Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
103,613
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 9

Bab 9

Tanah Merah, Kelantan


PERMINTAAN Shazzuana terpaksa ditunaikan oleh Fazlun, kini mereka berdua berada di rumah Romli bapa saudara kepada Fazlun. Romli merupakan bapa tunggal kepada seorang anak lelaki. Anaknya tunggalnya itu masih lagi menuntut di sebuah Universiti tempatan di Sarawak. Romli banyak menghabiskan masanya di rumah sahaja, dia merupakan pesara tentera dan pernah dianugerahkan dengan pangkat Sarjan.

Kedatangan Fazlun dan Shazzuana disambut dengan mesra oleh Romli. Sudah lama anak saudaranya itu tidak berkunjung ke rumahnya.

“Pak Ngah sihat?” Fazlun tunduk bersalam seraya mencium tangan bapa saudaranya itu.

Tubuh yang tegap membuatkan Romli kelihatan muda dari usianya, sekali pandang usia Romli seolah menghampiri 40an, walaupun sebenarnya usianya lebih dari angka itu.

“Pak Ngah sihat, ni apa mimpi mari ke rumah Pak Ngah ni?” soal Romli, wajahnya tetap mengukir senyuman.

“Alah, Fazlun datang melawat tak bolehkah?” Fazlun mencebik.

“Ha ha ha... janganlah marah Pak Ngah bergurau sahaja. Kawan Fazlun ni nama apa?” Romli berkalih pandang ke arah Shazzuana pula.

“Nama saya Shazzuana, pakcik panggil sahaja Ana.” Shazzuana memperkenalkan diri seraya bersalam dengan Romli.

“Naiklah, buat macam rumah sendiri.” Romli menjemput dua gadis itu naik ke rumahnya.

Mereka berdua melangkah masuk ke rumah Romli yang sederhana besar itu. tatkala masuk Shazzuana terkejut apabila melihat ada kepala rusa dan gading gajah menghiasi dinding bapa saudara Fazlun. Rumah bapa saudara Fazlun ini begitu menyeramkan, Shazzuana terlihat gambar-gambar di dinding rumah. Kesemuanya gambar Romli memegang senapang dan ada di antaranya gambar Romli dengan hasil buruannya.

“Pak Ngah, Fazlun sebenarnya datang ni membawa hajat.” Fazlun memulakan rentak bicara setelah melabuh punggungnya ke sofa baldu Romli.

“Hm... Pak Ngah dah agak dah.” Romli tersenyum.

“Kawan Fazlun nak minta tolong dengan Pak Ngah, tolong carikan kawan dia yang hilang di hutan Tasik Kenyir.” Cerita Fazlun.

“Hilang? Bila dia hilang?” berkerut muka Romli apabila mendengarnya.

“Rasa-rasanya dekat seminggu mereka hilang.” Cerita Fazlun lagi.

“Mereka? Berapa orang yang hilang?” Romli bertanya lagi. Dia semakin berminat untuk mengetahui.

“Tiga orang, pakcik tolonglah saya. Tolong carikan mereka sampai dapat.” Kali ini barulah Shazzuana bersuara.

Romli terdiam seketika, dia termenung panjang tatkala mendengar permintaan Shazzuana dan anak saudaranya. Dia pernah mendengar berita tentang kehilangan pelajar Universiti di Tasik Kenyir, kehilangan yang begitu misteri.

“Pakcik, tolonglah. Saya sanggup bayar berapa sahaja asalkan Ewan dan kawan-kawannya dijumpai semula.” Rayu Shazzuana. Air matanya mula bergenang.

“Apa nama mereka?” Romli bertanya lagi.

“Ezuan, Nazri dan Ajis. Tapi Ezuan kitorang panggil Ewan sahaja.” Celah Fazlun sambil melirik pandang ke arah Shazzuana.

“Pakcik, saya ada bawa rakaman Ewan ketika di Tasik Kenyir, dia merakam melalui telefon bimbitnya.” Jelas Shazzuana.

“Telefon bimbit?” Romli mengerutkan dahinya.

“Pihak ranjer hutan ada menjumpai barang-barang milik Ewan dan telefon bimbitnya ini antara yang dijumpai. Di dalamnya ada rakaman dari Ewan, saya... saya ada ternampak kelibat bayang-bayang aneh. Mungkin bayang-bayang itu datangnya dari susuk tubuh binatang yang menyerang mereka.” Cerita Shazzuana lagi.

Fazlun tercengang-cengang mendengar cerita Shazzuana, ini kerana dia tidak pula ternampak kelibat seperti yang didakwa Shazzuana.

Romli terdiam sejenak, kemudian Shazzuana lekas-lekas mengeluarkan telefon bimbit Ezuan. Dia mahu Romli melihat sendiri kelibat bayang-bayang di dalam rakaman Ezuan, mungkin Romli dapat mengecam binatang jenis apakah yang menyerang kekasihnya itu.

“Ini rakamannya.” Shazzuana menghulurkan telefon bimbit Ezuan kepada Romli.

Romli melihat rakaman tersebut, kemudian matanya menangkap kelibat bayang-bayang di belakang khemah Ezuan. Romli menekan butang Pause untuk memberhentikan seketika dan mengulangi rakaman tersebut berkali-kali. Kerana bayangan tersebut kelihatan berbalam-balam, Romli lekas-lekas mengenakan kaca matanya. Apabila usia sudah menjengah senja pandangan juga semakin pudar.

Wajahnya jelas berubah, dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi. Setelah puas meneliti rakaman tersebut, Romli menghulurkan kembali telefon bimbit Ezuan kepada Shazzuana.

“Pakcik tau binatang apakah itu?” Shazzuana terus melontarkan pertanyaan.

“Aku nak tengok, aku tak tengok lagi bayang-bayang yang kau maksudkan itu.”

Fazlun terus mencapai telefon bimbit Ezuan dari tangan Shazzuana. Dia tidak mahu ketinggalan menyaksikan kelibat bayang-bayang yang telah terakam oleh Ezuan secara tidak sengaja.

“Pakcik bukan tak mahu tolong, tetapi...” Romli mengeluh.

“Tetapi apa Pak Ngah?” Fazlun bertanya, dia hairan melihat wajah bapa saudaranya yang secara tiba-tiba berubah.

“Pakcik rasa mereka semua sudah... hmm, mati. Maafkan pakcik kalau pakcik berkata kasar. Tetapi itulah hakikatnya.”

Shazzuana terkedu mendengar kata-kata Romli yang seolah-olah menyerah kalah sebelum berjuang. Fazlun tahu reaksi Shazzuana menggambarkan ketidakpuasan hati yang memuncak. Lekas-lekas dia memegang tangan Shazzuana agar tenteram seketika.

“Pak Ngah, kenapa cakap begitu? Binatang apakah yang menyerang mereka?” Fazlun tidak berpuas hati. Dia juga mahu tahu binatang apakah yang menyerang Ezuan dan rakan-rakan.

“Mereka mungkin diserang Margas.” Kata Romli. Wajahnya kelihatan tegang tetapi tutur katanya tenang.

“Margas? Apa tu?” Fazlun bertanya lagi.

“Binatang itu boleh dianggap sebagai ketua kepada segala binatang buas oleh orang-orang setempat. Ada juga yang mengatakan ia sekadar mitos atau rekaan sahaja, tetapi tidak bagi Pak Ngah. Dan harapan untuk melihat mangsa serangannya hidup agak tipis. Maafkan Pak Ngah.” Romli tertunduk.

Dia yang kini berusia hampir lima puluh lima tahun itu tahu dan pernah mendengar cerita tentang makhluk yang bernama Margas. Fazlun terdiam. Anak saudaranya itu langsung tidak mengerti.

“Mana pakcik tahu mereka diserang Margas? Pakcik, mungkin mereka diserang beruang atau binatang lain. Lagipun pakcik cakap binatang itu sekadar mitos. Tolonglah jangan menyerah sebelum mencuba.” Shazzuana terus merayu.

“Pakcik ada tengok tapak kakinya dalam berita di tv. Pakcik tahu itu tapak kaki Margas. Seekor binatang yang ganas, pantas pergerakannya dan bijak seperti manusia. Dan bayang-bayangnya di dalam rakaman sebentar tadi juga adalah bayang-bayang Margas.” Ulas Romli dengan penuh yakin. Perlahan-lahan dia menanggalkan kaca matanya.

Shazzuana dan Fazlun terdiam tatkala mendengar Romli bercerita. Kemudian Romli bangun dan masuk ke dalam bilik tidurnya seketika. Terpinga-pinga Shazzuana dan Fazlun melihat tingkah laku Romli. Beberapa ketika kemudian Romli keluar dengan membawa sebuah fail usang dan penuh dengan debu.

“Fail apa ni Pak Ngah?” soal Fazlun.

“Keratan-keratan akhbar lama, Pak Ngah simpan sejak kecil lagi. Pak Ngah memang minat dengan hutan. Banyak perkara-perkara pelik yang keluar di akhbar akan Pak Ngah kerat dan simpan.” Ujar Romli seraya memakai kaca matanya sekali lagi ketika membelek keratan-keratan akhbar yang tersimpan rapi di dalam fail usangnya.

“Apa yang Pak Ngah cari?” Fazlun tertanya-tanya. Riak wajah Shazuzana juga begitu.

“Hah, dah jumpa. Kamu bacalah keratan akhbar lama ini.” Romli menghulurkan fail usangnya itu kepada Fazlun dan Shazzuana.

“Keratan akhbar tahun 1962?” terkejut Fazlun ketika membaca tahun keluaran akhbar tersebut. Romli hanya tersenyum sahaja.

“Serangan binatang buas di hutan Kuala Berang.” Wajah Shazzuana dan Fazlun berkerut setelah terbaca tajuk yang ditulis oleh wartawan akbar tersebut.

“Menurut orang-orang kampung, binatang yang menyerang empat orang pencari rotan itu dikenali sebagai Margas. Ini kerana rupa yang aneh dan kebijaksanaannya mengatasi binatang-binatang buas yang lain.

Nama Margas adalah singkatan kepada Margasatwa ataupun binatang liar. Orang-orang kampung yang berdekatan memanggil binatang ini dengan nama Margas kerana sifatnya yang merangkumi segala binatang di dalam hutan tersebut. Kalau bertanya kepada orang asli mereka semua juga panggil dengan nama Margas. Mereka semua takut dengan binatang misteri ini.

Penemuan ini mencetuskan tanda tanya, adakah Margas itu binatang ataupun sebaliknya. Menurut seorang yang mahir dalam perubatan tradisional di kampung berkenaan, Margas adalah jelmaan Jin yang sentiasa dahagakan darah manusia.” Fazlun berhenti seketika.

Wajah Shazzuana juga berubah mendengar apa yang dibacakan oleh Fazlun. Sesekali terdengar Fazlun tertelan air liur. Seram mendengarnya.

“Walaupun begitu pihak berkuasa yakin Margas adalah sejenis binatang buas yang biasa ditemui di dalam mana-mana hutan dan usaha untuk menangkapnya akan diteruskan sehingga berjaya.” Fazlun menyambung bacaannya.

“Margas?” berkerut wajah Shazzuana. Belum pernah lagi dia mendengar binatang yang diberi nama Margas.

“Orang-orang kampung yang memberi nama kepada binatang buas itu.” Ujar Romli.

“Seorang dari mangsa serangan Margas bernama Mat Lazim, dia terselamat kerana pada malam itu dia terjatuh ke dalam sungai sejurus selepas diserang. Beliaulah yang menceritakan segala yang terjadi kepada wartawan, termasuklah bentuk tubuh binatang tersebut.” Cerita Romli lagi.

“Sampai sekarang binatang itu hidup? Atau apakah yang menyerang Wan dan rakan-rakannya itu? Tak mungkin...” Fazlun mula rasa takut selepas membaca keratan mengenai Margas.

“Pak Ngah rasa binatang yang menyerang pencari rotan lima puluh tahun yang lalu adalah binatang yang sama menyerang kawan-kawan kamu. Pak Ngah bersimpati dengan apa yang telah terjadi dengan rakan-rakan kamu.” Ujar Romli.

Dia mengeluh hampa, dia tahu dia tidak mampu membantu Shazzuana.

Shazzuana tertunduk, manik-manik air mata mula menitis membasahi lantai rumah Romli. Dia tidak tahu untuk berbuat apa lagi selain daripada menangis. Harapannya semakin kabur dan mungkin akan hancur bila-bila masa sahaja lagi. Fazlun memujuk Shazzuana agar kuat dan tabah dalam menghadapi situasi ini.

“Pakcik, tolonglah... saya merayu, saya sanggup bayar pakcik berapa sahaja, asalkan pakcik dapat bantu saya. Tolonglah, kalau Ewan dah tiada biarlah jasadnya bersemadi dengan sempurna. Saya redha kalau dia sudah ditakdirkan pergi selama-lamanya.” Shazzuana terus merayu dan baginya Romli adalah harapan yang terakhir buatnya.

Lama juga Romli termenung, kedengaran dia melepaskan keluhan yang memberat dari dadanya. Perlahan-lahan dia mendongak memandang Fazlun kemudian berkalih pandang kepada Shazzuana. Agak lama juga dia diam mencanaikan segala kemungkinan di dalam minda matangnya.

“Baiklah, pakcik tolong...” kata Romli. Walaupun berat dia terpaksa juga. Rasa kasihan terhadap Shazzuana berjaya melembutkan hatinya.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.