#4

JOHAN terkocoh-kocoh ke dapur apabila tersedar akan tugasnya yang belum selesai.  Plastik hitam yang berada di dapur sebentar tadi sudah tiada di tempat yang sepatutnya. Malahan tong sampah juga sudah kosong diganti dengan plastik sampah yang baru.

‘Ke mana pula perginya plastik tu?’ desis Johan.

“Dari tadi aku tengok kau ni semacam je, Johan.  Nak kata bini lari, kau tu belum berbini lagi.” Mael ketawa dengan jenakanya sendiri. Sedangkan Johan separuh nyawa mencari plastik hitam yang hilang tanpa dapat dikesan.

“A… aku cari barang,” jawab Johan tergagap-gagap.

“Barang apa?  Mana kau letak barang tu?”  Mael turut membantu walaupun dia tidak tahu apakah barang yang dimaksudkan oleh Johan.

“Sampah,” jawab Johan sepatah.

“Sampah?  Entah-entah ada kat tong sampah kat luar sana.  Kau lupa kut.” Mael menggeleng dengan ulah Johan yang dirasakan cukup aneh pada hari itu.

‘Luar?  Bila masa aku buang kat situ?  Rafi….’ Nama Rafi disebut perlahan.  

“Kau nak pergi mana pula tu?”  Mael tertanya-tanya apabila Johan dilihat seperti orang sasau meluru ke pintu utama.  Mael sudah berdiri di depan pintu bilik bersama bagasinya.

“Ambil sampah!” sahut Johan di muka pintu.

“Johan, sudah-sudahlah tu.  Nama pun sampah. Sampah kan untuk dibuang.  Kau pula terbalik. Nak cari sampah untuk disimpan.”

Langkah Johan terbejat.  Sedetik kemudian, dia baru tersedar akan tindakannya yang boleh menimbulkan syak wasangka Mael yang tidak tahu apa-apa.  Dia menggaru kepala sambil tersengih menutup kegundahan hati. Dia berdoa agar baju sukannya kini berada di tempat pelupusan sampah dan salah satu bukti yang ada padanya terpadam.

“Dah lewat malam ni.  Aku nak masuk tidur dulu.  Terima kasih sebab jemput aku kat airport tadi.  Selamat malam,” ucap Mael sebelum menghilangkan diri ke dalam bilik.

Johan turut mengatur langkah ke biliknya juga.  Dia menukar bajunya dengan sehelai kain pelekat lantas merebahkan diri ke tilam empuk. Sedang leka melayari aplikasi sosial melalui telefon pintar, ingatannya melayang kepada rakaman video pembunuhan yang telah dirakam olehnya secara spontan.

Walaupun perit, dia menonton juga rakaman tersebut sehingga habis. Memang benar, lelaki yang mempunyai tanda lahir di keningnya itu merupakan salah seorang pembunuh yang bersekongkol dalam kes tersebut.  Johan mahu memadamkan rakaman video berkenaan. Kemudian, dia menukar fikirannya dan berhasrat untuk menyimpan rakaman tersebut ke dalam MacBook miliknya.  Fikirnya, cara itu lebih selamat. Lagipun MacBook tersebut jarang dibawa ke mana-mana.

Johan akui, dia amat takut untuk membabitkan diri dengan pihak berkuasa. Fikir Johan, jika dia berkerjasama dengan pihak polis dan penjenayah tersebut masih berkeliaran bebas di luar sana, perkara tersebut boleh mendatangkan bencana kepada dirinya.   Nyawa dan keselamatan dirinya akan terancam. Bahkan mungkin nyawa ahli keluarga dan rakan-rakannya juga bakal menerima habuan yang sama. Setelah berjaya memuat naik bukti rakaman ke dalam folder, Johan memadam rakaman yang tersimpan di dalam memori telefon pintarnya pula.  Malam itu Johan tidur dengan seribu satu rasa yang mengasak jiwa.

°•°•°•°

SEWAKTU melipat sejadah dan menggantungkannya di rak, kedengaran enjin motorsikal Rafi memasuki halaman rumah mereka. Seperti pada hari-hari biasa juga, Rafi akan pulang pada waktu yang sama. Apa agaknya pekerjaan Rafi yang sebenarnya? Manakala, waktu kerja Johan bermula pada jam 9:30 pagi. Ini bermaksud, Johan masih ada masa beberapa jam lagi sebelum bertolak ke tempat kerja. Justeru, dia bercadang untuk menyiapkan sarapan terlebih dahulu.

Semasa melintasi bilik Rafi yang pintunya tidak bertutup rapat, Johan agak terkejut melihat pipi pemuda itu lebam-lebam dan dicemari dengan cecair berwarna merah yang hampir kering.   Rafi ketika itu tidak perasan akan tindak-tanduk Johan kerana sibuk memeriksa bahagian sikunya yang juga tercedera sehingga menampakkan isinya. Tiba-tiba Rafi mengangkat wajah dan matanya ditala tepat kepada Johan.  Wajah garang yang sedang menahan kesakitan itu jelas tidak senang dengan pencerobohan privasi ke atas dirinya lantas menolak daun pintu dengan kakinya sehingga terhempas dengan kuat.

'Pelik betul.  Bergaduh ke budak tu?’ duga Johan sendiri.

Rafi keluar dari biliknya beberapa minit kemudian dengan tuala yang tersangkut di bahu.  Langkahnya yang perlahan dan terhincut-hincut diatur menuju ke bilik air. Sesekali, dia mendesis menahan sakit. Kecederaan yang dialaminya kali ini agak serius. Nampaknya dia perlu lebih berhati-hati dan menjaga keselamatan diri.  Johan memerhatikan tingkah Rafi dengan ekor matanya. Berat mulutnya untuk bertanya bencana apa yang menimpa Rafi. Sementelah, sikap dingin Rafi datang tidak mengenal masa.

Kereta Johan diberhentikan di depan sebuah rumah banglo bercirikan Itali yang dijadikan sebuah restoran. Terpampang megah papan tanda bertulis ‘Casa Piena’ di depan premis tersebut. Sebelum memulakan tugas, Johan akan menikmati secawan Espresso sebagai pencetus tenaga untuk dia meneruskan kerjanya.

“Selamat pagi, Cef,” sapa seorang pelayan di situ.

“Selamat pagi.”

Beberapa orang pelayan lelaki dan wanita sedang sibuk membuat persiapan sebelum restoran itu dibuka kepada para pelanggan pada jam 12.00 tengah hari.  Mereka tekun menghias meja dengan napkin dan utensil yang bersesuaian di atas meja. Langkah Johan diayun ke bahagian dapur. Beberapa orang pembantu tukang masak sedang sibuk menyiapkan bahan-bahan mentah untuk kegunaan memasak.

“Selamat pagi.  Hari ni kita ada apa-apa tempahan khas dari pelanggan tak?” tanya Johan seraya mengikat apron berwarna biru ke tubuh.  Dia khusyuk meneliti buku nota yang dicatat dengan perkara-perkara penting.

Steven, salah seorang pembantunya yang paling cekap berpaling lalu berkata, “Tak ada, Cef.  Esok baru ada.” Johan mengangguk tanda faham.

Di Casa Piena, terdapat dua orang lagi Cef yang bertugas di situ dan memegang peranan yang berlainan. Johan dipertanggungjawabkan sebagai Cef Pasta. Manakala Jeremy dilantik sebagai Cef Saus dan Monica sebagai Cef Pastri.  Mereka bertiga akan bergilir-gilir mengetuai dapur dan bekerja dalam tekanan yang tinggi hampir setiap hari.

“Cef Joe, bahan-bahan untuk pasta semua sudah siap,” beritahu Steven. Di tempat kerja, Johan dipanggil dengan nama 'Joe.’ Gelaran tersebut telah melekat saat pertama kali dia menjejakkan kaki di Casa Piena.

Walaupun Casa Piena merupakan sebuah restoran berkonsepkan Itali, namun pemiliknya ialah seorang lelaki Melayu dan beragama Islam. Minatnya yang mendalam terhadap masakan Itali telah mencetuskan ilham kepadanya untuk membuka restoran berkenaan. Tidak keterlaluan jika dikatakan pemilik restoran itu diangkat sebagai idola oleh Johan kerana ia bukanlah satu perkara mudah untuk membina nama dan bersaing dengan restoran-restoran tempatan yang lain.

“Jam 10.00 pagi nanti semua staff dikehendaki bersiap-sedia untuk mesyuarat.  Bos akan sampai sekejap lagi. Katanya ada mesyuarat tergempar,” kata Monica yang baru muncul dari cold kitchen.  

“Mesyuarat tergempar?  Pasal apa?” tanya Johan ingin tahu.  

Monica jongket bahu sebagai menjawab soalan Johan.  Dia sendiri pun tidak pasti. Emran, pemilik restoran tersebut baru saja menghantar pesanan ringkas kepadanya sebentar tadi.

Seperti yang dijanjikan, Emran muncul tepat jam 10.00 pagi.  Semua kaki tangan berkumpul di satu sudut bahagian dapur untuk mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh majikan mereka.

Good morning.  Maaf kerana terpaksa mengadakan mesyuarat tergempar pada pagi ni.  Hari ini, kita ada tetamu istimewa dari seberang yang akan datang bersama satu delegasi.  Jadi, ini merupakan pesanan mereka dan delegasi tersebut dijangka sampai pada jam 1.30 tengah hari.”

Emran menghulurkan salinan menu yang tercatat pada sehelai kertas kepada Jeremy yang bertindak sebagai Ketua Cef pada hari tersebut.  Dahi mereka bertiga berkerut membaca senarai panjang yang ditulis rapi.

“Suka saya ingatkan bahawa mereka semua amat cerewet tentang kualiti makanan dan juga aspek kebersihan. Jadi, saya percaya pasukan kita akan buat yang terbaik untuk menjayakannya.” Emran berkata dengan yakin.

Setelah mesyuarat tersebut bersurai, bahagian dapur sibuk seperti dilanda ribut taufan.  Johan yang segak mengenakan topi cef kelihatan bersungguh-sungguh menguli tepung untuk dijadikan doh pasta.  Restoran mereka terkenal dengan pasta buatan sendiri dan kualiti itulah yang menyebabkan restoran tersebut terus utuh dan semakin berkembang maju.

Ketika sedang berehat sebentar sambil menghilangkan dahaga,  telefon bimbit di dalam kocek seluar Johan bergetar. WhatsApp daripada Mael dibuka dan satu rakaman video telah dihantar oleh Mael.  Tanpa berlengah, Johan menonton video yang berdurasi tiga minit tersebut dengan tekun.

Wajahnya berubah pucat menyaksikan rakaman berita tempatan yang menyiarkan tentang pembunuhan yang berlaku semalam. Menurut pihak berkuasa, mayat mangsa telahpun ditemui dan pihak polis sedang mencari bukti dan sesiapa yang mempunyai maklumat tentang jenayah itu diminta tampil untuk membantu siasatan.

Mael

Ini taman yang dekat dengan rumah kita, kan?  Tempat kita berjoging selalu 😱 - 11.04

Johan tidak membalas mesej tersebut kerana terlalu gementar.  Kecekapan pihak polis akhirnya membongkar kepada penemuan mayat lelaki malang tersebut.  Johan kini tersepit dengan situasi yang diciptanya sendiri dan pendiriannya mula goyah.

“Cef Joe!  Cef Jeremy panggil.”  

Panggilan Steven mengembalikan Johan ke alam nyata.  Dia cuba untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap tuntutan tugas yang lebih penting.

°•°•°•°


Previous: #3
Next: #5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh