Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
122,305
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 3

Rumah kosong itu Dahlia perhatikan dari luar seketika. Kelihatan ringkas dan biasa saja. Melalui pintu, rumah itu kelihatan sama saja dengan rumah-rumah yang lain. Pada matanya, rumah yang bakal mereka tinggal nanti tak semewah dulu. Kemudian dia menolak pintu dan melangkah masuk.

“Besar jugak rumah baru kita ni kan, bang?” Dahlia meliarkan pandangan ke seluruh pelosok rumah kondominium itu. Tergamam dia. Apa yang diimaginasikan berdasarkan keadaan luar rumah tak sama dengan isi dalamnya.

“Hmm...” Zairi setuju. Dia turut meliarkan pandangan sambil bercekak pinggang. Tergambar jelas di wajahnya perasaan puas hati.

“Kita kat tingkat berapa ni, bang?”

“11.”

Dahlia mengangguk. Taklah tinggi sangat. Diperhatikan rumah itu penuh minat. Walau rumah itu kosong tiada perabot, dia sudah mula membayangkan bagaimana mahu menghias rumah itu secantik mungkin. Reka bentuk rumah itu sangat moden dan sofistikated. Lantai jenis kayu parket menampakkan rumah itu lebih eksklusif.

Dahlia tersenyum puas hati. Rumah ini lebih cantik berbanding rumah mereka di Tanah Merah, walaupun bukan rumah teres dua tingkat.

“Macam mana? Okey tak, sayang?”

Dahlia menoleh dengan senyuman meleret. “Pandai abang pilih.”

Zairi gembira melihat Dahlia puas hati. Dan dari awal lagi dia tahu cita rasa isterinya.

“Saya nak tengok dalam bilik pulak.” Tak menunggu, Dahlia terus ke bilik utama. Luasnya sama macam bilik mereka dulu. Bilik itu sudah lengkap dengan katil dan kabinet pakaian.

Di dalam bilik itu juga ada bilik air. Pintunya bertutup. Ditolak pintu itu. Tiba-tiba sesuatu yang berambut panjang menerjah ke arahnya.

“Arghh!” jeritnya hingga terpejam mata.

Seketika apabila tiada apa yang terjadi, dia membuka mata. Dilihat sebatang mop rebah di hadapan pintu bilik air itu. Dia mengurut dada. Berderau darah dibuatnya.

“Hisy! Takutkan orang aje!” getus Dahlia, geram.

Diambil mop itu lalu disandarkan elok-elok ke dinding. Bilik air itu bersih. Ada tab mandi dan pancuran. Makin teruja dia. Setakat ini, dia lebih sukakan rumah itu. Tak rasa menyesal berpindah ke Kuala Lumpur.

Dia ke bilik yang hampir dengan dapur pula. Bilik itu agak kecil sedikit. Kosong tiada perabot. Ada sebuah tingkap cermin di situ. Dia menjengah ke luar tingkap. Dari tingkat 11 itu, sayup-sayup kelihatan bangunan lain di sekitar kondominium. Dia ralit termenung di situ.

Sehingga dia terasa ada sesuatu yang basah menitis ke pipi. Diraba dengan jari. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat di jarinya ada cecair berwarna merah pekat. Baunya hanyir dan meloyakan. Dia kebingungan.

Sedang akalnya berfikir-fikir, sekali lagi terasa ada sesuatu menitis di pipi. Diseka lagi dengan jari. Terus berderau dadanya.

“Darah?” Mukanya berubah cuak. Dari mana darah ni datang?

Jarinya yang berdarah itu dipandang. Pucat mukanya. Perasaan takut menyelinap dalam diri hingga menggigil tangannya. Dia menelan liur. Terasa tekaknya bagai berpasir.

Dia mendongak sedikit demi sedikit. Perlahan-lahan. Debaran di dada sudah menggila. Walau takut, dia nak tengok apa yang ada di atas siling.

Sebaik saja melihat ke siling, dia tersentak hingga rasa hampir nak rebah. Ada setompok darah betul-betul berada di siling di atas kepalanya. Titisan darah itu menitik setitis demi setitis ke lantai.

Makin kencang jantungnya berdegup. Meremang bulu romanya. Dia terpinga-pinga. Kenapa ada darah atas bumbung? Darah siapa?

Buk!

Serentak Dahlia menoleh ke arah tingkap cermin yang kedengaran seperti dihentak. Kelihatan rambut panjang mengurai terjuntai di luar tingkap. Wajah hitam dipenuhi darah sedang merenungnya tajam.

“Arghh!” Dahlia menjerit ketakutan.

Dia mahu lari dari situ, tapi kakinya terpijak darah yang menitis di atas lantai. Membuatkan kakinya licin dan dia terjatuh. Dadanya menghempap kuat ke lantai.

“Erghh...” Dahlia mengerang kesakitan. Berkerut mukanya menahan pedih. Digagahkan diri untuk bangun walau masih terasa sakit.

Dia menoleh ke arah cermin tingkap semula. Wajah lembaga berambut panjang mengurai itu masih terjuntai di situ. Keadaannya seperti kepala ke bawah dan kaki pula ke atas. Dia hanya nampak bahagian muka dan rambut yang terjuntai saja.

Seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan. Tercungap-cungap Dahlia tak cukup bernafas. Dia mahu berlari keluar dari bilik itu. Namun belum sempat dia keluar, daun pintu terhempas kuat dengan sendiri.

Bam!

Bertambah pucat dan menggigil Dahlia ketika ini. Terbeliak matanya terlalu gementar.

Meluru dia berlari ke arah pintu mahu membukanya. Tapi berkunci! Dipulas-pulas tombol pintu. Tetap tak boleh dibuka.

“Abang! Abang! Buka pintu ni, bang! Abang!” Terjerit-jerit Dahlia ketakutan. Pintu itu dihentak-hentak.

“Abang! Abang! Abang!” Suaranya bergetar bagaikan mahu menangis.

Dia menoleh semula ke arah tingkap. Rambut yang tadi terjuntai di luar tingkap mula bergerak dan makin memanjang. Di celah-celah tingkap rambut itu menyelinap masuk ke dalam bilik.

“Abang!” Makin kuat Dahlia mengetuk pintu. “Abang, buka pintu ni. Abang! Buka pintu ni, bang! Abang! Saya takut ni! Abang! Abang! Abanngg!” Dia meraung memanggil Zairi sambil tertoleh-toleh ke arah rambut itu.

Darah yang menitis ke lantai pula semakin banyak. Meleleh dan mengalir membasahi bilik itu. Rambut dan darah itu bagaikan mengejarnya. Semakin lama, semakin menghampirinya. Wajah hitam dipenuhi darah itu masih merenungnya tajam.

“Abang! Abang! Tolong saya, bang! Abang! Buka pintu ni. Abang! Buka pintu ni!” raung Dahlia sekuat hati sambil menangis menghentak-hentak pintu.

Dia benar-benar takut. Jantung berdegup kencang seolah-olah nak meletup dadanya. Darah dalam tubuhnya terasa seperti mengering.

“Buka pintu ni, bang! Tolong, bang! Abang! Abang! Bukalah pintu ni, bang! Abang!” Melolong Dahlia menangis kerana ketakutan. Pintu yang dihentak masih berkunci.

“Abang! Abang!” Dahlia melolong lebih kuat. Deraian air mata membasahi pipi. “Abang!”

“Sayang... sayang... kenapa ni? Sayang... bangun, bangun. Sayang...”

Dahlia terasa tubuhnya digoyang-goyang agak kuat. Mata yang dipejam dibuka perlahan-lahan. Suasana kelihatan suram. Mendadak dia bangun dan duduk berlunjur. Nafasnya mencungap-cungap. Meliar dia memandang sekeliling. Dia berada di atas katil di dalam biliknya sendiri!

Zairi di sebelah Dahlia memandang kehairanan. “Sayang... kenapa ni?” soalnya terpinga-pinga.

Dahlia tak menjawab. Matanya kembali meliar. Dia mendongak memandang siling. Dalam keadaan gelap itu dia mencari darah yang menitis dari bumbung. Tiada.

Ditoleh pula ke arah tingkap di tepi bilik. Tingkap itu bertutup dengan langsir bahagian dalam yang berwarna putih. Langsir itu beralun lembut dihembus pendingin hawa. Tiada juga rambut berjurai panjang terjuntai dari situ.

“Sayang...” panggil Zairi yang keresahan. Risau dia melihat keadaan Dahlia ketika ini.

Dahlia memandang Zairi. Nafasnya yang tadi mencungap mula beransur reda.

“Kenapa ni, sayang? Hah? Tidur sampai mengigau terjerit-jerit. Kenapa?” soal Zairi, ingin tahu.

Terus Dahlia memeluk tubuh Zairi erat. Dia menangis semahu hati.

Zairi terdiam. Keliru.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.