Home Novel Thriller/Aksi SERINGAI
SERINGAI
#mystrill
21/11/2019 19:04:47
32,355
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2
Azril berjalan seorang diri sepanjang lorong pejalan kaki Wangsa Walk menuju ke Stesen LRT Sri Rampai. Asap rokok dihembus sambil dia mengangkat tangan menolak dengan sopan pelawaan pakcik teksi. Terdapat kata-kata kesat memaki hamun pemandu Grab dan Uber menggunakan cat berwarna putih tertera di lantai tempat menunggu teksi yang dilalui Azril. Agak berani dan agresif pemandu-pemandu teksi di sini, fikir hatinya. Oleh kerana sikap segelintir pemandu teksi seperti mereka itulah, Azril lebih selesa menggunakan bas dan berjalan kaki jika jarak perjalanan tidak terlalu jauh.

Dia tidak pasti sekarang sudah pukul berapa, malas pula rasanya untuk melihat telefon. Keadaan di Stesen Sri Rampai sudah lengang. Azril singgah di kedai serbaneka MyNews untuk membeli sekotak rokok dan setin air kopi. Dia terus menuju ke tingkat bawah selepas membeli token. Azril agak panik sedikit bila melihat jam di mesin token sudah menunjukkan pukul 9:45 malam. Dia menyumpah dengan senyap kerana perkhidmatan bas ke kawasan rumahnya sudah berhenti apabila dia sampai di Kelana Jaya nanti. Hilang sepuluh ringgit duit teksi, keluh hatinya. Dia terus menghabiskan air kopi sejuk dengan penuh nikmat. Otaknya mengidam kaffein sejak dari dia turun dari pejabat lagi.

Hanya Azril seorang sahaja berada di platform yang menghala ke Kelana Jaya. Sebuah tren 2 koc baru bertolak ke stesen Wangsa Maju di lorong sebelah. Dia tidak sabar untuk terjun ke atas tilam bujang empuknya.

Azril sedang menyumbat earphone iPod ke dalam telinga apabila matanya terpandang seorang gadis cantik menuruni anak tangga eskalator dengan tergopoh-gopoh. Mukanya pucat seperti baru lepas nampak pontianak, namun masih kelihatan menawan. Terpegun Azril untuk seketika, jika dia berada dalam drama komedi cinta sudah tentu masa akan menjadi perlahan dan lagu Foreigner; Waiting for a girl like you berkumandang. Gadis yang mempunyai wajah seakan kacukan melayu cina itu terkocoh-kocoh ke arahnya. Azril langsung tidak bersedia apabila lengan kanannya dirangkul erat. Haruman minyak wangi menerobos masuk ke dalam rongga hidung Azril, hingga dia terasa sesuatu bergolak dalam perutnya. Seluruh tubuh Azril terasa hangat.

“Hi sayang. Sorry I lambat. Lama tunggu?” Suaranya lunak dan nyaring, seperti sengaja dikuatkan. Dia merapatkan kepalanya ke muka Azril. Seluruh tubuh Azril terasa seperti terkena renjatan elektrik. Jantungnya berdegup kencang. Kepala Azril terasa panas dan ringan seperti akan melayang.

    “Shush. Help me please.” Gadis tersebut berbisik ke telinga Azril.

    “Ada orang tengah ikut I.”

    Azril menjengah ke belakang gadis itu dengan perlahan dan perasan seorang lelaki berjaket hitam berdiri tidak jauh dari mereka. Dia juga baru turun dari eskalator. Mata tajam lelaki misteri itu agak bengis, sesuai dengan misai tebal dan kepala botak licinnya. Lelaki tersebut hanya memerhatikan gerak geri mereka dari jauh dan langsung tidak berganjak. Azril semakin kaget, nampaknya penjenayah zaman sekarang semakin berani.

“He’s still here?” Gadis comel bertanya.

Azril mengangguk perlahan.

Satu persoalan timbul dalam benak fikirannya, bagaimana gadis ini dengan mudah percayakan dia? Apa akan berlaku kalau Azril juga seorang penyangak seperti lelaki botak tersebut? Mungkin dalam keadaan panik diekori lelaki yang tidak dikenali, gadis ini tidak boleh berfikir dengan rasional dan terus mengharapkan pertolongan dari orang pertama yang dia jumpa. Walaupun dalam kegelisahan, Azril berasa lega dan sedikit bangga kerana gadis tersebut mempercayainya dan meminta pertolongan. Dia menjadi wira kepada gadis cantik pada malam ini. Tren 4 gerabak sampai di platform. Sakit hati Azril melihat rekaan iklan yang tertera sekeliling koc tren, iklan sebuah kolej swasta tempatan. Langsung tiada konsep, naluri pereka grafik Azril terus membuat penilaian. Pilihan warna dan jenis tulisan langsung tidak sesuai dengan imej iklan. Jika nak guna fotografi sebagai iklan, tulisan janganlah berbunga-bunga dan kerawang-kerawang. Guna tulisan yang mudah dibaca, hatinya memberontak. Mereka terus masuk ke dalam tren.

Gadis comel itu meninjau keadaan dalam tren sebelum menarik lengan Azril jauh dari lelaki tadi. Ada beberapa penumpang lain sedang khusyuk bertasbih dengan telefon pintar dalam koc mereka. Ramai saksi, pasti selamat, gadis tersebut membuat andaian. Lelaki botak bengis duduk di koc sebelah.

“Thank you.” Dia melepaskan tangan Azril.

“I Adilya.” Nama yang eksotik, sesuai dengan tuan punya badan.

“Azril.” Mereka berjabat tangan.

Azril mengerling ke arah lelaki misteri tadi. Dia memandang tepat ke arah Azril sebelum tumpuannya beralih kepada telefon bimbit di tangan. Dada Azril terasa seperti disambar api. Dia terus memandang ke arah adilya.

“You tak apa-apa ke?” Azril terasa kekok.

“I’m fine. Just panik sikit je. Thanks.”

“So macamana you tau dia tengah ikut you? Mana tau dia memang nak naik tren ke.” Azril cuba menenangkan Adilya.

“Nope. Dia memang follow I dari Wangsa Walk.”

 “I baru habis tengok wayang dengan my friends. Dia ni tengah baca paper dekat entrance wangsa walk bila I keluar. He followed me until we met at the station tadi.” Dia menyambung lagi.

 Tidak berkelip mata Azril menumpu perhatian pada Adilya.

“I tak rasa dia ada kat situ secara kebetulan.” Adilya kembali merangkul lengan Azril.

“Stesen berikutnya, Setiawangsa. Next station Setiawangsa.”

Tubuh Azril bergolak. Segala macam hormon dan adrenalin dipam masuk ke dalam darah. Anak mata Azril mengembang. Seluruh badannya terasa hangat dan dia dapat merasakan sedikit rasa sensasi di celah kangkangnya. Patutlah saintis merumuskan berpelukan sesama lelaki dan wanita boleh menyihatkan badan, Azril tersenyum sendirian. Kemudian dia cepat-depat mematikan imaginasi-imaginasi nakalnya dari kotak fikiran.

“Okay. Relax.” Dia mencari soalan seterusnya.

“You kenal dia tak?”

Dia baru perasan betapa bodohnya soalan tadi. Sudah tentu Adilya tidak mengenali lelaki itu, kalau tidak kenapa dia lari?


“I mean, you tak cam langsung dia? Maybe sebelum ni pernah nampak dimana-mana ke?” Adilya mencuri pandang untuk seketika, lelaki botak sedang bercakap dalam telefon, mukanya berkerut serius. Adilya menggeleng. Kotak memorinya langsung tidak mengecam wajah tersebut.

Gerabak semakin perlahan dan berhenti di stesen Setiawangsa. Semua penumpang keluar dari gerabak meninggalkan Azril dan Adilya bersama lelaki botak bengis. Tiada penumpang baru dari stesen tersebut. Celaka, fikir Azril. Adilya menyedari keadaan mereka sekarang dan merangkul lengan Azril dengan lebih erat. Pintu gerabak ditutup dan tren terus meluncur laju meneruskan perjalanan.

Peluh mula membasahi dahi Azril. Lelaki tadi memandang mereka kemudian meninjau ke arah gerabak-gerabak yang lain. Kosong. Azril mula panik, perasaan mabuk cinta tadi sudah hilang. Kemudian Azril teringat tentang kamera CCTV didalam koc. Dia memandang tepat ke arah kamera yang paling hampir dan berharap sesiapa yang memantau skrin kamera tersebut menumpukan perhatian jika sesuatu yang buruk berlaku.

“Stesen berikutnya, Jelatek. Next station, Jelatek.”

Azril membuat pengiraan dan cuba membayangkan situasi yang bakal berlaku jika lelaki itu datang menyerang mereka. Dia nampak satu gerakan defensif yang paling berkesan. Dari tempat dia duduk, Azril boleh membuat satu tumbukan uppercut padu tepat pada dagunya. Jika nasibnya lebih malang, hentakan yang kuat itu boleh menghancurkan semua giginya atau lebih teruk lagi, terkacip lidah hingga putus.

Dia mengulang tayang senario tersebut berulang kali, menghafal setiap pergerakan dan langkah yang perlu diambil. Tumbukannya itu perlu padu dan tepat, kalau tersasar, Azril tak dapat bayangkan apa yang akan mungkin berlaku. Renungan mereka bertembung, dan Azril menggerakkan bebola matanya ke arah CCTV kemudian kembali bertarung dengan mata lelaki botak tersebut. Dia berharap lelaki bengis itu faham dia memberi amaran bahawa tindak-tanduk mereka diperhatikan. Kemudian Azril menundukkan kepala. Renungan lelaki sukar untuk dilawan. Penumbuknya digenggam hingga menggigil tangan Azril.

Telefon lelaki botak itu berbunyi, mengganggu tumpuannya terhadap Azril dan Adilya, untuk seketika. Dia kelihatan marah dan menekup mulut untuk melindungi perbualan. Azril menghela nafas lega.

Tren sampai di stesen seterusnya. Pintu gerabak terbuka luas dan dua orang wanita Filipina yang sedang becok berbual masuk dan terus duduk didepan Azril dan Adilya. Keadaan kembali tenang tetapi sedikit bising. Lelaki bengis tadi besandar ke belakang dan meneruskan perbualan telefonnya. Terdetik dalam hati Azril, adakah lelaki ini bergerak dalam kumpulan? Sekumpulan penculik yang menculik gadis seperti Adilya untuk dijual sebagai pekerja seks? Hati Azril membara. Tren kembali bergerak.

“See? You see that, right? Dia tak berhenti tenung kita.” Adilya mencubit lembut lengan Azril.

“Okay. Maybe you’re right.” Azril mula sedar betapa rumit dan dalamnya masalah yang sedang mereka hadapi sekarang. Lelaki ini mengekori Adilya dari Wangsa Walk hingga ke dalam LRT, dan dia tidak mengendahkan langsung kehadiran Azril disisi Adilya. Adakah dia tahu Adilya hanya berlakon atau lelaki gila ini memang langsung tidak takut dengan ‘boyfriend’ mangsanya. Mangsa atau mangsa-mangsanya? Mungkinkah Adilya ini bukan mangsa pertama, dan mungkin juga bukan yang terakhir? Semakin pening Azril memikirkannya. Mungkin andaiannya Adilya diekori oleh sekumpulan penculik adalah benar, dan mereka tak mahu melepaskan gadis secantik Adilya.

“Stesen berikutnya, Dato’ Keramat. Next station, Dato’ Keramat.”

“You turun di station mana?” Adilya cuba menenangkan dirinya dengan mengajak Azril berbual.

“Kelana Jaya.”

“Me too!” Senyumannya sungguh menawan. Giginya cantik tersusun putih bersinar seperti mutiara. Azril terperasan gigi taring Adilya sedikit panjang dari biasa, namun dia tidak beberapa pasti kerana hanya nampak sekilas pandang. Inilah pertama kali dia melihat senyuman Adilya. Tipulah kalau Azril tak rasa apa-apa dalam dadanya. Ditambah pula dengan kehangatan pelukan Adilya, dadanya bergelora dan Azril semakin angau.

Azril mencuri pandang lagi, lelaki tersebut sudah tidak berbual dalam telefon, dia memandang jauh ke hadapan, ke arah luar gerabak seperti sedang khusyuk memikirkan sesuatu.

“I dah berlakon jadi boyfriend you pun dia tak nak blah lagi.” Azril cuba hilangkan imaginasi nakal terhadap Adilya dari kepalanya. Dia cuba tumpukan perhatian pada situasi mereka sekarang.

“Tau takpe you.”

Tren berhenti lagi, seorang lelaki tua masuk dan duduk di sebelah pasangan wanita Filipina yang masih rancak berborak dalam bahasa Tagalog. Pakcik tersebut terus menyelak akhbar Metro yang berada dicelah ketiaknya sebelum ini.
 Mungkin surat khabar yang dibeli pagi tadi masih belum habis dibaca.

“MAYAT DITIKAM DAN DIBAKAR DITEMUI DIBELAKANG KELAB MALAM”

Azril membaca tajuk artikel di muka hadapan akhbar. Ia jelas tertera dalam font putih berlatarbelakangkan kotak hitam. Dia teringat tentang artikel berbahasa Inggeris yang dibacanya pagi tadi. Berita yang sama. Tiba-tiba darahnya berderau, meremang bulu roma. Azril terfikir satu lagi teori tentang identiti lelaki misteri yang mengekori Adilya. Teori pembunuh bersiri berlegar-legar kembali dalam kepala Azril. Tetapi mangsa pembunuhan tersebut adalah seorang lelaki, dan mungkin berkait dengan peperangan kawasan samseng-samseng di kawasna tersebut. Apa rasionalnya dia mensasarkan gadis muda pula? Mungkin ayah Adilya ni ketua samseng dan mereka mahu menculik anaknya untuk dijadikan tebusan? Boleh jadi juga. Azril tidak menolak teori tersebut dan hatinya semakin gelisah.

Dia kembali menumpukan perhatian kepada Adilya. Hairan juga Azril memikirkan kejadian yang berlaku pada malam ini. Adilya masih senyap. Rupanya dia sedang khusyuk menaip mesej WhatsApp. Tiada penumpang yang turun atau naik di stesen Dato’ Keramat. Azril menghela nafas lega.

“Stesen berikutnya, Damai. Next station, Damai.”

“Station KLCC selalunya ramai orang, but sekarang dah lewat kan, i’m not sure.” Azril memberitahu Adilya.

“I know. Thanks.” Senyuman Adilya ibarat jari jemari sejuk yang menggenggam jantung Azril.

Lelaki misteri tadi memandang ke arah mereka tetapi kali ini riak wajahnya sudah tidak sebengis dan menakutkan. Pandangannya seolah-olah menghina Azril. Dia perasan bibir lelaki tersebut mengherot di satu sudut, sengih yang mengejek. Seperti orang melihat sepasang kekasih dimana perempuannya sangat cantik tetapi pasangannya pula muka pecah rumah. Pasti setiap mata yang memandang akan bertanya dalam hati, betul ke perempuan ni? Atau prejudis terus menghukum perempuan tersebut mata duitan. Perasaan ini yang Azril dapat rasakan dari pandangan penuh makna lelaki botak tersebut. Kerana Azril juga sering mengkritik dan menghukum situasi yang sama. Karma’s a bitch, Azril menyumpah dalam hati. Kemudian lelaki botak itu kembali merenung ke arah luar tingkap.

Di luar gerabak, bandaraya Kuala Lumpur tersergam indah bermandi cahaya neon berwarna-warni. Hutan konkrit tersebut menyimpan pelbagai rahsia, baik dan buruk, bergantung kepada sesiapa yang mencarinya.

“Nanti sampai di LRT KJ, you balik naik apa?” Adilya menyambung perbualan.

“Owh, umm...cab.” Azril hampir terlupa malam sudah lewat.

“Hmm...Takpelah. I hantar you balik. Driver daddy I dah tunggu di station.”

Driver daddy I? Sudahlah cantik menawan, anak orang kaya pula, hari ini harijadi dia ke? Azril tersenyum sendirian, mujur Adilya tidak perasan.

Azril bersandar ke belakang. Matanya terasa berat, dan dia cuba untuk tidak menguap. Lelaki bengis juga sedang bersandar di tempat duduknya. Sesekali dia menjeling ke arah Azril, lelaki yang lebih muda itu terpaksa menundukkan kepala atau mengalihkan pandangan bila mata mereka bertemu. Azril mencuri pandang ke arah Adilya yang masih berpaut pada lengannya. Si gadis putih gebu masih khusyuk berbalas mesej WhatsApp dengan “Daddy”, Azril berasa sedikit lega, dia bukan bermesej dengan boyfriend, ada harapan.

“Hey. Dia dah tak pandang kita lagi.” Azril mendekatkan mukanya ke telinga Adilya. Bau harum shampoo mengganggu perasaannya dan terasa seperti beratus-ratus ekor rama-rama berterbangan dalam perut Azril. Mujur dia mampu mengawal perasaan, mahu saja dia tarik muka Adilya kearahnya dan mengucup bibir mungil merah saga itu.

Adilya memandang ke arah lelaki tersebut. Matanya sudah tertutup dan berpeluk tubuh. “Is he asleep?”

“Maybe.” Mata Azril masih terpaku pada wajah Adilya.

“I think we’re safe, for now.” Adilya menyambung.

Ramai penumpang menunggu di stesen Damai. Dada Azril terasa lapang.

Adilya menyimpan kembali telefonnya ke dalam bag dan menumpukan perhatian pada Azril. Dia sudah tidak takut lagi memandangkan lelaki jahat tadi sudah terlelap dan  gerabak LRT sudah dipenuhi penumpang. Dia juga hairan bagaimana dia boleh percayakan lelaki disebelahnya ini. Terasa seperti dia sudah lama mengenali Azril, dia berasa tenang bila memeluk lengan hero-nya. Adakah dia dan Azril mempunyai ikatan chemistry yang kuat hingga hilang semua rasa was-was dan syak wasangka? Adilya bersyukur kerana Azril berada di stesen LRT tersebut. Dia tidak boleh bayangkan jika tiada sesiapa berada di platform LRT. Atau lebih teruk lagi, jika ada orang lain yang sama jahat seperti lelaki botak tersebut. Naluri seseorang itu sangat pelik, fikir Adilya. Kadang-kadang baik, kadang-kadang buruk padahnya.

“Stesen berikutnya, Ampang Park. Next station, Ampang Park.”

    “I dah beritahu daddy I yang you nak tumpang balik. Nanti dia inform driver dia.” Adilya tidak beritahu Azril yang Daddynya  membebel panjang lebar dalam mesej jangan percayakan lelaki yang tidak dikenali dan dia tidak bersetuju anaknya menjemput Azril pulang dengan keretanya.

    “Owh, thanks. You dah beritahu daddy you pasal mamat tu?” Azril menunjuk ke arah lelaki botak bengis dengan keningnya.

    “Tak. I takut dia risau. I just beritahu I lambat. And sorang kawan nak tumpang balik.” Dia tersenyum.

    Lelaki botak berdiri berjalan ke arah pintu yang berhampiran. Dia menoleh ke arah Azril dan Adilya dengan jelingan sangat tajam sebelum keluar ke stesen Ampang Park. Matanya terjegil seperti seekor singa yang memandang sekumpulan kijang tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.

    “Oh my God! Thank God!” Adilya hampir menjerit riang. Azril juga terasa lega, seperti dia mendapat berita dia bebas dari penyakit kronik setelah sekian lama menunggu keputusan dari doktor. Adilya terlalu girang hingga dia tak sedar dia memberi satu kucupan di pipi Azril di tempat awam. Mereka terus senyap. Pipi Azril terasa panas dan merah, jantungnya pula seperti gendang perang yang dipalu dengan sepenuh tenaga. Adilya tidak rasa menyesal, tetapi malu. Pipinya juga kelihatan sangat merah, lebih jelas dari pipi Azril kerana kulitnya lebih cerah. Mereka berdua tersipu-sipu. Beberapa pasang mata menjeling ke arah mereka. Ada yang berbisik sesama sendiri tentang perlakuan sumbang yang baru mereka saksikan. Azril tidak menghiraukan jelingan mereka. Dia sudah lemas dalam perasaan angau yang jauh lebih dalam dari lautan Artik.

    Adilya melentokkan kepalanya ke bahu Azril. Perasaannya bergolak.Mengapa dia terlalu mesra dengan jejaka yang baru dia kenali ini. Dia teringat tentang artikel yang pernah dibacanya dulu; perhubungan antara dua manusia akan menjadi lebih akrab dan mesra apabila mereka berada dalam bahaya atau konflik.

Azril pula mulai risau jika selepas kejadian ini, dia akan dibuang ke tepi apabila dia sudah tidak berguna lagi. Bila Adilya sudah tidak berada dalam bahaya, adakah dia diperlukan lagi? Adilya mudah sahaja percayakan dia ketika di setesen Sri Rampai tadi, adakah dengan mudah juga dia akan tinggalkan Azril selepas ini? Tetapi macamana dengan kucupan tadi? Dadanya bergolak dan kepalanya berpusing-pusing cuba menghadam situasi ini.


    Sebuah Audi 5s putih sedang menunggu Adilya di pintu belakang ruang parkir stesen LRT Kelana Jaya. Gerai apam balik yang selalu Azril singgah sudahpun tutup. Seorang lelaki India yang agak berumur tetapi tubuhnya masih sasa bersandar pada pintu penumpang depan. Berambut crew cut, blazer hitam diatas T-shirt hitam, sepasang jeans dan but kulit, Azril membuat andaian pemandu ayah Adilya mungkin seorang bekas tentera atau polis.

    “Hi uncle Siva!” Adilya kelihatan riang. ‘Uncle’ yang sedang memerhati gerak geri Azril sudah berkhidmat untuk keluarga Adilya lebih dari 30 tahun. Keluarga Adilya sudah anggap uncle Siva sebagai ahli keluarga mereka sendiri.
    “Uncle, this is Azril. Azril this is uncle Siva. He’s been with our family since I tak beranak lagi tau!” Mereka berjabat tangan. Cengkaman tangan Siva sungguh kuat dan kemas. Mata Uncle Siva merenung tajam ke dalam mata Azril. Dia seperti nampak ada cahaya merah yang pudar di dalam anak mata lelaki tua itu. Azril mengabaikannya, dia sudah penat.

“Is this your friend yang nak tumpang balik tu?” Tangan Azril masih digenggam kemas.

“Yup! Hey uncle, be friendly aarr.” Kemudian gadis itu ketawa riang. Dia membuka pintu belakang dan mengajak Azril masuk.
    Uncle Siva tidak banyak bercakap sepanjang perjalanan, hanya bertanya tentang jalan untuk ke kawasan perumahan Azril. Tiap kali dia memandang ke arah cermin belakang, Siva akan menjeling ke arah Azril untuk memastikan anak perempuan tuannya tidak diapa-apakan. Uncle Siva lebih bengis dan menakutkan dari lelaki botak tadi, fikir Azril.
Adilya sudah tidak merangkul lengan Azril lagi namun tangan mereka saling berpautan dengan erat diantara mereka berdua di atas tempat duduk belakang, jauh dari pandangan Uncle Siva.


    “Hey, thanks tau. Kalau you takde kat station tadi tak tahu I nak buat macamana.” Adilya memandang tepat mata Azril. Pipinya merah.

    “It’s okay. I’m glad I was there.” Kalau ada lelaki lain selain I tadi, you still datang dekat I juga ke? Azril simpan soalan tersebut dalam kepalanya. Pipinya juga merah.

“Umm...so...Boleh kita jumpa lagi ke?” Dia menyambung dengan suara yang terketar-ketar kemudian menelan air liur. Azril tak nak terputus hubungan dengan Adilya.

    “Gimme your phone.” Adilya menghulurkan tangan.

Azril menurut kehendaknya. Dia melonjak kegembiraan dan membuat satu cartwheel somersault di dalam kepala. Adilya menaip nombor telefonnya dan memulangkan semula telefon Azril.

    “WhatsApp me.” Adilya merapatkan mukanya pada Azril dan satu lagi ciuman hangat diberikan. Terasa kebas pipi Azril.

    Dia mengerling ke arah cermin belakang dan matanya bertembung renungan Uncle Siva. Orang tua tersebut kurang senang dengan tindakan Adilya namun dia tau tempatnya dan bukan urusannya untuk masuk campur. Azril pasti dalam kereta yang agak malap itu, dia terperasan air muka Uncle Siva bertukar masam.

    “Bye.” Azril keluar dan menutup pintu kereta. Dia melambai tangan ke arah Adilya.

Kereta Audi putih berkilat itu meluncur laju meninggalkan Azril di perkarangan pintu utama kawasan rumah flat murahnya.

“Fuh! Siapa tu bro? Audi 5s tu.” Sapaan abang burger di belakangnya menarik Azril turun kembali ke bumi.

“Owh, boss saya. Kena stay lambat kat opis tadi. Dia tolong hantar.”

“Untung le dapat boss baik macam tu.” Ujar abang burger sambil melenyek burger di atas kualinya. Bau patty daging bercampur serbuk kari dan kicap Maggi membuka selera Azril. Dia berjalan perlahan ke arah gerai dan memesan dua burger daging special tambah cheese. Azril menghidupkan rokok dan berbual dengan abang burger dan beberapa orang lagi pelanggan lain yang menunggu pesanan mereka. Usai membayar makan malamnya, dia berjalan dengan hati yang riang. Fikirannya kembali melayang membayangkan Adilya.

Azril tersenyum keseorangan dari dalam lif hingga ke rumahnya.    

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill