Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 27

MALAM ini, Izz Benazir mengajak Indira membincangkan sesuatu sekali gus memberitahu perkara yang sebenar. Yang sudah bertahun lamanya dia merahsiakan. Tiada gunanya lagi dia menyembunyikan perkara itu lagi memandangkan Indira sepertinya sudah ketahui perkara itu walaupun secebis. Disebabkan hal ini juga, hubungan mereka tidak terlalu rapat seperti dulu. Itu yang membuatkan Izz terasa takut. Tidak mahu dia perkara seperti itu terjadi.

"Angah nak cakap apa?" soal Indira sebaik saja dia melabuhkan punggung bertentangan dengan abangnya itu.

"Pasal adik nak balik Malaysia. Cuma sebelum nak bincang pasal tu. Angah nak berterus-terang dengan adik. Siapa angah dan arwah along yang sebenarnya."

Indira hanya mendiamkan diri. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya. Rambutnya yang sudah panjang paras lengan diselak ke belakang sedikit. Posisi duduknya dikemaskan bagi selesa. Telinga harus dibuka luas untuk menerima apa yang akan Izz ceritakan kepadanya.

"Along dengan angah ada tubuh satu kumpulan persendirian. Kumpulan tu ditubuhkan atas asbab untuk lindungi adik daripada musuh yang tiba-tiba saja datang menyerang. Along ada ambil beberapa orang yang dipercayai menjadi anak-anak buah kami. Salah satunya, Kizo yang paling dipercayai."

Indira menghela nafas panjang. Matanya dibawa pejam seketika. Entah kenapa, hatinya terasa kosong tatkala menerima berita seperti itu. Tak sangka yang along dan angahnya mempunyai kumpulan persendirian atas alasan mahu melindungi dia. Boleh percayakah alasan itu? Ataupun mereka ada motif lain?

"Adik tak tahu nak balas apa. Tapi, alasan yang along dan angah reka tu macam tak boleh nak terima. Nak tubuhkan kumpulan sebab nak lindungi adik? Korang berdua ada pun dah cukup dah untuk jaga adik. Kenapa nak kena jadi mafia? Nak jadi orang jahat?"

Izz kekal tenang. Tidak gentar langsung dengan pandangan anak mata Indira ketika ini. Dia sudah tahu apa yang bakalan berlaku sekiranya rahsia ini dipecahkan. Dia pun sudah siap bersedia berdepan dengan apa-apa saja yang berlaku.

"Itu salah satu sebab. Ada sebab lain. Sebab lain dia, keluarga kita ni ada musuh. Babah sendiri yang beritahu along dengan angah dulu. Perkahwinan babah dengan mak tak dapat direstui keluarga. Keluarga sebelah mak tak seperti yang kita fikir. Kita langsung tak pernah kenal dengan keluarga belah mak."

Indira terdiam seketika. Butir-butir bicara yang keluar dari mulut Izz serba-sedikit membuatkan otaknya berfungsi untuk berfikir. "Mak keturunan Tengku, kan? Sebab tu nama mak ada Tengku. Mesti ada konflik sebelum babah dan mak kahwin, kan?"

Izz hanya diam. Dia sendiri tidak tahu sama ada benar atau tidak tekaan Indira itu. "Angah tak ada jawapan yang tepat untuk jawapan adik. Tapi kemungkinan memang ada konflik dalam keluarga kita ni sampaikan musuh-musuh pun dah berani tunjuk diri nak cederakan adik angah."

"Hmm... adik tak sangka adik lahir dalam sebuah keluarga yang penuh dengan konflik. Sepanjang 25 tahun adik hidup, baru sekarang adik tahu. Kenapa along dengan angah rahsiakan hal ni? Kata sayang adik? Kata adik ni penting bagi korang. Tapi kenapa rahsiakan hal ni?"

"Sebab along dengan angah takut adik tak boleh terima yang kami ni dalam golongan kumpulan mafia. Tahukan apa maksud mafia? Tak ada belas kasihan lagi pada si musuh yang berani mengacau keamanannya."

Indira mengangguk-anggukkan kepalanya berkali-kali sambil bibirnya terjuih sedikit. "Adik tak kisah pun sebenarnya kalau along dengan angah mafia ke apa. Cuma adik terkilan sebab korang rahsiakan hal ni bertahun-tahun. Tup-tup aje adik termasuk bilik angah dan nampak ada senjata dalam bilik tu. Kalau angah jadi adik, apa yang angah akan buat?"

"Angah minta maaf. Kami bukan sengaja nak rahsiakan sesuka hati. Masa tu macam-macam yang berlaku. Adik masa tu kecil lagi. Lepas tu, selepas kematian along. Kesihatan adik merundum. Waktu bagaikan kilat memintas, tak memberi angah peluang untuk berterus-terang. Angah pun baru nak aktif semula setelah sekian lama angah sibuk dengan kerja hakiki angah."

Indira menghelakan nafasnya. Punggung diangkat lalu dia mendekati Izz. Perlahan dia menghenyakkan punggungnya di sebelah si angah. Pinggang angah dipeluk erat. "Adik tak nak lepas ni angah berahsia dengan adik apa-apa lagi. Please, adik dah 25 tahun. Bukan lima tahun lagi. Adik rasa adik ada hak nak tahu sebab kita adik-beradik, kan?"

Izz menganggukkan kepalanya. Kepala si adik ditolak lembut ke dadanya sebelum diusap-usap lembut. "Maafkan angah dengan along. Kita orang terlalu sayangkan adik. Tak nak apa-apa terjadi pada adik lagi. Dah dua kali angah gagal lindungi adik."

"Angah tak pernah gagal lindungi adik. Angah tak pernah biarkan adik sendirian. Terutamanya waktu kesihatan adik jatuh. Angah berjaya pulihkan semula semangat adik setelah dua tahun. Walaupun adik sedar, kejadian tu tak akan boleh luput dari ingatan adik. Adik kena terima diri adik yang sekarang ini."

Izz mengeratkan pelukannya dan Indira. Sungguh hatinya sakit mahu menerima kenyataan yang adiknya diperkosa oleh seorang lelaki yang bertopengkan syaitan. Bukan itu saja. Disuntik Indira dengan dadah yang berdos tinggi agar dapat melemahkan imunisasi dalaman badan adiknya itu. Sangat kejam.

"Angah tak dapat nak ikut adik balik ke Malaysia. Angah dah minta tolong Kizo. Dia yang akan jagakan adik untuk angah. Angah akan balik ke Malaysia bila Lana cuti nanti. Didit pun nak ikut adik, kan? Nanti angah akan pesan dekat dia."

"Terima kasih angah sebab izinkan adik balik Malaysia. Adik harap sangat angah akan lepaskan adik untuk adik jalani hidup adik macam biasa. Angah jangan risau, okey? Adik dah besar. Adik akan jaga diri adik sendiri."

Izz senyum. Kepala diangguk sekali. Rambut yang terjuntai di dahi Indira, diselak ke belakang sebelum dahi adik kesayangannya itu dikucup lembut. "Ya. Angah akan lepaskan adik. Dan angah harap adik mampu jaga diri adik. Kalau apa-apa berlaku, tolong hubungi angah secepat yang mungkin."

"Baik, bos." Indira melepaskan tawanya diikuti dengan Izz.

Aditya yang dari tadi memasang telinga di sebalik dinding dapur hanya tersenyum. Suka dia melihat kemesraan dua beradik itu kembali terjalin seperti dulu. Kalau tidak, masing-masing macam halimunan saja. Jarang sangat hendak bertegur. Dia sudah memasang niat di dalam hati untuk membalas jasa arwah Ilman dan Izz yang dulu banyak membantunya sewaktu di Malaysia.

"Man, aku jagakan adik kau untuk kau dan Izz. Aku akan ikut Dira balik ke Malaysia semula," gumamnya sendiri. Hanya dia saja yang dengar.

MATAHARI sudah kembali bersembunyi. Diganti dengan bulan yang menerangi dada langit. Matanya dihalakan ke arah langit yang terbentang luas. Bulan yang dipagari dengan bintang-bintang yang berkelipan indah. Memang kelihatan tenang dan aman saja. Akan tetapi, tidak setenang hatinya kini.

Di tangannya terdapat sekeping foto. Foto yang mengandungi dua orang insan yang sangat disayanginya. Tengku Qasrina Najihah dan Indira Callista. Dia sendiri tidak pasti, bila masa gambar ini dicuci. Dia menemui foto ini di dalam laci meja lampu bilik arwah adiknya itu. Begitulah rutin hariannya. Setiap malam, pasti dia akan berteleku di dalam bilik Qasrina. Melepaskan rindu yang tiada penghujungnya.

Lahirnya si adik perempuan ke dunia ini membawa satu tanggungjawab besar baginya. Sekali gus menukar statusnya menjadi seorang abang. Papa dan mama sudah mendidiknya untuk menjaga dan melindungi adik dari sebarang perkara yang membahayakan.

"Kawan-kawan adik semuanya cemburu sebab adik ada abang macam abang."

"Dia orang cakap, abang baik sangat jaga adik. Kalau ada orang usik adik, mesti abang akan muncul jadi hero."

Matanya dipejam rapat. Tangan naik menyentuh dada. Terngiang-ngiang suara Qasrina ketika kecil di pendengarannya. Tak lama itu, kedengaran teresak kecil memecahkan suasana yang sepi tadi.

"Aku gagal lindungi kau, dik. Sepanjang 27 tahun aku hidup, aku jaga kau. Aku lindungi kau. Aku belai kau. Tapi... orang senang-senang aje bunuh kau, dik. Dia orang bunuh kau dalam keadaan hubungan kita berjauhan. Macam mana aku nak terima? Dua tahun, aku berperang dengan perasaan aku. Susah, dik. Susah sangat."

Perlahan tubuhnya jatuh melorot ke atas lantai balkoni. Gambar tadi dibawa rapat ke dadanya. Air matanya berjuraian lebat. "Aku tak kisah kalau aku yang sakit sebab aku lelaki. Aku abang. Aku kena kuat untuk satu-satunya adik aku. Tapi... kenapa begitu mudah orang bunuh kau? Kenapa begitu mudah dia orang pisahkan kau dengan aku, dik?"

"Aku terlalu rindukan kau, dik. Kejam sangatkah aku sebagai seorang abang? Dulu aku lembik, orang pijak aku. Sekarang aku dah berubah... orang tak berhenti nak kacau keamanan aku. Aku tak pernah pun kacau keamanan orang. Kenapa? Apa yang dia orang nak sebenarnya?" Terenjut-enjut bahunya melepaskan tangisan. Sekali lagi, gambar itu dibawa dekat ke penglihatannya.

"Kau dekat mana, Dira? Kenapa kau buat aku macam ni? Kau tinggalkan aku sekali gus kau tinggalkan torehan yang paling dalam hati aku. Aku sayang dan cintakan kau. Aku tunggu kau bagi jawapan. Aku tak pernah paksa kau. Tapi... kenapa? Kenapa dua tahun kau menghilang tanpa khabar berita? Puas aku cari. Sorang pun tak boleh nak bagi aku info pasal kau."

Tangan kirinya mengepal penumbuk. Perasaan marahnya tiba-tiba saja membuak. Sakit di hati tiada siapa yang tahu. Perlahan dia bangun sebelum menyusun langkah masuk ke dalam bilik Qasrina semula.

"Aku tak akan lepaskan kau lagi. Dulu aku tak pernah paksa kau. Tapi kali ni, aku akan paksa. Aku akan tunjukkan apa yang terjadi setelah dua tahun kau tinggalkan aku. 10 tahun aku tunggu kau. Dan kau tambah lagi dua tahun. Kau ingat aku apa, Dira?"

Jari telunjuknya menyeka sisa air mata yang mengalir ke pipi. Gambar tadi disimpan semula ke dalam laci. Dia melangkah keluar dari bilik sebelum pintu ditutup. Langkah disambung dengan menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah. Kelihatan anak-anak buahnya sedang melepak di ruang tamu. Ada juga yang sedang menghadap laptop. Mungkin sedang membuat kerja. Airiel duduk di sebelah Saif sambil berborak dengan nada perlahan.

"Saif, apa cerita dengan lelaki tak guna tu?" Qarizh melabuhkan punggung di atas sofa single berhadapan dengan Saif dan Airiel.

Saif menganggukkan kepalanya sekali. "Kebetulan saya memang dah jumpa info pasal dia setelah dia hilang dari radar dua tahun lepas. Tengku Yasmin sendiri yang pindah Tengku Yazir ke Australia untuk rawatan sepenuhnya. Cadangan itu dikeutarakan oleh sahabat kepada Yazir sendiri. Doktor Hazkarl."

"Boleh tahan bijak dan licik dia orang ni simpan maklumat." Airiel mencelah sambil mengusap dagunya.

Qarizh menganggukkan kepalanya sekali. "Cukuplah dua tahun aku dah bagi dia masa untuk bebas. Tahun ni tiada lagi kebebasan untuk dia. Sampai Australia dia lari, ya? Ada ura-ura tak yang dia nak balik Malaysia?"

"Minggu depan. Hari Isnin. Saya dapat detect tiket penerbangan atas nama mereka berdua."

"Pukul?"

"10 pagi mereka akan mendarat ke sini," jawab Saif dengan lancar. Mudah sekiranya maklumat berada di dalam otaknya.

"Aku nak kau siasat semua sekali. Dari A sampai Z. Dia orang punya markas. Anak-anak buah ada berapa orang. Aku dah puas berehat dua tahun ni. Tahun ni untuk aku renggangkan semula otot aku."

Saif menganggukkan kepalanya. Arahan si ketua diterima.

"Aku nak join kau, Qar. Boleh?" soal Airiel sambil kening dijongket.

"Hmm... kalau aku larang pun. Kau bukannya dengar kata."

Airiel tersengih. Baguslah kalau sepupunya itu kenal bagaimana perangainya. Kalau dilarang sekeras mana pun, dia akan langgar juga sehingga hatinya puas. Jangan lupa. Dia pun seorang mafia.

"Hilmi dengan Adiyan macam mana?"

Saif mendongak kembali ke arah Qarizh. "Setakat ni, kesihatan dia orang mula nak membaik. Cuma Hilmi tu, dia macam pendam sesuatu. Sebab setiap kali saya masuk bilik tu, mesti dia tengah menangis teresak-esak. Banyak termenung. Suruh makan pun, boleh kira berapa suap aje. Doktor Mustika kata dia mengalami kemurungan. Adiyan pun okey saja. Dia boleh sihat tak lama lagi."

Qarizh diam seketika. Tak sampai beberapa saat, dia menganggukkan kepalanya tanda faham apa yang disampaikan oleh Saif. "Hilmi mengalami tekananlah kiranya?"

Saif angguk. Airiel di sebelah hanya memasang telinga. Begitu juga dengan anak-anak buah yang lain.

"Pastikan dia tu sihat semula. Aku ada benda nak buat dengan dia. Adiyan tu pun sama. Aku dah lama simpan denda aku untuk dia orang."

Saif angguk lagi. "Baik, bos."

"Qar, aku nak tanya kau boleh?" Airiel mencelah.

"Apa dia?"

"Kenapa kau suruh rawat dia orang? Ini kali pertama aku nampak kau buat macam tu. Aku ingatkan kau nak bu..."

"Bunuh dia orang?" Laju saja Qarizh mencantas percakapan sepupunya itu.

Airiel sekadar menganggukkan kepalanya.

Qarizh senyum kecil. Kepala diangguk sekali. "Aku tak akan bunuh orang yang pernah aku sayang. Walaupun aku hampir aje nak bunuh dia orang. Dan ada sebab aku nak dia orang sihat semula. Aku ada kerja untuk dia orang. Tapi mungkin layanan aku tak akan sama macam dulu lagi. Aku masih berhati perut nak bagi dia orang peluang kedua."

"Kenapa tiba-tiba? Ini bukan Qarizh yang aku kenal. Qarizh yang aku kenal tak akan ada sifat belas kasihan dalam diri dia lagi kalau orang dah usik kepunyaan dia."

Qarizh angguk lagi. "Memang betul. Apa yang kau cakap tu memang semuanya betul. Patutnya aku dah bunuh dia orang. Tapi... aku kenal dia orang dah lama. Dan, dia orang pun dah kenal aku lama."

Airiel masih lagi tidak puas hati dengan jawapan Qarizh. Sepertinya ada udang di sebalik batu. "Aku macam tak puas hati pula dengan jawapan kau, Qar."

Qarizh memutarkan bebola matanya. Meluat pula dia melayan soalan sepupunya itu. "Kau memang. Ada sekejap lagi aku kerat kau kepada 18 bahagian. Baru kau tau."

Airiel menyilangkan tangan ke dada. Bahu diangkat sekali. Bibir terjuih sedikit. Tidak peduli dengan ugutan maut Qarizh itu.

"Aku mimpi Qasrina. Dia selalu datang mimpi aku. Dia tak nak tengok aku macam ni. Dia pujuk aku untuk teruskan hidup walaupun aku tak pasti aku boleh ke tidak. Aku cuba. Sebab tu aku nak tuntut semula apa yang terjadi dua tahun lepas. Seorang mafia tak akan lepas musuhnya. Lagi-lagi yang dah berani bunuh adik aku. Walaupun dia orang tu ahli keluarga aku."

Airiel hanya mendiamkan diri. Tidak dapat dia nafikan, Qarizh sepertinya berkobar-kobar mahu melaksanakan dendamnya itu. Apa-apa pun, dia akan sentiasa bersama dengan Qarizh sehingga ke penghujung. Kerana Tengku Qarizh Nadim, satu-satunya keluarga yang dia ada.


Previous: BEM 26
Next: BEM 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza