Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA
MARGASATWA
Saidee Nor Azam
23/2/2013 13:30:04
104,809
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 3

Bab 3

Kampung Telaga

Tahun 1712

JALUK dan Ajak mempunyai perancangan yang jahat terhadap Tamar. Mereka kalau boleh mahu mengusir Tamar dari Kampung Telaga. Perasaan cemburu semakin menebal di dalam hati Jaluk terhadap Tamar, sudahlah hasil pembuatan lukah mereka tidak mendapat sambutan, kemudian mereka tewas mudah dalam perkelahian tempoh hari, kini Melur bunga tercantik di kampung mereka sudah terpikat dengan Tamar, sang kumbang perantau.

“Bagaimana kita nak halau dia Jaluk? Tok Penghulu pun begitu sayangkan dia.” Ajak menaikkan api cemburu Jaluk.

“Kalau payah-payah sangat kita bunuh sahaja dia malam ini, biar puas hati aku.” Jaluk meluahkan rasa marahnya.

“Tapi nanti orang kampung akan mencari pembunuh dia. Aku tak mahu diusir dari kampung ini. Aku... aku tak mahu jadi perantau, Jaluk.” Luah Ajak. Wajahnya bertukar ketakutan selepas mendengar perancangan Jaluk yang semakin melampaui batas.

“Aku langsung tidak gentar kalau diusir dari kampung ini, apa yang penting aku akan bawa Melur sekali.” Jaluk ketawa terbahak-bahak. Dia sudah gila, gila pada hasutan Syaitan.

“Jaluk, aku ada satu pemikiran. Apa kata kalau kita bunuh Tamar ketika dia berada di dalam hutan. Esok dia akan ke hutan kerna mahu mencari akar dan rotan.” Ajak memberi pandangan, setelah dia diam seketika.

“Maksud kau, kita serang hendap dia ketika dia di hutan?” Jaluk mahukan kepastian.

“Ya, kita panggil dua tiga orang lagi untuk bantu kita. Aku yakin setelah si Tamar itu mampus, kau akan dapat memenangi hati orang kampung. Dan yang lebih menguntungkan kau pasti akan jadi menantu Penghulu Jantan.” Ajak tertawa dan diikuti Jaluk.

Mereka berniat busuk terhadap Tamar, sedangkan Tamar tidak pernah cemburu hati terhadap mereka. Begitulah kebanyakkan bangsa melayu, melayu juga yang akan menjatuhkan melayu.

TAMAR sedang tekun melilit rotan pada buluh lukahnya di atas serambi, lilitan yang kemas dan teliti membuatkan lukah buatannya menjadi teguh dan kuat. Selain itu rotan yang dicarinya jenis yang terbaik, Tamar memang pandai dalam menilai rotan-rotan di dalam hutan. Berbeza dengan lukah buatan orang-orang lain, kebanyakan mereka tidak melilit dengan akar pada rotan tetapi dengan kulit-kulit kayu sahaja. Kalau ada yang melilit dengan rotan, lilitan mereka tidak sekemas dan sekukuh lilitan Tamar. Ini akan menyebabkan lukah dan bubu mereka mudah rosak.

Sedang asyik Tamar melakukan kerja-kerjanya, dia didatangi oleh seorang lelaki berjubah hitam yang bertudungkan kepala. Kelihatan wajah orang tua itu disebalik tudung jubah sungguh bengis. Dengan janggut hitam hingga ke paras dada dan ditambah dengan alisnya yang panjang membuat pandangan matanya begitu menyeramkan. Di tangan lelaki tua itu kelihatan sebatang tongkat panjang yang dililit dengan akar kayu yang berselirat. Dia menggunakan tongkat panjang itu sebagai pembantu dirinya ketika dia berjalan.

“Apa khabar Tamar?” lelaki tua itu tidak memberi salam tetapi terus menyapa Tamar yang sedang duduk berhadapan dengan lukah di atas serambi pondoknya.

“Baik, bapak mahu beli lukah saya?” Tamar bertanya dengan sopan.

Kebanyakkan orang kampung datang ke pondoknya semata-mata ingin membeli lukah dan bubu hasil dari buatan tangannya, disebabkan itulah Tamar terus bertanyakan soalan mengenai tujuan kedatangan lelaki tua tersebut.

“Tidak, aku hanya mahu berjumpa dengan kau sahaja.” Ujar lelaki tua tersebut.

“Er, kalau begitu jemputlah naik.” Pelawa Tamar dengan penuh hormat.

Lelaki tua tersebut hanya tersenyum, tetapi senyumannya langsung tidak memaniskan roman wajahnya. Setelah dipelawa naik oleh Tamar, lelaki tersebut berjalan perlahan-lahan menaiki anak tangga kayu pondok Tamar.

“Rasa-rasanya bapak ini bukan orang kampung ini... siapa nama bapak?” setelah orang tua berjubah hitam itu duduk bersila, barulah Tamar mengajukan pertanyaan.

“Pandangan matamu begitu hebat, kamu boleh kenal antara orang luar dengan orang Kampung Telaga ini. Aku lihat kamu seorang yang begitu hebat dalam ilmu persilatan dan juga kebatinan. Kamu cukup bertuah kerana bertemu dengan aku pada hari ini wahai anak muda.” Lelaki tua tersebut langsung tidak menjawab pertanyaan Tamar, malah memuji-muji Tamar dengan kata-kata manisnya.

“Siapa bapak sebenarnya, dan bagaimana bapak boleh kenal dengan saya?” berkerut dahi Tamar apabila mendengar kata-kata lelaki tua itu. hatinya mula diserang perlbagai andaian buruk.

“Tak perlu kau mengetahui siapa aku, aku datang ke mari kerana mahu menolong mu...” ujar lelaki tua itu lagi. Satu aura hitam mula menerawang di udara.

Bulu roma Tamar mula menegak, dia dapat merasakan ada sesuatu yang aneh terhadap lelaki tua di hadapannya kini. Tamar berundur ke belakang sedikit. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan dia kini seperti sedang berhadapan dengan orang yang tidak berniat baik.

“Usah kau gentar, aku datang bukan hendak mengambil nyawamu. Aku tahu kau hidup miskin dan sebatang kara di kampung ini. Aku kagum dengan semangat kau yang tidak pernah berputus asa dalam mencari sesuap nasi. Aku datang ini kerana ingin mengkhabarkan sesuatu kepada engkau,” lelaki tua itu terdiam sejenak.

“Perkhabaran tentang ada manusia yang iri hati terhadap kau Tamar. Mereka akan membuat engkau merana.” Sambung lelaki berjubah hitam itu.

Tamar terdiam mendengar kata-kata lelaki tua tersebut. Pandangan matanya masih tetap pada lelaki tua misteri itu.

“Nah, aku hadiahkan kepada engkau cincin emas bertatahkan permata zamrud ini. Cincin ini akan melindungi engkau dari sebarang kesulitan dan kau pasti akan hidup senang selepas ini. Kerana cincin ini akan memberikan kau apa sahaja yang kau inginkan.”

Lelaki tua tersebut menghulurkan tangannya yang sengaja digenggam, dan apabila dibukakan telapak tangannya maka terserlahlah sebentuk cincin emas yang berkilau pada pandangan mata Tamar.

“Saya, saya tidak boleh menerima semua ini. Maaflah, saya boleh hidup dengan...”

“Dengan membuat lukah dan bubu?” lelaki tua itu tersenyum mengejek.

“Tamar, aku tidak mahu apa-apa dari kau, aku hanya mahu menolong kau sahaja.” Belum pun sempat Tamar menghabiskan kata-katanya, lelaki tua tersebut terus memotong percakapannya dengan mendesak agar Tamar menerima pemberiannya.

“Baiklah, saya akan terima hadiah bapak, tetapi dengan satu syarat. Saya mahu tahu siapakah bapak sebenarnya dan kenapa perlu membantu saya?” tegas Tamar.

Dia tidak mahu terjerat dengan mudah. Di atas dunia, muslihat berada di mana-mana. Walaupun di dalam telungkupan tempurung kelapa sekalipun.

“Kau cukup hebat Tamar, tidak sia-sia aku memilih kau. Baiklah, aku beritahu kepada kau siapa aku sebenarnya.” Lelaki tua tersebut menyeringai mendengar syarat-syarat dari Tamar. Dia akur dengan permintaan pemuda bertubuh tegap dan bermisai nipis itu.

Lelaki tua tersebut membuka jubah yang menutupi kepalanya perlahan-lahan dan menampakkan rambutnya yang sudah beruban kepada Tamar. Tiada apa yang pelik pada pandangan Tamar, hanyalah wajah seorang lelaki yang semakin dimamah usia dengan kulit yang sudah berkedut dan rambut yang memutih di kepalanya. Menandakan waktu usianya kini sudah berada di penghujung.

“Aku punyai pelbagai nama. Di sebelah utara mereka memanggil aku sebagai Amon, di barat aku lebih dikenali sebagai Lebiatan, tetapi di sini aku dikenali sebagai Namtar. Atau kamu semua lebih gemar memanggil aku sebagai... Iblis.”

Akhirnya Namtar memperkenalkan dirinya kepada Tamar, maka terperanjatlah Tamar apabila mengetahui dengan siapakah ketika ini dia sedang berbicara.

“Kau... kau Namtar? Iblis!” Tamar berdiri seraya memegang parang pendeknya bersiaga untuk sebarang kemungkinan yang menjelang.

“Jangan kau takut, aku juga asal seperti kamu, berdarah daging, bernafas dan berkeinginan seperti kamu. Cuma aku hidup lama kerana aku memilih jalan yang terbaik buat diri aku. Maka aku hadir di sini kerana kau adalah antara yang terbaik dari yang terbaik, Tamar. Dan sekiranya kau menjadi pengikutku maka kau juga akan hidup lama dan dapat melihat syurga di atas dunia ini.” Hasut Namtar dengan kata-kata pujiannya.

“Tamar, terimalah cincin zamrud ini, pakailah agar menjadi sebahagian dari tubuhmu. Terimalah pemberianku nescaya kamu akan menjadi sepertiku. Hebat dan gagah perkasa.” Ujar Namtar seraya tertawa mengekeh halus.

Wajahnya tetap tenang, senyuman tipis menghiasi romannya. Tetapi matanya kelihatan seperti berkilau memancarkan cahaya. Hasutan si Iblis itu bagaikan bergema-gema di telinga Tamar.

“Aku tidak akan sesekali terjerat dengan permainan makhluk terkutuk seperti kau, nyah kau dari pondokku!” Tamar menghalau Namtar seraya mengacu-acu parangnya.

“Kau jangan sombong Tamar, kau sepatutnya bertuah kerana aku telah memilih kau menjadi antara yang terbaik untuk menerima pemberianku.”

Namtar jelas tidak berpuas hati apabila hadiahnya ditolak mentah-mentah oleh Tamar. Matanya bertukar kemerah-merahan, merenung tajam ke arah Tamar. Tamar berundur dua langkah ke belakang, kerisauan masih jelas terasa.

“Pergi kau dari sini, sebelum aku bertindak dengan lebih kasar!” Tamar tidak gentar walaupun pada ketika ini dia berhadapan dengan makhluk dari dunia yang berbeza.

Namtar hanya tersenyum, senyumannya kali ini lain sekali. Wajahnya yang berkedut kini berubah sedikit demi sedikit, asap hitam mulai keluar dari reromanya. Dia kelihatan seperti kepanasan tetapi sebenarnya dia sedang mengalami perubahan kepada bentuk asalnya. Tamar melompat ke tanah dari serambi rumahnya.

Belum pernah dia menyaksikan kejadian aneh seperti ini. Hatinya tertanya-tanya, kenapa sang Iblis datang kepadanya. Tidak pernah sekalipun dia menyekutukan ALLAH sepanjang hidupnya. Iblis dan Syaitan si makhluk terkutuk tidak pernah menghormati kewujudan Nabi Adam, maka dengan itu makhluk terkutuk itu telah ALLAH singkirkannya dari syurga jatuh ke lubuk Neraka jahanam lantas melaknatinya sepanjang zaman.

Tamar tahu dia berhadapan dengan satu ujian yang maha berat, sepanjang dia berkelana belum pernah lagi dia berhadapan dengan makhluk terkutuk ini. Pernah guru silatnya berkata, Iblis dan Syaitan tidak akan henti-henti dari menyesatkan manusia agar terpesong dari jalan kebenaran. Setiap apa yang diperkatakan oleh mereka satu pun tidak boleh dipercayai. Tiadalah yang benar melainkan dusta belaka.

Tamar menggenggam erat hulu parangnya, dia tidak gentar walau sedikit pun. Mulutnya juga tidak henti-henti berkumat-kamit membaca surah-surah lazim, agar ALLAH sentiasa melindungi dirinya. Asap hitam terus menyelubungi tubuh Namtar sehingga langsung tidak kelihatan dirinya.

“Ya ALLAH, ya Tuhanku. Aku berserah kepadaMu, seandainya nyawaku dihabiskan di sini, aku redha. Dan seandainya aku masih sempat melihat matahari pada esok hari, maka kuatkanlah imanku, teguhkanlah semangatku untuk berhadapan dengan makhluk yang terkutuk ini.” Gumam Tamar ketika dia berdoa.

Matanya langsung tidak berkalih ke tempat lain selain dari serambi pondoknya yang kini dipenuhi asap hitam yang berbau busuk dan meloyakan. Seumpama bau telur ayam tembelang yang hangus dibaham api!

“Tamar, kau angkuh, kau sombong!” Terdengar suara yang menggerunkan, garau serta kasar sekali dari kepulan-kepulan asap hitam yang menyelubungi Namtar.

Lantas asap hitam itu bergerak pantas melanggar Tamar yang berdiri teguh di atas tanah sehinggakan Tamar melambung tinggi dan jatuh terlentang di halaman rumahnya. Tamar tidak menyangka satu serangan mendadak hadir dengan serta-merta.

Tergeletik seketika Tamar menahan kesakitan, Tamar terasa dadanya menjadi panas membahang tatkala dirinya dirempuh Namtar. Terasa seperti ada tangan kasar yang menampar dadanya yang bidang itu. Tanpa Tamar sedari darah mula menyeruak dari dadanya, terasa seperti terbakar. Tamar cuba bertahan, dia bangun perlahan-lahan dengan bertongkatkan parangnya.

Namtar tidak lagi diselubungi asap hitam, dia berdiri betul-betul di hadapan Tamar, wajah dan rupanya jelas sekali berubah dengan serta-merta. Tamar terkejut bukan kepalang, rasa seram mula menyelinap ke rongga sukmanya. Dadanya mula terasa pijar dan membahang. Tamar berundur ke belakang, niatnya ingin terus bertempur dengan sedaya yang termampu, dia tidak rela menjadi hamba kepada sang Iblis mahupun kepada Syaitan!

“Kau masih boleh berdiri? Kau memang layak menjadi orang kananku wahai Tamar,”

Namtar menyeringai menampakkan giginya yang bergerigis tajam. Gigi taringnya kelihatan tirus dan tajam, manakala gigi taring bawahnya kasar memanjang hingga ke atas. Seperti taring babi hutan layaknya.

Wajah Namtar begitu menggerunkan dengan mata yang kemerah-merahan seperti biji saga, alisnya tinggi bagaikan pelakon opera cina. Di hujung kepalanya kelihatan sepasang tanduk berwarna merah kehitaman tumbuh di kiri dan kanan dahinya. Rambutnya yang beruban kini menjadi hitam pekat dan bertocang memanjang hingga ke pinggang. Janggut panjangnya juga kelihatan hitam berkilat.

Tamar melihat pula di bahagian tubuh Namtar. Kulit Namtar keperang-perangan, tangan Namtar juga kelihatan aneh, kerana hanya ada tiga jari sahaja bersama dengan kuku yang panjang dan kehitaman. Manakala kakinya seperti kaki keldai. Namtar mempunyai ekor yang panjang dan hujungnya kelihatan seperti mata panah, meliuk-liuk mencecah bumi.

“Sudah puas kau melihat wajahku? Tamar, aku boleh menyerupai apa sahaja dan kau amat bertuah kerana dapat melihat perubahanku.” Namtar tersenyum kepada Tamar.

Senyuman sinis dan berbaur muslihat. Tongkat kayunya yang panjang kini berubah menjadi tombak besi yang berwarna merah darah.

“Kau sememangnya Iblis, makhluk terkutuk! Dengan nama ALLAH yang Maha pengasih lagi pemurah, aku arahkan kau agar pergi dari sini!” Tamar tetap berdiri dengan tegap walaupun kesakitan masih jelas merangkul dadanya.

“Kau tak akan mudah mengarah aku itu dan ini wahai anak Adam. Aku beri kau satu lagi peluang, terimalah pemberianku agar hidup dan masa hadapanmu terjamin wahai anak Adam!” Namtar tersenyum mengejek. Dia terus-terusan mempengaruhi Tamar agar menerima cincin batu zamrudnya itu.

“Aku dah kata, aku tidak mahu!” bentak Tamar dengan keras.

Lantas Tamar menyerbu dengan parangnya, melibas tubuh Namtar dengan sekuat-kuat hati. Libasan itu disertakan dengan Bismillah. Pantas libasan Tamar, pantas lagi gerakan Namtar. Seperti satu kelipan mata sahaja Namtar hilang dari pandangan. Namtar kini berdiri beberapa ela di belakang Tamar dengan menyeringai seraya tertawa mengejek.

“Aku akan datang lagi kepada kau Tamar, waktu itu hati engkau akan lembut kepada aku... ha ha ha...!” Namtar ketawa dengan suaranya menggegarkan dada Tamar.

Dalam sekelip mata tubuh Namtar diseliputi asap hitam yang tebal dan apabila datang satu hembusan angin, asap hitam itu hilang bersama-sama dengan Namtar, si Iblis terkutuk.

Tamar terduduk melutut di halaman pondoknya, terasa mengah menerjah-nerjah di dadanya yang sudah tercedera. Darah merah masih lagi membasahi dadanya seperti peluh yang terus merembes tanpa henti. Tamar melihat-lihat kecederaan yang melanda dirinya, dia hairan kerana tiada luka yang kelihatan, tetapi darah terus mengalir, seolah mengalir dari celah-celah rongga reromanya.

Tamar tahu ini adalah permainan Syaitan. Dia duduk bersila di tengah-tengah halaman. Matanya dipejam, mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu. Usai dia membacakan surah-surah lazim, Tamar mengambil air liurnya dari lelangit mulut dengan menggunakan ibu jari kanan, kemudian dia menyapu perlahan-lahan pada dadanya dan membentuk satu huruf jawi yang kelihatan seperti kalimah Lam Aliff. Seraya itu jugalah dada Tamar mengeluarkan asap hitam berkepul-kepul. Tamar menjerit kesakitan, dia menggelupur di atas tanah, tergeletak seperti ayam yang baru disembelih. Akhirnya Tamar pengsan tidak sedarkan diri.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.