Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
104,809
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 1

Bab 1

Hulu Sungai Cicir

Tasik Kenyir, Terengganu

Tiga bulan kemudian...

MALAM di dalam hutan kadang-kadang menakutkan. Binatang buas seperti harimau belang, harimau bintang, beruang dan ular-ular berbisa boleh membawa ancaman kepada manusia yang menceroboh ke kawasan mereka. Kelihatan tiga buah khemah telah didirikan berhampiran antara satu sama lain di tengah-tengah hutan di kawasan tasik buatan manusia ini. Ketiga-tiganya masih bercahaya dari dalam, bererti penghuninya masih lagi belum melelapkan mata. Unggun api dibuat di tengah-tengah antara tiga buah khemah, bertujuan untuk mengelak dari diganggu oleh binatang buas, terutama sekali binatang seperti pemangsa seperti harimau dan mungkin juga beruang.

Nazri masih lagi tidak boleh melelapkan matanya, walaupun waktu-waktu begini di kampus dia sudahpun berdengkur di atas katil. Pelajar dari jurusan Seni Logam Halus ini berkali-kali ingin melelapkan matanya tetapi matanya bagaikan degil untuk dilelapkan. Anak telinganya terdengar bunyi permainan video dari khemah Ajis, bunyi yang diselangi dengan suara pemiliknya yang kadang-kadang menjerit kesukaan seperti memenangi sesuatu.

“Ajis, kau tak tidur lagi?” Nazri bertanya. Dia melaungkan sedikit suaranya tanpa membuka zip di pintu khemahnya.

“Belum lagi, kau pulak kenapa tak tidur-tidur? Biasanya kau orang yang pertama melayari mimpi.” Sindir Ajis. Suaranya kedengaran dari dalam khemahnya.

“Entahlah, aku rasa malam ini macam tak best aje...” Nazri meluahkan apa yang dirasakannya.

“Eh mulut tu, boleh tak jangan nak laser sangat.” Marah Ajis.

“Korang berdua ni boleh tak jangan bising-bising, aku nak tidur pun tak boleh. Dah pergi tidur, esok dah nak memburu Kelah...” Terdengar suara Ezuan memberi arahan dari dalam khemahnya.

“Ha, kaulah Nazri, tak fasal-fasal aku kena marah dengan Ewan. Malam tak bestlah, tak boleh tidurlah...” Ajis merungut.

“Yelah, aku mintak maaflah.” Terdengar Nazri memohon maaf.

Mereka bertiga berkomunikasi hanya dari dalam khemah sahaja, jarak antara satu-satu khemah mereka dalam lingkungan empat hingga lima kaki. Ezuan sebenarnya tidak tidur lagi, dia sedang melihat-lihat gambar kekasih hatinya di telefon bimbitnya. Terasa rindu pula tatkala berjauhan, walaupun mereka baru sahaja dua hari di dalam hutan di Tasik Kenyir ini.

“Baik aku buat video sikit...” ujar Ezuan. Dia seolah-olah bercakap dengan telefon bimbitnya.

Ezuan telah menukarkan mod telefon bimbitnya ke mod video. Dia berniat untuk merakam aktivitinya sepanjang berada di hutan Kenyir ini dan berharap agar Shazzuana melihat aksinya di dalam video yang dirakamnya.

Shazzuana dan Ezuan merupakan pasangan kekasih, mereka masing-masing masih lagi menuntut di Universiti yang sama. Shazzuana merupakan pelajar dari jurusan perakaunan. Pertemuan mereka bermula ketika mereka mendaftar masuk sebagai pelajar baru di kolej tersebut.

Hello, Ewan sekarang ini masih berada di dalam hutan Kenyir buat malam yang ke dua. Jangan bimbang semuanya di dalam keadaan selamat. Esok pagi-pagi Ewan dengan Nazri dan Ajis akan memancing ikan Kelah di hulu Sungai Cicir, harap-harap dapat tangkap ikan Kelah yang panjangnya dekat satu meter. Orang cakap di sini banyak ikan yang besar-besar. Nanti bila Ewan dapat tangkap ikan Kelah, Ewan akan tunjukkan pada Ana. Ewan tak sabar nak pulang dan berjumpa dengan Ana di kolej nanti. Okaylah Ewan nak tidur dahulu. Esok Ewan akan rakam lagi. Bye.

Ezuan menekan butang off pada telefon bimbitnya dan menyimpan rakaman tersebut di dalam kad memorinya. Kemudian dia menaip sesuatu pada iPadnya. Ezuan tersengih-sengih sendirian. Wajah seorang gadis terpapar pada skrin, seorang gadis berambut keperangan dan berkaca mata hitam. Ternyata bukan gambar Shazzuana.

“Hai, yang mana satulah yang aku akan pilih? Seorang cantik, seorang lagi garang tapi setia...” gumam Ezuan sendirian.

Apakah dia mencintai dua orang gadis serentak?

Setelah dia puas membelek iPadnya, Ezuan menyimpannya kembali ke dalam beg galas miliknya. Sewaktu Ezuan sedang merakam sebentar tadi. Ada satu bayang melintasi belakang khemahnya, imbasan bayang misteri itu kelihatan bergerak begitu pantas. Cahaya dari unggun api yang menyebabkan bayang-bayang itu kelihatan di dinding khemah Ezuan yang diperbuat dari kain kanvas sepenuhnya. Ezuan langsung tidak menyedari bayangan misteri itu melintas.

Malam semakin larut, embun jantan mula turun ke bumi. Nazri baru sahaja dapat melelapkan matanya setelah puas dia mencuba. Khemahnya sengaja dibiarkan bercahaya dengan menggunakan lampu kalimantang bersaiz kecil agar tidak diburu rasa takut. Bateri lampu kalimantang ini mampu bertahan sehingga seminggu lamanya, seandainya dibiarkan menyala tanpa dipadamkan.

Kini giliran Ajis pula yang tidak dapat melelapkan matanya, puas dia berbaring dan berguling matanya tidak pula dapat dipejamkan. Lantas dia mengambil keputusan keluar dari khemahnya dengan berhajat mahu membuang air kecil.

Ajis tidak menghiraukan kegelapan malam, baginya tiada istilah takut selagi unggun api masih menyala. Ajis ada membawa bersama-sama dengannya lampu suluh, dia mencari tempat yang sesuai untuk melepaskan hajat kecilnya itu. Ajis berdiri di sebalik pokok kayu besar yang sedikit terlindung dari kawasan khemah, dia berdiri di situ semata-mata ingin membuang rasa tidak selesa yang bertakung semenjak dari tadi lagi. Matanya meliar melihat keadaan hutan, sesekali rasa gerun datang juga menjentik sisi hatinya.

Anak telinga Ajis menangkap bunyi daun-daun pokok berdekatan bergemerincing seperti ada tiupan angin yang datang menyapa. Ajis menyuluh lampu suluhnya ke merata tempat, dia mahu melihat apakah yang menyebabkan daun-daun pokok bergerak sedangkan tiada angin di dalam hutan ketika ini.

“Hoi, siapa?” laung Ajis. Dia memberanikan dirinya menegur, sedangkan dia sendiri tidak tahu kepada siapakah yang ditegurnya.

Ajis lekas-lekas menghabiskan sisa-sisa perkumuhannya yang sengaja disiramkan ke banir pokok agar lekas dia masuk kembali ke dalam khemahnya. Hatinya yang keras kini mula ditampar rasa keseraman. Sedang dia bersedia untuk kembali ke khemahnya, telinganya terdengar dengusan keras yang datang dari belakang.

Belum pun sempat dia berpaling, satu tamparan keras hinggap ke mukanya sehinggakan robek kulit pipi dan membuaklah darah merah pekat mengalir deras dari pipinya yang sudah terluka. Ajis terjelepuk di atas tanah, dia menjerit kesakitan.

Dia bangun dalam kesakitan dan terhuyung-hayang, Ajis terpejam-pejam mata kerana kesakitan yang dialaminya cukup perih dan ngilu. Suara erangannya itu tidak lama kerana datang satu lagi tamparan yang ternyata lebih kuat dari yang pertama dan ditujukan tepat ke leher Ajis. Serangan itu sekaligus menyebabkan kepala Ajis terus terputus dari badan, tergolek-golek di atas tanah. Darah terpercik membasahi pokok-pokok renek berhampiran.

“Ajis...?” Ezuan yang baru terlelap terkejut mendengar jeritan dari rakannya.

“Ewan, kenapa? Ada apa?” suara Nazri kedengaran dari dalam khemahnya. Dia yang masih lagi dalam keadaan mamai tidak tahu apa yang telah terjadi.

“Nazri, aku dengar macam suara Ajis.” Ezuan bersuara. Dia terasa berat untuk bangun melihat keadaan Ajis, matanya terpisat-pisat.

“Biar aku tengok dia,” ujar Nazri dengan perlahan-lahan bangun keluar dari dalam khemahnya.

Nazri menjongolkan kepalanya dari pintu khemah, dia memandang ke arah khemah Ajis di sebelah kanannya. Apa yang dia lihat pintu khemah Ajis terbuka dan pemilik khemah itu tiada di dalamnya. Dipandangnya pula ke setiap arah mencari rakannya itu, tetapi belum pun sempat dia memandang ke arah yang lain. Telinganya terdengar nafas yang kasar dan deraman yang garau berdekatan dengannya dan selajur itu jugalah kepala Nazri ditarik dengan kasar dan dia dihumbankan ke banir pokok.

Jeritan Nazri pula yang memecah keheningan malam. Jeritannya juga tidak panjang apabila satu hentakan kedengaran sekaligus membuatkan Nazri diam dan kelopak matanya terus terpejam. Ezuan mula panik dengan keadaan sebegini, mahu sahaja dia duduk berdiam diri di dalam khemahnya. Di benaknya kini mula tergambar serangan harimau ataupun binatang buas yang lain. Ezuan lekas-lekas memadamkan lampu kalimantangnya dan membuat keputusan untuk berdiam diri dan tidak keluar dari khemahnya. Bimbang giliran dia pula yang akan menjerit kesakitan.

Ezuan cuba menahan nafasnya agar tidak kedengaran ketara, dia bimbang binatang seperti harimau belang dapat menghidu akan kehadirannya. Ezuan tidak mempunyai pengalaman yang luas ketika berada di dalam hutan, apa yang dia tahu hanyalah keseronokan meredah hutan dan memancing ikan. Dan kini sejalur penyesalan mula terbenih di kolam hati mudanya.

Kini suara Ajis dan Nazri sudah tidak kedengaran, dan keadaan semakin sunyi di luar khemahnya, langsung tiada suara unggas hutan, malah cengkerik juga bagaikan tidak mahu melantunkan melodi rimba. Ezuan mengeluarkan sebilah parang dari dalam beg galasnya dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal mendatang.

Bau hamis dan hancing mula menusuk-nusuk ke rongga hidungnya. Matanya kini melihat ada satu bayang-bayang sedang mengelilingi khemahnya bersama-sama dengan rengusan yang garau dan kasar. Berpusing-pusing Ezuan melihat-lihat bayangan misteri tersebut. Gerakan makhluk itu begitu pantas sehinggakan Ezuan tidak dapat melihat dengan jelas binatang apakah yang datang menyerang ke kawasan perkhemahannya.

Ezuan tidak dapat menahan rasa takutnya ketika ini, menggeletar tangan tatkala memegang hulu parang pendek miliknya. Satu suara garau menderam kedengaran membuatkan hati Ezuan mula tidak keruan. Cahaya dari unggun api sedikit sebanyak telah membantu penglihatan Ezuan untuk melihat di mana bayangan itu bergerak. Tertelan liurnya tatkala bayangan misteri tersebut berhenti bergerak dan berdiri betul-betul di hadapan matanya.

Suara deraman kedengaran bergetar di luar khemahnya. Bayang-bayang susuk tubuh makhluk yang menyerang itu kelihatan tinggi dan besar melalui cahaya yang terbias dari unggun api. Kini tiada apa lagi yang menjadi penghalang makhluk misteri itu dari terus menyerang Ezuan, melainkan khemahnya sahaja.

Kini hanya kanvas nipis dari khemahnya sahaja yang menjadi dinding antara dia dengan binatang misteri tersebut. Ezuan terundur ke belakang apabila dinding khemahnya dikoyakan dengan hanya satu cakaran sahaja. Tiada apa yang dapat Ezuan lakukan melainkan menjerit lantang tatkala terpandang wajah makhluk itu apabila menerpa ke arahnya.

“Tolong...! Tolong...!”

Ezuan menjerit meminta pertolongan tatkala kakinya bagaikan ditarik oleh lembaga yang mengerikan. Kemudian badan Ezuan dilambung tinggi hingga berlanggar ke sebatang pokok. Ezuan merangkak sedaya-upaya di dalam kegelapan seraya merintih kesakitan.

“Tolong...”

Ezuan tetap cuba meminta pertolongan walaupun suaranya mulai tenggelam timbul seperti tersekat di halkumnya.

Ezuan kini terketar-ketar menahan kesakitan, tetapi demi nyawanya Ezuan tetap menggagahkan diri merangkak meminta pertolongan. Moga-moga ada manusia yang mendengar suaranya. Pergerakan Ezuan terhenti tatkala dia mendengar deraman kasar kedengaran berhampiran dengannya bersama-sama titis-titis air liur yang meleleh dari mulut makhluk yang menyerangnya itu.

Apabila dia mendongak dia hanya sempat melihat telapak tangan yang kasar berjari tirus dan berkuku tajam hinggap pantas ke kepalanya. Selepas itu pandangan Ezuan menjadi gelap-gelita, segelap suasana malam di hutan Kenyir.

Previous: Prolog
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.