Bab 27

HANNA menyeka air mata yang berjuraian.    Sungguh pedih hakikat yang terpaksa ditelan.  Johan sudah tidak seperti dahulu lagi. Dia berubah menjadi lelaki baran dan tidak bertimbang rasa.  Johan membencinya hingga begitu sekali. Waima sekalipun Hanna tidak punya peluang untuk membela diri.  Wajahnya lencun dek air mata. Sedu-sedan menjadi peneman setia lantaran golak perasaan yang tidak tentu arah.

'Saya benci awak!' Hati kecilnya menjerit.  Tubuhnya bergegar seiring tangisan yang tidak berpenghujung.

Tiba-tiba, sebungkus tisu diletakkan di atas meja oleh seseorang. Bola mata Hanna naik untuk melihat wajah si empunya diri.  Rafi mencipta senyum. Walau agak payah kerana dia tidak biasa memujuk perempuan, dipaksa juga demi persahabatan dia dan Johan.  Dilihat mata gadis itu bengkak kerana terlalu banyak menangis.  

"Terima kasih."

Rafi mengangguk lalu duduk di hadapan Hanna tanpa dipelawa.  Pandai Hanna mencari tempat tersorok untuk menghambur perasaannya.  Meja itu terletak jauh di hujung kantin hospital. Pasti tiada siapa yang perasan akan kewujudan gadis di sudut terpencil itu.  Hanna menyembunyikan wajahnya daripada terus-terusan menjadi tatapan mata pemuda itu.

"Saya sudah dengar segala-galanya, Hanna."  Rafi membuka mulut setelah tangisan Hanna mereda.

"Itu bukan Johan yang saya kenali."  Sayu sekali suara Hanna menyapa gegendang telinganya.

"Saya tahu.  Saya cuma minta satu perkara daripada awak.  Jangan salah anggap dengan Johan dan awak kena bertahan."

"Bertahan untuk apa?  Untuk dengar kata-kata nista daripada dia?"  Hanna kembali dikuasai emosi. Masih terngiang-ngiang suara Johan yang menghalaunya tanpa ihsan sebentar tadi.

Rafi mengubah posisi duduk.  Kedua-dua belah tangannya ditongkat ke meja.  Rafi seperti serba-salah. Namun dia harus mengatakannya juga kepada gadis malang itu.  Dia tidak mahu tanggapan negatif Hanna terhadap Johan bakal merosakkan hubungan mereka. Benar, Johan berubah kerana keadaan.  Tetapi dia benar-benar tidak memaksudkannya. Sesiapa yang berada di tempat Johan pasti akan melakukan hal yang sama. Pening kepala Rafi memikirkannya.

"Saya pun tak tahu bagaimana untuk beritahu awak, Hanna.  Sebagai rakan, saya cuma boleh menasihati awak, jangan mudah mengalah kalau awak sayangkan Johan."

Hanna tersenyum, namun senyuman itu berbaur sinis.  Air mukanya tampak garang dalam sekelip mata. Liur diteguk payah.  Jelingan matanya pula penuh makna.  

"Untuk apa kalau saya saja yang pertahankan, sedangkan Johan sebaliknya."  

Hanna menggeleng sambil menatap lantai.  Hatinya sakit ditikam oleh kata-kata Johan yang berbisa.  Sebaliknya Rafi pula yang beria-ia menyuruhnya agar berlapang dada.

"Awak kena faham, Hanna.  Johan tengah sakit. Orang sakit ni jiwa dia sensitif.  Tak macam kita. Saya yakin Johan tak bermaksud begitu. Sepatutnya kita yang harus beri semangat kepada dia.  Sokong dia dari belakang. Bukannya menjauhkan diri dari dia."

"Awak sendiri nampak tadi, Rafi.  Dia benci saya. Saya tak boleh buat apa-apa lagi dah. Lagipun… pertunangan kami dah terputus."

Hanna merenung sayu jari manisnya yang kosong tanpa gelung kecil keemasan.  Sejak cincin itu menghuni di jarinya, itulah kali pertama dia menanggalkan cincin itu.  Dan hari ini, cincin tu kembali kepada tuannya.  

"Awak sayang Johan?"  

Pertanyaan Rafi menghadirkan rasa kurang senang di hati Hanna.  Tahulah mereka berdua rakan serumah, tetapi Rafi dilihat agak melampau dengan bertanya pelbagai soalan.  Cintanya kepada Johan tidak harus dipertikaikan lagi. Soal hati dan perasaanya juga bukan mainan. Bibirnya terkunci untuk menjawabnya.

"Hanna, saya tanya ni.  Awak betul-betul sayangkan Johan?"

Hanna merenung ke  dalam anak mata Rafi bila soalan yang sama diaju.  Jauh di sudut hati dia masih menyimpan harapan kepada Johan.  Kenangan indah antara mereka berdua amat sukar untuk dikikis dari ingatan.  

"Ya."  

Lambat-lambat Hanna membalas pertanyaan itu.  Matanya menatap lantai semula. Rafi menegakkan badan dan bersandar di kerusi.  Dia harus melakukan sesuatu agar hubungan mereka bercantum semula. Dalam masa yang sama masalah yang melanda Johan tetap dirahsiakan.

"Saya minta maaf kalau menyibuk dalam hal kau orang berdua.  Saya cuma kasihan pada Johan. Waktu-waktu begini, dia amat perlukan kehadiran awak di sisi untuk memulihkan semangatnya semula."

"Saya perlukan masa untuk tenangkan diri sendiri.  Semuanya berlaku secara mendadak. Saya tertekan," keluh Hanna berat.  Hatinya bagai dirobek-robek pedih.

"Tapi jangan terlalu lama, Hanna...  Johan tak punya banyak masa." Rafi cuba memberi amaran.  

Hanna sekadar mengangguk walaupun kurang jelas dengan maksud yang tersirat.

•°•°•°•


"MAMPUS pun kau!"

Rumah sewa itu bergema dengan ketawa Mus.  Epul yang sedang menikmati mi segera hampir tersedak dibuatnya.

"Hoi, kau kenapa?"  Epul mengelap sisa kuah yang meleleh di dagu dengan tapak tangan.

"Budak tu dah mampus.  Puas hati aku!"

"Dari tadi asyik cakap pasal mampus, mampus.  Siapa yang mampus?" hambur Epul geram.

Mus mengunjukkan tajuk utama akhbar Mega Berita kepada Epul.  Bebola matanya bergerak-gerak membaca isinya sehingga habis.

"Semalam aku tekup muka dia dengan bantal.  Tiba-tiba ada nurse datang mengacau. Tak sempat aku check dia hidup ke mati.  Hari ni dah keluar berita pasal saksi si Borhan tu dah mampus. Ingatkan liat sangat nyawa dia."  Mus bercerita panjang lebar.  

Epul terlopong mendengarnya.  Secara diam-diam Mus mengatur agenda.  Ah! Tak kisahlah. Asalkan kerja mereka beres.

"Maksudnya, kerja kita sudah beres?"  

Mus mendekatkan mukanya kepada Epul.  Raut wajahnya masam mencuka. "Dey, lagi mau tanya ka?" kata Mus dengan lenggok kepala ke kiri dan ke kanan.

Melebar sengihan Epul hingga telinga.  Hidupnya tidak lagi dibelenggu ketakutan dan polis.  Mudah juga untuk dia berjumpa awek-awek cun di kelab-kelab malam.

"Eleh, macam aku tak tahu apa dalam kepala otak kau tu."  Mus senyum mengejek.  

Epul dan perempuan memang tidak dipisahkan.  Hanya bermodalkan poket tebal, gadis-gadis cantik sanggup menyerah diri asalkan dibayar dengan harga yang tinggi.

"Kau tak takut kena penyakit ke, Epul?" 

"Kau ni, Mus.  Terbantut rasa teruja aku.  Aku tahulah nak buat apa!" 

Mus mengeluarkan rokok lalu disepit ke bibir lebamnya.  Tanpa membuang masa, Epul mengangkat punggung lalu ke dapur untuk mencuci tangan.

Mus termenung jauh.  Matanya saja yang terpasak di kaca TV.  Sedangkan hatinya sedikit terganggu. Tiba-tiba dia teringatkan Mukhlis.  Lelaki bernama Emran Mukhlis itu telah membawa dirinya ke kancah gelap sejauh ini.  Harga kegelapan yang dilaluinya tidak semurah itu. Wang yang disogok tidak cukup untuk ditampung seumur hidup.   Di lubuk hatinya yang paling dalam, dia mahukan lebih lagi. Nombor telefon Mukhlis didail. Nada dering berbunyi panjang sebelum dijawab.

"Hello, Mukhlis."

"Kau nak apa lagi?" 

"Aku nakkan bahagian aku!"

"Bangsat!  Bahagian kau telah aku selesaikan.  Bahagian apa lagi yang kau mahukan?"  Suara Mukhlis ditekan kuat.

Mus ketawa sinis, angkuh dan menyakitkan telinga Mukhlis.

"Itu cuma bahagian yang pertama.  Bayaran itu adalah upah sebelum aku hapuskan nyawa budak tak guna tu," kata Mus, dan sebatang lagi rokok disisip ke celahan bibirnya.  "Upah selepas aku tamatkan riwayat budak tu belum lagi dibayar," sambung Mus lagi.

"Aku tak ada duit!" Mukhlis menahan geram.  Semakin dibiarkan semakin dirinya dipijak-pijak sesuka hati.  

"Itu masalah kau.  Aku cuma nakkan bahagian aku.  Kalau kau tak lunaskan hari ni juga, jangan salahkan aku kalau muka kau yang terpampang di muka depan Mega Berita."

Lama Mukhlis berjeda.  Kepalanya ligat menimbang tara permintaan Mus yang semakin tamak haloba.  

"Tik tok, tik tok.  Masa berjalan. Jangan fikir lama-lama."   Nada suara Mus berbaur amaran.

"Aku akan berikan cek kepada kau sekejap lagi."  Mukhlis terpaksa akur dengan kehendak Mus.

"Aku nak wang tunai, bukannya cek.  Dan aku nak hari ini juga. Sepuluh jam daripada sekarang.  Kalau kau gagal, jangan menyesal dengan apa yang akan aku buat."  Senafas Mus berkata-kata. Puntung rokok ditenyeh di dalam bekas abu rokok.  Disedut minumannya sehingga separuh bagi menghilangkan kering tekak.  

"Baiklah.  Tunggu aku di tempat biasa."  

Termeterai perjanjian mereka berdua dalam negosiasi ringkas.  Dengan berat hati Mukhlis menyatakan persetujuannya.

"Tunggu!" tegah Mus dari corong telefon.  "Kali ni aku nak RM300, 000.00."

Mukhlis mendecit geram.  Pelipisnya dipicit. Berdenyut-denyut kepalanya mendengar angka yang dipinta.  Permintaan Mus sememangnya melampau. Tiada guna lagi dia menyesali khilafnya sendiri.   Segala perbuatan jahatnya dibalas satu per satu sehingga dia jatuh terduduk.

Perbualan selama sepuluh minit itu ditamatkan.  Mus bersiul-siul girang. Bukan susah untuk mencari duit.  Baru diugut sedikit, hati pemuda itu mula bercakaran. Epul keluar dari dapur dengan dahi berlapis.  Dia duduk di kerusi dan kedua-dua belah kakinya disilangkan di atas meja kecil. Tangannya pula dilipat ke dada seraya pandangannya merayap ke wajah Mus yang begitu bersahaja.

"Seronok betul kau 'mencekik' si Mukhlis.  Takkan lupa kawan, kut?" Kening Epul terjongket sebelah.

"Selama ni ada ke aku lupakan kau?"  Pertanyaan sinis Epul dibalas dengan sinis juga.

"RM300, 000.00 dibahagi dua.  Setiap seorang akan dapat RM150, 000.00.  Lumayan juga tu."  

Epul mula berangan-angan.  Dia boleh membuat apa sahaja dengan wang sebanyak itu.  Mus memerhati gelagat Epul yang seperti cacing kepanasan.

"Sabarlah, 10 jam lagi kau hidulah bau duit tu puas-puas."  Mus bangkit dari kerusi.  

Nikmat menghisap rokok tidak senikmat menggunakan 'ais'.  Pintu bilik ditutup rapat-rapat untuk melayan sang khayal yang bakal dia kecapi.

"SEMUA anggota sila ambil posisi masing-masing.  Ingat, bertindak mengikut apa yang telah kita rancang."  Tajudin begitu serius memberi arahan.  

Hari ini merupakan hari terpenting mereka.  Hari ini juga akan menjadi titik-tolak dalam menentukan hala tuju hidup Johan selepas ini.  Doa dipanjatkan kepada Yang Esa sebelum operasi dimulakan. Besar harapan Tajudin agar segala yang dirancang berjalan lancar dengan izin-Nya.  Masing-masing sudah menyarungkan baju kalis peluru. Senjata juga telah diperiksa rapi. Mereka kini hanya menunggu masa dan ketika untuk bertindak.

"Emran, ini satu-satunya peluang awak untuk tebus kesalahan.  Terima kasih sebab sudi beri kerjasama." Bahu Emran ditepuk lembut.  Bangga terasa bila Johan bersetuju untuk berkerjasama dengan pihak polis tanpa banyak alasan.

Emran mengangguk lemah.  Air matanya bertakung di tubir.  Dia langsung tidak menyangka hal ini akan menjadi lebih rumit.  Akibat sikap tamak dan haloba, nyawa insan lain diancam bahaya. Akibat mengikut hawa nafsunya sendiri, dia terjerat dengan helah licik penjenayah dikehendaki.

Seperti yang dijanjikan, Emran menaiki keretanya untuk ke lokasi rahsia yang sering menjadi tempat pertemuan mereka dalam merangka perbuatan jahat.  Lokasi tersebut merupakan sebuah pasar lama yang terletak di muara sungai. Jam di tangan menunjukkan ke angka 1.30 pagi.  

Cuaca malam dingin sekali.  Pepohon rendang meliuk-liuk dahannya ditiup angin.  Bunyi daun-daun bergesaran diselangi kocakan air sungai.  Sesekali bau hanyir bangkai ikan dari pasar lama mengganggu sistem pernafasannya. Dua minit kemudian telefon pintarnya bergetar di dalam kocek seluar.  Nama Mus terpampang di skrin. Butang hijau dileret ke kanan untuk menjawab panggilan.

"Mudah berurusan dengan kau.  Kau letak saja beg itu di gerai ikan nombor lima, kemudian kau boleh berambus!"

Talian itu ditamatkan tanpa sempat Mukhlis berkata apa-apa.  Tangkai beg bimbit digenggam kemas. Wang tunai sejumlah RM300, 000.00 ditinggalkan di gerai nombor lapan sepertimana yang diarahkan.  Mukhlis masuk ke dalam kereta. Stereng digenggam kemas dengan kedua-dua belah tangan. Anak mata melingas ke segenap kawasan. Beg bimbit yang ditinggalkan belum terusik.  Dengan nafas berat, kaki memijak pedal minyak untuk meninggalkan kawasan itu. 

Malam yang gelap ditemani suara cengkerik.  Titis gerimis turun membasahi bumi. Bayang-bayang dua orang manusia dilihat menghampiri gerai tersebut. Pasukan Tajudin telah lama bersiaga.  Semua anggota cukup maklum akan peranan masing-masing. Penjenayah berbahaya lagi bersenjata itu perlu sentiasa diawasi. Setiap anggota memakai baju kalis peluru sebagai pelindung diri.

Sebelah tangan merenggut kasar tangkai beg.  Bibir nipis itu tersenyum tatkala menjinjit beg yang agak berat berisi wang.  Lumayan sungguh hasil yang dia peroleh dari kegiatan haram itu. Tiba-tiba kawasan itu diterangi oleh lampu limpah yang menyilaukan pandangan.  Bunyi tapak kaki dari pelbagai arah membuatkan Mus memegang senjatanya dengan lebih kejap. Epul mula mengangkat tangan, bersedia untuk menyerah.  

"Kau memang tak guna, Epul!"

Muka Epul pucat lesi tidak berdarah.  Muncung senjata diacu tepat kepada mereka berdua.  Tiada arah lagi untuk mereka melepaskan diri. Hafez menerkam Epul yang kaku berdiri.    Mereka berdua telahpun dikepung. Epul menggigil saat Hafez menyarungkan gelang besi di tangannya.   Rafi mengatur tapak perlahan-lahan ke arah Mus yang kelihatan agak mencurigakan tingkahnya.

Zup!

Sebutir peluru menyusup laju mengenai peha kiri Hafez.  Percikan darah mengenai mukanya sendiri. Rasa sakit menjalar ke segenap saraf.  Hafez jatuh terduduk di atas tanah. Mus dan pasukan polis mula berbalas tembakan. Malam yang sepi itu diganggu oleh bedilan yang bertalu-talu.  Rafi bertindak menyembunyikan Hafez di tempat yang selamat. Hafez menyeringai menahan sakit. Darah pekat mengalir membasahi seluar yang dipakainya.

"Bertahan, nanti paramedik sampai," tutur Rafi seraya menekan lubang tembakan di abdomen Hafez.  Tindakan itu bagi mengelakkan Hafez kehilangan banyak darah dan seterusnya tidak sedarkan diri. Tangan Rafi berlumuran dengan darah pekat dan hanyir.

"Sakit!  Allah!" rintih Hafez dengan mata terpejam.

"Buka mata, Hafez!  Jangan tidur!" arah Rafi dengan kuat.  

Rafi risau jika Hafez tertidur, maknanya dia sudah kehilangan terlalu banyak darah dan itu akan mengancam nyawa pemuda berani tersebut.  Rafi tidak tahu apa yang terjadi antara pasukan polis dan penjenayah itu sekarang ini. Dia terpaksa menyisip senjatanya di pinggang dan memeriksa keadaan Hafez dengan teliti.

Setelah beberapa minit, kedengaran bunyi tapak kaki kian menghampiri mereka.

"Bagaimana keadaan Hafez?"  Tajudin bertanya cemas. Beberapa orang anggota mula mengelilingi Hafez.

"Kurang baik, tuan."

Kelopak mata Hafez semakin terkatup rapat.  Bunyi siren ambulan bergema memecah hening malam.  Kerlipan lampu merah menandakan pasukan perubatan telah tiba di tempat kejadian.  Strecer dan paramedik keluar dari ambulan dengan pantas. Keadaan Hafez diperiksa terlebih dahulu lalu diusung ke dalam ambulan dan dibawa ke hospital.  

"Mana suspek seorang lagi?" soal Rafi tatkala cuma Epul yang duduk di satu penjuru dengan pengawasan seorang anggota polis.

"Terlepas…."  Tajudin mendesis geram.  Wajahnya diraup beberapa kali.  Mus cekap bersenjata dan tembakannya juga hampir tepat ke sasaran.  

Sewaktu aksi tembak-menembak terjadi, Mus seringkali dapat mengelak butiran peluru yang meluncur laju.  Pergerakannya yang licin umpama belut itu sukar ditelah. Peluru milik Mus akhirnya habis digunakan. Saat dia terkepung oleh pasukan polis, Mus dilihat tenang dan menyerah.  Ketika dia hampir diberkas pula, Mus bertindak di luar dugaan apabila dia terjun ke dalam sungai lalu tenggelam dan jasadnya tidak kelihatan lagi.

Kepingan wang bertaburan ke tanah.  Tajudin dan pasukannya cuma mampu berdiri di tebing sungai.  Pandangan mereka terhad oleh kegelapan malam yang cuma disimbahi cahaya bulan.  Tajudin cukup yakin bahawa Mus sudah lemas dibawa arus sungai yang deras. Tiada siapa yang mampu selamat jika terjatuh ke dalam sungai sedalam itu.

Pencarian mayat Mus dilakukan segera oleh pihak penyelam.  Dari jam 3.00 pagi hingga mentari menampakkan sinarnya, mayat penjenayah yang paling dikehendaki itu gagal dijumpai.

"Mayat suspek tidak ditemui, tuan." 

"Baiklah, terima kasih di atas bantuan kamu semua," ucap Tajudin sebelum sesi pencarian mayat Mus dihentikan.

Laporan itu menambah rasa sakit di kalbu.  Tajudin mengeluh hampa. Minuman berkafein diteguk sehingga habis buat penghilang kantuk yang bergayutan di kelopak mata.  Dia tidak tidur sejak semalam lagi. Gelung hitam tampak jelas di bawah matanya yang lesu. Jika mayat Mus tidak ditemui, peratusan suspek itu hidup adalah tinggi.  Keselamatan Johan masih belum terjamin. Dia yakin, Mus akan bertindak lebih agresif dari sebelum ini sekiranya dia masih hidup.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh