“JOM!Dah pukul 1.00 petang ni,” ajak Rafiq sebaik sahaja ternampak
wajah Jeremy melalui pintu pejabat yang terbuka.
Dia terkejut juga, dalam
banyak-banyak bilik di situ, cuma bilik Jeremy yang tidak menutup pintu.
Mungkin Jeremy lemas, fikirnya. Maklumlah bilik itu lebih kecil daripada
biliknya dan Jeremy bagaikan muat-muat sahaja di situ. Kalau dia pun, mungkin
dia juga akan membiarkan pintunya terbuka supaya kurang rasa seperti
ditempatkan di dalam kotak.
Jeremy tersentak. Dia kelam-kabut
mengemaskan kerja-kerjanya dan mematikan komputer. Nampak sangat Jeremy seorang
yang tekun bekerja sehingga tidak ingat waktu makan tetapi anehnya badan Jeremy
tetap berisi macam belon juga. Setelah dia berpuas hati, baru dia tergesa-gesa
meninggalkan mejanya.
“Kita makan asam pedas hari ni.” Dia
menarik lengan Rafiq.
“Boleh. Saya makan tak kisah punya,
janji halal,” jawab Rafiq.
Sebenarnya itu sahaja yang merisaukan
dia sejak menerima ajakan Jeremy pagi tadi. Manalah tahu kalau Jeremy tidak mengambil
berat soal itu.
“Jangan bimbanglah… ini kedai kan,
Melayu punya. Asam pedas dia macam ni…” Jeremy acung tangan tanda bagus.
Rafiq ketawa sahaja sambil menepuk
bahu Jeremy. Dia mula faham macam mana Jeremy boleh dapat badan sebesar itu.
“Okeylah, saya drive.”
Kini mereka berdua berjalan
menuruni tangga marmar yang lebar di sebelah kiri berdekatan dengan kaunter
pertanyaan. Tiba-tiba Jeremy bersuara lantang.
“Johan!” Dia melambaikan tangan ke
arah seorang lelaki bertubuh kecil yang baru masuk ke dalam bangunan itu.
Lelaki yang belum menanggalkan
helmet dari kepalanya itu menoleh. Dengan wajah yang kehairanan, lelaki itu
mendekati tangga dan menanti Jeremy dan Rafiq tiba di bawah.
“Inilah Johan, despatch boy kita.” Jeremy menoleh ke arah Rafiq.
Johan terkelip-kelip. Pandangan
matanya berlari-lari di antara wajah Jeremy dan wajah Rafiq.
“Ada apa, Encik Jeremy?”
Jeremy mendekati Johan lalu memaut
bahu lelaki itu dengan mesra. Kini mereka bertiga berjalan bersama hingga
keluar dari bangunan itu. Di kaki lima, Jeremy berkata lagi.
“Ni, Encik Rafiq. Akauntan baru
kita, dialah yang tinggal di rumah yang awak cari tu. Dia nak tanya sikit…”
“Rumah?” Johan berkerut dahi. Riak
wajahnya yang pada mulanya tenang kini berubah keruh.
Serentak itu juga, Jeremy dan Rafiq
mengangguk.
“Rumah Mak Minah.” Rafiq pandang
muka Johan yang sedang keliru. Mungkin selain rumah itu, Johan juga
bertanggungjawab mencarikan rumah sewa yang lain.
“Ooo… rumah Mak Minah. Kenapanya?”
Johan bertanya balik, kini dia memandang wajah Rafiq pula.
Rafiq tunduk sebentar dan menghela
nafas. Dia sendiri tidak pasti apa yang mahu ditanyakan kepada Johan. Mungkin
sesuatu tentang Mak Minah?
“Mak Minah tu saudara awak ke?”
“Taklah.” Cepat-cepat Johan
menggeleng.
“Habis tu dari mana awak tahu dia
nak sewakan bilik? Tak ada pun dia letakkan papan tanda depan rumah dia tu.”
“Mak Minahlah yang cakap. Dah
setahun bilik-bilik di rumah dia tu disewakan pada orang. Tapi… tak tahulah
kenapa penyewa tak ada yang lama tinggal di situ. Encik Rafiq ada dengar
apa-apa ke?”
“Dengar apa? Dengar suara Mak Minah
memetir pagi-pagi tu adalah.” Rafiq ketawa kecil walaupun perasaannya mula
kacau. Pertanyaan Johan itu sungguh tidak diduga.
Johan juga tersengih tetapi tidak
lama.
“Manalah tahu, kalau-kalau Encik
Rafiq pun terdengar suara…” Johan telan air liur.
“Suara apa?” Entah kenapa hatinya
bergetar ketika menantikan jawapan daripada Johan.
Johan mula garu kepala. Helmet yang
londeh di kepalanya terus dicabut. Kini wajahnya seakan sarat dengan persoalan
dan bebanan yang ditanggung.
“Entahlah, saya tak pernah dengar.
Mungkin sebab saya tak tinggal di situ. Tapi ada penyewa di situ dulu cakap, mereka
selalu dengar budak kecil menyanyi dan kadang-kadang menangis di tengah malam.”
“Aiya, Johan… tentu ada budak
menangis malam-malam. Itu biasalah,” sampuk Jeremy yang berdiri di
tengah-tengah di antara Rafiq dan Johan. “Anak saya pun cukup suka nangis
malam-malam. Banyak pening.” Jeremy geleng kepala beberapa kali.
“Bukan bunyi macam itulah, Encik
Jeremy. Ini macam bunyi…” Johan terhenti lagi, dia mengangkat muka memandang
wajah Rafiq seakan meminta kepastian.
Rafiq angkat bahu. Walau dia tahu
apa yang dimaksudkan oleh Johan, tetapi sukar sekali mulutnya untuk menyebut
perkataan ‘hantu’. Terpulanglah kepada Johan untuk mentafsirkan apa pun.
Lagipun dia lebih mempercayai
kata-kata Jeremy, mesti suara anak-anak jiran di sebelah-menyebelah rumah. Semasa
di Perak dulu pun, dia selalu mendengar anak jirannya menangis di tengah malam.
Kadangkala hingga ke pukul dua pagi. Cuma dia juga perasan, bunyi yang selalu
didengarinya itu tidak serupa pula dengan suara tangisan anak-anak jirannya.
Hisy!
Johan mengeluh, dahinya masih
berkerut.
“Tak apalah, kalau Encik Rafiq okey
dekat situ. Tapi kalau rasa apa-apa, cabut sajalah,” pesannya sebelum meminta
diri.
Jeremy ketawa mendengar kata-kata
Johan itu. Sambil menggeleng dia mengajak Rafiq meneruskan rancangan mereka
tadi.
Rafiq hanya tersenyum tawar.
Pesanan yang diberikan oleh Johan tadi makin membuat hatinya berdebar. Bagai
terbayang-bayang rumah Mak Minah itu berubah bentuk menjadi makhluk hitam dengan
empat tangan yang panjang. Lengkap pula dengan suara yang didengari sesekali
itu. Hisy! Nak balik petang nanti pun, sudah cuak. Menyesal pula terjumpa Johan
tadi.