Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
103,615
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 14
Kampung Telaga

Tahun 1712


TAMAR kini sudah sembuh sepenuhnya, dia telah kembali ke pondok usangnya di hujung kampung. Dia banyak tersenyum sendirian tatkala melakukan rutin hariannya iaitu membuat lukah dan bubu. Tamar sebenarnya banyak berfikir tentang rancangan Penghulu Jantan yang mahu mengikat tali pertunangan antara dia dan anak dara Penghulu Jantan, Melur.

Kalau diikutkan tarikh pertunangan mereka akan dilangsungkan tiga hari dari sekarang, tetapi Tamar meminta tempoh dalam beberapa hari agar dapat dia memulihkan semangatnya yang hampir hilang angkara serangan sang Iblis, Namtar. Penghulu Jantan bersetuju dan dia memahami situasi bakal menantunya itu.

Dalam ketika dia sedang leka melilit rotan pada lukahnya, Tamar dikejutkan dengan satu sambaran angin yang pantas menghala ke arah kepalanya. Tanpa berfikir panjang, Tamar mengelak seraya menunduk dengan tangkas. Satu damak beracun gagal menemui sasaran, hanya dinding pondok Tamar sahaja yang menjadi mangsa.

“Hebat sungguh, patutlah orang kampung suka pada kau.” Terdengar suara mengejek di sebalik sepohon pokok yang tidak jauh dari pondok Tamar.

“Kalau tidak salah, kau adalah Juragas. Kenapa bergurau dengan sedemikian rupa?” Tamar turun dari pondoknya, dia kini berdiri dengan tegap di atas tanah sambil menggenggam parang pendek dengan kejap.

“Siapa kata kami ingin bercanda dengan kamu?” Darus keluar dari semak, di tangannya kelihatan sebatang buluh yang tirus dan panjang.

Tamar berkalih pandang kepada Darus, ternyata, Daruslah yang menyumpit damak beracun ke arahnya sebentar tadi.

“Darus, Juragas, apa kalian mahu? Aku tidak pernah bersengketa dengan kalian adik beradik. Kenapa harus menyerang aku dengan damak beracun?” Tamar tahu dia berhadapan dengan orang-orang yang mahu menghantarnya ke akhirat.

“Ini memang kerja kami, sekiranya ada orang luar mahu tunjuk hebat di kampung ini, sudah pasti kami akan buat pendatang itu merana hingga ke mati.” Darus menyeringai, dia membuang batang buluh dari tangannya dan perlahan-lahan dia mengeluarkan parang pendek dari sarungnya.

“Aku tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, dan aku tidak gentar dengan sesiapa termasuk kalian berdua. Jikalau kalian sudah mahu menjualnya, aku sanggup menjadi pembelinya.” Tamar membuka langkah silat bagaikan seorang pendekar yang penuh ilmu di dada.

“Kau memang layak mati di tangan kami,” Juragas melangkah dengan bergaya, di tangannya sudah tergenggam keris panjang yang bersedia untuk mencari mangsa.

Tamar tidak berganjak, dia hanya menunggu serangan dari pihak lawan sahaja. Anak matanya tajam menikam, deria telinganya tangkas mendengar. Di dalam hatinya kini bergumam ayat-ayat suci Al-Quran sebagai pendinding di kala berhadapan dengan musibah yang mendatang. Juragas berteriak dengan kuat, tangannya bersedia menghunus mata keris ke arah Tamar.

Satu sambaran angin yang kencang dapat ditangkap oleh telinga Tamar, dengan tangkas Tamar melompat tinggi dari tanah dan melakukan aksi kuang balik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas, kemudiannya Tamar mendarat kemas ke atas tanah. Rupa-rupanya sambaran angin itu datangnya dari balingan parang pendek milik Darus. Juragas sengaja menjadi umpan agar dapat mengelirukan Tamar.

Melihat Tamar dapat mengelak balingan pantas Darus, Juragas menyinga lantas menerkam dengan kerisnya ke arah Tamar. Tamar menunduk lantas berpusing dan menghalakan kakinya dan menyapu kaki Juragas. Juragas rebah terlentang, mukanya berkerut menahan rasa sakit. Darus berlari pantas dengan melakukan satu tendangan sisi yang kencang ke kepala Tamar. Tamar tidak sempat mengelak, tetapi tangan kiri Tamar lekas menjadi penghalang dan telapak kaki Darus gagal mengenai muka Tamar.

Tamar bangun semula menguatkan kekuda. Darus dan Juragas juga begitu serangan pertama mereka tidak dapat menewaskan Tamar. Juragas mengetap giginya, rasa geram apabila ditumbangkan oleh Tamar.

“Cukuplah, janganlah sampai berbunuh-bunuh. Bukankah kita saudara satu agama, Islam tidak menyuruh umatnya bersengketa antara satu sama lain.” Tamar bersuara. Wajahnya masih tenang.

“Kau memang tak akan dapat membunuh kami, tetapi kami yang akan membunuh kau!” Juragas melompat ke arah Tamar seraya menghunus kerisnya.

Melihatkan adiknya menyerang Tamar dengan rakus, Darus turut sama menyertai Juragas menyerang Tamar. Serangan serentak yang membahayakan nyawa itu membuatkan Tamar tiada jalan lain kecuali mempertahankan jiwanya. Tamar memijak tumit kakinya ke tanah dan melepaskan satu teriakan yang kuat seraya menahan nafas dengan lidah bertungkatkan lelangit.

Akhirnya Tamar hilang sabar dengan karenah Juragas dan Darus. Ilmu batin yang dipersembahkan oleh Tamar ini begitu mengkagumkan. Setelah teriakannya dilontarkan lantang, Tamar serta-merta bergerak dengan tangkas, kepantasan pergerakan Tamar sungguh luar biasa, bagaikan alam ini bergerak perlahan.
Keris Juragas kelihatan bergerak perlahan sahaja ketika menghulurkan tikaman ke dada Tamar. Pergerakan yang perlahan dari Juragas membolehkan Tamar mengelak dan dilibaskannya parang di tangan kanan lalu terus menghiris peha Juragas.

Kemudian Tamar bergerak pula ke arah Darus, satu tendangan padu hinggap ke perut abang Juragas itu. Tamar bergerak membelakangkan Darus dengan sekilas kerdipan mata dan satu pukulan yang kuat singgah ke leher Darus yang terdedah. Setelah serangan-serangannya mengenai sasaran, Tamar melompat ke belakang dan menghentak tumitnya sekali lagi ke tanah.

Apabila tumit kaki Tamar mengenai tanah, barulah pergerakan Juragas dan Darus kelihatan kembali seperti biasa. Juragas menjerit kesakitan seraya memegang pehanya yang sudah terhiris dalam, darah merah menyeruak membasahi tanah. Darus pula tersungkur ke tanah, mukanya tersembam sehingga patah hidungnya. Darus terus tidak sedarkan diri.

“Sudah! Aku tidak mahu bersengketa lagi, pergi kamu berdua dari sini, sebelum amarah aku tidak dapat ditapis lagi.” Tamar berdiri tegak, matanya bagaikan menyala-nyala merenung tajam ke wajah Juragas.

Dari kejauhan, pertarungan antara Tamar dan adik-beradik Darus dan Juragas sebenarnya diperhatikan oleh dua pemuda. Jaluk dan Ajak menghempas keluhan kasar apabila dua sahabatnya yang sengaja dihantar untuk menumbangkan Tamar tidak kesampaian. Juragas dan Darus tewas di tangan lelaki bertubuh tegap dan berbadan kekar. Tamar.

“Bagaimana sekarang Jaluk? Perlukah kita pergi serang Tamar?” Ajak bertanya perlahan ke telinga Jaluk.

“Tidak perlu, aku hanya mahu melihat kehebatannya sahaja. Ternyata si Tamar mempunyai ilmu batin yang cukup tinggi. Hari ini kita berundur dahulu, tunggu sahaja dia ke hutan. Waktu itu barulah kita ajar si perantau ini dengan cukup-cukup.” Ujar Jaluk.

Matanya tajam merenung Tamar dari kejauhan. Hatinya membara dengan rasa dendam bersalut perasaan iri yang menebal terhadap jejaka itu.

“Betul kata kau, lagipun kau sudah mempunyai tangkal yang hebat, pemberian si tua Namtar. Aku yakin Tamar tidak akan dapat mengatasi kehebatan tangkal yang kau miliki itu. selepas ini nama Tamar akan hilang dari dunia ini.” Ajak berkata bangga dan riak.

Jaluk menyeringai mengukirkan senyuman jahatnya. Tangannya mengusap-usap tangkal hitam yang tergantung dilehernya. Dia yakin ilmu batin Tamar tidak mungkin dapat mengalahkannya.
Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.