Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
122,300
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 2

Pintu bilik tidur utama dibuka. Zairi lihat Dahlia sedang duduk menghadap cermin meja solek. Begitu ralit Dahlia mengoles wajah dengan krim malam. Dengan kedua-dua tangan, dia mengurut pipi dari bahagian bawah membawa ke atas. Langsung tak memandang Zairi.

Zairi merebahkan diri di atas katil.Jam di dinding menunjukkan pukul 10.30 malam. Masih agak awal lagi.Tapi matanya sudah terasa mahu lelap. Sambil baring, dia merenung isterinya itu. Masih ralit membelai-belai wajah.

“Dah cantik dah isteri abang ni,” ujar Zairi tersenyum mengusik.

Dahlia yang tadi khusyuk menghadap cermin tertawa memandang Zairi. “Saya nak makin cantik, bertambah cantik, cantik gila!”

Zairi menggeleng. Orang perempuan ni tak pernah puas kalau sebut tentang cantik. “Mari sini. Abang ada hal nak beritahu.” Ditepuk-tepuk bantal di sebelahnya. Isyarat menyuruh Dahlia duduk di situ.

“Beritahu apa?”

“Sinilah...”

“Aik? Lain macam aje abang ni.” Cepat-cepat Dahlia menyudahkan menyapu krim di mukanya.

Zairi duduk berlunjur sambil badannya bersandar pada kepala katil yang dialas dengan bantal.

Sempat lagi Dahlia mencapai pewangi dan menyembur ke celah leher sebelum menghampiri Zairi. Dia duduk menghadap suaminya itu.

Tersenyum Zairi. Dengan baju tidur separas lutut itu membuatkan tatkala Dahlia duduk berlabuh di atas katil, tersingkap hingga menampakkan hujung paha. Dipandang isterinya dengan renungan sayang.

“Haa... cakaplah. Nak cakap apa?” Tak sabar Dahlia nak tahu.

Tersenyum lagi Zairi. “Petang tadi abang balik lambat sebab ada jamuan.”

“Oh... patutlah makan sikit aje tadi. Dah kenyang rupanya.” Dahlia memuncung.

“Alah... abang makan sikit aje kat jamuan tu.”

“Jamuan apa?” Nah... inilah soalan umpan namanya.

Zairi menarik nafas dalam-dalam. “Jamuan hari terakhir abang kerja kat situ.” Dengan senafas dia bersuara.

Dahlia terdiam. Seketika barulah dia ketawa. “Abang ni... suka bergurau tau.”

“Tak... abang tak bergurau. Kalau tak percaya, tengok dalam kereta abang. Banyak hadiah yang staf bank bagi. Hadiah kenang-kenangan.”

Berkerut muka Dahlia kerana terkejut. “Abang berhenti kerja?”

“Abang kena transfer ke KL.”

Mata Dahlia membulat.

“Sebab abang dinaikkan pangkat jadi assistant manager branch kat sana,” ujar Zairi dengan senyuman bangga.

“KL?” Macam nak terjerit Dahlia ketika ini.

Zairi mengangguk.

“Habis tu, abang tinggalkan saya kat sini sorang-sorang?”

Tergelak Zairi. Ditarik tubuh Dahlia agar dia dapat memeluk isterinya itu. “Takkanlah abang nak tinggalkan isteri abang yang cantik manis ni. Lepas ni, kita duduk kat KL pulak.”

Dahlia bagaikan sukar nak hadam apa yang Zairi katakan. Makin berkerut-kerut mukanya.

“Rumah ni macam mana?”

“Dah ada penyewa yang nak sewa.”

“Abang!” Dahlia rasa macam nak gila. Dijauhkan diri dari pelukan Zairi.

“Sampai hati abang tak beritahu saya. Abang langsung tak nak bincang dengan saya dulu. Sejak bila abang suka berahsia ni? Sampai hati abang...” Bagaikan nak meraung dia dibuatnya. Tak suka betullah! Rasa macam tak dipedulikan. Dia memonyokkan muka.

Zairi ketawa melihat telatah Dahlia. “Olololoh... janganlah merajuk. Bukan abang saja-saja tak nak sayang tahu. Abang nak surprisekan sayang aje. Sumpah!” Dia cuba menarik tangan Dahlia, tapi Dahlia mengelak.

“Abang dah tak sayang saya ke?” soal Dahlia, sangsi.

“Hisy... apa pulak tanya macam ni?” Zairi mengeluh. “Sayang... dah enam tahun kita kahwin. Jangan cakap macam tu. Buatnya apa yang sayang cakap tu jadi doa, macam mana?”

Dahlia tunduk menguis-nguis jaripada cadar tilam.

“Okey, okey... abang cerita dari mula. Sebenarnya, dah sebulan abang dapat surat kenaikan pangkat dan kena transfer tu. Sumpah, masa tu abang rasa nak melompat-lompat bagi tahu kat sayang. Tapi bos abang suruh rahsiakan. Dia kata, perempuan suka lelaki yang dia sayang buat surprise. Abang pun fikir macam tu jugak. Selama kita kahwin, abang tak pernah buat surprise untuk sayang.” Terdengar nada sayu dari suara Zairi.

Dahlia mendongak memandang Zairi.

“Hmm... abang dah dapat cari rumah untuk kita sewa kat KL nanti. Rumah ni pulak abang dah iklankan untuk cari penyewa. Dah ada penyewa pun! Siap dah bayar sewa untuk tiga bulan terus. Nampak macam semua urusan dipermudahkan.” Zairi bersuara semula. Kali ini, dia betul-betul teruja.

“Tapi disebabkan abang berahsia, saya langsung tak boleh bagi pendapat saya. Semua keputusan abang dah buat sendiri. Adil ke macam ni?” Dahlia menahan perasaan geram. Zairi tak pernah begini sebelum ini.

Zairi terdiam berfikir. Tak sangka kejutannya itu melukakan hati Dahlia. Dia ingat, Dahlia pasti berjoget gembira kerana mereka bakal berpindah ke Kuala Lumpur.

Sorry, sayang... sorry sangat-sangat. Abang tak ada niat pun nak membelakangkan sayang. Sorry ya?” Zairi melembutkan nada suara dengan sayu.

“Abang tak fikir ke kat sini kampung halaman kita? Kalau pindah KL, jarang dapat balik kampung.”

“Sayang... siapa lagi yang ada kat sini? Mak ayah abang dah meninggal. Yang ada cuma saudara-mara. Sayang pulak memang dah tak ada sesiapa lagi. So, tak ada masalah kalau kita pindah KL. Ada masa kita balik ke sini. Bukan jauh pun KL dengan Tanah Merah. Nak naik flight pun boleh aje ke Kota Bharu,” pujuk Zairi bersungguh-sungguh.

Dahlia diam membatukan diri. Mukanya muncung. Masih merajuk.

Sorry, sorry...” Zairi menarik tubuh Dahlia dan lantas memeluknya erat. “Sorry ya, sayang.” Dicium-cium pipi isterinya itu berkali-kali.

Dahlia membiarkan dirinya dipeluk dan dicium Zairi. Perlahan-lahan rajuknya lenyap pergi.

“Jangan merajuk lagi tau. Abang janji, lepas ni... apa-apa hal abang akan bincang dengan sayang dulu. Abang janji.” Lembut suara Zairi mendayu di telinga Dahlia.

Dahlia hanya diam. Zairi memang pandai memujuk. Sepanjang enam tahun hidup berumah tangga, tak pernah mereka bergaduh. Dibiarkan dirinya terus dipeluk. Dan dia merelakan diri dicumbu Zairi.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.