Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
103,625
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 6

Bab 6

Kemaman, Terengganu


KETIBAAN Shazzuana dan Fazlun disambut dengan mesra Ghazali, ayah kepada Ezuan. Ghazali ternyata masih berupaya mengukir satu senyuman walaupun di dalam hatinya hanya dia dan ALLAH sahaja yang tahu. Kehilangan anak lelaki sulungnya ternyata begitu mengejutkan. Jauh di sudut hatinya, Ghazali mempunyai pendapat yang sama dengan Shazzuana mengenai Ezuan. Ghazali yakin Ezuan masih lagi hidup.

“Pakcik, makcik Hazimah sihat?” Shazzuana bertanya kepada Ghazali yang sedang memandu.

“Makcik kau kurang sihat sedikit. Dia masih dalam terkejut dengan berita kehilangan Ewan.” Ghazali bercerita serba sedikit. Ewan adalah panggilan manja anaknya itu.

“Makcik sakit?” soal Shazzuana lagi.

“Dia demam, sebab itulah dia tak ikut bersama datang ambil Ana dan Fazlun.” Ujar Ghazali lagi.

Shazzuana terdiam sejenak, dia juga dapat merasai apa yang dirasakan oleh ibu Ezuan. Hati seorang ibu pasti lebih lembut berbanding bapanya. Ghazali tetap tenang menghadapi setiap apa yang mendatang, kerana dia tahu ajal dan maut hanya ALLAH yang tentukan. Andaikata ajal anaknya, Ezuan pergi dahulu. Dia redha dan akur. Tiadalah daya dirinya untuk menghalang semua itu berlaku.

“Berapa hari Ana dan Fazlun bercuti?” Ghazali mengubah topik perbincangan mereka.

“Dua hari sahaja, pakcik. Fazlun ada kelas hari Ahad nanti.” Fazlun tersengih-sengih tatkala Shazzuana menjawab pertanyaan Ghazali.

“Oh, maknanya hari Sabtu dah nak balik ke kampuslah ya?” Shazzuana terangguk-angguk. Fazlun juga begitu, dia agak pemalu sedikit apabila berhadapan dengan ayah Ezuan.

Sedang rancak mereka berbual, sedar tidak sedar mereka bertiga sudahpun sampai ke destinasi yang ditujuinya. Rumah Ghazali terletak tidak jauh dari bandar Kemaman, hanya beberapa kilometer sahaja dari rumahnya. Ghazali mempunyai dua orang anak lelaki. Ezuan anak yang ke dua dan Azmi anak yang pertama. Azmi tiada di bumi Terengganu kerana menuntut di sebuah Universiti di Sarawak.

Sebaik sahaja salam diberikan, pintu rumah banglo dua tingkat itu dibuka perlahan-lahan. Terlihat wajah Hazimah yang tidak bermaya tetapi masih mampu memberikan seulas senyuman kepada tetamu yang mendatang. Senyuman yang tidak semanis seperti kebiasaannya.

“Masuklah Ana, Fazlun...” Hazimah mempelawa Shazzuana dan Fazlun memijakkan kaki ke dalam rumahnya.

Shazzuana dan Fazlun bersalaman dengan Hazimah dengan seadanya sambil diperhatikan oleh Ghazali dari belakang. Hazimah memeluk Shazzuana dengan seerat-erat, kemudian Hazimah menangis tersedu-sedu. Hatinya masih lagi terluka akibat kehilangan anak lelaki keduanya. Shazzuana cuba mententeramkan Hazimah dengan sedaya yang termampu, bergenang juga air mata Shazzuana demi melihatkan Hazimah menangis. Dia juga merindukan Ezuan yang amat dicintainya itu.

Ghazali mendapatkan isterinya dan dia turut mententeramkan Hazimah. Apabila tenang seketika, barulah Shazzuana bercerita serba sedikit tujuan dia ke mari. Keperihatinan Shazzuana membuatkan Hazimah dan Ghazali kagum, malah Shazzuana cukup pandai mengambil hati kedua orang tua Ezuan.

Jauh di sudut hati, Ghazali berharap agar umur Ezuan masih panjang dan bolehlah disatukan dengan Shazzuana. Kelembutan wajah Shazzuana dan kesopanannya terhadap orang tua memikat hati Ghazali dan Hazimah.

“Ma dan abah Ana di Besut sihat?” Hazimah berbasa-basi, wanita itu cuba untuk menceriakan keadaan.

“Alhamdulillah, semuanya sihat. Mereka kirim salam pada makcik dan pakcik.

“Walaikumusalam,” jawab ibu dan bapa Ezuan hampir serentak.

“Ana dan Fazlun bolehlah tidur di bilik tetamu di atas ya. Nanti malam kita akan makan bersama-sama.” Hazimah bertutur dengan perlahan-lahan, tangisannya kini semakin reda.

“Makcik nak masak? Tak payah susah-susahlah, apa kata biar saya dan Ana sahaja yang siapkan makan malam. Ana ni pandai memasak tau,” getus Fazlun.

Shazzuana merenung tajam ke arah Fazlun, malu tidak terkata rasanya apabila dipuji di hadapan Hazimah dan Ghazali. Fazlun berbuat selamba sahaja walaupun Shazzuana menjegilkan matanya.

“Makcik sihat, makcik boleh masak untuk kita berempat malam ini.” Hazimah mendatar walaupun sebenarnya dia berkeras untuk menyediakan makan malam buat tetamunya.

“Kalau begitu, biar saya dan Fazlun yang tolong makcik memasak ya?” kali Shazzuana menawarkan dirinya. Fazlun pula sekadar tersengih-sengih.

“Sekarang ini, biar pakcik tunjukkan bilik untuk kamu berdua ya...” Ghazali membawa beg pakaian Shazzuana dan Fazlun ke tingkat atas rumahnya.

Walaupun Shazzuana menegah kerana tidak mahu menyusahkan Ghazali, Ghazali tetap mahu membawa beg pakaian dua anak gadis itu. Sebagai tuan empunya rumah, Ghazali mesti melayan tetamu yang datang dengan sebaik-baiknya.


MALAM di Kemaman begitu dingin dan mendamaikan. Shazzuana dan Fazlun membantu Hazimah di dapur membasuh pinggan dan gelas yang digunakan selepas makan malam sebentar tadi. Selepas itu Shazzuana dan Fazlun meminta diri untuk ke ruang tamu setelah selesai melakukan kerja-kerja rutin di dapur. Ketika berada di ruang tamu, Ghazali memberitahu sesuatu kepada Shazzuana.

“Ana, pihak polis ada menjumpai barang-barang milik Ewan di kawasan perkhemahannya.” Cerita Ghazali.

“Barang apa yang mereka temui?” soal Shazzuana.

“Beg pakaian, telefon bimbit, iPad dan beberapa peralatan memancing.” Jawab Ghazali.

“Telefon bimbit? Er... boleh saya tengok telefon bimbit Ewan?” tiba-tiba Shazzuana teringin untuk melihat telefon bimbit milik Ezuan.

“Sekejap ya, pakcik pergi ambil di bilik Ewan.” Selajur itu jugalah Ghazali melangkah menaiki anak tangga menuju ke bilik anaknya.

“Eh, kau nak buat apa dengan henfon Ewan?” setelah Ghazali hilang dari pandangan barulah Fazlun meluahkan rasa hairannya terhadap permintaan Shazzuana.

“Ewan pernah cakap, dia nak mengambil gambar dan merakam video semasa di Tasik Kenyir. Nak juga aku tengok apa yang dia rakamkan.” Shazzuana berterus-terang. Fazlun terangguk-angguk.

Tidak lama kemudian, Ghazali turun dengan membawa telefon bimbit dan iPad Ezuan di tangannya. Shazzuana menyambutnya seraya tersenyum.

“Kenapa Ana nak tengok telefon bimbit Ewan?” soal Ghazali.

“Saya bukannya apa pakcik, Ewan pernah cakap dia nak merakam gambar-gambar di Tasik Kenyir. Teringin juga saya nak tengok suasana Tasik Kenyir.” Cerita Shazzuana dengan jujur.

“Oh, tengoklah... pakcik langsung tak periksa telefon bimbitnya. Lagipun baterinya sudah habis. Ana cajlah dahulu ya. Chargernya ada di meja komputer di sana.” Ghazali menunjukkan arah di mana letaknya alat pengecaj telefon bimbit.

Shazzuana tersenyum, kemudian dia melangkah menuju ke arah yang ditunjukkannya. Fazlun pula hanya mengekori sahaja Shazzuana. Dia ibarat bayang-bayang kepada Shazzuana sahaja. Di mana Shazzuana pergi, di situlah Fazlun akan berada. Fazlun meminta kebenaran dari Shazzuana untuk melihat-lihat iPad Ezuan. Shazzuana hanya membiarkan sahaja Fazlun menatap iPad Ezuan.

Shazzuana sebenarnya lebih ingin melihat isi dalam telefon bimbit Ezuan. Setelah beberapa minit mengecaj telefon bimbit Ezuan. Shazzuana mengambil keputusan untuk menghidupkannya. Hatinya tidak sabar untuk melihat apa yang dirakam oleh Ezuan semasa berada di Tasik Kenyir. Sementara itu Fazlun terkejut apabila dia melihat gambar Ezuan sedang berpegangan tangan dengan seorang gadis cantik. Apa yang pasti gadis itu bukan Shazzuana.

“Kau ni kenapa, macam lihat hantu sahaja?” soal Shazzuana tatkala terlihat ada riak kejutan di wajah Fazlun.

“Er, tak... tak ada apa-apalah.” Fazlun tersenyum-senyum, lekas-lekas dia letakkan iPad Ezuan di atas sofa.

“Er... HenfonEwan dah boleh dihidupkan?” Fazlun mengalih cerita agar Shazzuana tidak mengesyaki sesuatu.

“Kejap, biar aku cuba hidupkan.” Shazzuana kembali ke arah telefon bimbit kekasihnya itu.

Setelah telefon bimbit Ezuan berjaya dihidupkan, Shazzuana terus menekan-nekan butang telefon pintar milik Ezuan itu berkali-kali. Dia mahu lekas melihat rakaman Ezuan. Shazzuana membelek-belek gambar yang diambil oleh Ezuan. Tiba-tiba hatinya tersentuh, ternyata dia merindukan wajah Ezuan yang mirip wajah Ghazali berkulit putih bermata sepet seperti lelaki berbangsa cina itu. Wajah yang sentiasa ceria.

Shazzuana kemudiannya pergi ke bahagian video, satu persatu video yang dirakam oleh Ezuan dilihatnya. Terasa rindu di hati terubat tatkala mendengar suara Ezuan berkata-kata. Di kesempatan itu Ghazali yang sedang menonton televisyen di ruang tamu, lekas-lekas mendapatkan Shazzuana dan Fazlun di meja komputer miliknya.

Ingin juga dia melihat rakaman anak lelakinya itu, rindu seorang bapa juga jelas tergambar di wajah Ghazali. Mujur jugalah Hazimah tiada di ruang tamu, jikalau tidak sudah pasti dia turut sama menonton rakaman Ezuan. Hazimah banyak menghabiskan masanya di dalam bilik kerana kesihatannya masih terganggu.

Ketika tiba di satu rakaman, mata Shazzuana dapat menangkap sesuatu yang aneh sekali. Ketika Ezuan sedang merakam di dalam khemahnya, Shazzuana terpandang ada satu kelibat melintas di belakang khemah Ezuan. Kemudiannya Shazzuana mengulangi rakaman tersebut, ternyata memang ada bayang-bayang yang melintasi di belakang dinding khemah Ezuan. Berkerut wajah Shazzuana melihat bayang-bayang tersebut.

“Apa yang menarik sangat sampai berkali-kali kau tengok video ni?” Fazlun bertanya.

“Er... tak ada apa-apalah. Pakcik, boleh tak saya simpan rakaman ini? Saya berjanji akan pulangkannya semula kepada pakcik.” Shazzuana berkalih pandang kepada Ghazali.

“Boleh, apa salahnya.” Ringkas dari Ghazali.

Shazzuana tersenyum, Fazlun tidak tahu apakah yang bermain di minda Shazzuana ketika ini. Kenapakah Shazzuana mahu menyimpan rakaman video Ezuan. Mungkin dia terlalu rindukan Ezuan, disebabkan itulah Shazzuana ingin menyimpannya. Fikir Fazlun. Tetapi apakah yang akan terjadi sekiranya Shazzuana terlihat gambar-gambar kemesraan Ezuan dengan seorang gadis lain di dalam iPad Ezuan? Sudah semestinya hati Shazzuana akan hancur remuk.

Previous: SINOPSIS
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.