Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 1

Buk! Buk! Buk!

INDIRA CALLISTA melampiaskan segala kudratnya pada punching bag kesayangannya. Dalam sehari, pasti dia akan meluangkan masa bersendirian di dalam bilik. Sehingga tidak sedar, sudah berjam-jam dia menghabiskan masa bersendirian di dalam bilik itu. Matanya dipejam buat seketika sejurus itu perbuatannya turut terhenti. Air matanya mengalir tanpa sedar. Kepala dibawa geleng beberapa kali. Tak, dia tak boleh lemah. Sama sekali tak boleh!

"Indira Callista, kau tak boleh lemah. Sampai mati pun, jangan pernah kau tunjukkan kelemahan kau pada orang lain!"

Buk! Buk! Tumbukan kembali aktif. Bertubi-tubi tanpa ada niat untuk berhenti walaupun keringat sudah membasahi tubuhnya. Rambutnya turut basah kerana bermandi peluh. Hari ini, betul-betul dia melepaskan segala apa yang terbuku di dalam hati. Walaupun apa yang bermain di dalam kotak ingatannya merupakan kisah yang sudah 10 tahun berlalu...

"Kalaulah punching bag tu boleh bercakap, mesti dia akan tanya adik. Kenapa hari-hari awak tumbuk saya? Tak kesian ke muka saya dah lebam macam ni?" Izz Benazir menegur si adik bongsunya. Sempat lagi dia menukar suara seperti Suneo, watak kartun animasi Doraemon. Izz Benazir memang tidak pernah serius sekiranya berbicara dengan si adik. Pasti dia akan membuat lelucon walaupun hambar.

"Angah nak apa? Kacaulah orang tengah release tension."

"Ah, kau. Tak habis-habis dengan release tension kau tu. Kau dah lupa hari ini hari apa? Kau pergi bersiap sekarang sebelum aku campak kau dekat Sungai Han, Korea tu," ujar Izz Benazir sebelum menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah.

"Ayah ngah!" jerit Dara Alana. Si anak saudara kesayangan Indira Callista dan Izz Benazir.

"Hoi, ayah ngah kau hijau!"

Kedebuk!

Punggung Izz Benazir selamat mencium anak tangga terakhir. Sekali gus, matanya terpejam sambil tangan mengosok-gosok punggungnya yang terasa sengal. Kalau hari-hari macam ni, silap hari bulan. Boleh kempis punggungnya begini. Suara jeritan milik Dara Alana mampu menggegarkan seluruh ruangan rumah bungalow dua tingkat ini.

Indira yang baru saja bersiap dengan hanya mengenakan jaket kulit berwarna hitam, berseluar jeans hitam dan rambutnya diikat tinggi, menggelengkan kepalanya. Laju saja kakinya melangkah menuruni anak tangga sehingga melepasi Izz Benazir yang masih terduduk di anak tangga terakhir. Tubuh genit milik Dara Alana dilambungnya ke atas sebelum dibawa ke dukungannya. Pipi labuh si kecil itu dikucup-kucupnya beberapa kali. Sekejap saja usia Dara Alana meningkat lagi pada tahun ini. Tahun depan sudah boleh didaftarkan menjadi murid tahun satu. Terlalu cepat masa berlalu...

"Kenapa dengan ayah ngah tu, mama?"

Sejak kecil lagi, Dara Alana sudah biasa memanggil Indira dengan panggilan 'mama'. Hubungan mereka menjadi lebih intim sebaik saja arwah daddy dan mummynya meninggal dunia lima tahun yang lalu. Ketika itu, dia baru saja berusia setahun. Sudah pandai menyebut daddy dan mummy. Tapi, sayang. Umur kedua-dua orang tuanya tidak panjang kerana terlibat dalam sebuah kemalangan yang agak tragis. Kemalangan itu juga membuatkan Indira Callista kemurungan selama sembilan bulan berturut-turut. Susah untuk dia menerima berita bahawa abang sulung dan kakak ipar kesayangannya itu sudah pergi meninggalkan mereka buat selamanya.

"Macamlah tak tahu, ayah ngah Lana tu macam mana. Kepala diakan ting tong sikit. Jom, sayang. Nanti dah lambat kita nak jumpa daddy dengan mummy. Mesti dia orang dah tunggu." Selamba saja Indira melabelkan Izz Benazir sebagai seorang yang ting tong. Kepala digelengkan sekali sebelum mengenakan sepasang kasut PUMA berwarna putih pada kedua-dua belah kakinya.

"Sampainya hatimu... meninggalkan aku..." Izz menyanyikan sebuah lirik lagu yang dulunya terkenal pada tahun 90an. Tubuhnya diangkat penuh dramatik lalu berlari ke arah si adik dan anak saudara yang sudah menunggunya di dalam kereta.

"Angah ni buang masa sajalah. Beria-ria suruh orang siap awal. Dia juga jadi orang yang terakhir masuk dalam kereta. Adik luku juga karang!" bebel Indira Callista. Sifat membebel sudah terlahir di dalam dirinya sejak dia kecil lagi. Sejak pertama kali dia sudah pandai bercakap, di situlah sifat membebel sudah sebati di dalam dirinya.

"Ala, chill. Jangan bebel-bebel. Nanti lubang hidung adik tu makin besar. Makin terlebih oksigen adik sedut nanti karang."

Indira melepaskan keluhan panjang. Memang nak kena abang dia seorang ini. Tapi, adanya Izz Benazir. Hidupnya hari-hari terhibur dengan sifat lawak abangnya itu walaupun kadangkala hambar. Tak semena-mena dia teringatkan memori lama yang kini hanya tinggal kenangan. Tak mampu dibina kenangan itu lagi kerana seorang lagi abangnya sudah tiada di muka bumi ini.

"Lepas kita jumpa along dengan kakak, angah belanja makan okey? Lepas tu, kita bawa Lana main dekat indoor playground tu."

"Yeay! Main, main!" sorak Dara Alana dengan suara penuh keterujaan. Kedua-dua belah tangannya diangkat ke udara lalu dilambaikan ke kanan dan ke kiri.

"Hari ni angah belanja semua apa yang kita orang nak, eh?" Bibir Indira Callista tersungging sebuah senyuman penuh makna. Tak lain tak bukan, seperti biasa dia akan membuli Izz Benazir untuk membiayai segala perbelanjaannya. Dah alang-alang, belanja makan. Tak salah, kalau belanja semua sekali.

"Kau ni, dik. Angah tahulah angah kerja arkitek. Gaji mewah. Jangan nak boros aje, ya. Kena berjimat-cermat."

Indira mencebikkan bibirnya membuatkan Alana tertawa melihat reaksi wajah mak cik kesayangannya itu. Macam biasa, nak minta Izz belanja mereka membeli-belah. Haruslah menadah telinga mendengar bebelannya. Bebelan termasuk pakej sekali dengan nasihat. Supaya tidak bersikap boros. Abang borek adik rintik. Wah, ada peribahasa baru!

"Baik, angah. Jangan risau. Adik beli sikit saja. Macamlah tak kenal adik ni macam mana. Dah 25 tahun bersama, tak akanlah tak kenal lagi."

Izz mengangguk-anggukkan kepalanya. Tahu sangatlah sikap Indira Callista, si adik bongsunya itu macam mana. Jauh beza dengan perempuan lain dekat luar sana. Spesies adik dia ni yang wujud kemungkinan besar hanya 25% saja daripada 100%. Memang susah nak jumpa geng spesies seperti adiknya ini. Seorang perempuan yang brutal dan selamba. Silap cari pasal, parah menanti. Terutamanya kaum lelaki.

DARA ALANA meraup wajahnya lembut sebaik saja dia mengaminkan doa yang dibaca oleh ayah ngahnya sebentar tadi. Sekarang ini, mereka berada di tanah perkuburan islam. Di situlah, kubur arwah abang sulung dan kakak ipar Indira dan Izz. Setiap hari Ahad, mereka akan datang menziarahi tanda mengingati. Dibawanya sekali puteri sulung Ilman Renaldi dan Kaisara Sufia supaya anak kecil itu mengenali siapa ibu dan bapa kandungnya yang sebenar.

Kecil-kecil lagi sudah menjadi anak yatim piatu. Alana beruntung memiliki pak cik dan mak cik yang sangat bertanggungjawab. Mereka berdua ibaratkan ibu dan bapa kedua buatnya. Kasih sayang yang diberi bagaikan menatang minyak yang penuh. Apa saja permintaannya, semuanya ditunaikan.

"Mummydaddy... Lana datang nak bacakan doa untuk mummy dengan daddyDaddy dengan mummy sihat tak? Best tak dekat sana? Lana rindu sangat dekat mummy dengan daddy. Bila kita boleh berjumpa, ya?"

Dengan begitu petah sekali, Dara Alana mengajukan beberapa soalan kepada arwah Ilman dan Kaisara. Soalan-soalan Alana serba sedikit mengusik hati Indira. Walaupun setebal mana tembok yang dibina di dalam hati seorang Indira Callista, pasti tembok itu bergoyang sebak setiap kali mendengar butir-butir percakapan seorang anak kecil yang sudah kehilangan ayah dan ibu sejak kecil lagi. Ketika itu baru hendak mengenal dunia. Berjalan pun masih lagi bertatih. Percakapan pun belum lagi fasih.

"Mummy dengan daddy gembira sangat setiap kali Lana datang lepas tu bacakan mereka doa. Dia orang tunggu doa daripada Lana. Semestinya dia orang nak sekali berjumpa dengan Lana. Cumanya belum sampai masanya lagi, sayang. Teruskan berdoa, okey?" Izz Benazir yang menjawab bagi pihak arwah Ilman dan Kaisara. Sempat lagi dia mengerling ke arah Indira yang terkemam-kemam bibirnya menahan sebak. Brutal macam mana sekalipun adik bongsunya itu, pasti ada sikap lemah-lembut yang ada pada mana-mana perempuan di dalam diri Indira.

"Okey, jom kita pergi makan. Jangan sedih-sedih lagi okey? Ahad depan kita datang lagi." Izz mendukung tubuh kecil Alana lalu menarik tangan Indira sebelum bersama-sama melangkah ke kereta yang mereka yang diparkir di bahu jalan.

"Kita pergi Alamanda Shopping Centre boleh tak, ayah ngah?" pinta Alana sambil menayangkan sebaris giginya yang putih sekali gus matanya disepetkan.

Izz tertawa kecil lalu menganggukkan kepalanya. "Boleh aje, sayang."

"Kalau pergi Alamanda Shopping Centre, hari ini ada event jualan secara besar-besaran. Jom, jom!" sorak Indira secara tiba-tiba. Hilang sudah perasaan sebaknya tadi dengan hanya sekelip mata.

"Haih, ini budak. Sabar sajalah aku. Perangai perempuan kau tu tetap ada. Jangan nak acah brutal sangat. Pantang nak shopping je kerja kau."

Indira menjelirkan lidahnya kepada Izz lalu memboloskan tubuhnya masuk ke dalam kereta Toyota Vios milik Izz Benazir. Alana pula didudukkan di atas riba Indira. Datang ragam si kecil itu mahu duduk di depan, tidak mahu duduk di belakang. Nak tak nak, Izz kenalah mengikut kehendak kedua-dua mereka itu. Kalau tidak diikut, satu hal pula mahu memujuk.

PUSAT membeli-belah Alamanda yang terletak di bandar Putrajaya dipenuhi dengan pelbagai ragam penghujung. Biasanya hujung minggu, mereka akan meluangkan masa bersama keluarga mahupun kawan setelah bekerja keras pada hari bekerja selama lima hari berturut-turut.

Dara Alana memerhatikan suasana pusat membeli-belah itu sehingga terteleng-teleng kepala dibuatnya. Semestinya dia sedang memburu sebuah kedai mainan yang menjual pelbagai mainan yang belum dia perolehi. Kalau diikutkan, memang tak muat bakul mainan yang berada di dalam bilik tidurnya. Silap hari bulan, Izz dan Indira terpaksa menyediakan sebuah bilik. Khas untuk permainan Alana saja. Masaklah mereka kalau begitu jadinya.

"Ramainya orang hari ni. Mesti penangan event yang adik cakapkan tu. Confirm punya!" Tergeleng-geleng kepala Indira melihat kesesakan di dalam bangunan Alamanda Shopping Centre ini. Terlalu ramai! Tidak seperti sebelum-sebelum ini. Betul-betul kuat penangan tawaran harga murah yang mampu menarik perhatian ribuan penduduk Kuala Lumpur dan juga Putrajaya. Kemungkinan juga ada yang datang dari negeri yang jauh serta pendatang asing dari luar negara.

"Itulah pasal. Dah macam sardin dalam tin ni. Berhimpit-himpit. Mahu pengsan angah kalau melekat macam-macam bau."

Indira tertawa kecil lalu menggelengkan kepalanya. Lengan sasa milik Izz dipeluknya erat supaya mereka tidak berpisah. Alana pula hanya sepi saja di dalam dukungan ayah ngahnya. Lensa matanya tidak berhenti bergerak. Masih lagi memburu sebuah kedai yang mampu menarik perhatiannya.

"Lana nak beli mainan dulu ke, nak makan?" soal Indira sambil menyelitkan helaian rambut yang menutupi dahi Dara Alana ke belakang telinga si kecil itu.

"Nak mainan. Nak mainan," rengek Alana sambil menggoyang-goyangkan tubuhnya sehingga menyebabkan Izz terpaksa mendukungnya erat supaya tidak terlepas.

"Kita masuk Toys R Us, nak?"

Laju Dara Alana menganggukkan kepalanya. Dalam kepalanya sudah berkira-kira, mainan apa yang mahu dibelinya. Pastinya dua atau tiga jenis mainan yang menjadi mangsa buruannya pada hari ini.

"Jangan jauh dari mama dengan ayah ngah, okey? Macam biasa. Kalau tak, no more toys," tegas Indira mengingati anak saudaranya itu. Beratus kali mereka masuk ke dalam kedai mainan, beratus kali juga Indira berpesan. Tak kisahlah sekiranya Alana jemu sekalipun. Itu adalah keutamaannya. Bukan dia tidak tahu, kalau dah masuk kedai mainan ni. Alana seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri. Tidak lagi pandang kiri dan kanan.

"Baik, mama." Kepala diangguk tanda faham. Akan tetapi, lensa matanya melingas mencari mangsa-mangsanya.

Izz Benazir mengekori mereka dari belakang. Seperti seorang bodyguard menjaga keselamatan majikannya. Itulah rutin Izz setiap kali menemani mereka membeli-belah. Sudah biasa sejak dulu lagi.

"Aduh!" Indira mengaduh sakit sebaik saja sebuah kotak anak patung jatuh terhempap bahunya. Secara automatik, pandangannya tidak lagi pada Dara Alana.

"Adik, okey tak?" soal Izz dengan penuh nada khuatir. Bahu adiknya diusap lembut sebelum pandangannya dialihkan ke arah Dara Alana. Namun, si kecil itu sudah tidak ada di situ. Sekelip mata saja, Dara Alana sirna dari pandangan mereka berdua.

"Lana?" Indira sudah tidak sedap hati. Laju dia berlari mencari sesusuk tubuh kecil itu.

"Angah, mana Lana? Ya Allah..." Wajahnya diraup beberapa kali. Jantungnya bagaikan mahu melantun keluar dari tangkainya.

"Dara Alana!" jerit Indira dengan nada yang cukup tinggi mampu menarik perhatian penghujung lain. Tetapi, langsung dia tidak peduli akan mata-mata yang sedang memerhatikannya. Dan mungkin dilabelkan sebagai orang gila yang berteriakan di dalam bangunan pusat membeli-belah ini.

"Sampai dah kat luar kedai ni, mana Lana? Dia ni memanglah tak dengar cakap!" marah angah sambil mencekak pinggangnya. Nafas dihela kasar. Matanya membelingas di setiap perosok bangunan membeli-belah itu.

"Mama! Ayah ngah!"

"Angah, tu suara Lana!"

Indira terus memalingkan wajahnya ke arah sebuah kedai yang tidak jauh dari kedai mainan tadi. Sepantas kilat, Indira berlari ke arah Alana yang sedang didukung oleh seorang lelaki yang berwajah beku. Tiada perasaan. Secalit senyuman pun tidak ada. Fikirkan boneka yang sengaja dipamerkan untuk mempromosikan produk mereka namun sangkaan Indira meleset. Rupanya seorang manusia yang masih lagi bernafas seperti biasa.

"Betul ke ni anak kau?" soal si lelaki beku itu.

Indira bersungguh-sungguh menganggukkan kepalanya. Ucapan terima kasih tidak lekang dari dua ulas bibirnya itu. Kalau tak kerana si lelaki beku ini menyelamatkan Alana, dia dan Izz sudah tidak tahu lagi mahu mencari si cilik itu di mana. Sudahlah ramai sangat manusia yang berlegar di pusat membeli-belah ini. Boleh mati kutu dia macam ni.

"Kau yakin? Bukan berpura-pura?" soal si lelaki beku itu lagi.

Soalan demi soalan yang diajukan oleh lelaki beku itu membuatkan Indira sebal. Masakan pula tidak percaya yang dia merupakan mama kepada Dara Alana. Sedangkan Alana sendiri yang memanggil Indira dan Izz tadi.

"Encik, bagi anak saya, ya. Memang betul dia anak saya. Lagipun, tak akan encik tuli tak dengar dia panggil siapa?"

"Mana tahu korang ugut dia. Macam-macam ragam manusia sekarang ni kalau nak berbuat jahat."

Indira mengusap-usap dadanya supaya dapat bersabar dengan kerenah lelaki tidak berperasaan ini. Sabar Indira... sabar...

"Encik, saya tak ada masa nak layan soalan-soalan encik yang mengalahkan anggota polis. Dia memang anak saya." Tangan Alana cuba diraih tetapi lelaki itu lebih tangkas dengan menepis tangannya.

Lelaki ni memang nak kena dengan aku. Dia belum rasa urat dia berbelit agaknya. Getus Indira di dalam hatinya sendiri.

Buk!

Terjojol biji mata lelaki itu saat perutnya dilutut oleh Indira Callista. Mahu terburai segala isi perutnya. Indira terus merampas Alana yang berada di dalam dukungan lelaki itu. Tubuh Alana dipeluk erat. Barulah dia dapat bernafas dengan sempurna. Selagi Alana tidak berada dengannya, selagi itulah dia tidak menghirup oksigen seperti biasa.

"Don't mess with me, mister," ujar Indira sebelum melangkah pergi meninggalkan lelaki beku itu yang sedang meringis kesakitan. Izz hanya mampu menggelengkan kepala lalu mengekori langkah adiknya itu. Setepek kau kenalah. Siapa suruh main-main kata dengan adiknya?

"Bos, bos okey tak?" soal salah seorang anak buahnya yang baru saja keluar dari tandas.

"Balik."

Sepatah perkataan itu sudah memadai buat mereka. Seperti biasa, hanya akur saja. Kalau tidak, mahu berkecai bangunan Alamanda Shopping Centre ini.

"Aku nak korang cari perempuan tadi tu. Berani dia cari pasal dengan aku. Aku soal betul-betul. Dia boleh lutut perut aku. Bodoh." Dia mengusap perutnya bagaikan ibu mengandung mengusap perutnya. Dia menayangkan wajah sebal. Cemberut. Nasib malang apalah hari ini, dia kena dengan seorang perempuan. Memang dia tak akan lepaskan perempuan tu sampai bila-bila. Jangan haraplah dia akan lupakan perempuan itu. Perempuan pertama yang berani menyentuh dirinya.

"Baik, bos."


Previous: Prolog
Next: BEM 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza