Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 30

SKRIN telefon bimbitnya ditatap lama. Hampir sejam dia dalam keadaan begitu. Entah ke berapa kali dia mengulang bacaan mesej ringkas yang dihantar oleh Indira melalui aplikasi WhatsApp itu. Sekejap-sekejap dahinya berkerut. Sekejap-sekejap dia meramas rambutnya perlahan. Dia sendiri tidak tahu sama ada dia harus membalas mesej itu ataupun tidak. Hatinya masih lagi marah pada gadis itu. Sakit pada hatinya begitu susah untuk dipulihkan semula. Indira menghilangkan diri begitu saja bagaikan meninggalkan torehan yang paling dalam di hatinya.

"Bos..."

Qarizh memalingkan wajahnya ke belakang. Kelihatan Saif dan Zane sedang berdiri di depan muka pintu biliknya yang tidak tertutup. Dia memang sengaja tidak menutup pintu biliknya itu. Senang dia hendak memanggil anak-anak buahnya dari dalam bilik sahaja.

"Hmmm..."

"Saya baru dapat info. Dan saya tak pasti sama ada bos nak hadir atau tidak," ujar Saif sambil melangkah mendekati Qarizh yang masih lagi duduk di atas katil.

"Apa dia?" soal Qarizh dengan keningnya terangkat sebelah. Dahinya berkerut nipis.

"Tengku Yasmin mengadakan parti hari kelahiran Tengku Yazir pada hari Ahad ini. Dilangsungkan pada jam 8:00 malam sehingga 12:00 malam." Begitu detil sekali Saif memberikan informasi itu kepada Qarizh.

"Jadi, sekarang ni. Kau nak suruh aku rosakkan majlis dia ke apa?" Kening Qarizh makin terjongket tinggi.

"Hurm... idea saya. Kalau bos sudi nak ikut, bos saja tunjuk muka dekat dia orang. Mesti sekarang ni dia orang ingat bos tengah sakit ke. Kemurungan. Mana tahu? Itu pendapat sayalah. Bos tunjukkan diri yang bos boleh bangkit."

Qarizh terdiam seketika. Otaknya sedang berfikir apa yang dikatakan oleh Saif sebentar tadi. Ada benarnya juga apa yang Saif katakan.

"Lepas tu, bos bolehlah bagi amaran dekat dia orang yang bos tak akan duduk diam." Zane mencelah setelah sekian lama menjadi pemerhati.

Qarizh mengangguk-anggukkan kepalanya. "Hari Ahad ni?"

Serentak mereka menganggukkan kepala.

"Sediakan baju aku untuk malam tu. Lepas tu, suruh Hilmi dengan Adiyan ikut aku. Korang bahagikan tugas masing-masing. Siapa yang jaga markas dan siapa yang jadi pemantau aku dari jauh."

Saif menganggukkan kepalanya. Arahan Qarizh diterima. Segera dia meminta diri untuk menyambung pekerjaannya lalu menarik pergelangan tangan Zane yang masih tercegat di sisinya.

Qarizh hanya memandang kosong saja langkah anak-anak buahnya itu sehingga hilang daripada pandangannya. Perlahan-lahan bibirnya mengukirkan senyuman penuh maksud tersirat. Sinis. Rasa tidak sabar pula dia hendak bertentang mata dengan Tengku Yazir. Musuh utamanya. Pembunuh adiknya. Dan juga pemusnah masa depannya.

"Yazir obseskan Dira. Patut ke aku bawa Dira sekali? Mungkin itu boleh membuatkan dia semakin panas hati." Qarizh tersengih sambil menggelengkan kepalanya.

"Ada gunanya juga Indira Callista ni. Inilah balasannya sebab kau dah mempermainkan perasaan aku. Kau ingat aku nak berlembut hati macam dulu lagi ke? Kau dah torehkan luka paling sakit dalam hati aku ni. Jangan harap sewenang-wenangnya aku nak maafkan kau."

Telefon bimbit yang berada di sebelahnya dicapai semula. Segera dia membuka aplikasi WhatsApp lalu membalas mesej ringkas yang dihantar oleh Indira beberapa minit yang lalu. Senyumannya tidak lekang dari bibir. Dua hari lagi dia akan berjumpa dengan Yazir. Berkobar-kobar rasanya.

Tengku Qarizh Nadim

Waalaikumussalam. Aku masih simpan lagi nombor kau. Kalau nak jumpa, esok pagi aku akan tunggu kau dekat kafe yang selalu kita pergi dulu tu. Kau pergi sendiri. Aku tak ambil kau macam dulu lagi. Tepat jam 11:00 pagi, aku tunggu dekat sana.

Butang hantar ditekan dengan senyuman sinis masih lagi mekar pada dua ulas bibirnya. Telefon bimbitnya tadi diletakkan di atas meja lampu. Tubuhnya dihenyakkan di atas tilam sambil memeluk bantal guling. Siling biliknya ditatapnya lama sambil tersenyum.

"Haih... tak sabarnyalah nak hancurkan hati orang yang pernah hancurkan hati aku. Sorang, sorang akan kena dengan aku. Jangan haraplah aku nak lepaskan korang. Kata mafia, kan? No mercy la!" Qarizh melepaskan tawa sehingga kepalanya digeleng-gelengkan beberapa kali.

BANGUN saja dari tidur. Bibirnya sudah menguntumkan sebuah senyuman lebar. Sungguh dia tidak menyangka yang Qarizh membalas mesejnya semalam. Rasa berbunga-bunga hatinya kini. Inikah dinamakan cinta? Dia berharap sangat masih ada lagi secebis rasa cinta itu di dalam hati Qarizh. Dan dia berharap agar Qarizh memaafkan dirinya tentang perihal dua tahun yang lalu. Langsung dia tidak berniat untuk meninggalkan lelaki itu. Dirinya sakit dan tersakiti dengan perbuatan lelaki bertopengkan syaitan itu.

"Amboi... tersenyum-senyum. Menang lucky draw ke apa?" perli Aditya yang sedang menyediakan sarapan di atas meja. Kizo dan Dimas pula awal-awal lagi sudah keluar bersama beberapa orang anak buahnya. Mungkin menguruskan sesuatu.

"Hish, mana ada. Wah! Rajinnya Encik Aditya buatkan sarapan. Mesti sedap ni!" ujar Indira sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi meja makan. Meliar anak matanya melihat juadah yang terhidang di hadapan mata.

"Alahai, simple saja aku buatlah. Nasi goreng kampung tu. Aku try buat memandangkan ada bahan dekat dapur tu."

Indira menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Segera dia mencedok nasi goreng kampung itu ke dalam pinggannya. Aditya hanya tersenyum saja melihat Indira. Dia turut melabuhkan punggungnya di hadapan gadis itu.

"Aku nak keluar sekejap lagi ni. Pergi jumpa kawan. Kau nak ikut ke?" soal Indira sebaik saja dia menghabiskan kunyahan yang kedua.

"Kawan mana kau nak jumpa?"

"Qarizh."

Aditya terdiam seketika. Patutkah dia ikut? Tapi sebelum Kizo keluar tadi, sempat lelaki itu berpesan kepadanya agar memantau gerak-geri Indira. Takut-takut ada yang berhati busuk mahu mengacau gadis itu. Sudahlah Izz masih lagi berada di Indonesia.

"Aku tak kisah kalau kau kasi aku ikut. Tak menganggu ke nanti? Aku boleh aje teman tapi nanti aku duduklah jauh sikit dari korang."

Indira diam dulu sebelum kembali bersuara. "Okey jugak tu. Takut Si Qarizh tu tak selesa pulak ada orang lain. Kita orang mungkin nak berbincang sedikit pasal dulu. Aku harap kau tak kisah. Kau dah temankan pun aku dah rasa happy."

Aditya senyum. Kepala diangguk sekali. "Lepas makan ni terus gerak?"

"Haah. Terus gerak. Dia tak ambil aku. Tak tahulah kenapa. Dulu biasanya, kalau nak ke mana-mana mesti dia ambil aku. Mungkin dia dah tak biasa kut lepas aku tinggalkan dia selama dua tahun tu."

"Oh. Macam tu. Tak apalah. Aku boleh drive."

"Thanks," ucap Indira sambil tersenyum.

Aditya sekadar menganggukkan kepalanya saja.

QARIZH mengerling ke arah jam tangan yang terbelit pada pergelangan tangan kirinya. Dia sampai ke situ awal 10 minit. Entah kenapa pula dia rasa tidak sabar mahu berjumpa dengan Indira. Hatinya sendiri menjerit-jerit kerana merindui gadis itu. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia memeluk Indira. Tapi memikirkan tentang batas pergaulan. Terpaksalah dia mengabaikan niatnya itu.

"Mustahil ke kalau aku dengan dia berkahwin? Kalau dia berkahwin dengan aku, makin mudahlah aku nak dera perasaan dia. Dera perasaan saja bukannya fizikal. Aku sendiri pun tak tergamak nak dera dia secara fizikal. Aku masih ada perasaan lagi. Aku cuma nak dia rasa apa yang aku rasa dulu. Sakitnya bila dia tinggalkan aku. Sekarang ni, aku nak dia rasa sakit hati juga." Qarizh mengomel pada dirinya sendiri sementara menunggu kehadiran Indira.

"Cinta? Tipulah kalau aku cakap yang aku dah tak cintakan dia. 10 tahun kut aku tunggu dia hadir dalam hidup aku. Lepas tu, dua tahun dia tinggalkan aku macam tu aje. Memang sahlah aku tak boleh nak terima. Dia tinggalkan aku sebab dia sakit. Tapi aku? Mana boleh macam tu. Sekali-sekala kena tunjuk juga ego dekat dia." Qarizh tersenyum lebar. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali.

"Hai, Qar. Kenapa terangguk-angguk tu? Aku depan mata ni pun kau tak sedar, ya?" Indira tersenyum lalu melabuhkan punggungnya di hadapan Qarizh. Aditya duduk di meja sebelah.

"Oh. Kau dah sampai? Kau datang dengan siapa?" Qarizh tidak menjawab soalan Indira. Meliar matanya melihat suasana sekeliling. Mahu tahu gadis itu datang bersama siapa.

"Dengan kawan aku dari Indonesia. Merangkap kawan baik kepada angah aku. Nama dia Aditya. Dia duduk meja sebelah sebab tak nak ganggu conversation kita."

Qarizh memandang kosong ke arah Aditya. Sementara Aditya pula tersenyum sambil menganggukkan kepalanya sekali. Inilah kali pertama dia berdepan dengan jejaka yang selalu menjadi sebutan Indira.

"Oh." Sepatah saja yang lahir dari mulut Qarizh. Sedangkan dalam hatinya berasa panas melihat Aditya. Dari awal dia terserempak dengan gadis itu, pasti Aditya ada bersama dengannya. Apa hubungan mereka berdua? Nampak begitu akrab sekali.

"So... Qar. Kau..."

"Aku tak nak cakap pasal dua tahun lepas. Aku nak cakap pasal benda lain." Laju saja Qarizh mencantas percakapan Indira. Kalau dibiarkan gadis itu bercakap mengenai dua tahun lepas, makin terbakar hatinya nanti. Silap-silap dengan kafe ni boleh terbakar sekali. Nahas nanti.

"Errr... baiklah." Indira menjadi kekok dengan sikap dingin Qarizh. Dia baru saja mahu menghidupkan suasana ceria seperti dulu. Akan tetapi, Qarizh sepertinya tidak mahu kenangan itu diputarkan kembali. Mungkin lelaki itu masih sakit hati dengannya.

"Nak cakap pasal apa?"

"Aku nak ajak kau. Malam Ahad ni ikut aku pergi satu parti ni. Kau tak boleh bantah. Kau kena ikut aku jugak. Kalau tak, aku tak akan maafkan kau."

Indira tercengang seketika. Adakah Qarizh sedang mengugut dirinya sekarang ni?

"Haa... parti apa? Pukul berapa?"

"Parti hari kelahiran. Tak perlu tanya kelahiran siapa. Sebab tarikh kematian dia tak lama lagi akan tiba. Pukul lapan malam. Nanti aku suruh kawan aku hantar baju untuk kau. Kau duduk dekat mana sekarang?"

Indira terdiam seketika. Sungguh dia ingin tahu parti kelahiran siapa? Apa yang dimaksudkan oleh Qarizh yang tarikh kematian dia tak lama lagi akan tiba? Siapa dia?

"Aku duduk dekat rumah angah. Kau pernah datang kut dulu. Angah tak ada. Dia masih dekat Indonesia."

"Aku tak tanya pun angah kau tu dekat mana. Lantak dialah nak dekat mana pun. Aku tanya kau duduk mana aje sekarang."

Indira tersentap. Kasarnya bahasa Qarizh sekarang. Entah kenapa, sakit hatinya melihat Qarizh seperti ini. Dia sangat rindukan Qarizh pertama kali yang dia kenal dulu. Ke mana lelaki itu pergi?

"Kau masih marahkan aku ke, Qar? Kau tak boleh nak maafkan aku? Dari apa yang aku tengok, kau macam nak tak nak layan aku. Apa motif kau ajak aku jumpa hari ni? Dan apa sebab kau ajak aku pergi parti tu?" soal Indira dengan penuh curiga. Sepertinya ada yang bermain di dalam fikiran lelaki itu. Cuma dia saja yang tak dapat nak meneka.

"Aku tak boleh nak bagi jawapan tu sekarang. Tapi aku masih boleh bertimbang rasa nak berjumpa dengan kau. Kalau kau nak berbaik dengan aku, ikut ajelah apa yang aku cakapkan. Tak akan itu pun tak boleh nak buat? Dah cukup dua tahun kau tinggalkan aku. Selama dua tahun itu juga, kau seksa hati aku macam aku ni tak ada perasaan." Sinis nada suara Qarizh membalas soalan-soalan Indira itu.

Hati Indira bagaikan dicucuk-cucuk dengan jarum halus. Hatinya berdenyut sakit mendengar jawapan Qarizh. Jahat sangatkah dia sehingga dirinya dituduh menyeksa hati lelaki itu?

"Aku bukan sengaja, Qar. Nak tinggalkan kau macam tu saja. Kau tahukan situasi masa tu macam mana? Aku minta maaf juga sebab tuduh kau menjadi punca kemalangan arwah along dengan kak long. Aku tak patut tuduh kau macam tu. Kau sendiri...."

"Kan aku dah cakap tadi. Aku tak nak dengar apa-apa cerita pasal dua tahun yang lepas. Aku jumpa kau ni saja aje. Nak borak kosong. Lepas tu, nak beritahu kau tentang parti tu. Sekarang ni, aku nak pergi ke pejabat. Ada kerja yang nak diuruskan. Nanti kita jumpa lagi."

Indira memerhatikan Qarizh yang sudah berdiri dari duduknya. Lelaki itu terus berlalu meninggalkannya tanpa pesanan yang lain. Mulut Indira ternganga kecil. Air matanya sudah bertakung. Sensitif hatinya melihat perangai Qarizh seperti itu. Dari rumah tadi dia sudah berangan mahu mengajak lelaki itu meluangkan masa bersama. Dan dia sudah terbayang saat dia meluahkan perasaan rindu dan cintanya kepada lelaki itu. Dia fikirkan Qarizh sudah memaafkannya. Nampak gayanya lelaki itu masih belum boleh menerima kejadian yang berlaku dua tahun yang lepas.

"Dira, kau okey? Kenapa kau menangis? Qarizh tu buat apa dekat kau?" soal Aditya yang sudah berdiri di sisinya.

Indira menggelengkan kepalanya. Air matanya yang hampir saja mengalir diseka laju menggunakan jarinya. "Okey saja. Dia ada urgent meeting. Tu dia nak ke pejabat cepat tu. Kita pergi tempat lain sajalah. Kau teman aku boleh?"

"Untuk kau. Apa saja boleh, Dira. Aku memang diamanahkan oleh angah kau untuk jaga kau. Jomlah. Kau nak ke mana?"

"Kita pergi taman tasik dekat sebelah sana tu. Jalan kaki sajalah. Boleh ambil angin sekali."

Aditya menganggukkan kepalanya. Dia beriringan jalan dengan Indira sehingga keluar dari kafe itu. Sesekali dia mengerling ke arah Indira yang sepertinya termenung. Dari rumah tadi, wajah itu ceria saja. Tetapi selepas bertemu dengan lelaki itu, wajah itu bertukar muram. Sedih.

"Aku tahu yang kau dalam keadaan sedih, Dira. Dari air muka kau, aku dah boleh teka. Kau tak boleh nak tipu aku walaupun dulu kita tak berapa rapat. Tapi aku kenal kau dah lama melalui abang-abang kau. Qarizh tu masih tak boleh nak terima apa yang jadi dua tahun yang lalu. Aku tahu tu...," gumamnya sendiri tanpa didengar oleh sesiapa.


Previous: BEM 29
Next: BEM 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza