Home Novel Thriller/Aksi SERINGAI
SERINGAI
#mystrill
21/11/2019 19:04:47
32,364
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3
Aziz mencampakkan puntung rokok ke atas jalan dan mehenyaknya dengan kasut hingga hancur. Hatinya panas membara dan puntung rokok malang itu menjadi tempatnya melepas geram. Asap dihembus jauh ke atas. Sungguh nikmat rasa nikotin, mententeramkan darah yang sedang menggelegak. Dia sudah nekad untuk mengambil dua nyawa sasaran yang diekorinya dalam  LRT sebentar tadi tetapi misinya terpaksa dibatalkan. Adrenalin sudah pun meresap ke seluruh tubuhnya. Agak sukar untuk tenangkan perasaan ini. Setakat dua tiga batang rokok tidak mampu untuk menidurkan binatang yang sudah bersedia untuk membunuh dalam jiwa Aziz. Dia perlukan sesuatu yang lebih kuat untuk menghilangkan amarahnya. Aziz menghantar mesej kepada seorang bapa ayam yang sudah biasa berurusan dengannya. Dia pernah menahan bapa ayam tersebut ketika dia berkhidmat dulu. Hanya kehangatan pelukan gadis Vietnam sahaja yang boleh buat dia tidur nyenyak malam ini.

    Sebuah MyVi hitam berhenti dihadapannya. Tanpa membuang masa, Aziz terus masuk ke tempat duduk belakang. Keadaan di dalam perut kereta sangat sejuk dan selesa. Seorang lelaki cina yang duduk disebelah pemandu menoleh ke belakang.

    “Aziz, I’m sorry. Boss suruh kita tarik you keluar. Ada benda lagi penting. Itu budak perempuan boleh tunggu dulu.”

    “Sebelum dia sampai ke stesen Sri Rampai aku terlepas peluang, ramai orang lagi kat area situ. Sikit lagi.” Aziz merapatkan ibu jari dan telunjuk, menunjukkan dia sudah hampir menyelesaikan misinya.

    “Sekarang target jadi dua orang.” Aziz menyambung.

    “Dua orang? Kalau bukan target tak boleh touch maa. Kita bukan buat kerja itu macam punya.”

    “Lelaki tu sama ada boyfriend atau suami dia aku tak pasti, dia peluk lelaki tu dan hampir nak bercium tadi. Kalau dia pasangan budak tu maknanya dia pun macam diorang jugaklah.” Aziz bercakap dengan air muka yang serius.
Dia perlu yakinkan Aaron. Rakannya mengeluh dan mengangguk perlahan. “OK. OK. Saya faham.”



    “Kenapa kau tarik aku keluar?” Aziz menyalakan sebatang rokok dengan mancis.

Dia sukakan rasa dan bau kayu hangus dan belerang dalam rokok. Kalau guna pemetik api, rasanya kosong dan Aziz tidak gemarkan bau gas.

Seorang lelaki India tua duduk bertentang dengannya. Sebuah meja makan berada diantara mereka berdua. Tubuh lelaki tua itu agak keding namun masih kelihatan cergas. Matanya masih tajam dibalik cermin mata vintage berbingkai halus. Walaupun umurnya sudah lanjut namun rambut hitamnya masih menebal dan disikat rapi. Terdapat pinggan-pinggan kosong yang berisi tulang-tulang ayam dan ikan berada didepan Aziz dan Dr. Sammy. Mereka berdua sedang menikmati kopi panas dan hirisan buah-buahan sambil merokok. Ben Webster dan Oscar Peterson sedang mendengdangkan lagu ‘Bye bye, blackbird’ menerusi pemain vinyl Dr. Sammy. Kaki Aziz bergerak-gerak mengikut rentak double bass track jazz tersebut. Sudah lama dia tidak mendengar muzik selunak ini.
    
“Aziz, it’s a good thing you tak jumpa peluang untuk take out Adilya tadi. Abang Adilya sudah muncul kembali di KL. If you take her out, akan jadi lebih rumit untuk kita rapat dengan Vincent nanti.” Ujar Dr. Sammy sambil menyumbat tembakau berperisa ceri ke dalam paipnya.

Aziz agak teruja dengan informasi baru ini. Terasa suatu sensasi yang bangkit dari dadanya, jantung Aziz mula berdegup kencang. Terasa seperti ada sesuatu menggelupur dalam perutnya. Inilah lelaki yang dicari-cari Aziz untuk sekelian lama. Aziz memandang tepat ke arah mata Dr. Sammy.

    “Dia ada sebuah kelab malam persendirian dan tempatnya agak tersembunyi. Hanya orang mereka sahaja yang dibenarkan masuk. Menurut informant aku, mereka selalu bawa mangsa-mangsa ke situ untuk berseronok dulu sebelum...” Sammy menikmati asap berperisa cheri berlegar-legar dalam mulut  sebelum menghembusnya perlahan-lahan.

“Well, aku rasa kau dah boleh agak dah apa yang akan berlaku lepas tu.”

“Kita dah hantar orang undercover kerja dalam kelab tu.” Dia menyambung.

    Aziz mencucuk sebatang lidi ke dalam sepotong tembikai susu dan menyumbatkannya ke dalam mulut. Rasa manis berlemak diatas lidah memberi satu kenikmatan.

“Pihak berkuasa langsung tak tahu tentang aktiviti tempat ni?”

“Pfft. Come on bro.” Dr. Sammy menggosok-gosok ibu jari dan telunjuknya di depan muka Aziz. Dia tidak perlu terangkan apa maksudnya dan bagaimana ia berfungsi dalam hal ini. Aziz tidak boleh mengagak sudah berapa ramai orang-orang penting yang sudah dibayar dan berada dalam poket mereka. Hatinya panas dengan manusia-manusia yang membelot spesis mereka sendiri kerana wang ringgit.

    Aziz bangun dan membawa mug berisi kopi ke arah beranda pangsapuri tiga bilik Dr. Sammy. Deretan bangunan dan menara-menara besi, kaca dan konkrit diterangi cahaya neon berwarna-warni, berlatar belakangkan langit malam yang agak cerah dan dipenuhi awan. Aziz berpaling ke arah Dr. Sammy, ketua persatuan rahsia ini.

“Aku nak jumpa informant kau. Aku nak tanya lebih detail lagi.”

“OK. Aku uruskan nanti.” Asap ceri berkepul-kepul keluar dari sudut mulutnya seperti serombong keretapi stim. Aziz kembali menikmati pemandangan hutan konkrit di beranda, sambil menghabiskan kopi dan rokoknya.

    Dr. Sammy mengeluh sebelum mengeluarkan sekeping gambar dari kocek kemejanya. Dia dan isteri, Letchumi sedang memangku anak perempuan kembar mereka di atas sofa ruang tamu. Gambar tersebut ditatap dengan hati yang remuk. Jari-jemari Dr. Sammy mengusap wajah isteri dan anak-anaknya dengan perlahan. Matanya berkaca. Kerongkong Dr. Sammy terasa tersumbat. Apartmen yang muram itu pernah suatu ketika sangat ceria dengan suara hilai tawa anak-anaknya. Bau masakan enak isterinya juga sentiasa memenuhi segenap ruang pangsapuri.

Sebuah patung Mother Mary dan salib pernah menghiasi satu bahagian dinding di ruang tamu, tetapi kini hanya tinggal bekas paku dimana salib tersebut digantung. Mother Mary juga sudah tidak kelihatan lagi di atas meja kecil yang kini menjadi tempat Dr. Sammy meletakkan kunci dan beg berisi peralatan paip. Dia menyembunyikan Jesus bersama ibunya di dalam sebuah kotak yang disorok di bawah katil bilik anak kembarnya. Segala kepercayaan yang pernah dia berpegang teguh dulu kini disimpan jauh-jauh bersama dengan memori gembira keluarganya.

“Kita sudah tak ada masa Aziz. Kita bukan muda dan kuat macam dulu lagi.” Suara Dr. Sammy agak serak menahan sebak.

“Kau tau tak dulu aku percaya bulat-bulat bila orang cakap God works in mysterious ways. Tuhan sudah merancang segalanya untuk kita.” Dr. Sammy tergelak kecil. Lucu bila difikirkan betapa naifnya dia pada suatu ketika dulu.
    Bekas Inspektor polis itu berjalan kembali ke meja makan dan mematikan rokoknya ke dalam bekas abu rokok kristal. Sebatang lagi diselitkan dibibir. Mancis digores, menyebarkan bau belerang yang menyengat hidung.

“Betul la tu.” Aziz menjawab.

Dr. Sammy mengerut dahi dengan pernyataan Aziz.

“Really? Tak sangka kau masih percaya lagi dengan Dia. You of all people.”

Asap rokok Aziz dihembus jauh-jauh.

“Kau tak pernah terfikir ke, lepas semua yang berlaku, Kita masih hidup dan sekarang kau dan aku sama-sama mengancam kewujudan diorang.” Aziz menambah kopi ke dalam cawannya.

“Lagipun kau tengok malam ni. Mula-mula Dia tutup peluang aku nak take out Adilya, tiba-tiba kau call bagitau sasaran utama kita dah muncul kembali. Nasib baik sempat. Kau tak rasa ke macam Dia memang tengah tolong kita selama ni?” Aziz menyambung.

Dr. Sammy tersengih.

“Kebetulan je tu.” Dia bangun dan berjalan menuju ke pemain vinyl. Selang beberapa saat, irama merdu trumpet Chet Baker mendengdangkan lagu ‘Almost Blue’ berkumandang. Aziz bersandar pada sofa dan memuji citarasa muzik Dr. Sammy dengan senyap.

    “Jadi boleh kau jelaskan kenapa Dia perlu ambil kembali semua orang yang kita sayang sebelum ni?” Dr. Sammy bertanya.  

    “Well...” Aziz menyedut rokok.

“Kalau dia tak buat macam tu, macam mana kita nak berjumpa kat sini malam ni? Aku dan kau mungkin tak akan berjumpa dulu dan tak kenal antara satu sama lain. Semua yang berlaku ada hikmahnya.”
“Kau fikir betul-betul. We are the chosen ones.” Sambung Aziz lagi.

    Aziz mencicip kopi panas sambil termenung jauh. Suaranya semakin serius.

    “Dia lukakan hati kita, doktor. Itu aku pasti, tapi...” Kata-katanya mati sekerat jalan. Fikiran Aziz jauh mengelamun mengingati memori-memori manis dari masa yang lampau. Dia teringatkan secangkir kopi panas yang sentiasa tersedia di atas meja makan pada waktu pagi. Anak-anaknya sedang bersarapan nasi lemak sambil mendengar ibunya membebel supaya cepat kerana van untuk menghantar mereka ke sekolah akan tiba tak lama lagi. Dia terbayangkan isterinya menghulurkan topi yang tertera logo PDRM kepadanya sebelum dia berjalan menuju ke pintu depan. Aziz rindukan ciuman hangat dari Ida setiap pagi sebelum dia berangkat ke balai.

Previous: BAB 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill