Bab
1
Hulu
Sungai Cicir
Tasik
Kenyir, Terengganu
Tiga
bulan kemudian...
MALAM di dalam hutan kadang-kadang
menakutkan. Binatang buas seperti harimau belang, harimau bintang, beruang dan
ular-ular berbisa boleh membawa ancaman kepada manusia yang menceroboh ke
kawasan mereka. Kelihatan tiga buah khemah telah didirikan berhampiran antara
satu sama lain di tengah-tengah hutan di kawasan tasik buatan manusia ini.
Ketiga-tiganya masih bercahaya dari dalam, bererti penghuninya masih lagi belum
melelapkan mata. Unggun api dibuat di tengah-tengah antara tiga buah khemah,
bertujuan untuk mengelak dari diganggu oleh binatang buas, terutama sekali
binatang seperti pemangsa seperti harimau dan mungkin juga beruang.
Nazri
masih lagi tidak boleh melelapkan matanya, walaupun waktu-waktu begini di
kampus dia sudahpun berdengkur di atas katil. Pelajar dari jurusan Seni Logam
Halus ini berkali-kali ingin melelapkan matanya tetapi matanya bagaikan degil
untuk dilelapkan. Anak telinganya terdengar bunyi permainan video dari khemah
Ajis, bunyi yang diselangi dengan suara pemiliknya yang kadang-kadang menjerit
kesukaan seperti memenangi sesuatu.
“Ajis,
kau tak tidur lagi?” Nazri bertanya. Dia melaungkan sedikit suaranya tanpa
membuka zip di pintu khemahnya.
“Belum
lagi, kau pulak kenapa tak tidur-tidur? Biasanya kau orang yang pertama
melayari mimpi.” Sindir Ajis. Suaranya kedengaran dari dalam khemahnya.
“Entahlah,
aku rasa malam ini macam tak best
aje...” Nazri meluahkan apa yang dirasakannya.
“Eh
mulut tu, boleh tak jangan nak laser
sangat.” Marah Ajis.
“Korang
berdua ni boleh tak jangan bising-bising, aku nak tidur pun tak boleh. Dah
pergi tidur, esok dah nak memburu Kelah...” Terdengar suara Ezuan memberi
arahan dari dalam khemahnya.
“Ha,
kaulah Nazri, tak fasal-fasal aku kena marah dengan Ewan. Malam tak bestlah, tak boleh tidurlah...” Ajis
merungut.
“Yelah,
aku mintak maaflah.” Terdengar Nazri memohon maaf.
Mereka
bertiga berkomunikasi hanya dari dalam khemah sahaja, jarak antara satu-satu
khemah mereka dalam lingkungan empat hingga lima kaki. Ezuan sebenarnya tidak
tidur lagi, dia sedang melihat-lihat gambar kekasih hatinya di telefon
bimbitnya. Terasa rindu pula tatkala berjauhan, walaupun mereka baru sahaja dua
hari di dalam hutan di Tasik Kenyir ini.
“Baik
aku buat video sikit...” ujar Ezuan. Dia seolah-olah bercakap dengan telefon
bimbitnya.
Ezuan
telah menukarkan mod telefon bimbitnya ke mod video. Dia berniat untuk merakam
aktivitinya sepanjang berada di hutan Kenyir ini dan berharap agar Shazzuana
melihat aksinya di dalam video yang dirakamnya.
Shazzuana dan Ezuan
merupakan pasangan kekasih, mereka masing-masing masih lagi menuntut di
Universiti yang sama. Shazzuana merupakan pelajar dari jurusan perakaunan.
Pertemuan mereka bermula ketika mereka mendaftar masuk sebagai pelajar baru di
kolej tersebut.
“Hello, Ewan sekarang ini masih berada di
dalam hutan Kenyir buat malam yang ke dua. Jangan bimbang semuanya di dalam
keadaan selamat. Esok pagi-pagi Ewan dengan Nazri dan Ajis akan memancing ikan Kelah
di hulu Sungai Cicir, harap-harap dapat tangkap ikan Kelah yang panjangnya dekat
satu meter. Orang cakap di sini banyak ikan yang besar-besar. Nanti bila Ewan
dapat tangkap ikan Kelah, Ewan akan tunjukkan pada Ana. Ewan tak sabar nak
pulang dan berjumpa dengan Ana di kolej nanti. Okaylah Ewan nak tidur dahulu. Esok Ewan akan rakam lagi. Bye.”
Ezuan menekan butang off pada telefon bimbitnya dan menyimpan
rakaman tersebut di dalam kad memorinya. Kemudian dia menaip sesuatu pada
iPadnya. Ezuan tersengih-sengih sendirian. Wajah seorang gadis terpapar pada
skrin, seorang gadis berambut keperangan dan berkaca mata hitam. Ternyata bukan
gambar Shazzuana.
“Hai, yang mana satulah
yang aku akan pilih? Seorang cantik, seorang lagi garang tapi setia...” gumam
Ezuan sendirian.
Apakah dia mencintai
dua orang gadis serentak?
Setelah
dia puas membelek iPadnya, Ezuan menyimpannya kembali ke dalam beg galas miliknya.
Sewaktu Ezuan sedang merakam sebentar tadi. Ada satu bayang melintasi belakang
khemahnya, imbasan bayang misteri itu kelihatan bergerak begitu pantas. Cahaya
dari unggun api yang menyebabkan bayang-bayang itu kelihatan di dinding khemah Ezuan
yang diperbuat dari kain kanvas sepenuhnya. Ezuan langsung tidak menyedari
bayangan misteri itu melintas.
Malam
semakin larut, embun jantan mula turun ke bumi. Nazri baru sahaja dapat
melelapkan matanya setelah puas dia mencuba. Khemahnya sengaja dibiarkan
bercahaya dengan menggunakan lampu kalimantang bersaiz kecil agar tidak diburu
rasa takut. Bateri lampu kalimantang ini mampu bertahan sehingga seminggu
lamanya, seandainya dibiarkan menyala tanpa dipadamkan.
Kini
giliran Ajis pula yang tidak dapat melelapkan matanya, puas dia berbaring dan
berguling matanya tidak pula dapat dipejamkan. Lantas dia mengambil keputusan
keluar dari khemahnya dengan berhajat mahu membuang air kecil.
Ajis
tidak menghiraukan kegelapan malam, baginya tiada istilah takut selagi unggun
api masih menyala. Ajis ada membawa bersama-sama dengannya lampu suluh, dia
mencari tempat yang sesuai untuk melepaskan hajat kecilnya itu. Ajis berdiri di
sebalik pokok kayu besar yang sedikit terlindung dari kawasan khemah, dia
berdiri di situ semata-mata ingin membuang rasa tidak selesa yang bertakung
semenjak dari tadi lagi. Matanya meliar melihat keadaan hutan, sesekali rasa gerun
datang juga menjentik sisi hatinya.
Anak
telinga Ajis menangkap bunyi daun-daun pokok berdekatan bergemerincing seperti
ada tiupan angin yang datang menyapa. Ajis menyuluh lampu suluhnya ke merata
tempat, dia mahu melihat apakah yang menyebabkan daun-daun pokok bergerak
sedangkan tiada angin di dalam hutan ketika ini.
“Hoi,
siapa?” laung Ajis. Dia memberanikan dirinya menegur, sedangkan dia sendiri
tidak tahu kepada siapakah yang ditegurnya.
Ajis
lekas-lekas menghabiskan sisa-sisa perkumuhannya yang sengaja disiramkan ke
banir pokok agar lekas dia masuk kembali ke dalam khemahnya. Hatinya yang keras
kini mula ditampar rasa keseraman. Sedang dia bersedia untuk kembali ke
khemahnya, telinganya terdengar dengusan keras yang datang dari belakang.
Belum
pun sempat dia berpaling, satu tamparan keras hinggap ke mukanya sehinggakan
robek kulit pipi dan membuaklah darah merah pekat mengalir deras dari pipinya
yang sudah terluka. Ajis terjelepuk di atas tanah, dia menjerit kesakitan.
Dia bangun dalam
kesakitan dan terhuyung-hayang, Ajis terpejam-pejam mata kerana kesakitan yang
dialaminya cukup perih dan ngilu. Suara erangannya itu tidak lama kerana datang
satu lagi tamparan yang ternyata lebih kuat dari yang pertama dan ditujukan
tepat ke leher Ajis. Serangan itu sekaligus menyebabkan kepala Ajis terus terputus
dari badan, tergolek-golek di atas tanah. Darah terpercik membasahi pokok-pokok
renek berhampiran.
“Ajis...?”
Ezuan yang baru terlelap terkejut mendengar jeritan dari rakannya.
“Ewan,
kenapa? Ada apa?” suara Nazri kedengaran dari dalam khemahnya. Dia yang masih
lagi dalam keadaan mamai tidak tahu apa yang telah terjadi.
“Nazri,
aku dengar macam suara Ajis.” Ezuan bersuara. Dia terasa berat untuk bangun
melihat keadaan Ajis, matanya terpisat-pisat.
“Biar
aku tengok dia,” ujar Nazri dengan perlahan-lahan bangun keluar dari dalam
khemahnya.
Nazri
menjongolkan kepalanya dari pintu khemah, dia memandang ke arah khemah Ajis di
sebelah kanannya. Apa yang dia lihat pintu khemah Ajis terbuka dan pemilik
khemah itu tiada di dalamnya. Dipandangnya pula ke setiap arah mencari rakannya
itu, tetapi belum pun sempat dia memandang ke arah yang lain. Telinganya
terdengar nafas yang kasar dan deraman yang garau berdekatan dengannya dan
selajur itu jugalah kepala Nazri ditarik dengan kasar dan dia dihumbankan ke
banir pokok.
Jeritan
Nazri pula yang memecah keheningan malam. Jeritannya juga tidak panjang apabila
satu hentakan kedengaran sekaligus membuatkan Nazri diam dan kelopak matanya
terus terpejam. Ezuan mula panik dengan keadaan sebegini, mahu sahaja dia duduk
berdiam diri di dalam khemahnya. Di benaknya kini mula tergambar serangan
harimau ataupun binatang buas yang lain. Ezuan lekas-lekas memadamkan lampu
kalimantangnya dan membuat keputusan untuk berdiam diri dan tidak keluar dari
khemahnya. Bimbang giliran dia pula yang akan menjerit kesakitan.
Ezuan
cuba menahan nafasnya agar tidak kedengaran ketara, dia bimbang binatang
seperti harimau belang dapat menghidu akan kehadirannya. Ezuan tidak mempunyai
pengalaman yang luas ketika berada di dalam hutan, apa yang dia tahu hanyalah
keseronokan meredah hutan dan memancing ikan. Dan kini sejalur penyesalan mula
terbenih di kolam hati mudanya.
Kini suara Ajis dan Nazri
sudah tidak kedengaran, dan keadaan semakin sunyi di luar khemahnya, langsung
tiada suara unggas hutan, malah cengkerik juga bagaikan tidak mahu melantunkan
melodi rimba. Ezuan mengeluarkan sebilah parang dari dalam beg galasnya dan bersedia
untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal mendatang.
Bau
hamis dan hancing mula menusuk-nusuk ke rongga hidungnya. Matanya kini melihat
ada satu bayang-bayang sedang mengelilingi khemahnya bersama-sama dengan
rengusan yang garau dan kasar. Berpusing-pusing Ezuan melihat-lihat bayangan
misteri tersebut. Gerakan makhluk itu begitu pantas sehinggakan Ezuan tidak
dapat melihat dengan jelas binatang apakah yang datang menyerang ke kawasan
perkhemahannya.
Ezuan
tidak dapat menahan rasa takutnya ketika ini, menggeletar tangan tatkala
memegang hulu parang pendek miliknya. Satu suara garau menderam kedengaran membuatkan
hati Ezuan mula tidak keruan. Cahaya dari unggun api sedikit sebanyak telah membantu
penglihatan Ezuan untuk melihat di mana bayangan itu bergerak. Tertelan liurnya
tatkala bayangan misteri tersebut berhenti bergerak dan berdiri betul-betul di
hadapan matanya.
Suara
deraman kedengaran bergetar di luar khemahnya. Bayang-bayang susuk tubuh
makhluk yang menyerang itu kelihatan tinggi dan besar melalui cahaya yang
terbias dari unggun api. Kini tiada apa lagi yang menjadi penghalang makhluk
misteri itu dari terus menyerang Ezuan, melainkan khemahnya sahaja.
Kini hanya kanvas nipis dari
khemahnya sahaja yang menjadi dinding antara dia dengan binatang misteri
tersebut. Ezuan terundur ke belakang apabila dinding khemahnya dikoyakan dengan
hanya satu cakaran sahaja. Tiada apa yang dapat Ezuan lakukan melainkan
menjerit lantang tatkala terpandang wajah makhluk itu apabila menerpa ke
arahnya.
“Tolong...!
Tolong...!”
Ezuan
menjerit meminta pertolongan tatkala kakinya bagaikan ditarik oleh lembaga yang
mengerikan. Kemudian badan Ezuan dilambung tinggi hingga berlanggar ke sebatang
pokok. Ezuan merangkak sedaya-upaya di dalam kegelapan seraya merintih
kesakitan.
“Tolong...”
Ezuan tetap cuba
meminta pertolongan walaupun suaranya mulai tenggelam timbul seperti tersekat
di halkumnya.
Ezuan
kini terketar-ketar menahan kesakitan, tetapi demi nyawanya Ezuan tetap
menggagahkan diri merangkak meminta pertolongan. Moga-moga ada manusia yang
mendengar suaranya. Pergerakan Ezuan terhenti tatkala dia mendengar deraman
kasar kedengaran berhampiran dengannya bersama-sama titis-titis air liur yang
meleleh dari mulut makhluk yang menyerangnya itu.
Apabila dia mendongak
dia hanya sempat melihat telapak tangan yang kasar berjari tirus dan berkuku
tajam hinggap pantas ke kepalanya. Selepas itu pandangan Ezuan menjadi gelap-gelita,
segelap suasana malam di hutan Kenyir.