Bab
8
Kampung
Telaga
Tahun
1712
TAMAR baru sahaja tersedar,
terpisat-pisat matanya memandang suasana persekitaran. Ternyata dia bukan
berada di pondoknya. Dia cuba untuk bangun tetapi kesakitan masih jelas terasa
di dadanya. Tamar terkejut apabila melihat di dadanya sudah terbalut dengan
kain kapas putih.
“Siapakah yang merawat aku?”
Tamar berbisik sendirian.
“Abang Tamar dah sedar?
Bapak... bapak, Abang Tamar dah terjaga!” Tiba-tiba muncul Melur di sebalik
langsir pintu kamar. Terkejut Tamar dibuatnya.
“Melur? Di mana Abang
sekarang?” Tamar mencuba sedaya upaya untuk bangun dan Melur membantunya dengan
perlahan-lahan.
“Abang ada di rumah Melur,”
jawab Melur dengan bersahaja. Wajahnya kelihatan ceria setelah melihat Tamar
sudah terjaga.
“Rumah Melur?” Tamar
kehairanan.
“Tamar, kau tak apa-apa?”
Penghulu Jantan menyapa dari muka pintu kemudian dia masuk ke dalam bilik di
mana Tamar sedang dirawat.
“Tuk Penghulu, maafkan saya
kalau menyusahkan Tuk sekeluarga...” Tamar cuba untuk bangun bersalam dengan
Penghulu Jantan, tetapi ditegah oleh Penghulu Jantan yang risau akan
kesihatannya.
“Berehatlah seketika di
rumah Tuk, bila sembuh nanti baru boleh pulang ya... buat sementara waktu ini,
Tamar tinggalah di sini.” Ujar Penghulu Jantan. Misainya yang tebal bergerak-gerak
ketika dia tersenyum.
“Terima kasih Tuk,” Tamar
terharu dengan layanan mesra yang ditunjukkan oleh Penghulu Jantan.
“Melur, buat apa
tersenyum-senyum di sini. Pergi ke dapur tolong ibu apa yang patut.” Arah
Penghulu Jantan kepada anak daranya.
“Ala... Melur nak jaga Abang
Tamar.” Melur memuncungkan bibirnya tanda membantah.
“Bapak ada, biar bapak
sahaja yang jaga Tamar.” Tegas Penghulu Jantan dan disambut senyuman sinis dari
Tamar terhadap Melur.
“Bapak memang...!” Marah Melur
seraya meninggalkan bilik tidur dengan menghentak-hentakkan kakinya. Lagaknya
tidak ubah seperti kanak-kanak yang merajuk dengan ayahnya sahaja, walaupun
usianya kini sudah boleh disunting untuk menjadi isteri orang.
“Hai, susah hendak menjaga anak
perempuan. Kalau diberikan tiga anak lelaki Tuk taklah bersusah-payah hendak
menjaganya. Ini baru seorang anak perempuan, itupun sudah buat kepala Tuk naik
pening.” Seloroh Penghulu Jantan dan disambut ketawa dari Tamar.
“Tamar, sebenarnya apa yang
telah terjadi? Melur yang jumpa Tamar tidak sedarkan diri di depan pondok
Tamar.” Penghulu Jantan melabuhkan punggungnya ke sebuah kerusi kayu di tepi
katil Tamar.
“Panjang ceritanya Tuk,
kalau saya ceritakan mesti Tuk tidak percaya.” Ujar Tamar.
“Tamar ceritalah dahulu,
kemudian barulah Tuk putuskan untuk percaya atau tidak,” Penghulu Jantan
berseloroh lagi. Dia bermuka bengis tetapi kuat bercanda kalau diajak
berbicara.
Tamar hanya tersenyum. Baru
sahaja Tamar ingin memulakan cerita, Melur tiba dengan membawa dua gelas air
kelapa dan sepiring pisang salai yang diletakkannya di dalam dulang kayu. Tamar
sempat melirik kepada Melur dan dibalas satu senyuman manis oleh Melur. Aksi
bisu mereka disedari oleh Penghulu Jantan yang sengaja tidak mengendahkan apa
yang telah terjadi. Setelah Melur berlalu barulah Tamar memulakan ceritanya
dengan perlahan-lahan.
JALUK dan Ajak sedang menikmati air nira
di sebuah warung. Di samping mereka kelihatan dua pemuda yang bertubuh tegap
dan kekar. Mereka sebenarnya sedang mengadakan sedikit perbincangan,
perbincangan yang menjuruskan kepada satu pakatan jahat.
“Aku dengar si Tamar kena
serang, kau tahu siapa yang menyerangnya?” Jaluk bertanya kepada Ajak.
“Aku kurang periksa, tetapi
dia sekarang ada di rumah Tuk Penghulu. Dia sedang dirawat di sana. Aku dengar
khabar, kecederaannya boleh tahan teruk juga.” Ajak bercerita dengan
bersungguh-sungguh.
“Ha ha ha... ini memudahkan
urusan kita, lepas ini nama Tamar akan tidak dsebut-sebut lagi di kampung ini.”
Jaluk tertawa, dia gembira dengan perkhabaran yang disampaikan oleh Ajak
kepadanya.
“Bila kita mahu bunuh budak
itu?” lelaki yang bertubuh kekar bertanya, wajahnya bengis sekali.
“Sabar Darus, kita tunggu
dia kembali ke hutan mencari rotan. Waktu itu barulah kita tamatkan
riwayatnya.” Jaluk menerangkan rancangan jahatnya kepada Darus.
“Aku dengar si Tamar tu
memang pandai bersilat. Lagipun dia kuat orangnya.” Getus Ajak. Ada jalur-jalur
kerisauan terukir di wajahnya.
“Kau takut? Aku tak pernah
takut dengan sesiapa pun, marilah tuk guru Tamar sekali pun aku tak gentar.”
Sela Juragas lelaki yang tegap dan berotot dengan angkuh. Dia dan Darus
merupakan adik beradik yang berhati busuk.
“Kau yakin dapat tumpaskan
Tamar?” giliran Jaluk pula yang bertanya.
“Ini Juragas, tiada siapa
yang berani berlawan satu sama satu dengan aku.” Juragas menepuk-nepuk dadanya.
Rasa riak dan bangga menular di seluruh urat sarafnya.
Jaluk tertawa, dia turut
bangga kerana memiliki orang-orang yang hebat di sampingnya. Rancangan untuk
menghapuskan Tamar akan berjalan dengan jayanya. Dia yakin lelaki yang bernama
Tamar akan lenyap dari muka bumi. Dan dia juga pasti Melur gadis tercantik di
kampungnya akan jatuh ke dalam genggaman.
Hospital
Sultanah Nur Zahirah, Terengganu
Tahun
2012
LOKMAN kini dirawat di tingkat empat di
hospital milik kerajaan sepenuhnya ini. Kecederaannya semakin pulih. Cuma dia
kelihatan ketakutan dan setiap kali dia terjaga dari tidurnya, Lokman akan
meracau-racau sehinggakan doktor terpaksa memberikan suntikan ubat penenang.
Mayat rakannya Shuib, hilang
tanpa dapat dikesan. Pihak berkuasa telah menutup kawasan Sungai Cicir buat
sementara waktu. Serangan binatang misteri terus menjadi-jadi, ini membimbangkan
pihak pengurusan dan pelancongan Tasik Kenyir.
Puas pihak polis dan
wartawan bertanya binatang apakah yang menyerang Lokman dan Shuib, tetapi
langsung tidak dilayan oleh Lokman. Dia hanya tunduk membisu tatkala ada orang
datang melawat. Lokman langsung tidak mahu bercakap walaupun pihak hospital
meminta alamat rumah dan nombor telefon ahli keluarga, agar mudah menghubungi
mereka bagi menyatakan perkara yang berlaku.
Tekanan yang dialami Lokman
begitu membimbangkan, setiap kali malam menjelma dia akan menangis teresak-esak
sehingga matanya terlelap. Dan apabila dia terjaga, dia akan kembali meracau dengan
tidak tentu hala. Mulutnya tidak habis-habis memekik dengan menyebut hantu
berkali-kali. Wajahnya jelas sekali menggambarkan tekanan yang begitu memberat
minda dan pemikirannya. Jika berterusan, Lokman mungkin akan menghabiskan
sisa-sia hidupnya di rumah sakit jiwa.
Kuala
Terengganu, Terengganu
ADI PUTRA baru tiba di negeri pantai
timur ini. Wajahnya kelihatan ceria tatkala turun dari bas ekspress yang
dinaikinya. Dipandangnya ke kiri dan ke kanan seolah mencari seseorang,
kemudian dia mengukir senyuman dan melambai-lambai ke satu arah.
Adi Putra menghayunkan
kakinya melangkah menuju ke seorang lelaki, lelaki tersebut juga turut melangkah
mendapatkan Adi Putra.
“Assalamualaikum Man.
Dah lama kau tunggu aku?” Adi Putra terus bertanya setelah menyapa sahabatnya
itu.
“Waalaikumusalam, aku baru
sahaja sampai lepas kau mesej aku tadi.” Jawab Razman dengan jujur. Mereka
berdua bersalaman antara satu sama lain.
“Aku dengar kau dah
bertunang, tahniah Man.” Ucap Adi Putra.
Adi Putra dan Razman
merupakan rakan sepengajian di sebuah Universiti dahulu. Setelah tamat
pengajian, masing-masing membawa hala tuju masing-masing. Hanya ketika Adi
Putra bekerja di Terengganu barulah mereka akan bertemu. Kini Adi Putra sudah
kembali ke Kuala Lumpur, tetapi tali persahabatan mereka masih erat seperti
dahulu.
“Aku ada beli novel kau, Apabila
Senja Menjelang, boleh tahan juga cerita hantu kau tu. Sampai naik seram bulu
roma aku dibuatnya, takut aku nak baca.” Puji Razman.
Langsung tidak
kedengaran loghat Terengganunya. Walaupun dia anak jati negeri bertuah itu.
“Kau ni puji lebih-lebih
pulak, ke kau nak aku belanja kau makan?” tingkah Adi Putra seraya menepuk bahu
sahabatnya itu berkali-kali.
“Eh, aku cakap betul. Cerita
kau memang best, jarang ada penulis
novel yang berani macam kau ni. Mana kau dapat cerita hantu macam tu?” Razman
bertanya lagi sambil meletakkan beg pakaian Adi Putra ke dalam keretanya.
“Aku ada buat kajian
sedikit, dan untuk pengetahuan kau, setiap apa yang aku tulis adalah kisah
benar belaka. Cuma nama watak-wataknya sahaja yang aku reka. Selebihnya memang
betul-betul terjadi.” Terang Adi Putra sambil mengukir senyuman.
Ketika ini dia dan Razman
sudah berada di dalam kereta. Mereka berdua sedang menuju ke rumah Razman yang
terletak tidak jauh dari Bandaraya Kuala Terengganu. Bandaraya yang terkenal
dengan jolokan Bandaraya Pesisir Air.
“Oh ya, hampir aku terlupa.
Semalam berita di TV9 ada menyatakan tentang serangan binatang misteri itu
lagi. Tetapi kali ini ada seorang mangsanya yang terselamat.” Cerita Razman
dengan bersungguh-sungguh.
“Betulkah? Di mana dia
sekarang?” Adi Putra kelihatan teruja sekali.
“Ada di hospital lagi
agaknya. Kenapa?” tanya Razman pula.
“Kita pergi ke hospital
sekarang, aku perlu berjumpa dengan dia!” Adi Putra menekan sedikit suaranya.
Dia bagaikan tidak sabar untuk bersua dengan mangsa serangan binatang buas di
Tasik Kenyir itu.
“Sekarang ke?” soal Razman
kebingungan.
“Yelah, sekarang. Aku tak
mahu terlepas peluang keemasan ini.” Jelas Adi Putra.
Razman akur dengan desakan
Adi Putra, dia kenal benar dengan sahabatnya ini. Kalau ada yang mengujakan
hatinya, Adi Putra akan berjuang habis-habisan untuk dapatkan juga apa yang
diinginkannya. Sebelum tiba di Terengganu lagi, Adi Putra telah bercerita
kepada Razman tentang tujuannya ke sini. Negeri yang terkenal dengan keindahan
alam semula jadinya ini.
Sebagai sahabat, Razman akan tolong sedaya yang
termampu. Kereta Proton Persona Razman melakukan pusingan U di satu
persimpangan, arah tujuannya ketika ini sudah bertukar, dan kereta Proton
Persona berwarna hitam meluncur laju menuju ke satu arah, Hospital Sultanah Nur
Zahirah.