Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 39

SUDAH beberapa hari Qarizh pulang lewat ke rumah. Kadangkala, hatinya meronta-ronta mahu tahu ke mana suaminya pergi selama ini. Takkanlah langsung tidak mahu berbaik-baik bersama dengannya. Aditya banyak menasihatinya. Sudah masuk alam perkahwinan ini, kenalah hadap kesemuanya. Perlu banyakkan bersabar. Berbincang sesama suami dan isteri. Luahkan apa yang rasa tak puas hati. Bukannya menjauh dan berdiam diri begini.

Mana pergi janji dulu,
Mana cinta sayangmu,
Mana semua itu....

Matanya dibawa pejam rapat tatkala lagu itu bermain di radio yang baru saja dibukanya sebentar tadi. Tanpa sedar, air matanya mengalir. Dari tadi dia menahan perasan sedih yang semakin membengkung dadanya. Lama-kelamaan, tangisannya menjadi teresak-esak. Kusyen yang berada di atas sofa, dibawa tarik masuk ke dalam dakapannya.

Ting! Ting!

Dahinya berkerut. Telefon bimbit yang berada di atas meja dicapai lalu dibawa dekat ke penglihatannya. Semakin berlapis dahinya melihat nombor yang tidak dikenali menghantar mesej dan gambar di WhatsApp.

Unknown Number

Hai, my beautiful lady. I miss you damn so much. Bila kita nak berjumpa lagi, sayang? Bahagia sangat ke, jadi isteri Qarizh?

Giginya berlaga. Menahan marah. Ini tak lain tak bukan, pasti Yazir. Entah dari mana lelaki itu berjaya memperolehi nombor telefonnya. Semakin panas hatinya tatkala dia merenung ke arah gambar yang dihantar oleh Yazir.

Indira Callista

Kau nak apa sebenarnya? Kau nak laga-lagakan aku dengan Qarizh ke?

Tengku Yazir

Oh no, sayang. I beritahu you benda fakta. Qarizh sekarang dah berani keluar dengan perempuan. I guess dia bosan dengan you. Yalah, I tahu korang berkahwin sebab nak sakitkan hati I aje. Tak ada perasaan cinta yang ada dalam hati both of you pun.

Indira Callista

Aku malas nak layan kau. Kalau aku layan, makin teruk emosi aku. Jangan ganggu hidup akulah, setan!

Tanpa menunggu sebarang balasan daripada Yazir. Segera dia mengalihkan nombor kontak Yazir itu ke dalam senarai sekat. Malas dia hendak melayan perangai gila Yazir. Qarizh pernah memberitahunya yang Yazir pasti tidak akan duduk diam untuk menghancurkan kebahagiaan mereka.

Tapi...

Hatinya tertanya-tanya. Betul ke Qarizh keluar dengan perempuan lain? Dia sendiri tidak tahu sebab apa Qarizh sering pulang lewat malam. Salah dia sendirikah kerana tidak melayani Qarizh sebagai seorang suaminya? Kendatipun, dia sakit hati dengan perangai dingin Qarizh, tanggungjawabnya sebagai seorang isteri sedikit pun dia tidak pernah abaikan. Makan, minum, pakaian dan keselesaan Qarizh semuanya dia sudah sediakan. Cuma satu aje yang dia tidak mampu tunaikan sekarang. Macam mana tunaikan kalau Qarizh sendiri mengambil jalan menjauhkan diri daripada dirinya.

"Qarizh ada masalah ke? Patut ke aku tanya pada Saif? Haura? Tapi betul ke Qarizh keluar dengan perempuan lain? Qarizh bukan seorang lelaki yang suka keluar dengan sembarangan perempuan. Aku kenal suami aku. Walau dia marah macam mana sekalipun, dia masih waras untuk tidak melakukan perkara seperti itu," omel Indira pada dirinya sendiri. Nombor kontak Haura dicari sambil itu fikirannya ligat memikir Haura sekarang berada di rumah Kizo ataupun markas Qarizh.

"Hello?" Haura menjawab panggilannya setelah dua kali deringan.

"Haura, busy ke? Sorry akak menganggu."

"Eh, mana ada busy. Haura baru lepas tolong Abang Saif siapkan kerja dia ni. Ada apa, kak?"

Indira menarik dan menghembus nafasnya perlahan. "Abang Qar ada datang sana tak?"

"Ada. Tadi tengah hari. Tapi tak sampai 30 minit, dia keluar semula. Rasanya dia tidur dekat bilik tu. Abang Hilmi kata muka dia pucat sikit. Tak tahu kenapa. Bila Haura tanya kenapa tak balik rumah sendiri. Dia kata, markas ni yang paling dekat dengan lokasi dia tadi."

Dup. Dap. Dup. Dap. Laju jantung Indira berdegup ketika ini. Qarizh sakit ke? Apa yang terjadi dengan Qarizh sehingga lelaki itu tidak mahu langsung balik ke rumah? Walhal, dia sentiasa menunggu kepulangan Qarizh. Hari ini, dia langsung tidak keluar ke mana-mana.

"Haura, Haura ada tahu apa-apa tak? Akak minta maaf sebab susahkan Haura. Tapi hati akak betul-betul tak sedap. Bila-bila lagi Haura cakap yang muka Abang Qar pucat. Dia ada cakap tak dia sakit apa-apa?"

"Haura serba-salah sebenarnya nak cakap dengan akak. Kerja nilah yang Haura tolong Abang Saif tadi. Dia orang semua kalut. Tapi mujur Haura boleh akses semua sistem yang sudah digodam. Syarikat Abang Qar tu, ada masalah. Pasal kewangan. Ada pembelot. Mungkin sebab tu kut, Abang Qar nampak sangat tertekan."

Tangannya naik menyentuh dada yang tiba-tiba rasa perit. Kenapa dia langsung tak tahu yang suaminya dalam keadaan bermasalah seperti tu? Bukannya ringan masalah itu. Berat. Sangat berat. Melibatkan sistem kewangan syarikat.

"Ya Allah, terima kasih, Haura. Kalau Haura tak bagi tahu, akak macam orang bodoh aje duduk dalam rumah tu tunggu dia balik. Dah beberapa hari, akak tunggu dia balik."

"Sorry, kak. Haura tak ada niat nak berahsia. Ni Abang Saif yang tak kasi beritahu. Tapi Haura kesian akak. Harap akak janganlah petik nama Haura, ya? Takut pula kena hadap perangai singa Abang Saif ni."

"Tak apa, Haura. Akak tak sebut nama Haura. Terima kasih, ya. Akak letak panggilan ni dulu."

"Ya, kak. Jaga diri."

Indira mengeyakan lalu panggilan ditamatkan. Air matanya semakin deras mengalir. Langsung tidak diseka. Pedih hatinya ketika ini. Qarizh langsung tidak mahu bersusah senang bersama dengannya. Adakah perkahwinan yang dipersetujui ini merupakan sebuah kesalahan yang besar pernah dia buat dalam hidupnya?

DJ radio ini pula tidak habis-habis memainkan lagu sendu yang menambahkan lagi duka di dalam hatinya. Pantas dia bangun lalu menutup radio itu. Tak sampai beberapa saat, kedengaran bunyi ekzos kereta di hadapan halaman rumah. Dahinya berkerut. Qarizh dah balik ke?

Krek...

Anak matanya dipakukan ke arah pintu utama yang ditolak oleh seseorang dari luar. Memang sah Qarizh sudah jumpa jalan pulang ke rumah ini. Langkah lelaki itu tampak lemah dengan tangannya menjinjit briefcase.

Indira masih lagi terkaku duduk di atas sofa. Dia langsung tidak menyambut kepulangan Qarizh. Dibiarkan saja air matanya mengalir. Biar Qarizh tahu yang dia sudah penat untuk melalui situasi seperti ini.

"Dira..." Qarizh mengangkat wajahnya. Sudah lama dia tidak menyeru nama itu. Rindu pada isterinya itu semakin membuak-buak. Egonya sudah tewas sejak beberapa hari yang lalu. Setiap malam, dia tidak dapat tidur dengan sempurna. Pasti dia akan menangis sambil terbayangkan memorinya bersama dengan Indira.

"Aku ingat, kau dah tak nak balik langsung. Seronok meluangkan masa dengan perempuan yang entah siapa-siapa. Sedangkan aku dekat sini macam orang bodoh tunggu kau balik. Tunggu kau call aku. Chat aku. Tapi satu haram apa pun tak ada. Bila aku fikir balik, aku ni bukan isteri kau ke? Lafaz akad yang aku dengar tu, mungkin dalam mimpi aku. Bukannya realiti."

Sebenarnya bukan itu yang Indira mahu katakan. Entah kenapa dia lebihkan egonya ketika ini. Hatinya perit melihat wajah sembap dan pucat Qarizh. Tidak berdaya. Lemah. Qarizh ini sudah gilakah menyeksa dirinya sendiri? Apa gunanya dia menjadi isteri?

"Dira... perempuan... mana kau cakapkan ni?" Perlahan nada suara Qarizh menyoal. Dahinya berkerut-kerut. Punggungnya dihenyakkan di atas sofa bersebelahan dengan Indira. Ingin sekali dia mahu mendakap tubuh itu. Tapi sayang, Indira lebih pantas mengelak. Gadis itu bangun dari duduknya.

"Tak tahulah siapa. Aku pun tak kenal. Aku pun tak rasa yang aku ni isteri kau. Semua masalah kau, satu apa pun aku tak tahu apa-apa. Layak ke aku jadi isteri kau, Qar?" Teresak-esak Indira sebaik saja anak matanya jatuh pada raut wajah Qarizh yang nampak sangat keletihan itu.

"Aku minta maaf, Dira. Aku tahu aku salah. Aku tak pernah faham apa yang kau alami. Sebenarnya kita sama-sama sakit. Aku sakit. Kau sakit. Maafkan aku...." Qarizh turut melepaskan tangisannya.

"Kau lebih junjung ego kau, Qar. Aku cuba untuk terima apa saja yang keluar dari mulut kau. Tapi lama-kelamaan, hati aku semakin tipis. Luka lama yang sudah kering. Aku rasa macam dah berdarah semula. Kau ingat senang ke aku nak move on selama dua tahun ni? Sakit, weh! Sakit sangat!" Indira menepuk-nepuk dadanya dengan kuat.

"Dira...." Qarizh menggelengkan kepalanya. Sakit hatinya apabila Indira menepuk-nepuk dadanya sendiri. Dia tahu yang gadis itu sudah lama menahan keperitan. Saja dia buat buta kerana terlalu ikutkan egonya.

"Aku sakit, Qar. Aku pendam semua. Sakit sangat! Aku rindu Qas. Bukan kau aje yang merasa kehilangan. Aku pun terasa. Kehilangan dia sama macam aku kehilangan arwah along dengan kak long. Sakitnya hanya Allah saja yang tahu. Kau tak tahu, Qar. Kau cuma fikir kau saja yang sakit."

Qarizh menundukkan wajahnya. Terenjut-enjut bahunya melepaskan tangisan. Sumpah, dia berasa menyesal kerana terlalu ikutkan kata-kata hatinya. Betullah, bak kata pepatah. Ikutkan hati, boleh mati.

"Dira... aku minta maaf...."

"Aku... aku cuba untuk faham yang kau sakit melalui semua ni. Tapi kenapa kau tak boleh buat macam mana aku buat? Kenapa kau tak letakkan beban dan kesakitan tu sama rata? Kenapa kau suruh aku aje yang rasa semua tu?"

Qarizh hilang jawapan. Semakin sesak dadanya mendengar luahan hati Indira yang bagaikan lembing tajam. Menusuk-nusuk dadanya.

"Kau kata kau cintakan aku. Kau sayangkan aku. Tapi ni apa, Qar? Apa semua ni? Aku dah tak tahan. Aku minta maaf sepanjang aku jadi isteri kau. Kali ni, aku betul-betul tak tahan. Aku cuba untuk fikirkan positif. Tapi kau yang buat aku makin lama, makin tak tahan." Tubuh Indira melorot jatuh ke atas lantai. Wajah ditundukkan bersama linangan air mata yang tidak berhenti dari tadi.

Qarizh tidak mampu bersuara. Dia menjatuhkan tubuhnya dari sofa ke atas lantai. Perlahan dia mendekati Indira sebelum ditarik masuk ke dalam dakapannya. Mereka sama-sama melepaskan tangisan yang sudah tidak dapat dibendung lagi. Tangisan yang menunjukkan betapa terlukanya hati mereka.

"Maafkan aku... maafkan aku..." Diulang-ulangnya beberapa kali ayat itu betul-betul di hadapan Indira.

Indira membalas pelukan Qarizh. Kehangatan inilah yang ditunggu-tunggunya selepas Qarizh berjaya melafazkan akad nikah itu dengan sekali lafaz.

"Aku sayangkan kau..." Qarizh mula terbatuk-batuk. Mukanya terlalu letih. Namun ditahan demi si isteri. Tidak mahu, Indira sedih melihat keadaannya begini. Silap sendiri kerana tidak menjaga diri. Tanggunglah akibatnya. Jarang dia mahu sakit demam seperti ini. Dia terlalu tertekan. Tertekan memikirkan syarikat yang semakin merundum. Ni semua ulah Yazir. Dia sudah tahu daripada awal lagi.

"Qar... badan Qar panas sangat. Kita naik atas berehat, ya?" pujuk Indira dengan penuh lemah-lembut. Hilang sudah sifat Indira yang kasar tadi. Dia semakin serba-salah melihat Qarizh yang sepertinya menahan sakit dari tadi.

"Kau dah maafkan aku?" Pipi Indira diusapnya lembut. Bibirnya melakarkan senyuman kecil.

"Dira dah lama maafkan Qar. Maafkan Dira sebab berkasar bahasa dengan Qar. Tampar Qar. Dira isteri yang...."

"Sshhh... tak. Kau bukan isteri derhaka. Kau isteri yang baik untuk aku. Aku yang sepatutnya tak layak jadi suami kau. Kau sanggup bersabar dengan aku."

Indira hanya senyum. Dia berasa sangat lega selepas dapat meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya selama ini. Dilepaskan di hadapan Qarizh sendiri. Dan ketika ini juga, dia sangat gembira yang suaminya sudah tidak lagi dingin seperti dulu.

"Dira sayang Qar juga. Sayang sangat-sangat." Dipapahnya Qarizh lalu mendaki anak tangga ke tingkat atas sebelum melangkah masuk ke dalam bilik mereka.

"Aku nak manja-manja dengan kau hari ni, boleh?" soal Qarizh selepas tubuhnya dibaringkan di atas katil. Terasa nyaman dirinya apabila tubuhnya dihenyakkan pada tilam yang empuk. Ditambah lagi melihat senyuman yang mekar pada bibir isterinya itu.

"Boleh. Sebelum tu, tukar baju semua dulu. Jamah sikit makanan. Makan ubat. Baru boleh manja, okey?" Indira senyum. Perwatakannya sudah bertukar. Akan tetapi, perwatakan ini dicipta khas hanya untuk suaminya, Tengku Qarizh Nadim.

"Terima kasih, sayang...," ucap Qarizh sambil mengucup kekura tangan Indira yang duduk bersebelahan dengannya.

Indira menganggukkan kepalanya. Baru saja dia hendak bangun dari duduknya, Qarizh sudah menarik pergelangan tangannya sehingga dia jatuh terbaring di atas bahu suaminya itu.

"Qar... apa ni?" Jantung Indira sudah berdetak tidak berirama. Lain macam manja Qarizh ni. Buat dirinya rasa kalut saja.

"Bagi aku peluk kau 15 minit. Baru aku ikut semua arahan kau tu. Aku rindukan kau. Kau tak rindu aku?"

Indira mencebik kecil. Dia setiap hari tercongok dekat sofa ruang tamu tu, menunggu Qarizh balik. Tapi tak balik-balik pun sampai ke sudah. Baru hari ini, Qarizh jumpa semula jalan balik ke rumah. Mungkin jalan ke rumah mereka ini terpadam di dalam aplikasi Waze sekali gus dalam ingatan suaminya itu. Itu sebablah tak jumpa-jumpa jalan balik.

"Tak rindu. Dah penat dah rindu. Tapi tak balik-balik pun. Dia tinggal aje isteri dia macam bukan siapa-siapa pada dia. Hah, Qar tak jawab lagi. Siapa perempuan tu?"

Qarizh mengeluh panjang. Ingatkan Indira sudah melupakan hal tadi. Inilah perempuan. Sekali sudah buat salah. Selang beberapa jam pun, boleh ingat lagi. Jangan dibuat main dengan perempuan.

"Itu Nadihah, PA aku. Tadi aku nak pitam masa keluar dari syarikat. Kepala ni tiba-tiba berpusing. Aku tak dapat nak stabilkan diri. Kebetulan Nadihah pun baru aje keluar dari syarikat tu. Dia nampak aku. Tu dia tolong aku hantar sampai ke kereta. Aku rehat sekejap dalam 10 minit dekat dalam kereta sebelum balik rumah."

Indira mengangguk-anggukkan kepalanya. Betullah tekaan dia. Yazir memang sengaja mahu menghasut pemikirannya supaya beranggapan negatif pada Qarizh.

"Siapa beritahu kau semua ni? Mata-mata kau ke?"

"Sejak bila pula Dira ada mata-mata. Mata Dira ada dengan Dira ni ajelah. Dua biji ni. Sepupu kesayangan Qar la yang bagi tahu. Siap hantar gambar sekali. Entah macam mana dia dapat nombor Dira pun tak tahulah."

Qarizh melepaskan dengusan kasar. Matanya yang tadinya pejam, dicelik secara mengejut. Dia merenung wajah Indira yang menghadapnya. Betul-betul dekat.

"Kurang ajar mamat tu. Memang cari pasal dengan aku. Kau tunggulah nasib kau nanti."

"Sudahlah. Nanti-nantilah fikir. Ni dah 15 minit ke belum?" Rasa kurang selesa pula apabila tubuhnya dipeluk oleh lelaki yang bergelar suami itu. Lain macam auranya.

"Ulang semula masa. 15 minit lagi." Qarizh memeluk semula tubuh Indira. Erat. Dagunya disangkutkan pada kepala isterinya itu.

"Ya Allah, kalau macam tu sampai bila Qar tak makan ubat. Karang melarat panasnya."

Sepi.

"Qar..." Indira mengoyang-goyangkan lengan Qarizh.

"Eh..." Kepala didongak perlahan ke atas.

"Dah tidur ke?" Indira menghela nafasnya. Memang sengaja mengelat Qarizh ni dari mahu makan ubat. Sabar sajalah.

"Nasib baik Dira sayang Qar. Kalau tak, habis satu badan Qar lebam dengan bakat tersembunyi Dira ni."

Masih lagi tiada respons dari suaminya itu. Apa yang menampar gegendang telinga Indira ketika ini adalah dengkuran halus Qarizh. Sudahnya, Indira turut memejamkan matanya yang terasa pedih. Mungkin efek kerana menangis yang melampau. Tak sampai beberapa saat, dia juga tertidur di dalam dakapan Qarizh.


Previous: BEM 38
Next: BEM 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza