#13

TAJUDIN memanggung kepalanya dan melontar pandangan ke siling. Sesi temu ramah antara dia dan Zarul sebentar tadi berjalan dalam suasana canggung dan menjengkelkan. Adakalanya soalan yang diaju tidak dapat dijawab oleh Tajudin.

Bukan kerana dia tidak tahu, tetapi maklumat itu tidak boleh didedahkan kerana siasatan itu diklasifikasikan sebagai sulit dan tidak sewenang-wenangnya dapat dikongsi dengan pihak media.  Bimbang sekiranya ia akan menjadi isu besar dan dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan dan kepentingan sesetengah pihak.

Apabila berhadapan dengan Zarul, hati kecilnya dijentik dengan rasa bersalah.  Namun dibuang jauh-jauh rasa itu kerana mereka telah membawa haluan masing-masing mengikut aturan takdir.  Takdir Allah tiada siapa yang tahu. Mereka bertemu juga setelah hampir sepuluh tahun terpisah. Kini, mereka telah dewasa dan mempunyai kerjaya masing-masing dan lebih matang dalam melayari bahtera kehidupan.

Kotak memorinya terlontar jauh ke peristiwa yang berlaku pada 13 tahun lampau, sewaktu di universiti di sebelah utara.

"Cun betul awek Business Study tu. Tapi, itu lah, jual mahal pula," adu Zarul seraya meneguk minuman dalam tin dengan gelojoh.

"Kau ni tak ada benda lain.  Asyik usha budak-budak freshie saja.  Kita datang ke sini nak belajar, tau. Bukan nak cari buah hati."  Tajudin duduk di tepi koridor bersama-sama Zarul dan beberapa orang pelajar yang lain.  

Melepak di tepi koridor juga adalah salah satu aktiviti yang agak menyeronokkan juga; memerhatikan gelagat manusia lain dari sudut pandangan yang berbeza dan pelbagai ragam dapat dilihat.

"Aku bukannya apa, Taj.  Aku ada perancangan jangka panjang.  Kita belajar, belajar juga. Tapi kena bijak atur masa depan.  Contohnya dalam membina sebuah keluarga. Masa sekarang ini lah kita kena cari calon yang sesuai.  

Lepas dapat kerja nanti boleh terus nikah dengan si buah hati.  Disamping dapat jimatkan masa, kita juga dapat mendidik hati erti setia dan sabar." Zarul tiba-tiba saja kelihatan serius tidak seperti biasa yang suka membuat jenaka.

Tajudin ketawa dengan kuat.  Lucu melihat sisi serius Zarul yang berlawanan dengan sikap asalnya.

"Aku tak melawak, Taj.  Aku serius." Zarul mempamerkan riak kurang senang apabila niatnya diperlekeh.

"Okey… maaf.  Aku tak sengaja.  Aku doakan semoga hasrat kau tercapai." Tajudin menadah tangan lalu meraup telapak tangannya ke muka.

"Macam tu lah."  Zarul tersengih kemudian bola matanya ditala kepada satu sosok gadis berbaju kurung biru laut.

Lantas pandangan Tajudin turut dilemparkan pada arah yang sama.

"Itu ke buah hati kau?" Lengan Zarul disenggol sehingga Zarul tersipu-sipu malu persis pengantin lelaki di atas pelamin.

Wajah gadis itu tidak jelas kelihatan lantaran posisi tubuhnya yang membelakangi mereka.  Saat gadis berbaju kurung itu berpaling, hati Tajudin bagai direntap keluar. Senyuman manis yang terhias di bibir umpama kuntuman bunga mawar yang harum baunya.  Tajudin dan Zarul masing-masing terkesima.

Sosok ramping itu terus saja menaiki tangga bangunan di mana mereka berada.  Zarul kelam kabut membetulkan kolar baju kemeja yang dipakai, dan sesekali rambutnya disisi rapi dengan sikat yang tersimpan di dalam kocek belakang seluarnya.

Lain pula halnya dengan Tajudin.  Dia hanya mampu berdiri tegak dan hanya bola matanya  yang bergerak-gerak memerhati ayunan langkah gemalai milik si gadis.

"Dia datang, Taj.  Dia datang!" kata Zarul.

Air liur yang berkumpul di kerongkong Tajudin ditelan sekaligus. Wafiy memang seorang gadis yang cantik. Tidak hairanlah jika pendirian Zarul tergoyah.  Zarul menyimpul senyum yang paling manis. Saat gadis itu kian menghampiri, Zarul memanggil nama gadis itu dengan lembut sekali.

"Wafiy…."

Wafiy menoleh dengan kerutan di dahi.  Buku-buku yang dipegang dipeluk ke dada.

"Ya, saya," jawab Wafiy teragak-agak.

"Errr…  kawan saya nak berkenalan dengan awak!"  Tubuh Tajudin ditolak ke depan sehingga hampir merempuh Wafiy dek tenaga lelakinya.

Sorotan tajam diberi kepada Zarul.  Geram apabila dirinya pula disogok sedangkan Zarul yang beria-ia mahu memikat Wafiy.

Kerana terlalu gugup Zarul telah mensia-siakan peluang yang ada di depan mata.  Kepala yang tidak gatal digaru seraya mengutuk diri sendiri. Tajudin tergamam apabila pandangan mata saling menghantar rasa.  Bagai terkena renjatan elektrik, satu rasa yang sukar ditafsir berputik dalam hati. Saat itu juga nama Wafiy telah terukir di taman cinta sang arjuna.

"Abang… jauh termenung," tegur Wafiy sejurus mengambil tempat di sebelah Tajudin.  Segala bayangan lalu pecah menjadi kepingan-kepingan memori yang tersimpan dalam lipatan sejarah.

Tajudin membetulkan duduk dan menghadiahkan senyuman manis kepada isteri tercinta.  Wajah polos itu dijamah dengan matanya yang redup. Wafiy masih cantik dan ayu. Akan tetapi, bukan kecantikan itu yang membuatkan hati lelakinya terpaut.  Peribadi Wafiy yang sederhana dan budi bahasanya yang sopan berjaya membuat hati lelakinya bergetar.

"Aidan dengan Aireen dah tidur?" tanya Tajudin bila melihat anak-anaknya tiada di pangkuan Wafiy seperti biasa.

"Sudah… penat sangat agaknya sampai tertidur sambil makan," cerita Wafiy gembira.

"Kesian anak-anak kita.  Abang sedar, abang tak banyak luangkan masa dengan keluarga kita.  Abang janji selepas kes terbaru ni selesai, abang akan bawa keluarga kita pergi bercuti."  

Jari-jemari Wafiy digenggam erat.  Dia amat bersyukur dikurniakan seorang isteri yang amat memahami kerjayanya sebagai seorang pegawai polis yang bekerja tidak tentu masa. Adakalanya dia pulang pada lewat malam di mana isteri dan anak-anaknya telahpun lena dibuai mimpi.

"Tak apa, bang.  Wafiy faham. Berkahwin dengan abang bermakna Wafiy pun 'berkahwin' dengan kerjaya abang sekali.  Anak-anak kita pun Wafiy dah beritahu. Alhamdulillah, walaupun mereka masih kecil, tapi mereka dapat faham dengan baik."

Ubun-ubun Wafiy digosok penuh kasih.  Satu kucupan sayang singgah di dahi Wafiy sebagai tanda penghargaan dan rasa cinta.

"Jom, tidur.  Abang dah mengantuk."  Tajudin menggosok-gosok kelopak matanya yang kian terkatup. Pinggang Wafiy dirangkul dan mereka berdua menapak menaiki tangga bersama-sama ke kamar tidur.

°•°•°•°


"AWAK pasti ke ni, Putra?" tanya Tajudin ragu-ragu.  

Sudah dua malam Putra berkampung di pejabat.  Boleh dikatakan Putra kini lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah sendiri.  Memikirkan hal itu, Tajudin tersenyum sendiri. Dahulu, dia juga sama seperti Putra. Terlalu taksub dengan kerja sehingga lupa jalan balik ke rumah.  Setelah puas mendengar leteran ibunya barulah dia munculkan diri di rumah. Itupun cuma sebentar. Dia berasa seronok apabila satu-satu kes dapat diselesaikan dan tertuduh akhirnya didakwa di mahkamah.

"Lapan puluh peratus keputusannya adalah positif.  Cuma… saya perlu cari jalan untuk buat dia mengaku.  Kalau tuan percayakan saya, saya akan bawa dia ke sini untuk beri keterangan."

"Berapa lama?  Sebulan? Dua bulan? Lagi cepat lagi bagus, Putra.  Tak perlu tunggu lama-lama. Kita telah dilabel sebagai 'badut' oleh pihak media," bidas Tajudin dalam nada mendatar.

Putra mengangguk.  Sesukar manapun, dia terpaksa memujuk 'John Doe' untuk membuat pengakuan.  Apa jua halangannya selepas ini dia nekad untuk tempuhi jua. Sementelahan, jejak suspek-suspek juga masih gagal dikesan.

Pintu pagar rumah teres itu ditenung lama. Separuh hatinya mengarahkan dia pergi. Separuh lagi hatinya menarik dia daripada meneruskan niat itu.  Dengan berat hati, langkah diayun jua ke muka pintu.

"Assalamualaikum…," sapa Rafi setelah daun pintu ditolak.

Salam Rafi dijawab oleh Mael yang berada di ruang tamu.  Johan pun ada juga di situ. Mendengarkan suara Rafi itu, Johan terus meluru ke arah Rafi dengan laju.  Nampaknya kemarahan Johan masih membara terhadapnya.

"Berani kau balik ke rumah ni.  Kau tak dengar apa aku cakap hari tu? Aku suruh kau berhambus, kan?" sembur Johan tepat ke muka Rafi yang kelihatan tenang.

"Johan, sabarlah!  Si Rafi tu baru aje balik."  Mael melarang dan langkah Johan terbejat.  Cerlungan tajam menikam tepat ke anak mata Rafi yang langsung tidak menunjukkan sebarang penyesalan.

"Johan… Mael.  Aku minta maaf.  Aku akui segala kesalahan aku.  Aku lakukan itu semua bersebab."  Rafi cuba menjelaskan hal yang sebenar. Dalam masa yang sama mencari ruang untuk berdamai dengan Johan.

"Karut!  Itu semua alasan kau semata-mata untuk lepaskan tengkuk kau, kan?"  tuduh Johan kepada Rafi. Api kemarahan yang kian terpadam kembali menyala.

"Johan, kita perlu berbincang."  

Rafi masih cuba berdiplomasi dan seboleh-bolehnya tidak mahu terlalu mengikut perasaan.  Jika kedua-duanya keras kepala, sampai bila-bilapun keputusan tidak akan tercapai.

"Nak bincang apa lagi?  Aku tak bawa kau ke balai pun sudah cukup baik.  Suka-suka hati kau je nak arah-arah aku buat itu ini."

Suasana menjadi semakin tegang.  Sakit kepala Mael dengan kedegilan Johan.  Tidak dinafikan perbuatan Rafi itu salah dan tidak beretika. Akan tetapi, Rafi sudah cuba membaiki keadaan. Tambahan pula, barang-barang berharga milik Johan langsung tidak diusik.

"Tolonglah, Johan.  Hal yang aku akan cakapkan ni amat penting.  Aku harap kau dapat bagi kerjasama sebaiknya."  

Rafi tidak jemu-jemu memujuk Johan dan semoga dilembutkan hati pemuda itu agar meluangkan sedikit masa untuk dirinya.

"Rafi… aku pun nak minta tolong dekat kau sangat-sangat.  Tolonglah… tolong pergi dari sini. Aku tak boleh tengok muka kau lagi."  

Kedua-dua telapak tangan Johan dicantum, merayu agar Rafi segera beredar.  Semakin lama melihat muka Rafi, hatinya bagai dicarik-carik pedih.

Nafas kasar dihela Rafi, dan dilepaskan sebagai keluhan kecil. Tidak terduga titik kebencian Johan ternokhtah sebegitu. Menghukum dirinya sebagai pesalah tanpa bicara. Rafi mengangguk faham. Tiada guna dia merendahkan ego demi mencapai matlamat. Nampak gayanya Pelan A tidak menjadi.  Dia harus bertindak lebih agresif dan memulakan Pelan B.

Langkah Rafi disusun ke bilik tidur dibuntuti oleh Mael dari belakang.  Ini merupakan kali kedua Mael memasuki bilik pemuda itu. Serba-salah bila melihat Rafi memasukkan baju-bajunya ke dalam beg galas.  Bola mata Mael mengikut pergerakan Rafi yang berlegar-legar di dalam bilik itu mencari barang-barang peribadinya untuk dibawa bersama.

"Kau nak pergi mana, Rafi?"  Mael bersuara setelah sekian lama mereka berjeda.

Rafi mengangkat mukanya memandang tampang wajah Mael sekilas.  Senyuman dilorek sekadar berbasa-basi.

"Ulat dalam batu pun boleh hidup. Inikan pula kita manusia." Rafi membalas setelah beberapa minit soalan Mael dibiarkan sepi.

"Jangan buat perkara bukan-bukan, Rafi.  Aku tahu kita semua jarang sekali bertegur sapa.  Tapi, tak bermaksud kami tidak suka kau. Silapnya kita sebab terlalu sibuk dengan hal masing-masing dan hubungan kita renggang begini," luah Mael kesal.  Kekesalan itu jelas terpancar di raut wajah Mael yang biasanya tenang seperti tasik.

"Kau orang tak habis-habis fikir yang bukan-bukan fasal aku, bukan?  Aku tahulah hidup aku tak sama macam kau orang, selekeh.  Maka, kau orang membuat kesimpulan sendiri terhadap diri aku sewenang-wenangnya.  Jangan risau, kawan.  Aku masih ada akal, ada secebis iman yang menempel dalam hati aku yang hitam ni."

Mael tertampar dengan luahan Rafi yang jujur.  Sememangnya lidah tidak bertulang, mudah saja kata-kata kesat meluncur keluar dari bibir insan yang bergelar manusia. Tanpa sedar ada hati yang tergores.  Dan dia merupakan salah seorang daripada mereka yang terleka.

Sekental manapun hati Rafi sebagai seorang lelaki, tersayat jua apabila rakan serumahnya sendiri sanggup berfikir bukan-bukan akan dirinya. Benarlah kata orang, manusia selalu menilai orang lain dengan mata kasar, bukannya dengan mata hati dan kewarasan akal. Namun, dia tidak boleh membiarkan emosi menguasai diri.  Dia perlu segera pergi dari rumah itu pada malam ini juga.

"Ma… maafkan aku.  Aku tak bermaksud nak…."

"Tak apa, Mael.  Aku tahu. Aku tahu…," pintas Rafi laju.  Bahu Mael dipeluk seketika sebagai ucapan selamat tinggal.  

Ketika melalui ruang tamu, kelibat Johan menghilang.  Johan benar-benar mengotakan janjinya; benci melihat wajah Rafi walaupun kali terakhir Rafi berada di rumah sewa mereka pada waktu itu.

Beg galas disandarkan ke dinding. Terbongkok-bongkok Rafi menyarung kasutnya ke kaki ditemani Mael yang masih setia berdiri di muka pintu.

"Mael… jaga diri kau.  Aku minta maaf sekiranya ada salah dan silap selama aku mengenali kau.  Aku pergi dulu," kata Rafi.

Sempat Rafi melirik ke dalam rumah, berharap jika Johan menukar fikiran dan sudi memaafkannya.  Tetapi, semuanya sia-sia belaka. Hati Johan sekeras besi khursani. Tidak bisa dilentur lagi.

Deruman enjin kereta Rafi semakin hilang bersama bunyi cengkerik. Pintu ditutup rapat dan Mael masuk kembali ke dalam bilik Rafi. Segala barang-barang peribadi milik pemuda itu sudah tiada.  Bilik tersebut kosong tanpa penghuninya. Sekosong hati Mael setelah pemergian Rafi.

°•°•°•°


Previous: #12
Next: #14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh