Bab
5
SEBAIK sahaja kakinya mencecah
lantai rumah yang dilapisi jubin hijau pudar, tubuhnya diterpa tiupan angin
yang sejuk. Dia tersentak seketika. Betul ke rumah ni? Seram semacam saja,
detak hatinya. Tanpa dapat ditahan, anak matanya meliar memperhatikan rumah
yang seolah-olah tidak pernah disentuh matahari. Segalanya nampak menyeramkan.
“Dari mana kamu tahu tentang rumah
ni?” Meluru sahaja pertanyaan itu daripada bibir wanita bertubuh gempal tadi.
“Ada pekerja di Swenson Land yang beritahu.”
Wanita dalam lingkungan usia 50-an
itu mengangguk sambil melemparkan kerlingan yang tajam. Dia duduk di atas
sebuah sofa fabrik yang hampir kehitaman ataupun nampak hitam kerana ruang di
situ agak gelap. Langsir pun tidak dibuka, hanya mengharapkan cahaya yang masuk
melalui pintu hadapan dan dari celah-celah dinding rumah itu.
“Sewanya seratus ringgit sebulan.
Ada katil dan almari. Bilik air di luar, kongsi dengan penyewa lain. Tempat
sidai baju di belakang,” kata wanita itu lagi.
Rafiq pula yang mengangguk. Entah
kenapa, jarinya cepat sahaja menyeluk poket dan mengeluarkan sekeping wang
kertas seratus ringgit. Duit itu dihulurkan kepada wanita itu yang tidak
memandangnya lagi.
“Kamu juga kena bayar duit air dan
api, lima puluh ringgit,” sambung wanita itu lagi sambil mengambil wang yang
dihulurkan Rafiq.
Rafiq tidak membantah. Dia
mengambil beg dompetnya lalu mengeluarkan sekeping wang kertas lima puluh pula.
Duit itu juga diserahkan tanpa sebarang kata. Entah kenapa dia berasa tidak
betah berada di hadapan wanita itu, dia hanya mahu naik ke biliknya secepat
mungkin.
“Panggil aku Mak Minah. Di rumah ni
aku tinggal dengan anak aku, Usop. Kau bawa banyak barang ke?”
Rafiq terus menggeleng.
“Baju dengan barang-barang penting
saja.” Dia menjawab tanpa ingin mengatakan bahawa kehadirannya di situ hanyalah
sementara. Pada pandangannya, Mak Minah bukanlah seorang yang mudah mesra
seperti Jeremy tadi.
Mak Minah merenung tajam ke arah
Rafiq. “Jangan bawa kawan-kawan atau perempuan ke sini. Nanti dengan engkau,
engkau sekali aku halau keluar.”
Rafiq terkulat-kulat, kulit mukanya
mula naik panas. Kini terbit pula rasa kesal di hatinya. Kenapalah dia cepat
sangat menyerahkan duit sewa tadi? Keluhnya di dalam hati. Namun, seratus lima
puluh ringgit sudah dibayar, dia tidak mungkin membiarkannya sahaja. Mungkin
Mak Minah bersikap curiga kerana masih baru bertemu dengannya, pujuk hatinya
sendiri. Lalu dia angguk sebagai tanda faham dan patuh pada amaran itu. “Kunci
bilik, Mak Minah?”
Mak Minah bangun dari sofa.
Perlahan-lahan dia menghayun tubuh gempalnya menuju ke tepi dinding di mana
tersangkutnya sebuah tanduk rusa bercabang dua. Dia mengambil segugus kunci
yang tersangkut di situ.
“Ni kunci bilik, kunci pintu depan dan kunci
pagar depan.” Kunci-kunci itu diserahkan ke tangan Rafiq.
“Saya naik ke atas dulu, Mak
Minah.” Rafiq pandang wajah orang tua itu sebagai meminta keizinan.
Mak Minah berpaling dan tangannya
menunjuk ke arah sebuah tangga kayu di sebelah kiri rumah itu.
Rafiq tidak menunggu lagi.
*****
SATU
demi satu anak tangga dipijaknya. Semakin tinggi, semakin gelap ruang itu.
Namun di dalam kesuraman itu, anak matanya ternampak sebuah suis di tepi
dinding. Dia lantas memetiknya. Ruang itu pun disinari cahaya yang terpancar
daripada sebuah mentol bulat yang tergantung tepat di atas kepalanya. Hatinya
lebih lega, sesungguhnya dia tidak suka kepada keadaan yang gelap. Dia rasa
tidak selamat dan waswas.
Di tingkat dua terdapat empat buah
pintu. Di sebelah kiri tangga ada sederet tiga pintu yang bertutup dan yang
bertentangan pula ada sebuah. Setiap pintu pula tidak ada nombor atau sebarang
tanda. Dia cuba membuka pintu bilik pertama, berdekatan dengan tangga.
Malangnya pintu itu gagal dibuka.
Dia mencuba pula pintu bilik yang
kedua. Klik! Pintunya terbuka dan dia hanya menjenguk sebentar ke dalamnya sebelum
membuka pintu bilik yang ketiga. Bilik ketiga itu rupa-rupanya sebuah bilik air
yang mempunyai sebuah sinki, tandas dan sebuah kolah batu. Tidak ada apa-apa
yang menarik di situ kecuali bilik air itu bersepah dengan bekas ubat gigi yang
kosong dan baki-baki sabun mandi. Dia hanya menggeleng.
Dia cuba pula membuka pintu bilik
ke empat tetapi juga gagal. Kini dia sudah berasa puas hati dan yakin bahawa
setiap bilik di situ mempunyai kunci yang berbeza. Dia cuma mahu berhati-hati.
Biliknya sederhana besar, lebih
kurang 12 kaki kali 12 kaki persegi. Ada sebuah katil bujang dan almari kayu
yang diletak di tepi dinding. Selain itu, bilik itu mempunyai sebuah tingkap
dan sebuah kipas dan dua buah lampu kalimantang. Setelah dia membuka tingkap
biliknya, dia termenung di situ. Permandangannya sungguh menjemukan, macam
tinggal di dalam penjara pokok sukun.
Semasa dia turun semula ke bawah
untuk mengambil keretanya yang masih terletak di tepi pagar, dia terserempak
dengan seorang pemuda berwajah cengkung di muka pintu. Inilah anak Mak Minah
yang bernama Usop tu, fikirnya. Dia tersenyum.
“Anak Mak Minah ya?” Dia
menghulurkan salam.
Pemuda itu hanya tersengih. Huluran
salam itu disambut dengan gaya yang serba kekok.
“Abang nak masukkan kereta. Boleh,
kan?”
Usop mengangguk perlahan.
Rafiq tidak menunggu lama. Dia
menyarung kasutnya semula dan menuju ke pagar. Dalam kepalanya masih lagi
memikirkan situasi rumah itu yang jauh berbeza daripada rumahnya di Perak.
Tiba-tiba ada perasaan sayu dan rindu menyelubungi jiwanya. Dia terbayang
ibunya yang rajin berkemas dan ayahnya yang rajin menanam pokok bunga.
Mungkinkah ini satu dugaan?
*****
WAKTU
sudah
menunjukkan pukul 10.00 malam. Beg-beg pakaiannya masih tegak di tepi dinding.
Kotak-kotak yang dibawanya juga masih tidak terusik. Cuma katil sahaja yang
sudah siap dipasangkan cadar dan bantalnya sudah bersarung elok. Rafiq
berbaring di atas tilam sambil termenung sendiri. Tiba-tiba telefonnya
berbunyi.
“Macam mana, dekat sana? Fiq, dah
dapat tempat tinggal?” Suara ibunya menerpa ke telinganya sebaik sahaja dia
selesai menyahut salam daripada ibunya tadi.
Dia membetulkan posisi tubuhnya
lalu duduk bersandar pada kepala katil. Sambil menggaru kepalanya, dia
menjawab. “Dah dapat dah. Kawan tolong carikan.”
“Fiq sewa bilik ke sewa rumah?”
“Bilik tapi duduk sorang-sorang
saja,” balasnya cepat.
“Baguslah tu. Duduk situ baik-baik.
Kalau ada apa-apa masalah, telefon ke rumah.”
Rafiq tersenyum sendiri mendengar
peringatan yang diberikan itu. Walau sudah berusia hampir 26 tahun pun, ibunya
tetap mahu mengulangi perkara yang sama setiap kali dia bermalam jauh daripada
keluarga.
“Yalah, mak. Abah dah tidur ke?”
“Belum, dia suruh mak telefon kalau
mak risau.”
“Jangan risaulah, mak. Fiq dah ada
tempat tinggal yang elok dekat sini,” balasnya sambil tersenyum tawar. Seperti
ada rasa menipu dirinya sendiri tetapi juga ada rasa mahu menafikannya. Ada
bilik, ada katil dan ada bilik air, apa lagi yang dia perlukan?
“Eloklah kalau macam tu,” balas
ibunya pula.
“Esok saya mula masuk kerja.” Rafiq
memesongkan rasa risau ibunya ke arah lain. Kerana dia faham sangat sikap
ibunya, tentu ibunya tidak boleh tidur selagi belum dapat memastikan dia selamat
di bumi Melaka ini. Dia tidak marah, dia tahu ibunya sayang padanya dan sebagai
anak dia berasa amat disayangi.
“Kerja baik-baik. Tidur awal
sikit.”
Setelah perbualan mereka berdua
tamat, Rafiq bangkit dari katil dan menuju ke arah tingkap yang masih dibiarkan
terbuka sejak tadi. Dia termenung di situ sambil memikirkan apa yang akan
berlaku di tempat kerja barunya esok. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi
suara yang halus.
“Xiao lau shu, shang deng tai,tou chi you, xia bu lai, miao, miao, miao,
mao lai le, ji li ku lu, kun xiao
lai.”
Kemudian suara itu berhenti. Dan
tidak lama kemudian dia terdengar bunyi tangisan yang hiba dan panjang.
Dahinya berkerut. Tubuhnya terasa
seram sejuk. Dengan sepantas yang boleh, dia menarik daun tingkap.