Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
120,965
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
PROLOG

RUMAH teres dua tingkat bernombor 30 itu kelihatan biasa saja jika diperhatikan dari luar. Rekaannya ringkas, tidak terlalu mewah. Warna kelabu cerah yang diperincikan dengan sedikit warna kelabu gelap sudah cukup menyerlahkan keindahan rumah itu.

Dari celah-celah luar pagar rumah yang diperbuat daripada kayu berwarna coklat itu, kelihatan ruang garaj. Laman yang agak luas di rumah itu diserikan dengan pelbagai jenis pokok bunga di bahagian tepi kiri rumah. Rumput pula menghijau terhampar di situ.

Tiada sesiapa yang kelihatan. Tiada juga walau sebuah kereta. Pintu rumah bertutup rapat. Sunyi sepi. Sama seperti rumah jiran di kiri dan kanan.

Penduduk yang menetap di situ lebih suka membuat hal masing-masing. Setiap masa bagaikan tiada sesiapa yang keluar beriadah di luar rumah walaupun pada waktu petang begini.

Kedengaran bunyi pintu rumah dibuka. Bunyinya berkeriut. Sesusuk tubuh seorang wanita yang masih muda kelihatan. Usianya lingkungan 25 tahun. Kulitnya putih bersih. Rambut yang lurus panjang ditocang satu. Berbaju T biru dan berseluar panjang putih. Tubuhnya langsing dan tak terlalu tinggi.

Setelah menyauk sepasang selipar, dia menuju ke bahagian laman yang bersusun dengan pokok bunga. Dihampiri sebuah pokok yang lebih besar berbanding pokok yang lain. Tinggi sedikit daripada ketinggiannya. Batangnya besar hampir sepemeluk. Dipegang daun pokok itu yang seakan daun rhu, tapi bukan. Direnung pokok yang tak berbunga itu seketika.

Kemudian, dia beralih ke pokok bunga yang lain. Ada pokok bunga mawar, bunga teluki, kekwa, orkid dan macam-macam lagi. Tanah di laman itu cuma selebar tiga kaki dan panjang sembilan kaki. Disusun pokok-pokok itu dengan kemas. Ada pokok yang digantung, ada yang diletakkan di atas para tepi tembok dinding rumah dan ada yang dibiarkan di atas rumput.

Pada waktu begini, dia akan menyiram pokok-pokok itu. Salur getah air pancur yang berlilit di kepala paip ditarik. Apabila ditekan kepala salur getah itu, memancut air keluar seperti hujan. Dengan berhati-hati, dia menjirus pokok-pokoknya itu.

Ralit dia menghalakan salur getah itu ke setiap pasu. Sekilas dia berpaling ke arah pagar rumah. Terperanjat dia apabila terpandang sepasang mata yang terjojol bulat di celah pagar itu!

“Eergh!” Dia tersentak hingga tercampak salur getah dari tangan. Dia jatuh terduduk kerana terlalu terkejut.

Bergemuruh dadanya. Jantung mula berdegup kencang. Mata itu milik seorang lelaki tua. Lelaki itu memandangnya dengan mata terbelalak dan berwajah menakutkan.

“Dah... lia...” seru lelaki tuaitu dengan nada garau mendesah. “Dah... lia...” Dipanggil nama wanita itu lagi sambil bibirnya menyeringai.

Dahlia yang masih terduduk di lantai mengengsot ke belakang. Ketakutan. Dari celah-celah pagar rumahnya dia nampak lelaki itu mencangkung dan memandangnya bagai mahu menerkam.

“Dah... lia...” Lelaki itu mendesah lagi.

Dengan tubuh yang menggeletar, Dahlia bingkas bangun dan terjerit-jerit berlari masuk ke dalam rumah. Pintu dihempas kuat. Di belakang pintu dia bersandar sambil mencungap-cungap. Rasa mahu menangis. Dia benar-benar ketakutan. Sudahlah dia bersendirian di dalam rumah itu.

Seketika, perlahan-lahan dia beralih ke arah tingkap. Dari sebalik langsir dia mengintai ke luar rumah. Dilihat tiada sesiapa di pagar rumahnya. Tiada lagi susuk tubuh lelaki tua yang menakutkan itu. Dia berkerut pelik.

Betul ke apa yang aku nampak tadi? Atau itu cuma perasaan aku aje? Tapi aku memang nampak mata terbelalak lelaki tua tu. Aku dengar dia panggil nama aku. Aku tak berangan. Sebab ini bukan pertama kali lelaki tua itu datang menakutkan aku.

Ya... bukan pertama kali. Sudah berkali-kali.

Dia musykil. Siapa lelaki tua dengan mata terbelalak dan wajah menyeramkan itu?

Previous: SNOPSIS
Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.