Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
104,803
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 5

Bab 5

Sungai Cicir, Tasik Kenyir

LOKMAN dan Shuib berjalan perlahan-lahan di tebing sungai, hati mereka begitu teruja untuk memancing Tapah setelah melihat aksi ikan tersebut menyambar kera liar. Setelah mendirikan khemah yang boleh memuatkan dua orang di dalamnya berhampiran dengan tebing sungai, mereka berdua berehat seketika kerana kepenatan masih lagi jelas terasa.

“Man, kau fikir kita dapat tak pancing ikan Tapah?” Shuib bertanya. Dia melihat Lokman sedang berbaring di dalam khemah yang mereka dirikan.

“Ikan Tapah yang kecik-kecik mungkin kita dapat, tapi kalau yang macam tadi aku tak yakin,” ujar Lokman. Dia berbaring dengan berbantalkan lengannya.

“Kenapa pulak tak yakin, malu kita pada pak Rajib kalau kita tak dapat naikkan ikan Tapah yang besar-besar.” Shuib mengerutkan dahinya.

“Aku bukan apa, kau tengok tak tadi bagaimana ikan tu boleh sambar kera? Lepas tu Pak Rajib cakap babi hutan pun dia boleh telan. Aku takut dengan kita-kita sekali masuk dalam perut ikan Tapah tu.” Bersungguh-sungguh Lokman bercerita. Ada sedikit rasa gentar di dalam hatinya selepas melihat dengan sendiri betapa ganasnya ikan Tapah.

“Aku tak kira, selagi aku tak dapat ikan Tapah, aku tak akan balik.” Shuib bertegas. Dia benar-benar mahu menewaskan ikan Tapah.

“Sudahlah, hari dah nak malam, esok pagi-pagi kita buru ikan Tapah tu.” Lokman berlembut, tidak guna dia bertegang leher dengan Shuib.

EZUAN tersedar dari lenanya, dia masih bernyawa, apa yang dia tahu dia terikat dan tergantung di dalam gua. Tali dari akar kayu hutan yang diikat dicelah-celah batuan kapur begitu kuat sekali memaut pergelangan tangannya. Tubuhnya semakin lemah, tiada makanan yang dapat mengisi perutnya yang kelaparan. Dia tidak tahu sudah berapa hari dia tergantung di dalam gua, mujur jugalah ada titis-titis air yang mengalir di celah-celah batu gua lalu jatuh mengena kepalanya, dapat juga dia membasahkan sedikit rasa kehausan yang melanda. Dia sendiri tidak pasti berapa lama lagikah dia mampu bertahan, kedinginan gua batu kapur ini juga begitu menyiksakan, sehingga terasa ke tulang sum-sumnya.

Ezuan memandang ke sebelahnya, kelihatan Nazri juga tergantung sepertinya. Tetapi Nazri kelihatan lebih lemah dari dia. Wajah pucat Nazri menggambarkan dia sudahpun menyerah diri kepada takdir semata-mata.

“Nazri... bangun, bangun...” Ezuan memanggil Nazri, tetapi hanya rengekkan lemah sahaja yang kedengaran. Nazri cuba juga mendongak memandang Ezuan.

“Wan... aku... tak mau mati...” kedengaran suara Nazri berkata-kata dengan sedaya-upayanya dan terketar-ketar.

“Kau kena kuat, jangan biarkan binatang tu makan kita...” Ezuan memberi semangat dalam berbisik.

Dia risau suaranya akan membuatkan binatang yang dimaksudkan oleh Ezuan terjaga dari lenanya. Kata-kata semangat itu bukan untuk Nazri sahaja, tetapi untuk dirinya juga.

Nazri menoleh ke arah Ezuan, dia tersenyum tawar. Entah kenapa Nazri masih sempat tersenyum kepadanya. Setiap kata semangat yang dilaungkan oleh Ezwan seolah ungkapan yang sekadar mengalas rasa gundah di hatinya sahaja.

“Nazri, kau kena kuat. Aku yakin kita akan diselamatkan.” Ezuan terus-terusan memberi semangat kepada Nazri.

Seketika kemudian Ezuan terkejut apabila telinganya terdengar suara garau menderam kasar, sesekali terdengar seperti kuku tangan bergeser dengan dinding gua. Suasana yang kelam membuatkan Ezuan tidak dapat melihat dengan betul rupa makhluk yang menangkap dan menculik mereka.

Bau hamis dan masam menyucuk-nyucuk ke lubang hidung Ezuan ketika ini. Apa yang pasti binatang itu bertubuh seperti manusia, wajahnya, gaya ketika berjalan dan juga seperti manusia. Malah ianya juga bijak, masakan seekor binatang mampu mengikat dia dan Nazri di dalam gua. Dan ikatan binatang tersebut ternyata begitu kuat sekali.

Suara menderam kini sudah berada berhampiran Nazri. Ezuan tidak mampu berbuat apa-apa, melainkan diam dan berpura-pura pengsan. Nazri meraung apabila binatang tersebut mencengkam rambutnya dengan kuat. Nazri sempat memandang wajah makhluk aneh itu yang mulai menyeringai menampakkan baris giginya yang menggerunkan. Makhluk itu mula merapatkan wajahnya dengan wajah Nazri. Menjerit-jerit Nazri ketakutan, dia cuba meronta dengan menggunakan sisa-sisa terakhir kudratnya.

Tanpa rasa belas, kepala Nazri digigitnya dengan rakus. Darah terpercik ke baju Ezuan yang tergantung di sebelahnya. Nazri menggelupur kesakitan, suaranya tenggelam timbul bersama-sama dengan suara rakus makhluk aneh itu tatkala membaham kulit dan daging muka Nazri.

Ezuan tidak mampu berbuat apa-apa, terketar-ketar tubuhnya apabila mendengar Nazri menjerit kesakitan. Tidak lama kemudian suara sahabatnya itu tidak lagi kedengaran. Nazri mati dibaham hidup-hidup oleh binatang yang tidak berhati perut itu.

Kerakusan binatang misteri itu jelas ketara apabila mayat Nazri dirobek-robek dengan semahu-mahunya. Makhluk itu merenggut akar berselirat yang mengikat tangan Nazri dengan kuat agar mudah ia melahap tubuh Nazri yang jauh lebih berisi dari Ezuan. Ezuan hanya mampu menangis, tetapi ditahan-tahan suaranya agar tidak didengari oleh binatang rakus itu. Kalau boleh biarlah dia hidup lebih lama sedikit lagi, dia tidak mahu mati pada hari yang sama dengan Nazri.

Ezuan tahu lepas ini nasibnya akan sama seperti dua orang rakan-rakannya. Ini adalah kali pertama dia menyaksikan satu kekejaman yang terjadi betul-betul di hadapan matanya. Binatang itu terlebih dahulu telah membaham Ajis hingga ke tulang-belulang dia ratah. Buktinya tengkorak Ajis tergolek di satu sudut di dalam gua, bersama-sama dengan rangka-rangka yang lain. Mungkin rangka binatang di hutan Kenyir ini.

Dalam ketakutan Ezuan sempat melirik ke arah binatang aneh tersebut yang kini sedang mengunyah jantung sahabatnya itu dengan pelahap sekali. Ezuan lekas-lekas memejamkan matanya kembali, dia tidak sanggup melihat kekejaman yang berlaku di hadapan matanya kini. Ianya bukan sahaja mengerunkan malah menghiris hatinya tatkala melihat jasad sahabatnya menjadi hidangan sang makhluk yang tidak diketahui asal dan usulnya itu.

Selepas kekenyangan, binatang aneh yang menyerupai manusia itu akan tidur untuk beberapa hari. Ezuan hanya mampu berharap agar ada penyelamat yang datang apabila binatang itu tidur, tetapi harapannya itu umpama angan-angan kosong dan ianya cukup tipis sekali. Ketika binatang aneh itu sedang asyik menikmati makanannya ia secara serta merta ia berhenti dari meratah Nazri. Kepalanya berkalih ke suatu arah, hidungnya bergerak-gerak seperti terhidu sesuatu.

Makhluk itu menyeringai dan menderam, giginya yang tajam kelihatan mengerikan kerana cebisan daging dan darah mangsanya masih lagi tersisa. Kemudian mayat Nazri diheretnya ke hujung gua dan menghempas dengan kuat ke dinding gua. Dalam kegelapan, Ezuan dapat melihat mata binatang aneh itu menyala-nyala seperti sinaran cahaya api, merah menyala!

Kemudian dia melompat dan melekat ke dinding gua. Dengan kekuatan dari cengkaman kuku tangan dan kakinya makhluk itu mampu melekat dengan kukuh di dinding gua. Dari dinding gua yang licin dan bergerutu, makhluk aneh berupa seperti manusia itu merayap bagaikan seekor labah-labah. Gerakannya begitu pantas, sekejap sahaja dia hilang dari pandangan.

LOKMAN dan Shuib baru sahaja selesai menikmati makan malam. Unggun api menjadi peneman mereka berdua malam ini. Sebenarnya mereka berdua langsung tidak mengetahui tentang kehilangan tiga orang pelajar Universiti di hulu Sungai Cicir. Kini mereka tiba di tempat yang sama di mana kejadian itu berlaku. Cuma kawasan mereka sedikit jauh dari tempat kejadian di mana Ezuan dan rakan-rakan diserang.

“Shuib, kau tambahlah sedikit kayu ke dalam unggun api tu. Biar terang sedikit kawasan ni.” Arah Lokman.

“Kenapa, kau takut?” Shuib tersenyum sinis.

“Dalam hutan aku tak berani nak cakap aku ni hebat ke apa ke. Kata orang-orang tua, mulut jangan cabul kalau masuk hutan. Lagipun ini bukan kawasan kita.” Lokman memberi nasihat kepada Shuib.

“Yelah aku tambah kayu api.” Shuib akur. Dia mengambil beberapa batang kayu sebesar lengan dan dicampakkannya ke dalam api yang marak.

“Aku nak masuk tidur dulu, kau tak nak tidur?” Lokman membuka zip khemah, dia sudah sedia untuk masuk beradu.

“Aku tak mengantuk lagi, kau masuklah dulu. Aku nak ambil angin malam sekejap.” Ujar Shuib.

“Jangan lewat-lewat tidur, nanti tak terjaga subuh nanti.” Lokman menghadiahkan senyuman sebelum dia masuk ke dalam khemah.

Lokman melabuhkan kepalanya di atas beg galasnya. Dalam beberapa saat kemudian matanya terpejam dan alam mimpi mulai diterokainya. Shuib pula sedang mendengar lagu dari telefon bimbitnya, dia memasang alat mendengar ke dua-dua belah telinganya. Baginya lebih baik dia mendengar lagu-lagu dari telefon bimbitnya dari mendengar suara cengkerik yang menyanyi irama rimba.

Shuib menyanyi-nyanyi kecil sambil bersandar pada sebatang pokok kayu yang tumbang. Dia langsung tidak menghiraukan suasana sekeliling, di mana ketika ini cengkerik sudah tidak menyanyi-nyanyi lagi. Umpama takutkan pada sesuatu, sesuatu yang kini sudah berada berhampiran dengan kawasan perkhemahan Lokman dan Shuib.

Mata binatang yang menyerang Ezuan dan rakan-rakan kini merenung tajam ke arah Shuib di sebalik sepohon kayu, jaraknya hanya beberapa meter sahaja dengan Shuib. Nafasnya terhembus-hembus dari lubang hidungnya, mulutnya menyeringai menampakkan barisan giginya yang bertaring. Kelihatan masih lagi ada sisa-sisa cebisan daging Nazri terlekat di celah-celah giginya.

Shuib langsung tidak menyedari dibelakangnya kini berdiri sesusuk tubuh yang menggerunkan. Shuib hanya terkejut apabila hidungnya terbau hamis dan masam. Dan bau yang meloyakan itu seolah-olah berada dekat dengannya. Pantas dia berkalih ke kiri dan ke kanan, hatinya mula diserang rasa risau. Bulu romanya mula berdiri tegak seiring dengan rasa takut yang mengaru-garu perasaannya. Apabila dia menoleh ke belakang satu tamparan hinggap ke pipinya. Shuib menjerit kesakitan, tubuhnya melambung berpusing dan terhentak ke tanah.

Jeritan Shuib mengejutkan Lokman dari tidur. Lekas-lekas dia keluar dari khemahnya. Alangkah terkejutnya apabila melihat seekor binatang berupa manusia berdiri seraya menyeringai memandang ke arahnya. Dia berkalih pandang pula kepada Shuib. Shuib masih menggelupur kesakitan sambil menekup mukanya yang berdarah dengan kedua-dua belah tangannya.

“Shuib!” Lokman berlari mendapatkan Shuib.

“Sakitnya...” Shuib terpejam-pejam matanya menahan kesakitan. Kulit pipinya tercarik akibat tamparan dari makhluk misteri itu. darah berjejeran mengalir dari pipinya.

Makhluk aneh tersebut merangkak perlahan-lahan bagaikan bersedia untuk menerkam mangsanya. Cahaya unggun api membuatkan Lokman dapat melihat dengan jelas wajah dan susuk tubuh makhluk yang menyerang rakannya.

Lokman memberanikan diri dengan berlari mendapatkan puntung kayu dari unggun api. Dilibas-libasnya puntung kayu yang masih menyala ke arah makhluk aneh tersebut. Tindakan Lokman membuatkan makhluk ganas itu semakin marah, lalu dia menerkam ke arah Lokman. Terkamannya yang pantas itu langsung tidak dapat dijangka oleh Lokman. Tetapi mujurlah dia sempat melibas puntung kayu yang menyala tepat mengenai kepala makhluk tersebut. Meraunglah ia apabila mukanya terkena sambaran api yang masih menyala dari puntung kayu yang dipegang oleh Lokman.

Menggelupur seketika makhluk aneh tersebut di atas tanah. Lokman yang terduduk akibat diserang terus bangun mendapatkan Shuib. Dia perlu lari dari kerakusan binatang yang hampir menyerupai manusia ini.

“Shuib, bangun cepat! Kita kena lari dari sini!” arah Lokman. Shuib yang masih lagi di dalam kesakitan bangun dengan terketar-ketar.

Darah yang mengalir dari wajahnya terus membasahi baju yang dipakainya. Lokman memimpin Shuib meninggalkan kawasan perkhemahan mereka.

Belumpun sempat Lokman dan Shuib melarikan diri, satu pukulan yang kuat hinggap ke kepala Shuib, dan pemuda itu rebah tidak bernyawa. Kepalanya robek sehingga menampakkan isi otaknya. Lokman ternganga melihat rakannya yang sudah kaku tidak bernafas. Tangannya terketar-ketar tatkala memegang puntung kayu yang masih menyalakan api yang sedikit kecil. Umpama jamung.

Makhluk misteri itu terus berlegar-legar di sekeliling Lokman, mencari peluang untuk menyerang Lokman pula. Gerakannya cukup pantas, hanya sambaran angin berbau hamis sahaja yang singgah di hidung Lokman.

Lokman di dalam ketakutan yang amat sangat ketika ini, lemah lututnya disaat cuba mempertahankan nyawanya yang masih bertakung di dada. Apabila dia berkalih pandang ke belakang, makhluk tersebut kini bersedia menerkam ke arahnya pula. Lokman hanya mampu menjerit tatkala satu libasan yang pantas hinggap ke tubuhnya.
Previous: BAB 4
Next: SINOPSIS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.