Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 11

SUASANA sekeliling tampak gelap tetapi kian diterangi dengan julangan api di sekeliling. Bahang panas semakin dirasai. Lain benar mimpi Rina pada kali ini. Jika sebelumnya, dia asyik bermimpikan seorang wanita yang dihukum dibakar hidup-hidup di hadapan matanya. Setiap malam dia bermimpikan perkara yang sama. Dan kali ini mimpinya amat berbeza. Sudah bertukar ‘ceritanya’ kah?

            Kaki Rina terasa berat untuk bergerak. Seakan kakinya sedang dirantai oleh sesuatu. Api sekeliling masih membakar tanpa henti menyebabkan bahang panas semakin kuat dirasai. Lama dia kaku di situ sehinggalah terdengar satu suara menyerupai seorang wanita.

            “Bangga diri, iri hati, malas, murka, tamak, rakus dan juga hawa nafsu. Setiap manusia pasti akan memiliki sifat-sifat sebegini. Saban hari manusia akan saling bertengkar untuk mendapatkan apa yang ingin dimiliki. Tanpa mereka sedar, mereka telah menunjukkan kelemahan mereka sendiri. Dan akhirnya membawa berita kedukaan.”

            Rina tidak mengerti apa yang ingin disampaikan oleh si pemilik suara tersebut. Jenuh dia meminta supaya orang tersebut mendedahkan diri tetapi tidak diturutinya.

            “Manusia yang kuat akan terus berleluasa dan bermaharajalela sementara manusia yang lemah akan terus ditindas, dicerca, dihina dan dimaki-hamun. Malah ada yang dibelasah sehingga mati tanpa belas kasihan. Bagi manusia yang kolot, kematian adalah satu permainan survival yang kejam. Yang hidup akan terus hidup, dan yang mati akan terus ditinggalkan dan dilupakan.”

            Rina tersentak dan tergamam. Biarpun masih tidak mengerti apa-apa, namun dia agak terkejut dengan kata-kata tersebut. Benarkah ada manusia yang sanggup berfikir demikian? Menganggap kematian adalah satu permainan survival?

            “Lihatlah! Ini juga adalah salah satu dari permainan mereka!”

            Tidak semena-mena nada si pemilik suara bertukar tegas. Seakan bengang terhadap seseorang. Lalu muncul sosok seorang wanita berjubah hitam yang sedang diikat pada sebatang kayu. Rina tergamam lagi. Ironinya, dia masih bermimpikan wanita malang tersebut. Jeritannya yang sedang mengerang kesakitan mula kedengaran. Ketika itulah Rina tersedar dari mimpi buruknya. Nafasnya tercungap-cungap. Baru dia tersedar dirinya masih berada di dalam kereta bersama Imran.

            “Kenapa? Mimpi buruk lagi?” Soal Imran hairan.

            Rina hanya mengangguk dengan wajah yang pucat. Dia mahu meminta masa untuk menenangkan dirinya. Mujur Imran memahami situasinya. Rina tidak menyangka dirinya akan tertidur dan bermimpikan perkara tersebut pada waktu siang.

            Setelah memandu lebih kurang 10 minit, akhirnya Imran dan Rina tiba di hadapan pintu pagar sebuah tanah perkuburan. Kain selendang dikeluarkan dari beg lalu dipakainya. Sehingga kini, Rina dilihat belum bersedia untuk mengenakan tudung di kepala. Namun dia berharap akan diberikan hidayah suatu hari nanti.

            Sebenarnya inilah niat Rina yang mahu keluar pada hari cuti. Dia mahu menziarahi kubur ibunya, rakan-rakannya serta bapanya yang sudah meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Rina kembali mengalami tekanan emosi selepas mendapat tahu bapanya meninggal akibat kemalangan jalanraya. Semua orang yang disayanginya sudah pergi meninggalkannya tanpa lansung mengucapkan ‘selamat tinggal’. Pada masa itu dia beranggapan bahawa dunia sudah bertindak kejam ke atasnya.

            “Rina, perasan tak ada orang sedang perhatikan kita?” Teguran Imran menyentakkan lamunan Rina. Namun dia mengendahkan teguran tersebut kerana dia sudah lama menyedarinya.

            “Jangan takut. Dia hanya orang tua saja. Dia tak akan apa-apakan kita berdua. Percayalah,” katanya. Senyumannya dilemparkan sambil melambaikan tangan ke arah lelaki tua yang sedang berehat di bawah pondok.

            “Mesra betul kau orang berdua. Atuk kau ke? Bukan atuk kau dah lama mati ke?” Tanya Imran hairan.

            “Memang atuk aku dah lama mati. Entahlah, aku pun tak kenal pak cik tu sebenarnya. Katanya dia bukan orang kampung aku tapi dia asyik datang dan bersihkan halaman rumah aku sebelum ni,” jelas Rina. Imran makin kehairanan. Pak cik tua itu diperhatikannya lagi. Kemudian pak cik tua itu membalasnya dengan senyuman yang menampakkan barisan giginya.

            “Jomlah kita balik. Aku rasa tak sedap hatilah,” pujuknya.

            “Kenapa pulak ni? Badan dah besar panjang, aktif bersukan tapi takut dengan orang tua? Jangan buat aku ketawalah!” Perli Rina sinis sambil menggeleng kepala. Keluhannya dilepaskan.

            Tidak lama kemudian, Rina menyedari pak cik itu kelihataan sedang melambaikan tangan seolah-olah mahu memanggil mereka berdua.“Eh, jom! Pak cik tu jemput kita ke sana.”

            “Eh..?! Tak naklah aku. Kalau kau nak pergi, pergilah. Aku tak nak ikut,” tolak Imran. Pantas dia bergerak laju meninggalkan tanah perkuburan.

            “Penakut!!” Pekik Rina walaupun dia sedar dirinya sedang berada di tanah perkuburan. Dia agak geram dengan tindakan Imran tadi.

            Langkah Imran terhenti seketika sebelum berpaling memandang wajah Rina. Rina masih memandangnya dengan jelingan tajam dan geram. Setelah berfikir agak lama, barulah dia mengalah dan menemani Rina untuk menemui pak cik tua di pondok kubur.

 

Tahun 2008,

SESUDAH Zamir menghantar pulang anaknya ke rumah, dia berkesempatan untuk berbual dengan pak cik misteri yang sering membersihkan halaman rumahnya. Pada mulanya dia berasa agak janggal kerana sebelum ini dia sering mengelakkan diri. Kali ini dia mencuba untuk mendekati pak cik misteri itu dan menanyakannya mengapa dia sering berada di halaman rumahnya saban hari.

            Pada mulanya pak cik yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Jan tidak mahu menjawab persoalan Zamir. Dia hanya diam membisu sambil perhatikan halaman rumah yang bersih itu. Zamir hairan seketika. Mungkin Pak Jan mahu mengambil masa untuk menjawab persoalannya. Itulah apa yang sedang difikirkannya.

            “Pak Jan tak rasa penat buat kerja semua ni setiap hari?” Tanyanya lagi. Pak Jan sekadar menggeleng kepala. Matanya masih merenung jauh ke hadapan.

            Pernah sekali Zamir melakukan siasatan ke atas Pak Jan dan ternyata dia bukan ahli keluarga terdekat arwah isterinya. Dari situlah timbul rasa hairan dan persoalan tentang niat sebenar Pak Jan membersihkan halaman rumah. Ingin menjadi tukang bersihkah? Jika begitu, mengapa tidak membersihkan halaman rumah yang lain? Namun di usia emas sebegitu, mampukah dia melakukan demikian?

            “Saya buat kerja ni ada sebabnya.” Akhirnya setelah lama menunggu Pak Jan bersuara juga. “Tapi atas apa sebabnya, itu saya tak boleh beritahu kamu,” sambungnya lagi. Zamir yang mendengarnya kembali hairan.

            “Kenapa pulak? Ada orang paksa Pak Jan untuk buat kerja ni?”

            “Tak ada sesiapa yang paksa saya. Saya sendiri rela untuk lakukan kerja ni. Ia adalah satu kerja yang mulia bagi saya,” balas Pak Jan dengan wajah yang serius.

            “Kerja mulia? Maksud Pak Jan?”

            Malangnya Pak Jan tidak mahu menjawabnya lagi lalu segera beredar dari situ. Zamir diam terpaku. Apa yang dia mahukan adalah jawapan sebenar, bukannya mahu diberi bayangan atau petunjuk. Malah makin mencetuskan banyak persoalan mengenai kewujudan Pak Jan. Siapakah dia dan mengapa menganggap kerja membersihkan halaman rumah sebagai kerja mulia? Zamir semakin buntu untuk memikirkannya dan mahu mendapatkan jawapan dengan segera.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura