Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 28

RINA datang berjumpa dengan Hanim, Olivia dan Sarah semata-mata mahu mengucap perkataan selamat tinggal. Dia tidak pasti bila mereka akan bertemu semula dan dalam hatinya tiada niat untuk berjumpa lagi dengan mereka. Cukuplah setakat menjadi rakan sekelas dan teman untuk belajar bersama. Usai mengucap selamat tinggal, Rina terus beredar meninggalkan mereka di pondok asrama.

            “Tunggu! Ini bukan perpisahan untuk selamanya. Aku harap kita akan berjumpa lagi,” ucap Hanim berharap. Olivia pantas mengangguk dan bersetuju dengan Hanim. Sementara Sarah sekadar mengeluh panjang sebelum beredar meninggalkan mereka. Namun langkahnya terhenti sebaik menyedari kehadiran seseorang.

            “Naim, apa kau buat kat sini?” Soal Hanim hairan. Rina diam membisu dan berpaling ke arah lain. Hatinya masih memarahi tindakan Naim tempoh hari.

            “Aku ada terima mesej dari Olivia yang Rina nak balik hari ni,” jawab Naim. Lantas Hanim berpaling ke arah Olivia yang tersenyum sengih itu. Entah apa niatnya sedangkan Rina masih memendam perasaan marah terhadap Naim. Dari jauh, Sarah hanya tersenyum melihat gelagat mereka.

            Naim kemudiannya cuba mendekati Rina namun Rina pula memintanya supaya mengundurkan diri. Tindakan mereka berdua kini sedang diperhatikan Imran yang masih duduk di dalam keretanya. Dia telah diminta untuk duduk di situ sementara Rina memerlukan masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sekelasnya. Akan tetapi kehadiran Naim amat tidak dijangkakan oleh Rina sendiri.

            “Rina, aku nak minta maaf. Aku tak sengaja. Aku cuma letak tangan kat atas bahu kau aje pun. Takkan itu pun salah?” Naim cuba untuk memohon maaf, dan pada masa yang sama dia cuba mempertahankan tindakannya sendiri.

            Rina masih berdiam lagi tetapi membalas pandangan Naim dengan riak wajah yang bengis. Kini dia benar-benar bengang dengan cara percakapan Naim yang dahulunya dianggap sebagai lelaki baik. Naim yang tersentak dengan reaksi Rina mula berundur ke belakang. Ketika itulah mereka semua tertangkap bunyi mini loceng. Hanim dan Rina serentak memberi reaksi yang sama, iaitu terkejut. Wajah Naim dilihat kembali. Adakah lelaki itu juga memiliki rantai kunci berlian?

            “Oh! Kau pun ada rantai kunci tu juga? Bertuahlah kau nanti. Biar aku teka dulu, mungkin suatu hari nanti kau akan dapat teman wanita, lebih cantik lagi daripada Rina.”

            Rina pantas memandang ke arah Imran dengan wajah yang geram. Imran sekadar tertawa kecil tetapi dia tidak berbohong dengan tekaannya tadi. Wajah Naim dipandangnya seketika sebelum meminta Rina supaya masuk ke dalam kereta dengan segera.

            “Kau pula siapa? Apa hubungan kau dengan Rina?” Tanya Olivia ingin tahu. Naim juga tertanya soalan yang sama. Dalam diam mula timbul rasa cemburu melihat keakraban mereka berdua.

            “Siapa aku tak penting sebab tak ada kaitan dengan kau orang semua pun. Aku dengan Rina hanya kawan baik saja, sejak dari sekolah rendah lagi. Jumpa lagi,” jawab Imran sambil tersenyum. Lalu dia beredar mendekati keretanya. Hanim menyilang tangannya dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap lelaki itu yang cuba berlagak sombong.

            “Ada orang sedang cemburulah,” sampuk Sarah yang kembali mendekati mereka. Dia juga telah mendengar segala perbualan di antara mereka tadi. Hanim dan Olivia serentak terkejut dengan kehadirannya yang tiba-tiba itu.

            Kata-kata Sarah tadi hanya diajukan kepada Naim. Dan memang benar dia sedang cemburu melihat hubungan Rina dan Imran. Walaupun Imran sendiri mengaku mereka hanya berkawan baik, Naim masih dengan perasaan cemburunya. Dia kemudiannya beredar dari situ tanpa berkata apa-apa. Manakala Hanim, Olivia serta Sarah hanya diam memerhatikannya.

 

SEPANJANG perjalanan, Rina dan Imran hanya senyap membisu. Hanya radio dipasang bagi menghilangkan suasana sunyi di dalam kereta. Imran tertanya mengapa Rina senyap tanpa sebarang suara. Adakah gadis itu masih geram dengan tekaan yang dibuat oleh Imran tadi?

            “Rina...”

            “Kenapa kau cakap macam tu tadi?” Potong Rina dengan nada geram. Wajahnya dipalingkan ke arah Imran. Imran sekali-sekala membalas pandangannya dengan senyuman sengih sebelum kembali memandang ke depan. Melalui ekor matanya, jelas dia melihat Rina yang masih memandangnya. Berdebar-debar hatinya pada saat itu.

            “Maaflah, Rina. Aku cuma teruja bila dapat tau ada orang lain yang memiliki rantai kunci tu. Kau pun tau, kan? Aku percaya rantai kunci tu pembawa nasib tuah,” ujar Imran yang cuba menenangkan keadaan.

            “Boleh tak berhenti cakap macam tu depan aku? Aku dah muaklah! Lagipun syirik, tau tak?” Keluh Rina yang kembali memandang ke arah tingkap kereta. Imran tersentap dengan kata-kata gadis itu lalu terdiam. Sekali lagi, mereka berdua senyap membisu.

            Imran telah lama mengetahui bahawa mempercayai sesuatu objek dianggap sebagai syirik tetapi entah mengapa dia tidak mempedulikannya. Seakan dia tidak mengambil kisah jika mempercayai rantai kunci berlian sebagai pembawa nasib tuah. Mungkin kerana tabiat lamanya yang terbawa-bawa dari zaman sekolah menengah. Kerana pada masa itulah dia mula mempercayainya.

            “Tau tak yang rantai kunci tu dah tak dijual kat mana-mana kedai sekarang ni?” Imran kembali bersuara semula. Mendengarnya, riak wajah Rina terus berubah mendadak kerana terkejut.

            “Mana kau tau?”

            “Dalam surat akhbar dah bagitau. Dalam berita tv pun. Dalam media sosial tak pasti. Cuba kau periksa kat laman sosial kau,” usul Imran. Tanpa berlengah, Rina terus memeriksa laman sosialnya dan mencari berita terkini mengenai rantai kunci tersebut.

            “Imran, kau ada jumpa dengan Cikgu Faizal tak?” Sewaktu mencari, Rina sempat menanyakannya mengenai bekas guru mereka. Kepala Imran pantas digeleng dan menanyakan mengapa.

            “Ingat tak pasal kes pembunuhan kat universiti aku? Dia ada datang ke sana untuk mengutip kesemua rantai kunci milik mangsa terkorban. Bila aku tanya kenapa, dia jawab semua rantai kunci tu telah menyumpah mangsa supaya mati. Maksudnya, rantai kunci tu mungkin membawa sumpahan maut.”

            Serentak itu, kereta yang dipandu Imran tiba-tiba berhenti di tepi jalan. Rina tersentak dengan tindakan Imran yang mengejut itu. Namun tatkala melihat wajah Imran yang tegang dan bengang, dia sekadar diam menguncikan mulut. Rina kian menjadi cuak apabila Imran berpusing memandang ke arahnya. Reaksi wajahnya masih sama.

            “Ke-kenapa tengok aku macam tu? Bukan aku yang cakap tapi Cikgu Faizal yang cakap benda mengarut tu.” Tergetar-getar Rina bercakap. Jarang dia melihat wajah serius Imran sepanjang mereka berdua berkawan.

            “Kau tau kat mana dia sekarang?” Rina menggeleng laju sambil ketakutan. Nada Imran kedengaran amat garau sekali. Jauh berbeza dengan nada suara yang sering didengarnya sebelum ini.

            Imran kembali memandu keretanya semula dan kembali berlagak seperti biasa. Namun Rina tidak berani untuk menanyakan apa-apa. Biarlah mereka berdua terus senyap di sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman Rina.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura