Tasik
Kenyir, Terengganu
Tahun
2012
EZUAN semakin tidak berdaya, dia yang
terikat di tangan dibiarkan tergantung di tengah-tengah gua. Ikatan dari akar
rotan dan kayu yang kuat pada batu-batu yang berceracak membuatkan Ezuan
tidak mampu melepaskan dirinya. Kejadian batuan yang berceracak ke bawah
sebenarnya terhasil dari titisan-titisan air dari dalam gua batu kapur ini. Hanya
titis-titis air dari dalam gua batu kapur itu sahaja yang membantu Ezuan untuk meneruskan
hayat yang masih ada. Nyawanya masih lagi liat untuk melangkah pergi, benarlah
kata orang-orang terdahulu. Berpantang maut sebelum ajal. Jangka hayat Ezuan
masih lagi panjang.
Ezuan terhidu bau hamis semakin
menghampirinya. Ezuan tahu binatang Margas kini berada berhampiran dengannya.
Bau mayat juga menusuk-nusuk ke rongga hidungnya, Ezuan membuka matanya
perlahan-lahan. Dalam kekaburan dan suasana kelam di dalam gua, Ezuan terlihat
sesusuk tubuh tinggi lampai dan kurus sedang mengheret sesuatu.
Suara garau Margas membuatkan Ezuan
dihambat ketakutan. Takut kalau nyawanya dihabiskan pada hari ini juga. Ezuan
cuba mematikan dirinya agar Margas tidak perasan yang dia masih lagi bernyawa.
Margas menghampiri Ezuan, dia menghempaskan sekujur tubuh kaku ke lantai gua
dengan kuat, kemudian dia menghidu-hidu tubuh Ezuan. Jarinya yang runcing yang
berkuku tajam memegang-megang wajah Ezuan, air liurnya menitis-nitis dan
meleleh-leleh hingga ke dagunya yang panjang dan berjanggut itu.
Di dalam hati, Ezuan terus berdoa agar
ALLAH sentiasa melindunginya dari kejahatan dan kesakitan. Dia gentar tatkala
terasa tangan Margas bermain-main wajahnya. Doa Ezuan bagaikan didengari oleh
ALLAH. Margas tidak mengapa-apakan Ezuan, binatang itu mengambil mayat manusia
yang dihempas ke lantai gua dan menggantungnya bersebelahan dengan Ezuan dengan
menggunakan akar-akar pokok yang berselirat. Kemudian Margas berlalu
perlahan-lahan meninggalkan Ezuan dan sekujur tubuh yang tidak bernyawa yang
baru digantungnya.
Apabila Margas sudah tidak kelihatan, Ezuan
membuka matanya perlahan-lahan. Dia menoleh ke arah mayat manusia yang
tergantung disebelahnya. Ezuan langsung tidak mengenali siapakah yang menjadi
mangsa terbaru Margas. Wajah mayat itu kelihatan pucat dan di bahagian belakang
kepalanya seperti ada satu koyakan yang besar. Ezuan bersimpati dengan apa yang
telah terjadi kepada mayat tersebut.
“Mungkin mangsa ini adalah seorang
pemancing, ya ALLAH Engkau rahmatilah rohnya. Tempatkanlah manusia malang ini
di kalangan orang-orang yang Engkau kasihi.” Ezuan berdoa perlahan-lahan air
matanya bergenang.
Dia tahu selepas ini
giliran dia pula yang akan kehilangan nyawa.
Mayat yang tergantung itu sebenarnya
mayat Shuib, rakan kepada Lokman. Margas sempat melarikan mayat Shuib tatkala
dia tercerdera akibat terkena api sewaktu bergelut dengan Lokman. Kini
bertambahlah angka korban binatang berhati Iblis kepada tiga orang. Hanya Ezuan
sahaja yang masih hidup.
Margas perlahan-lahan merebahkan dirinya
di satu sudut di dalam gua. Wajahnya masih lagi ada kesan terbakar, sesekali
dia menjilat-jilat belakang tangannya sehingga basah kemudian dia menyapu pada
mukanya yang tercedera. Itu adalah cara dia merawat lukanya. Setelah selesai
merawat lukanya, Margas merayap ke dinding gua, dengan kekuatan tangan dan
kakinya, mudah bagi Margas untuk mendaki dinding gua yang curam dan licin itu.
Margas kini tergantung dengan berpeluk
tubuh, kepalanya terbalik ke bawah dan kakinya mencengkam kuat ke langit gua.
Langsung tidak ubah seperti seekor kelawar yang sedang tidur. Tidak lama
kemudian terdengar satu dengkuran yang garau dan kasar. Margas lena seketika,
dan apabila malam menjelma, binatang misteri ini akan terjaga lagi.
Kampung
Telaga
Tahun
1712
RUMAH Penghulu Jantan dipenuhi oleh orang
kampung, termasuk jugalah Tamar. Wajah Tamar berseri-seri pada hari ini. Hari
ini adalah hari bahagia buat Tamar dan Melur, mereka berdua diikat pada tali
pertunangan dan hanya beberapa langkah sahaja lagi untuk diijab qabulkan. Jaluk
dan Ajak hanya memandang dari jauh sahaja hari bahagia Tamar dan Melur. Betapa
terbakarnya hati Jaluk apabila melihat senyuman kegembiraan Tamar di sisi
Penghulu Jantan.
“Jaluk, bersabar Jaluk. Belum sampai lagi
masanya untuk kita bertindak. Ingat rancangan kita. Melur hanya bertunang,
belum lagi kahwin. Sabar Jaluk.”
“Aku tahu, aku masih mampu menahan amarah
aku. Kalau tidak, mereka semua akan ku amuk. Aku bunuh satu persatu!” Jaluk
membentak keras, parang tajamnya dilibas ke arah pepohon kecil melepaskan rasa
marah yang tersisa.
“Mari kita pergi!” arah Jaluk, dan Ajak
hanya terangguk-angguk akur.
Penghulu Jantan dan Tamar tidak
habis-habis menerima ucapan tahniah dari orang-orang Kampung Telaga. Sementara
itu, Melur masih lagi berada di dalam biliknya. Dia ditemani ibu dan
saudara-maranya. Kegembiraan jelas terpancar di wajahnya, cincin emas
berkilauan di jari manisnya. Melur hanya tertunduk malu apabila disapa oleh
rakan-rakan seusia dengannya.
“Tahniah Melur, bertuah kau dapat Tamar
yang tampan dan perkasa.” Usik Melati.
“Ha’ah... kau tau, Tamar memang diminati
oleh ramai gadis-gadis di kampung kita. Tetapi hatinya sudah terpaut pada kau
Melur.” Cerita Mawar pula.
“Kau berdua ni ada-ada sahajalah.” Melur
bertambah malu. Wajahnya yang putih berseri menjadi kemerah-merahan.
“Semoga bahagia hendaknya.” Ucap Melati.
Melati dan Mawar bergilir-gilir memeluk Melur.
Sementara itu Penghulu Jantan dan Tamar
masih berada di halaman rumah melayan tetamu yang datang. “Tuk, terima kasih
kerana sanggup berhabis untuk saya.” Ucap Tamar.
“Berhabis? Tuk tidak buat apa-apa pun
lagi.” Ujar Penghulu Jantan seraya tersenyum.
“Tuk sudah lupa? Bukankah Tuk yang
belikan cincin emas untuk hari pertunangan saya dan Melur.” Terang Tamar.
“Ah... itu tidak menjadi keutamaan. Apa
yang penting, kamu berdua sudah selamat diikat dan akhir bulan kamu berdua
kahwin.” Putus Penghulu Jantan dengan bersahaja.
“Terima kasih Tuk,” Tamar bersalam dan
mencium tangan Penghulu Jantan.
“Lepas ini jangan panggil Tuk lagi, Tamar
panggil sahaja bapak ya...” kata Penghulu Jantan.
“Er... baik Tuk.” Teragak-agak Tamar.
“Tamar... bukan Tuk, tapi bapak.”
Penghulu Jantan sengaja menekan sedikit suaranya dan berpura-pura marah.
“Er... ya bapak.” Tamar tersengih-sengih
bagaikan kerang busuk sahaja.
Di sebalik jendela, Melur mengintai. Dia
begitu merindui Tamar walaupun baru sebentar tadi mereka bertentangan mata.
Tamar dapat merasakan dirinya diperhatikan, tetapi dibiarkan sahaja kerana dia
tahu orang yang memerhatikannya adalah tunangnya sendiri.
SEPEKAN sudah berlalu, hari ini Tamar mahu
ke hutan mencari rotan dan buluh untuk dibuat lukah dan bubu. Melur sempat
datang ke pondok Tamar dengan membawa bungkusan makanan agar Tamar tidak
kelaparan apabila berada di dalam hutan nanti.
“Abang jangan pergi lama-lama sangat,
Melur bimbang.” Wajah Melur murung, dia bagaikan akan kehilangan Tamar,
walaupun Tamar hanya pergi ke hutan selama sehari sahaja.
“Alahai sayang, Abang bukannya lama
sangat di dalam hutan sana. Sebelum senja, Abang akan pulang.” Tamar berkata
sambil memegang bungkusan makanannya.
“Hati Melur rasa kurang enak, Abang...
Abang batalkan rancangan Abang ke hutan. Melur risau...”
“Melur, jangan difikirkan perkara yang
tidak elok. Berbanyakkan selawat ke atas Nabi, Insya-ALLAH semuanya akan tenang
kembali. Kadang-kadang perasaan yang datang hanyalah mainan semata-mata. Melur
pulanglah dahulu, bila pulang dari hutan nanti Abang akan singgah ke rumah
Melur.” Tamar memujuk tunangnya.
“Abang janji?”
“Ya, Abang berjanji. Apabila keluar dari
hutan, Abang akan singgah ke rumah Melur.” Ujar Tamar sekali lagi.
“Abang,
pakailah cincin perak milik Melur ini. Sebagai peneman abang,” Melur menarik
cincinnya dari jari manisnya kemudian disarungkan ke jari anak Tamar.
“Terima
kasih cintaku,” ucap Tamar.
“Kalau begitu, Melur pulang dahulu.”
Melur bersalam dan mencium tangan Tamar. Tanpa disedari air mata Melur menitis
membasahi tangan Tamar.
Tamar terkesima seketika. Apabila Melur
mendongak, Tamar menyeka air mata tunangnya itu dengan perlahan. Tersentuh
hatinya tatkala melihat rembesan air mata yang mengalir di pipi Melur.
Perlahan-lahan Tamar mencium dahi Melur tanda sayangnya yang tidak terhingga.
Melur makin diamuk rasa pilu.
“Sudahlah, jangan menangis. Kirim salam
pada bapak dan ibu ya...”
Melur mengangguk perlahan, kemudian dia
berlalu dengan perlahan-lahan meninggalkan Tamar. Tamar pula mula dihambat rasa
resah, dia hairan kenapa dia tidak merasai apa yang Melur rasakan.
Apabila semakin jauh, Tamar melihat Melur
menoleh ke arahnya. Tamar cuba mengukirkan senyuman agar hati tunangnya tidak
terus dijentik dengan perasaan yang kurang enak. Melur membalas senyuman Tamar
dengan lambaian tangan dan segarit senyuman yang hambar, kemudian dia
menyambung langkahnya kembali.
JALUK dan Ajak kini sedang menikmati makan
pagi di warung yang biasa mereka singgah. Kelibat Juragas tidak kelihatan,
hanya Darus sahaja yang ada bersama. Juragas masih tercedera dan kakinya belum
lagi sembuh dengan sepenuhnya.
“Hari ini aku belanja, kau makanlah apa
sahaja yang kau mahu.” Ajak dengan bangga berkata.
“Wah, banyak duit kau Ajak.” Tegur Darus. Jaluk sekadar tersenyum sahaja. Dia
tahu dari mana Ajak mendapat duit.
“Bapak saudara aku baru kirim dari
Pahang. Kau makanlah apa sahaja yang kau mahu.” Ajak berbohong.
“Kalau orang sudah mahu belanja, apa
tunggu lagi. Tapi setahu aku, bapak saudara kau orang Kelantan.” Darus tertawa
dan diikuti Ajak dan Jaluk.
Riuh seketika di dalam warung dengan
suara dari ketiga-tiga pemuda jati Kampung Telaga itu. Sedang asyik mereka
menikmati santapan mereka, tiba-tiba Pak Andak pemilik warung berkenaan menegur
seseorang yang sedang berjalan di luar warungnya.
“Ke hutankah? Tidak mahu singgah dahulu?”
Pak Andak menyapa Tamar yang sedang berjalan melewati warungnya.
“Oh Pak Andak, maaflah saya mahu segera
ke hutan. Esok sahajalah saya singgah di warung pak Andak ya...” Tamar berlalu
seraya menghadiahkan senyuman kepada pemilik warung tersebut.
“Jaluk, kau dengar atau tidak?” Ajak
bertanya.
“Ya, aku dengar.” Jawab Jaluk.
“Kita tunggu apa lagi? Ini adalah masa
yang sesuai untuk kita membalas apa yang sudah dilakukan oleh dia.” Darus
menabur hasutan kepada Jaluk.
“Aku mahu membalas apa yang telah dia
lakukan terhadap aku dan adik aku, Juragas.” Darus menderam, diramas-ramasnya
kuih di dalam tangannya sehingga hancur.
“Bersabar Darus, bukan di sini tempatnya
kita buat kecoh. Dia tidak akan ke mana-mana, hutan itu rumah aku.” Jaluk
menyeringai.
Darus dan Ajak tertawa sinis, mereka
berdua juga seperti tidak sabar untuk berhitung dengan Tamar. Terutama sekali
Darus, kekalahan tempoh hari membuatkan api dendamnya semakin membara.