Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
120,238
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 5

“Sayang...” panggil Zairi, lembut.

Dilihat wajah Dahlia muram. Langsung tak ada seri dengan senyuman. Seperti berkhayalkan sesuatu. Diam saja sejak sampai di Kuala Lumpur.

Dahlia yang merenung lantai menoleh memandang suaminya.

“Sayang okey tak ni?”

Tak mampu Dahlia nak menjawab soalan Zairi itu.

Zairi memaut bahu Dahlia erat.

“Jangan risau. Tak ada apa-apalah, sayang. Abang yakin. Tak ada apa-apa.”

Dahlia tunduk semula. Sedang cuba kuatkan semangat.

Mereka sedang menunggu di hadapan lif. Suasana di dalam kondominium itu agak lengang dan sunyi. Hanya mereka berdua yang menunggu di situ.

Tidak lama kemudian, pintu lif terbuka. Zairi melangkah masuk ke dalam lif sambil memaut bahu Dahlia. Sebelah tangannya pula menjinjing sebuah beg sederhana besar.

Langkah Dahlia terasa berat bagaikan diseret. Sungguh, dia rasa tak sedap hati.

Zairi meletakkan begnya ke lantai sebelum menekan butang bernombor 11 di dinding. Pintu lif tertutup.

Saat itu debaran di dada Dahlia mula menggila. Mimpinya kembali terimbas di fikiran. Dalam mimpi itu, Zairi memberitahu yang rumah mereka berada di tingkat 11. Dan Zairi menekan butang 11!

“Sayang jangan fikirkan sangat. Anggap aje sayang tak pernah mimpi yang bukan-bukan. Lagipun, abang kan ada?” pujuk Zairi, lembut berbisik di telinga Dahlia yang dilitupi selendang. Bahu Dahlia diusap perlahan agar dapat menenangkan hati isterinya itu.

Keadaan di dalam lif yang agak luas itu sangat cantik. Dekorasi corak bermotif bunga di dinding berwarna perak membuatkan lif itu kelihatan unik. Malah, bersih dan terjaga keadaannya.

Tetapi tidak bagi Dahlia.Terasa bagaikan ada ‘sesuatu’ sedang berdiri di belakangnya. Betul-betul di belakangnya. Dia tunduk memandang lantai. Tak mahu berpaling ke belakang walau dengan ekor mata. Dan ketika ini selendang di tepi leher beralun-alun bagaikan ditiup.

Semerta bulu roma tengkuknya meremang. Serasa dia mahu menangis ketakutan. Dia merapati Zairi lebih dekat. Jantungnya berdegup kencang.

Ting!

Mereka sudah tiba di tingkat 11. Pintu lif terbuka perlahan-lahan. Dahlia menelan liur. Riaknya agak pucat. Takut-takut dia mahu keluar dari situ.

“Jom, sayang...” Zairi sudah bersedia mahu keluar. Ditahan pintu lif agar tak tertutup. Dipandang Dahlia yang masih menunduk.

Dahlia rasa tak mampu nak berganjak. Kakinya bagaikan dipaku di situ.

“Jangan macam ni, sayang. Dah janji kan? Please... kita masuk rumah tu dulu. Okey?” Gelisah betul Zairi ketika ini. Kalau Dahlia berkeras tak nak tinggal di rumah yang mereka sewa, boleh meracau dia dibuatnya. Dahlah mereka tak kenal sesiapa di Kuala Lumpur.

Dahlia memejamkan mata. Cuba menenangkan debaran yang sedang menggila. Walaupun matanya sudah dipejam, masih terasa-rasa ‘sesuatu’ itu berada di belakangnya. Masih lagi meniup belakang lehernya.

“Sayang...” panggil Zairi yang tak tahu apa yang sedang Dahlia alami.

Saat itu Dahlia membuka mata dan menentang pandangan Zairi. Ketika itu jugalah ‘sesuatu’ yang sejak tadi berada di belakangnya lenyap. Dia menoleh ke belakang. Benar. ‘sesuatu’ yang tadi dirasakan berada di situ sudah tiada.

“Kenapa ni, sayang?” Zairi turut memandang belakang Dahlia. Tiada apa-apa. Lalu dengan pautan di bahu Dahlia, dia menarik isterinya keluar dari situ secara paksa.

Nak tak nak, Dahlia terdorong bersama Zairi. Dia ingin beritahu Zairi apa yang dia rasa, namun mulutnya bagaikan terkunci.

Zairi membawa Dahlia ke rumah bernombor 113. Sebaik saja mereka berdiri di hadapan pintu rumah itu, Zairi melepaskan pegangan dari bahu Dahlia. Poket seluar jeansnya diseluk. Kiri dan kanan. Tapi tak jumpa apa-apa.

“Eh, mana kunci yang tuan rumah ni bagi?” Zairi meraba-raba poketnya. Depan dan belakang. Masih tak jumpa.

Dahlia hanya memerhati tindak-tanduk Zairi. Dia memang tak pegang kunci itu. Dipandang ke kiri. Lorong laluan di situ sunyi. Ditoleh ke kanan pula. Pun sama. Seolah-olah tak ada sesiapa yang tinggal di kondominium itu. Direnung pintu rumah di hadapannya semula. Semerta bulu romanya meremang. Tak semena-mena.

“Mana kunci ni?” Zairi masih mencari-cari.

Seketika baru dia teringat. Dibuka beg yang dibawa. “Ah... kat sini.” Segugus kunci kini dalam genggamannya. Lantas dibuka mangga dan jeriji pintu rumah itu. Pintu dikuak luas-luas.

“Jom...” Dengan perasaan teruja, Zairi melangkah masuk. Meliar pandangannya ke dalam rumah yang sangat cantik itu. Bertemakan warna kelabu dan putih.

Teragak-agak Dahlia mahu melangkah. Sekali lagi debaran dadanya bergendang. Terbayang semula mimpinya kelmarin. Dia masih ingat rupa bentuk rumah dalam mimpinya itu. Tak mungkin dialupa.

Melihat Dahlia masih tercegat di muka pintu, Zairi menghampiri isterinya lantas menggenggam tapak tangan Dahlia. Ditarik agar Dahlia sama-sama masuk ke dalam rumah itu.

Namun, Dahlia merentap tangannya.

“Tak nak! Saya tak nak masuk. Saya tak nak...” Suaranya kedengaran teresak mahu menangis. Tergeleng-geleng dia merenung Zairi dengan renungan merayu.

“Nak takut apa? Abang kan ada. Belum ada lagi orang mati kena cekik hantu. Jangan nak mengarutlah. Siang-siang mana ada hantu!” pujuk Zairi.

“Saya takut, bang... sumpah! Saya tak main-main. Saya memang takut sangat.” Dahlia menyelak lengan baju kurung yang dipakai. Terserlah bulu roma di lengan putihnya sedang meremang.

Muka Zairi berubah cuak sedikit. Bulu roma takkan meremang sendiri kalau bukan...

“Sayang fikir sangat yang bukan-bukan. Bila dah fikir yang bukan-bukan, nilah jadinya.” Diturunkan semula lengan baju Dahlia.

Dia tak nak fikirannya turut terganggu seperti Dahlia. Sedangkan dia langsung tak ada perasaan yang aneh pada rumah itu.

“Tunggu kat luar kalau tak nak masuk. Biar kena cekik hantu kat pintu tu.” Disakat Dahlia pula. Lantas dia melangkah masuk semula.

Dahlia melihat kelibat Zairi sudah hilang di sebalik dinding ruang bahagian dalam. Dia meliarkan pandangan ke luar pagar rumah. Tiada sesiapa. Matanya terarah ke pintu rumah jiran di hadapan rumah mereka.

Merasakan seolah-olah ada mata yang menghendap di sebalik peeping hole, dia menelan liur. Dadanya diamuk debaran kencang. Kelam-kabut dia melangkah masuk ke dalam rumah sambil tertoleh-toleh ke arah pintu itu.

Zairi yang sedang memerhati keadaan di ruang tamu tersenyum memandang Dahlia masuk dengan ekor mata. Dibiarkan saja. Dia mahu isterinya itu berani seperti sebelum ini. Selama ini, Dahlia tak pernah jadi penakut. Di dalam rumah dua tingkat yang mereka huni, Dahlia tinggal sendirian jika dia bekerja.

Serta-merta Dahlia meliarkan pandangan ke seluruh pelosok rumah itu. Dia cuba mengingati mimpinya semula. Dibandingkan rumah dalam mimpi itu dengan rumah yang sedang dilihatnya sekarang. Sampai berkerut-kerut mukanya.

“Kenapa?” Zairi menyoal.

Tersentak Dahlia. Sampai terlonjak sedikit badannya. Melihat Zairi tersenyum, dia mengurut dadanya perlahan, meredakan rasa terkejutnya tadi.

“Sama ke dengan rumah dalam mimpi sayang tu?” Zairi bagaikan tahu apa yang bermain di minda Dahlia.

Dahlia melemparkan pandangan ke ruang tamu itu semula. Rumah di dalam mimpinya tiada perabot. Manakala yang sedang dilihat ketika ini sudah lengkap berperabot.

“Sama ke?” Zairi menanti dengan debar walau bibirnya mengukir senyuman.

Lambat-lambat Dahlia menggeleng.

“Hah! Kan abang dah cakap.” Zairi menarik nafas lega. “Mimpi sayang tu mainan tidur aje. Dulu, sayang tinggal sorang aje kat rumah kita. Dua tingkat pulak tu. Rumah ni bukan besar sangat pun. Takkan sayang takut pulak. Betul tak?”

Nak tak nak, Dahlia terpaksa mengangguk setuju. Perasaan takutnya tadi mula beransur lenyap.

Lantas Zairi menarik tangan Dahlia, membawa isterinya itu ke ruangan dapur. Di situ lengkap dengan dapur berkabinet warna hitam putih.

“Memang terbaiklah, sayang. Semua dah ada. Senang sayang nak masakkan untuk abang.”

Dibuka satu per satu pintu kabinet mahu melihat apa yang ada di dalamnya. Semuanya masih kosong.

Dahlia hanya memerhati. Dia mula berasa selesa dengan rumah yang serba lengkap itu.

Sebaik saja Zairi membuka pintu kabinet yang berada betul-betul di hadapan Dahlia, ‘sesuatu’ melompat keluar dari situ dan menerkam ke arah Dahlia.

“Arghh!!” Dahlia terkitai-kitai menjerit sambil memejamkan mata apabila terasa ‘sesuatu’ itu tadi melekat sekejap ke badannya sebelum terbang ke arah lain.

Berdekah Zairi ketawa melihat telatah isterinya itu.

Dahlia membuka mata semula dan terus memeluk tubuh Zairi.

“Lipaslah, sayang. Itu pun nak menjerit macam nampak hantu.” Zairi ketawa lagi sambil membalas pelukan Dahlia.

Tergeleng-geleng dia. Kalau Dahlia berubah jadi penakut selepas ini, memang parah. Silap-silap, Dahlia akan menelefonnya di pejabat setiap masa bila dia sudah bekerja. 

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.