Bab
6
Kemaman,
Terengganu
KETIBAAN Shazzuana dan Fazlun disambut
dengan mesra Ghazali, ayah kepada Ezuan. Ghazali ternyata masih berupaya
mengukir satu senyuman walaupun di dalam hatinya hanya dia dan ALLAH sahaja
yang tahu. Kehilangan anak lelaki sulungnya ternyata begitu mengejutkan. Jauh
di sudut hatinya, Ghazali mempunyai pendapat yang sama dengan Shazzuana mengenai
Ezuan. Ghazali yakin Ezuan masih lagi hidup.
“Pakcik, makcik Hazimah
sihat?” Shazzuana bertanya kepada Ghazali yang sedang memandu.
“Makcik kau kurang sihat
sedikit. Dia masih dalam terkejut dengan berita kehilangan Ewan.” Ghazali
bercerita serba sedikit. Ewan adalah panggilan manja anaknya itu.
“Makcik sakit?” soal Shazzuana
lagi.
“Dia demam, sebab itulah dia
tak ikut bersama datang ambil Ana dan Fazlun.” Ujar Ghazali lagi.
Shazzuana terdiam sejenak,
dia juga dapat merasai apa yang dirasakan oleh ibu Ezuan. Hati seorang ibu
pasti lebih lembut berbanding bapanya. Ghazali tetap tenang menghadapi setiap
apa yang mendatang, kerana dia tahu ajal dan maut hanya ALLAH yang tentukan.
Andaikata ajal anaknya, Ezuan pergi dahulu. Dia redha dan akur. Tiadalah daya
dirinya untuk menghalang semua itu berlaku.
“Berapa hari Ana dan Fazlun
bercuti?” Ghazali mengubah topik perbincangan mereka.
“Dua hari sahaja, pakcik.
Fazlun ada kelas hari Ahad nanti.” Fazlun tersengih-sengih tatkala Shazzuana
menjawab pertanyaan Ghazali.
“Oh, maknanya hari Sabtu dah
nak balik ke kampuslah ya?” Shazzuana terangguk-angguk. Fazlun juga begitu, dia
agak pemalu sedikit apabila berhadapan dengan ayah Ezuan.
Sedang rancak mereka
berbual, sedar tidak sedar mereka bertiga sudahpun sampai ke destinasi yang
ditujuinya. Rumah Ghazali terletak tidak jauh dari bandar Kemaman, hanya
beberapa kilometer sahaja dari rumahnya. Ghazali mempunyai dua orang anak
lelaki. Ezuan anak yang ke dua dan Azmi anak yang pertama. Azmi tiada di bumi Terengganu
kerana menuntut di sebuah Universiti di Sarawak.
Sebaik sahaja salam
diberikan, pintu rumah banglo dua tingkat itu dibuka perlahan-lahan. Terlihat
wajah Hazimah yang tidak bermaya tetapi masih mampu memberikan seulas senyuman
kepada tetamu yang mendatang. Senyuman yang tidak semanis seperti kebiasaannya.
“Masuklah Ana, Fazlun...”
Hazimah mempelawa Shazzuana dan Fazlun memijakkan kaki ke dalam rumahnya.
Shazzuana dan Fazlun
bersalaman dengan Hazimah dengan seadanya sambil diperhatikan oleh Ghazali dari
belakang. Hazimah memeluk Shazzuana dengan seerat-erat, kemudian Hazimah
menangis tersedu-sedu. Hatinya masih lagi terluka akibat kehilangan anak lelaki
keduanya. Shazzuana cuba mententeramkan Hazimah dengan sedaya yang termampu,
bergenang juga air mata Shazzuana demi melihatkan Hazimah menangis. Dia juga
merindukan Ezuan yang amat dicintainya itu.
Ghazali mendapatkan
isterinya dan dia turut mententeramkan Hazimah. Apabila tenang seketika,
barulah Shazzuana bercerita serba sedikit tujuan dia ke mari. Keperihatinan Shazzuana
membuatkan Hazimah dan Ghazali kagum,
malah Shazzuana cukup pandai mengambil hati kedua orang tua Ezuan.
Jauh di sudut hati, Ghazali
berharap agar umur Ezuan masih panjang dan bolehlah disatukan dengan Shazzuana.
Kelembutan wajah Shazzuana dan kesopanannya terhadap orang tua memikat hati
Ghazali dan Hazimah.
“Ma dan abah Ana di
Besut sihat?” Hazimah berbasa-basi, wanita itu cuba untuk menceriakan keadaan.
“Alhamdulillah,
semuanya sihat. Mereka kirim salam pada makcik dan pakcik.
“Walaikumusalam,”
jawab ibu dan bapa Ezuan hampir serentak.
“Ana dan Fazlun bolehlah tidur
di bilik tetamu di atas ya. Nanti malam kita akan makan bersama-sama.” Hazimah
bertutur dengan perlahan-lahan, tangisannya kini semakin reda.
“Makcik nak masak? Tak payah
susah-susahlah, apa kata biar saya dan Ana sahaja yang siapkan makan malam. Ana
ni pandai memasak tau,” getus Fazlun.
Shazzuana merenung tajam ke
arah Fazlun, malu tidak terkata rasanya apabila dipuji di hadapan Hazimah dan
Ghazali. Fazlun berbuat selamba sahaja walaupun Shazzuana menjegilkan matanya.
“Makcik sihat, makcik boleh
masak untuk kita berempat malam ini.” Hazimah mendatar walaupun sebenarnya dia berkeras
untuk menyediakan makan malam buat tetamunya.
“Kalau begitu, biar saya
dan Fazlun yang tolong makcik memasak ya?” kali Shazzuana menawarkan dirinya.
Fazlun pula sekadar tersengih-sengih.
“Sekarang ini, biar pakcik
tunjukkan bilik untuk kamu berdua ya...” Ghazali membawa beg pakaian Shazzuana
dan Fazlun ke tingkat atas rumahnya.
Walaupun Shazzuana menegah
kerana tidak mahu menyusahkan Ghazali, Ghazali tetap mahu membawa beg pakaian
dua anak gadis itu. Sebagai tuan empunya rumah, Ghazali mesti melayan tetamu
yang datang dengan sebaik-baiknya.
MALAM di Kemaman begitu dingin dan
mendamaikan. Shazzuana dan Fazlun membantu Hazimah di dapur membasuh pinggan
dan gelas yang digunakan selepas makan malam sebentar tadi. Selepas itu Shazzuana
dan Fazlun meminta diri untuk ke ruang tamu setelah selesai melakukan
kerja-kerja rutin di dapur. Ketika berada di ruang tamu, Ghazali memberitahu
sesuatu kepada Shazzuana.
“Ana, pihak polis ada
menjumpai barang-barang milik Ewan di kawasan perkhemahannya.” Cerita Ghazali.
“Barang apa yang mereka
temui?” soal Shazzuana.
“Beg pakaian, telefon bimbit,
iPad dan beberapa peralatan memancing.” Jawab Ghazali.
“Telefon bimbit? Er... boleh
saya tengok telefon bimbit Ewan?” tiba-tiba Shazzuana teringin untuk melihat
telefon bimbit milik Ezuan.
“Sekejap ya, pakcik pergi
ambil di bilik Ewan.” Selajur itu jugalah Ghazali melangkah menaiki anak tangga
menuju ke bilik anaknya.
“Eh, kau nak buat apa dengan
henfon Ewan?” setelah Ghazali hilang
dari pandangan barulah Fazlun meluahkan rasa hairannya terhadap permintaan Shazzuana.
“Ewan pernah cakap, dia nak
mengambil gambar dan merakam video semasa di Tasik Kenyir. Nak juga aku tengok
apa yang dia rakamkan.” Shazzuana berterus-terang. Fazlun terangguk-angguk.
Tidak lama kemudian,
Ghazali turun dengan membawa telefon bimbit dan iPad Ezuan di tangannya. Shazzuana
menyambutnya seraya tersenyum.
“Kenapa
Ana nak tengok telefon bimbit Ewan?” soal Ghazali.
“Saya bukannya apa pakcik, Ewan
pernah cakap dia nak merakam gambar-gambar di Tasik Kenyir. Teringin juga saya
nak tengok suasana Tasik Kenyir.” Cerita Shazzuana dengan jujur.
“Oh, tengoklah... pakcik
langsung tak periksa telefon bimbitnya. Lagipun baterinya sudah habis. Ana cajlah
dahulu ya. Chargernya ada di meja
komputer di sana.” Ghazali menunjukkan arah di mana letaknya alat pengecaj
telefon bimbit.
Shazzuana tersenyum, kemudian
dia melangkah menuju ke arah yang ditunjukkannya. Fazlun pula hanya mengekori
sahaja Shazzuana. Dia ibarat bayang-bayang kepada Shazzuana sahaja. Di mana
Shazzuana pergi, di situlah Fazlun akan berada. Fazlun meminta kebenaran dari
Shazzuana untuk melihat-lihat iPad Ezuan. Shazzuana hanya membiarkan sahaja
Fazlun menatap iPad Ezuan.
Shazzuana sebenarnya
lebih ingin melihat isi dalam telefon bimbit Ezuan. Setelah beberapa minit
mengecaj telefon bimbit Ezuan. Shazzuana mengambil keputusan untuk menghidupkannya.
Hatinya tidak sabar untuk melihat apa yang dirakam oleh Ezuan semasa berada di
Tasik Kenyir. Sementara itu Fazlun terkejut apabila dia melihat gambar Ezuan
sedang berpegangan tangan dengan seorang gadis cantik. Apa yang pasti gadis itu
bukan Shazzuana.
“Kau ni kenapa, macam
lihat hantu sahaja?” soal Shazzuana tatkala terlihat ada riak kejutan di wajah
Fazlun.
“Er, tak... tak ada
apa-apalah.” Fazlun tersenyum-senyum, lekas-lekas dia letakkan iPad Ezuan di
atas sofa.
“Er... HenfonEwan dah boleh dihidupkan?”
Fazlun mengalih cerita agar Shazzuana tidak mengesyaki sesuatu.
“Kejap, biar aku cuba
hidupkan.” Shazzuana kembali ke arah telefon bimbit kekasihnya itu.
Setelah telefon bimbit Ezuan
berjaya dihidupkan, Shazzuana terus menekan-nekan butang telefon pintar milik
Ezuan itu berkali-kali. Dia mahu lekas melihat rakaman Ezuan. Shazzuana
membelek-belek gambar yang diambil oleh Ezuan. Tiba-tiba hatinya tersentuh,
ternyata dia merindukan wajah Ezuan yang mirip wajah Ghazali berkulit putih
bermata sepet seperti lelaki berbangsa cina itu. Wajah yang sentiasa ceria.
Shazzuana kemudiannya pergi
ke bahagian video, satu persatu video yang dirakam oleh Ezuan dilihatnya.
Terasa rindu di hati terubat tatkala mendengar suara Ezuan berkata-kata. Di
kesempatan itu Ghazali yang sedang menonton televisyen di ruang tamu,
lekas-lekas mendapatkan Shazzuana dan Fazlun di meja komputer miliknya.
Ingin juga dia melihat
rakaman anak lelakinya itu, rindu seorang bapa juga jelas tergambar di wajah
Ghazali. Mujur jugalah Hazimah tiada di ruang tamu, jikalau tidak sudah pasti
dia turut sama menonton rakaman Ezuan. Hazimah banyak menghabiskan masanya di
dalam bilik kerana kesihatannya masih terganggu.
Ketika tiba di satu rakaman,
mata Shazzuana dapat menangkap sesuatu yang aneh sekali. Ketika Ezuan sedang
merakam di dalam khemahnya, Shazzuana terpandang ada satu kelibat melintas di
belakang khemah Ezuan. Kemudiannya Shazzuana mengulangi rakaman tersebut,
ternyata memang ada bayang-bayang yang melintasi di belakang dinding khemah Ezuan.
Berkerut wajah Shazzuana melihat bayang-bayang tersebut.
“Apa yang menarik sangat
sampai berkali-kali kau tengok video ni?” Fazlun bertanya.
“Er...
tak ada apa-apalah. Pakcik, boleh tak saya simpan rakaman ini? Saya berjanji
akan pulangkannya semula kepada pakcik.” Shazzuana berkalih pandang kepada
Ghazali.
“Boleh, apa salahnya.”
Ringkas dari Ghazali.
Shazzuana tersenyum, Fazlun
tidak tahu apakah yang bermain di minda Shazzuana ketika ini. Kenapakah Shazzuana
mahu menyimpan rakaman video Ezuan. Mungkin dia terlalu rindukan Ezuan,
disebabkan itulah Shazzuana ingin menyimpannya. Fikir Fazlun. Tetapi apakah
yang akan terjadi sekiranya Shazzuana terlihat gambar-gambar kemesraan Ezuan
dengan seorang gadis lain di dalam iPad Ezuan? Sudah semestinya hati Shazzuana
akan hancur remuk.