#18



"BAGAIMANA boleh jadi begini?  Siapa yang berani bocorkan maklumat sulit ini kepada pihak media?" 


Bilik mesyuarat itu sunyi-sepi.  Tiada seorangpun yang berani membuka mulut. Hanya deruan alat penyaman udara yang melatari suasana.  Masing-masing tertunduk menekur permaidani. Kedinginan yang mencengkam sedingin suasana tegang yang menyelubungi pagi itu.  


Roman wajah Tuan Jasmit masam bak segelas cuka.  Jambang yang dijaga rapi itu menyerlahkan lagi karismanya yang tegas.  Satu per satu wajah anak-anak buahnya diperhati. Pandangannya jatuh kepada Tajudin yang sedang duduk menongkat dagu sambil berfikir.


"Tajudin?  Awak tahu ini angkara siapa?"  soal Tuan Jasmit secara terus. Bahasa yang berlapik hanya membazir masa.


Semua mata yang ada di situ dipusatkan kepada Tajudin yang mula berubah posisi duduknya.  Tubuhnya disandar ke kerusi. Sespasang matanya yang layu beradu dengan ketua jabatannya yang sedang berang.


"Maaf, tuan.  Saya tak tahu.  Walau bagaimanapun, saya akan cuba cari puncanya hingga ke akar umbi," janji Tajudin.  Rahangnya jelas kelihatan bergerak-gerak ketika dia berkata-kata.  


Sejujurnya dia tahu itu semua angkara siapa.  Biarlah dia menyelesaikan hal itu secara empat mata. Tajudin akan bersemuka dengan si pembocor rahsia itu secepat mungkin.  


"Saya tak akan berkompromi dengan mana-mana pengkhianat dalam pasukan ini.  Kalau saya dapat tahu ini semua kerja siapa, saya akan pastikan dia dipindahkan ke luar daerah serta-merta."


Lantang suara Jasmit memberi amaran.  Semua ahli mesyuarat berdiri apabila Tuan Jasmit bangkit dari kerusi dan ingin beredar dari bilik mesyuarat itu setelah penangguhan mesyuarat diumumkan.  Putra mendapatkan Tajudin yang masih kekal di kerusinya walaupun mesyuarat itu tamat sepuluh minit yang lalu.


"Tuan… tuan okey?" tanya Putra prihatin.  Gelisah jiwa dan raganya tatkala melihat Tajudin yang termenung jauh.


"Saya okey.  Putra, saya hendak keluar sebentar.  Saya pergi sendiri saja."


Putra tidak jadi melangkah.  Permintaan Tajudin agak janggal baginya.  Selalunya, Tajudin akan meminta dia menghantarnya ke mana-mana destinasi sahaja dalam waktu tugas.  Hari ini, khidmatnya tidak diperlukan. Dia terpaksa akur akan permintaan Tajudin kali ini.


Laju sepasang kaki itu memijak lantai.  Dia nampak seperti tergesa-gesa mengejar sesuatu.  Setelah bertanyakan arah kepada seorang kaki tangan di situ, Tajudin merempuh pintu bilik Zarul dengan marah.


"Apa semua ni, Zarul?" 


Beberapa orang pekerja yang berada di dalam pejabat Zarul bertempiaran keluar setelah diberi isyarat supaya beredar.


"Taj… kenapa datang tak bagitahu aku dulu? Boleh aku sambut dengan pulut kuning."  Zarul senyum mengejek. Suka dia melihat sisi marah Tajudin yang jarang-jarang terpamer.


"Kepala otak kau!  Ini apa?"


Dicampak muka depan akhbar Mega Berita yang memaparkan tajuk utama yang mendedahkan tentang saksi pembunuhan kes Borhan.


'SaksiUtamaPembunuhanBorhanDitemui.'


"Oh!  Aku cuma sampaikan maklumat yang betul.  Takkan itupun salah."


Zarul mengulum senyum, melempar pandangan penuh makna kepada Tajudin yang menyinga.  Seronok pula dia menonton kegusaran Tajudin. Resah dan gelisah seperti ayam berak kapur lagaknya.


"Memang salah!  Ini bukannya kes sembarangan. Kau dah letakkan saksi yang ada dalam bahaya.  Cubalah fikir dulu sebelum bertindak. Jangan fikir nak kaut untung aje!"


Zarul bangun dari bangku, berdiri tegak seterusnya cuba menghampiri Tajudin yang berdiri statik.  Dia berhenti sebentar seraya bahu kiri Tajudin ditepuk beberapa kali. Tajudin menepis sentuhan itu  berserta kerlingan tajam menikam. 


Langkah Zarul diatur ke pintu biliknya yang terbuka luas.  Beberapa orang pekerja terjenguk-jenguk ke dalam, mengintai babak panas antara mereka berdua.  Daun pintu ditutup rapat. Bidai tingkap ditarik dan privasi mereka tidak lagi dicabul. Tajudin memerhati ulah Zarul dengan ekor mata.


"Tolong beritahu aku… baris mana yang ada menyebut tentang nama saksi?  Aku cuma tulis yang betul sahaja. Aku bukannya bodoh untuk dedahkan semua kandungan sulit kerja pihak polis.  Kau tu yang patut bertenang. Tak perlu nak marah-marah begini."


Jelingan Tajudin penuh dengan amaran.  Suka-suka hati lelaki itu sahaja hendak mengajarnya itu ini.  Dia lebih tahu akan selok-belok niat penjenayah yang sebenar.


"Walaupun nama saksi tersebut tidak ditulis, kau kena ingat, penjenayah-penjenayah itu masih bebas di luar sana.  Dengan maklumat yang sedikit itu sahaja sudah cukup untuk mereka mencari saksi tersebut sehingga ke akar-umbi. Tindakan kau seolah-olah membuka peluang kepada mereka untuk mencari saksi, dan sekaligus meletakkan nyawa saksi dalam bahaya.  Semuanya sebab kau!" Lurus jari telunjuk Tajudin dituding tepat kepada Zarul.


"Ini amaran keras dari aku.  Sekali lagi kau siar berita sulit seperti ini, aku takkan teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap kau dan juga Mega Berita kerana cuba mengganggu siasatan polis."


Habis saja berkata-kata, telefon pintar milik Tajudin berdering.  Nama Zakiah terpapar pada skrin yang sedang menyala itu. Rengusan terluah di bibir.  Pasti wanita itu ingin bertanyakan tentang tajuk penting di akhbar Mega Berita.


"Assalamualaikum…," ucap Tajudin.  


Dia tergesa-gesa keluar dari pejabat Zarul.  Sakit hatinya bertambah melihat muka Zarul yang bersahaja.  Sedikitpun tiada rasa bersalah di riak mukanya, seperti dia tidak berbuat salah apa-apa.


"Waalaikummusalam.  Tuan, betul ke apa yang ditulis di akhbar?"  Seperti dijangka, Zakiah terus saja menghubunginya untuk pengesahan.


"Benar, Puan."  Tajudin terpaksa juga berterus-terang.  Kudup mata dipejam rapat, cuba menghapus rasa kusut yang memenuhi minda.


"Jadi pihak polis sudah tahu siapa pembunuh arwah suami saya?"  


Ada sendu di hujung suara Zakiah.  Harapannya cuma satu. Biarlah kematian arwah suaminya terbela.  Biar pesalah itu dihukum setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.


"Puan, pihak polis sedang cuba sedaya upaya untuk menangkap suspek.  Saya harap, Puan dapat bersabar."  


"Kalau boleh, saya nak berjumpa sendiri dengan saksi itu, tuan," rayu Zakiah berharap.


Nafas Tajudin dihela lama sebelum dilepas perlahan.  Permintaan Zakiah sukar untuk ditunaikan. Ini demi melindungi identiti dan keselamatan Johan sendiri.


"Saya akan cuba aturkan masa yang sesuai.  Tapi, bukan dalam masa terdekat. Saya harap Puan faham tentang prosedur yang perlu kami ambil."  Tajudin sekadar berbasa-basi. Hakikatnya, dia tidak akan meletakkan diri Johan dalam risiko.


Panggilan ditamatkan setelah beberapa minit mereka berbicara.  Telefon pintar dimasukkan semula ke dalam kocek seluar. Langkah diatur menuju ke kereta.  Nampaknya, Johan perlu lebih berhati-hati selepas ini. Suspek-suspek berkenaan mungkin sedang giat memburu Johan.  Walaupun tiada nama Johan dipetik di dalam akhbar, namun tiada sesiapa yang tahu akan kebolehan suspek yang lain.


°•°•°•°•°


"LAMA betul tak main tenis.  Apa mimpi kau ajak aku ke sini?" soal Mael tersengih.  

Johan tidak lagi bersikap aneh.  Sejak hubungan dia dan Rafi kembali pulih, Johan mula bersikap seperti sediakala.

"Banyak bunyi pulak kau ni. Kita baliklah!" ugut Johan seraya memulas anak kunci keretanya.

"Hei, aku bergurau ajelah.  Jomlah, aku tak sabar nak kalahkan kau."  

Johan cebik bibir seraya menjeling.  Mael begitu yakin dapat mengalahkannya.  Cakap saja besar. Padahal, Mael selalu kalah dan mudah berputus asa.  Raket masing-masing disangkut ke bahu, dan mereka berjalan beriringan ke arah gelanggang tenis.  Cuaca begitu baik dengan sepoi angin yang mendamaikan. Saat kaki melangkah ke dalam gelanggang, kelihatan dua orang gadis sedang duduk di bangku sambil mengikat tali kasut.

"Ada awek cunlah!" bisik Mael teruja.  Bola matanya terus tertancap pada gadis-gadis yang tidak menyedari akan kehadiran mereka berdua.

"Lama tunggu?  Maaflah, kawan saya ni kalau bersiap mengalahkan perempuan."  Mael terlongo. Terkejut melihat Johan yang berbual mesra dengan gadis-gadis cantik di depan mereka.

Johan ketawa dalam hati.  Mael pastinya terkejut tidak menyangka mereka bertiga saling mengenali antara satu sama lain.

"Kami baru je sampai.  Tak adalah lama sangat tunggu," jawab salah seorang gadis berkenaan dengan senyuman manis.

Mael terkaku lagi.  Sungguh ayu kedua-dua gadis itu.  Otot pipi bagaikan beku untuk mengukir senyum.  

"Hoi!  Kenapa bisu aje tiba-tiba?"  

Belakang badan Mael ditepuk kuat.  Seperti terkena kejutan elektrik, Mael terus memperkenalkan diri tanpa ditanya.

"Nama saya Mael.  Ismael bin Nawwab." 

Johan tepuk dahinya sendiri.  Mael bila berhadapan dengan para gadis, pasti akan bersikap ganjil.

"Maaflah.  Dia terpesona tengok kau orang kut." Mereka bertiga ketawa serentak.  Mael mengutuk Johan dalam hati kerana sengaja mengenakannya.

"Okeylah.  Tutuplah mulut tu.  Tak handsome langsung dengan mulut terlopong.  Ini Hanna, dan ini Shakira, kawan Hanna. Sebenarnya… Hanna dan aku… errr…."  Johan garu kepala yang tak gatal. Pipi merona merah. Hanna juga tertunduk malu.

Bahasa tubuh mereka tidak susah untuk dimengerti.  Cepat saja Mael menangkap maksud yang tersirat. Bibirnya tersenyum herot seraya mengecilkan mata, menyorot wajah rakannya yang sudah pandai menyimpan rahsia.

"Huh!  Diam-diam dah ada girlfriend.  Tak aci lah macam ni. Aku jugak yang solo."  

Mael pura-pura merajuk.  Sebenarnya, sejak tadi hatinya sudah terpaut kepada Shakira si tinggi lampai.  Bila Shakira tersenyum, matanya juga seakan-akan turut tersenyum. Hatinya kini berbunga-bunga, indah seperti dikelilingi rama-rama pelbagai warna.

"Jadi, hari ini kita akan berlawan secara beregu campuran.  Kalau semua setuju, sila ambil tempat masing-masing." 

Laju saja Johan menarik lengan Hana ke sebelah gelanggang.  Mael gembira bukan kepalang bila dapat berdua-duaan dengan Shakira.  Shakira yang mengerti dengan pandangan mata Mael, tersipu-sipu malu.  

"Good luck!"  

Shakira kenyit mata pada Mael.  Bukan ucapan Shakira yang membuatnya tidak tentu arah, tetapi kenyitan nakal itu yang membuat jantungnya tidak henti-henti bergendang.

Sesi pemanasan badan dilakukan terlebih dahulu.  Lima minit kemudian, sesi perlawanan dimulakan. Raket diayun dengan penuh semangat.  Pada set pertama, Mael dan Shakira telah memenangi perlawanan. Bintilan keringat membasahi muka dan baju mereka.  Gigih Johan memberi servis terbaik untuk meraih mata kemenangan.

Tiba ke set kedua, Johan dan Hanna pula yang berjaya memonopoli gelanggang.  Mereka bersorak gembira melihat muka masam Mael. Suasana gembira menyelubungi kawasan gelanggang pada petang itu.  Perlawanan juga semakin sengit.

Tiba ke set ke tiga, tidak semena-mena Shakira terjatuh bersama raket ke lantai gelanggang.  Lutut dan telapak tangannya tercedera akibat tergesel dengan permukaan gelanggang. Gadis itu mengaduh kesakitan.

"Shakira!" jerit Mael bimbang.

Mael bertindak spontan apabila telapak tangan Shakira diperiksa.  Tidak dihiraukan panahan mata Johan dan Hanna yang mengulum senyum.  Nampaknya ada putik cinta yang bakal mekar di hati Shakira dan Mael.

"Sakit?"  tanya Mael prihatin. Shakira mengangguk mengiyakan.

Johan, tolong ambilkan beg aku tu," arah Mael dengan serius.  

Sejurus beg berada di tangan, dia menyelongkar isinya lalu mengeluarkan satu kit pertolongan cemas.  Luka Shakira dicuci dan dibalut cermat dengan plaster. Shakira terharu dengan sikap ambil berat Mael terhadapnya.  Wajah Mael diperhati dari tepi. Gaya rambutnya kemas. Kulit wajah yang bersih walaupun tona kulit Mael tidak secerah Johan.  Tapi, manisnya tetap ada. Shakira tersenyum sendiri.

"Okey, siap!  Kalau sakit sangat nanti kita pergi klinik," cadang Mael lantas merenung ke dalam anak mata Shakira yang bersinar-sinar.  Tampak indah sepasang mata yang terhias dengan bulu matanya yang lebat itu.

Masa seakan terhenti dan mereka saling berbalas pandangan buat beberapa ketika.  Detik penuh bermakna itu lebur tatkala deheman Johan mengembalikan mereka ke alam nyata.

"Errr… aku dengan Hanna nak pergi minum.  Kau orang nak ikut atau nak terus bertentang mata sampai malam?"  

Hanna di sebelah Johan terkekeh-kekeh ketawa.  Seperti dijangka, Shakira tertunduk malu. Mael menayangkan penumbuk yang dikepal, cuba mengacah Johan yang sengaja mengusik mereka.

"Potong  stim betullah," rungut Mael mencuka.  

Johan memeluk bahu Mael untuk memujuk.  Shakira pula dibantu Hanna untuk berdiri.  Mael berulang kali memohon maaf kepada Shakira kerana menyentuh gadis itu tanpa sengaja.  Dia risaukan keadaan Shakira sehingga terlupa akan batas antara mereka.  

•°•°•°•


BERITA gembira itu disambut dengan rasa syukur ke hadrat Allah.  Setelah sekian lama menanti, akhirnya Mael dan Johan telah menemui cinta belahan jiwa mereka yang sejati.  Kamariah, ibu Mael, merupakan insan yang paling gembira.

Sebulan yang lepas, Mael menemukan mereka dengan Shakira.  Gadis bandar itu pandai menyesuaikan diri di kampung. Langsung tidak kekok atau mempamerkan wajah jelik ketika berada di bendang.  Malah, Shakira begitu teruja berkubang di sawah menangkap pelbagai jenis spesis ikan air tawar. Apabila tiba musim menuai padi, air di terusan akan menjadi cetek.  Ikan-ikan sungai dan air tawar akan mudah di dapati. Shakira cukup suka dengan pengalaman barunya itu.

Majlis pertunangan Mael dan Johan dijalankan selang seminggu.  Cincin bertakhtakan berlian berkilau di jari manis Hanna dan Shakira.  Takdir menyatukan mereka dalam cinta yang paling indah. Dalam luhur dua hati yang saling menyayangi, akhirnya terzahir jua dalam acara yang penuh bermakna.

Monica kelihatan ayu dalam persalinan mini kurung berwarna pastel.  Selendang yang diletak di kepala menambahkan lagi kecantikan asli yang dimilikinya.  Sedari tadi, tidak berkerdip mata Jeremy melihat penampilan Monica yang feminin. Johan mencuit lengan Jeremy yang duduk di sebelahnya.

"Cantik kan, Monica?  Jarang-jarang dapat tengok dia berpakaian begitu," puji Johan yang turut memaku pandang kepada sosok Monica.

Jeremy tersengih sahaja, namun tidak pula membuang pandang ke arah lain.  Kenapalah dia tidak nampak akan sisi cantik Monica yang lain. Jika di Casa Piena, Monica kelihatan biasa apabila menyarung seragam cef kebanggaannya.  Solekan tipis itu sahaja berjaya menyerlahkan kecantikan Monica.

"Pergilah tegur dia.  Monica asyik curi-curi pandang dekat kau aje dari tadi."  Johan cuba memberi kata-kata semangat kepada Jeremy.

Jeremy tidak menghiraukan kata-kata Johan.  Diakui, Monica memang seorang gadis yang menawan.  Akan tetapi, hatinya telah terpasak teguh kepada Lucy, teman wanita yang dikenalinya sejak lima bulan yang lalu.  

Johan geleng kepala.  Ada riak kesal terpancar pada wajah bening Monica.  Bersabarlah, Monica. Mungkin ada jejaka yang lebih baik untuknya daripada terus bergantung harap kepada Jeremy.

Usai majlis pertunangannya, Johan pulang ke rumah untuk melepaskan lelah.  Ibu bapa dan saudara-maranya yang lain terus menyambung perjalanan ke kampung halaman.  Ketika mengunci pintu pagar, Johan terlihat akan sebuah kenderaan pacuan empat roda berhenti di seberang jalan berhadapan rumahnya.  

Terhendap-hendap Johan cuba mengintai pemilik kenderaan itu dari halaman rumah.  Cermin gelap pada pintu kereta membataskan penglihatannya. Hati kecil Johan dijentik sangsi.  Apatah lagi gerak-gerinya terasa diperhati. Kaki diayun laju ke dalam rumah. Pintu dikunci rapat-rapat lantas tercari-cari telefon pintar miliknya.

'Ah, sudah!  Telefon dalam kereta!' gerutu hatinya geram.

•°•°•°•°







Previous: #17
Next: #19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh