari tempat asalnya yang diletakkan setara dengan rak buku.  Secara otomatik, Johan bingkas bangun dan menerpa ke meja bersama dengusan nafas kencang. Hatinya mula diasak pelbagai andaian yang bukan-bukan sehingga dahinya membentuk kerutan.

°•°•°•°



Previous: #10
Next: #12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh