Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
122,305
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 4

“Tak nak! Saya kata tak nak, tak nak lah!” bentak Dahlia sekuat hati.

Kata-katanya bergema bersama tangisan. Mata yang kebasahan diseka dengan tapak tangan. Namun, air matanya tetap juga mengalir.

Zairi menghempas keluhan yang maha berat. Tersandar lemah dia di sofa ruang tamu itu.

“Saya tetap nekad tak nak pindah ke KL. Saya nak duduk kat sini aje!” Dahlia bersuara lagi. Teresak dia menangis di dinding membelakangi Zairi.

“Hanya sebab mimpi yang bukan-bukan, sayang terus tak nak pindah?” Zairi tergeleng-geleng. Akalnya tak mampu menerima alasan Dahlia.

Dahlia tetap teresak-esak menangis.

“Sayang... mimpi tu kan mainan tidur. Kenapa serius sangat ni?” soal Zairi, kebingungan.

“Sebab mimpi tu petunjuk! Saya mimpi rumah yang kita duduk kat KL tu berhantu. Ada penunggu. Takkan nak duduk kat sana jugak? No! Saya tak nak!”

Zairi tergeleng-geleng lagi. Sukar dia nak percaya. Baginya, mimpi sekadar mimpi.

“Abang cakap senanglah. Tapi saya? Sebab yang duduk sorang-sorang kat rumah tu nanti, saya. Saya yang kena hadap benda ni. Abang tak peduli pun apa yang jadi kat saya.” Berderai lagi air mata Dahlia.

Zairi melepaskan nafas lemah. “Jangan cakap macam tu, sayang. Abang bu...”

So, jangan pindah!” Dahlia berpaling menghadap Zairi dengan riak tegas.

“Sayang...” Zairi dah tak tahu bagaimana cara nak pujuk isterinya itu. Dia menggaru-garu kepala. Pening.

“Kalau abang sayangkan saya, jangan pindah!”

“Mana boleh macam tu.”

“Apasal pulak tak boleh?” bentak Dahlia.

“Abang kena transfer ke KL sebab dinaikkan pangkat. Dah dapat arahan. Ni bukan benda main-main, sayang. Abang tak boleh buat sesuka hati. Teruk kita kalau abang diberhentikan kerja. Nak cari kerja bukan senang sekarang. Macam mana abang nak sara hidup sayang?”

Dahlia terdiam menghadam kata-kata Zairi. Tapi mukanya masih monyok dengan mata yang bergenangan.

“Lagipun, rumah ni dah ada penyewa yang bayar sewa untuk tiga bulan. Dan dengan duit tu jugak abang dah bayar sewa rumah kat KL tu untuk tiga bulan jugak. Abang dah cerita semalam kan? Cubalah faham, sayang. Tolonglah jangan buat abang pening.” Sedaya upaya Zairi cuba memujuk merayu.

“Macam mana saya nak faham? Abang buat semua ni tak bincang dulu dengan saya. Abang anggap saya macam tak wujud. Abang tak peduli pun kat saya!” marah Dahlia geram. Turun naik nafasnya kerana terlalu emosi.

“Tak... masalahnya sekarang, sayang percaya pada  mimpi tu. Padahal semalam, sayang okey aje. Bila sayang mimpi yang bukan-bukan, terus percaya bulat-bulat.”

“Sebab mimpi tu memang betul! Saya yang mimpi, saya tahulah. Saya dapat rasa, apa yang saya mimpi tu semuanya betul. Semua akan jadi kenyataan. Percayalah! Susah sangat ke nak faham apa yang saya cakap? Saya kata tak nak pindah, tak naklah!” Dahlia masih berkeras.

“Abang aje ke yang kena faham? Tapi sayang langsung tak nak faham abang. Abang dah cakap, abang tak boleh buat sesuka hati. Abang dapat arahan transfer ke KL. Sayang faham tak? Abang kena transfer jugak.” Suara Zairi kedengaran merayu.

“Kalau macam tu, abang sorang aje yang pindah KL. Apa nak jadi kat abang, lantaklah!”

“Dahlia...” Zairi rasa nak menangis. Dia begitu sayangkan Dahlia. Terlalu sayang. Tapi dalam masa yang sama, dia juga pentingkan kerjayanya.

“Saya tak kira! Saya tak nak pindah!” Dahlia tetap melawan.

“Sayang...” keluh Zairi lemah. “Sayang janganlah pentingkan diri.”

“Habis tu, abang tak pentingkan diri? Abang fikir tentang diri abang aje. Pasal kerja abang, pasal rumah sewatu. Tapi perasaan saya? Ada abang fikir? Apa jadi kat saya kalau duduk kat rumah berhantu tu, ada abang fikir?” Dengan suara bergetar sebak, Dahlia meluahkan perasaannya.

“Tu mimpi aje, sayang.”

“Memang mimpi. Tapi saya tak rasa mimpi tu sekadar mainan tidur. Saya dapat rasa, bang. Naluri saya kuat, yang mimpi tu amaran untuk kita. Sebab saya rasa tak sedap hati. Saya dapat rasa, bang. Rumah yang kita duduk tu nanti ada sesuatu yang ganggu kita. Tolonglah percaya...” Dahlia merayu dengan nada sayu.

Zairi masih waswas. “Rumah dalam mimpi sayang tu rumah apa?”

“Kondo.”

“Tingkat?”

“11.”

Terdiam Zairi. Memang betul, rumah yang mereka bakal sewa di Kuala Lumpur nanti adalah rumah kondominium. Dan rumah itu memang di tingkat 11! Dia tak pernah beritahu Dahlia. Tapi akalnya tak boleh nak terima cerita khurafat begini. Lagi-lagi dizaman serba canggih sekarang. Di Kuala Lumpur pulak tu! Mungkin mimpi Dahlia cuma kebetulan.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Cuba menenangkan fikiran. Walau macam mana sekalipun, dia tak boleh biarkan hal ini berlarutan. Dia tak nak kecewakan hati Dahlia. Kalau hati Dahlia terluka, hatinya lebih lagi kecewa. Dia tak sanggup melihat Dahlia bersedih. Sayu hatinya.

“Macam nilah...” Zairi mula nampak jalannya. “Disebabkan semuanya abang dah plan, benda dah jadi... abang tak boleh nak buat apa-apa lagi. Tapi...”

Lambat-lambat Dahlia memandang Zairi sambil menyeka air mata. Riak wajahnya suram dan sayu.

“Sayang dengar dulu apa yang abang nak cakap. Okey?” Melihat Dahlia tak bereaksi, Zairi bingkas bangun menghampiri isterinya itu. “Jom kita duduk. Kita bincang elok-elok. Okey?” Lembut suaranya.

Dahlia berlembut hati. Dituruti Zairi yang memaut bahunya sambil berjalan ke sofa yang Zairi duduki tadi. Mereka melabuhkan duduk di situ.

Zairi memegang kedua-dua bahu Dahlia yang duduk bertentang dengannya.

“Abang faham perasaan sayang. Abang boleh bayangkan kalau abang yang mimpi macam sayang mimpi tu.” Dia terpaksa percaya apa yang Dahlia alami.

“Cuma...” sambungnya semula. “Abang dah sewa rumah kita ni pada orang lain dan dia dah bayar sewa untuk tiga bulan. Disebabkan abang dinaikkan pangkat dan kena transfer keKL, abang dah sewa lori untuk bawa barang-barang kita esok.”

Dahlia yang masih monyok memandang ke arah lain. Dia tahu, Zairi sedang cuba memaksa dia ke Kuala Lumpur juga.

“Pasal rumah sewa kita kat KLtu... apa kata kita duduk dulu kat sana. Sebab abang dah bayar sewa untuk tiga bulan. Lagipun, tak sempat nak cari rumah lain. Kalau betul rumah tu berhantu macam dalam mimpi sayang, kita terus pindah cari rumah lain. Okey?” Ini saja cara Zairi untuk memujuk Dahlia.

Dahlia sudah dapat mengagak. Zairi tetap mahu ke Kuala Lumpur.

“Sayang percaya cakap abang. Abang janji. Apa-apa yang jadi pada sayang, abang akan bertanggungjawab. Abang akan jaga sayang baik-baik. Sayang satu-satunya isteri abang. Abang tak sanggup nak berpisah dengan sayang. Sebab tu abang nak sayang ikut abang ke KL. Please... ikut abang ya?”

Hati Dahlia yang tadi sekeras batu, terasa mula longkah berubah menjadi kapas.

“Sayang...” Zairi menyentuh dagu Dahlia pula. “Sayang abang tak?”

Riak wajah Dahlia seperti mahu menangis semula. “Memanglah sayang tapi...”

Zairi meletakkan jari telunjuk ke bibir Dahlia pula. “Abang pun sayangkan sayang. Abang nak sayang sentiasa ada di sisi abang. Tu aje harapan abang. Please...” rayunya dengan renungan mengharap.

Seluruh tubuh Dahlia bagaikan lumpuh dipujuk rayu begitu oleh suaminya. Padahal, dia rasa nak memberontak tak setuju. Dia boleh saja mengamuk asalkan tak pergi ke Kuala Lumpur. Namun, dalam masa yang sama dia kasihan pula pada Zairi.

Memang dia tak sedap hati apabila memikirkan tentang mimpinya malam tadi. Tapi kata-kata Zairi yang berjanji akan menjaga dan sentiasa mahu bersamanya, dia akur. Demi Zairi, dia berserah.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.