BAB
2
SEMENTARA itu di tingkat 8 sebuah
pangsapuri mewah di Pulau Melaka, dua orang lelaki sedang duduk berbual di
beranda. Sambil duduk menghadap Selat Melaka, mereka berdua bercerita tentang
masa kecil yang telah hampir luput dari ingatan. Sesekali mereka berdua ketawa,
sesekali mereka berdua saling menyalahkan sehingga hampir tercetusnya
pergaduhan.
“Sepatutnya kau dah lama balik
sini,” kata Botak tanpa memandang adiknya. Matanya lurus melihat laut yang
gelap gelita di hadapan pangsapuri itu.
Zed tidak terus membalas.
Diteguknya air botol yang berperisa oren tanpa henti. Dia memang menjangkakan
akan mendengar kata-kata itu lahir dari bibir abangnya tetapi ada sebab dia
datang ke situ. Dia sudah bosan menjadi buruan.
“Berhentilah buat kerja tak guna
tu. Zaman sekarang ni, orang hanya fikirkan pasal duit bukan pasal dendam.
Lagipun perempuan boleh dibeli. Dan untuk kau abang boleh beri percuma. Cakap
saja nak dari negara mana, bangsa apa, semuanya ada.” Botak ketawa sendiri.
“Kau mana faham?” balas Zed. “Kau
bukan pernah bercinta.”
“Cinta? Ada apa pada cinta?” Botak
ketawa besar bagaikan orang mabuk. “Cinta itu alasan budak-budak yang tak ada
duit. Hulur cinta dapatlah perempuan yang boleh dibawa tidur. Tapi kita orang
kaya. Kita tak pakai cinta, kita pakai duit. Pakai duit!”
Zed tidak membalas. Wajahnya tetap dingin
dan beku seperti hatinya juga. Dia tidak peduli apa pendirian Botak pasal
cinta, dia cuma percaya kepada pendiriannya sahaja.
“Aku perlukan tenaga kau, Zed.
Kawasan aku sekarang makin luas. Aku perlukan orang yang aku percaya takkan
menikam aku dari belakang.” Botak paut bahu Zed sambil memandang jauh ke Selat
Melaka.
“Orang kanan kau bagaimana? Kau nak
campakkan ke mana?”
“Ikut suka akulah nak campak ke
mana pun. Yang pentingnya sekarang kau dah balik ke sini. Kau kena bantu aku.”
Zed menarik nafas sepenuh dada.
Bukan itu tujuannya datang ke situ. Namun dia tahu Botak tidak akan melepaskan
dia begitu sahaja. “Tengoklah nanti bagaimana. Kalau aku rajin, aku terima offer kau.”
Botak ketawa lagi.
“Susah nak percaya kita ni satu mak
dan satu ayah. Kau berbeza betul dari aku. Tapi aku nak ajar kau satu perkara,
dengan duit kau boleh beli mana-mana perempuan yang kau nak. Anak dara? Janda?
Isteri orang? Kau cakap saja siapa yang kau nak, aku boleh dapatkan. Tapi kalau
kau tak ada duit…” Botak menggelengkan kepala. “Yang percuma pun belum tentu
kau dapat.”
Zed mengetap bibir. Apa pun yang
Botak cakap tidak akan mengubah pendiriannya terhadap cinta. Baginya duit hanya
boleh membeli tubuh badan tetapi bukan cinta sejati. Dia tahu sangat apa yang
tidak pernah diketahui oleh orang seperti Botak yang selalu membeli cinta palsu
menggunakan duit. Di situlah kesilapan Botak.
“Zed, aku serius nak kau bantu aku.
Geng Naga Tongga sudah cuba buat kacau kebelakangan ini. Aku perlukan seseorang
yang kuat untuk memimpin orang-orang aku.” Botak kembali serius.
“Aku dah lama tinggalkan itu semua.
Aku dah lama tak berlawan,” balas Zed. Sekarang dia menghembus asap rokok pula
sambil memandang bulan yang dilindungi tompokan awan.
“Kerana perempuan tu kau jadi
baik?” Suara Botak meninggi semula. “Tapi kalau kau benar-benar sudah jadi
baik, perempuan berambut pendek dalam bilik tu apa hal?”
Zed mengeluh. Pertanyaan Botak
dibiarkan tidak berjawab.
“Aku tak mahu berdongeng panjang
dengan kau lagi. Aku nak, besok kau datang ke tempat aku. Aku nak kenalkan kau
pada orang-orang aku.” Botak meletakkan semula botol yang dipegang ke atas meja
kecil di beranda itu. Dia tepuk bahu Zed dua kali sebelum beredar dari situ.
Zed terus termenung.
******
SEJAM
selepas
itu, Zed sudah berada di sebuah kedai mamak di Bandar Hilir. Dia baru selesai
mengisi perut dengan dua keping roti canai dan kari ikan. Sambil menonton
televisyen yang dipasang pada sudut di sebelah kiri kedai itu, dia menghabiskan
sisa-sisa air teh. Kemudian, dia bangkit meninggalkan kedai itu bersama satu
bungkusan yang mengandungi dua keping roti canai juga. Dia balik ke pangsapuri.
“Roti canai,” katanya kepada
seorang perempuan yang asyik termenung di tepi pintu gelangsar. Apabila
kata-katanya tidak dipedulikan, dia letakkan sahaja bungkusan itu di atas
katil. “Aku pun makan roti canai juga tadi. Kari di kedai tu sedap, kau patut
cuba.”
Namun usahanya untuk berbual dan
mengendurkan suasana di situ seperti sia-sia. Perempuan itu masih termenung
jauh seperti tiga tahun yang lalu. Masih tidak mahu bercakap, masih degil.
Dia hanya memerhati. Ada ketikanya,
dia begitu hampa tetapi di hujung kehampaan itu timbul rasa marah. Dia tidak
boleh putus asa dan mengalah. Dia mesti dapatkan apa yang menjadi miliknya.
Miliknya.
“Makanlah.” Suaranya sedikit tegas.
Dia mengeluh lalu duduk di atas kerusi kayu di tepi dinding berdekatan dengan
pintu gelangsar itu. Sambil memerhati perempuan di hadapannya itu, dia
mengeluarkan kotak rokoknya. Tidak lama kemudian sebatang rokok diselit ke
celah bibir tanpa dinyalakan. Dia tahu Liyana tidak suka bau rokok.
“Besok kau tinggal sini. Tengah
hari, aku akan cuba balik untuk hantarkan kau nasi. Kau jangan tak makan pula,”
katanya lagi.
Kali ini kata-katanya menimbulkan
reaksi. Liyana merenungnya pula.
“Kalau kau nak tahu berapa lama
kita akan tinggal di sini, aku boleh kata mungkin selama-lamanya. Kau tentu
suka, kan? Rumah kita di tepi laut. Hari-hari kau boleh tengok laut, tengok
langit, tengok kapal…”
Tetapi belum sempat dia menghabiskan
kata-katanya, Liyana tiba-tiba terjelepuk di atas tilam. Liyana menangis. Tubuh
Liyana terhinggut-hinggut.
“Tolonglah lepaskan aku… lepaskan
aku.” Suara Liana tenggelam timbul dalam esak tangisnya.
“Hei!” Zed bangkit berdiri apabila
mendengar kata-kata Liyana. Rokok yang terselit di celah bibirnya dicampak ke
lantai. Dia terus mendekati Liyana yang masih belum mengangkat muka.
“Jangan menangis,” katanya. Kepala Liyana
disentuh lembut.
Liyana menggoyangkan kepalanya
sehingga tangan Zed terjatuh. Dilarikan tubuhnya ke kepala katil. Dia terus
menangis.
Melihatkan reaksi Liyana
menjauhinya, Zed termenung seketika. Perempuan itu masih degil. Hati perempuan
itu masih keras walau sudah pelbagai cara dia buat untuk melembutkannya. Dia
rasa sangat tercabar.
“Aku kata diam! Diam!”
Dia menghayun penampar sekuat hati.
Dua kali, tiga kali. Berkali-kali sehingga timbul rasa puas apabila Liyana
berhenti berbunyi. Kemudian rambut Liyana dicekak dengan tangan kiri sekuat
hati. Muka Liyana terdongak. Dia tampar sekali lagi sekuat yang dia mampu
sehingga tubuh Liyana tersungkur ke atas tilam. Apabila Liyana terus terbaring
di situ, dia tinggalkan katil perlahan-lahan.
Dia harap Liyana akan serik.