Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 5

Tahun 2014,

RINA terjaga dari tidurnya di atas meja belajar. Tangan kanannya masih menggenggam sebatang pensel kayu. Perlahan dia bangkit sambil menggosok matanya. Lakaran pensel di atas kertas diperhatikannya dengan perasaan hairan. Sejak bila dia melakar lakaran tersebut? Lebih mengejutkan lagi adalah lakaran seorang wanita berjubah hitam yang sering muncul dalam mimpinya.

            Jam loceng di sudut meja di pandangnya. Keluhannya dilepaskan. Lalu dia menyimpan kertas lakaran tersebut ke dalam laci meja dan mengeluarkan beberapa buah buku untuk diletakkan di atas meja. Kini usianya sudah mencecah 20 tahun dan merupakan pelajar tahun akhir dalam bidang diploma. Berkat usahanya mengulangkaji pelajaran telah mendorongnya memperoleh keputusan cemerlang ketika di sekolah menengah tinggi. Dan oleh itu, dia telah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti setahun kemudian.

            Sewaktu mengemas beg, dia tersentak apabila rantai kunci yang digantung terjatuh di atas meja. Diam seketika tatkala memandang ke arah rantai kunci yang pernah popular suatu ketika dahulu.Walaupun sudah beberapa tahun berlalu, rantai kunci itu masih utuh dan cantik dari segi warnanya. Batu berlian juga masih nampak baru kerana tidak diselaputi debu kotoran atau sebagainya.

            Ingatannya terhadap dua orang rakan rapat kembali datang menerjah ke dalam fikiran. Bibirnya mengukir senyuman pahit. Setelah jam tangan dikerlingnya, segera dia menggantung semula rantai kunci itu di dinding sebelum melangkah keluar dari bilik asrama. Kini dia sedang mengejar waktu untuk menghadiri kelas kuliahnya.

            Mujur sahaja dia selamat sampai di kelas seiring dengan kedatangan guru pensyarah. Kesemua pelajar bangun untuk memberi salam penghormatan kepada guru tersebut. Oleh sebab sedikit terlewat, Rina mengambil tempat duduk di belakang sekali. Kebetulan pula duduk bersebelahan dengan seorang pelajar lelaki yang dalam diam menaruh perasaan kepadanya. Rina tidak mahu mempedulikan tatapan mata lelaki itu. Sebaliknya telinganya tertangkap bunyi yang agak sering kedengaran, iaitu bunyi loceng kecil. Masih adakah orang yang menggunakan rantai kunci loceng sebagai hiasan pada zaman sekarang?

            “Baik! Sebelum kita mulakan kelas, sama-sama kita menyedekahkan surah Al-Fatihah kepada seorang rakan kita yang telah meninggal dunia semalam. Al-Fatihah.”

            Tanpa sebarang pertanyaan, semua pelajar menurutinya dan membacakan surah tersebut termasuk Rina. Entah siapa pula yang mati kali ni? Apa sebab dia mati? Getus hatinya.

            Usai membacakan doa, si guru lansung tidak memberitahu siapa yang meninggal dunia itu. Dan terus memulakan pembelajaran mereka pada petang itu.

 

RINA terus bergerak ke kantin sebaik selesai kelas kuliah. Sebuah TV berskrin besar yang telah dihidupkan ditontonnya seketika. Sebuah lagi berita mengenai kematian. Kali ini melibatkan insiden kenderaan di jalanraya. Terduduk Rina di atas bangku makan. Tanpa disedari air matanya menitis ke bawah. Semakin lama semakin banyak. Dia kelihatan seperti dalam tekanan emosi.

            “Rina...” Seseorang bersuara lembut mula menegurnya.

            Rina segera berpaling dan menepis tangan yang telah menyentuh bahu belakangnya. Wajah pelajar perempuan itu dipandang seketika sebelum pantas beredar dari situ tanpa membeli apa-apa makanan atau minuman. Air matanya dikesat laju.

            Pelajar tersebut, Hanim berasa kasihan melihat Rina yang seakan-akan sedang menanggung masalah seorang diri. Mereka berdua merupakan dari kelas yang sama dan sudah dua tahun Rina bersikap demikian. Dia sering bersendirian dan tidak mahu berkawan dengan sesiapa sehingga kini. Apakah dia tidak mahu sesiapa mengetahui masalah yang ditanggung selama ini?

            “Kau rasa apa yang berlaku kat Rina sebenarnya?” Sua Naim lalu datang mendekatinya. Naim juga merupakan satu kelas dengan Rina dan Hanim.

            “Aku tak tau sebenarnya tapi aku rasa dia sedang menanggung satu masalah berat sekarang ni. Mungkin sebab tu dia agak tertekan,” balas Hanim sekadar meneka. Kepala Naim terangguk-angguk tanda setuju. Kedua-dua tangannya disilangkan sambil melepaskan keluhan panjang.

            “Beberapa bulan lagi kita dah nak habis belajar. Tak syoklah kalau Rina terus jadi macam ni,” ujarnya.

            “Betul tu. Kawan-kawan yang lain pun tak suka jugak kalau Rina asyik nak bersendirian saja. Tapi tak ada seorang pun yang berani dekati dia sebab kami sendiri, walhal aku sendiri tak tau apa yangsedang dialami oleh dia sebenarnya,” luah Hanim sedikit beremosi.

            “Kita cuba lagi. Kita cuba dekati dia dan bercakap baik dengannya,” pesan Naim tersenyum. Lalu dia berjalan ke kantin untuk membeli makanan.

            Hanim hanya diam sambil memikirkan kata-kata Naim tadi. Apa salahnya kalau mencuba lagi? Lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Bagi dirinya, Rina harus berubah dan jika benar dia tertekan akibat masalah, dia harus berkongsi masalah tersebut dengan orang lain.

 

BUNYI ketukan pintu bilik mengejutkan Rina yang sedang melakar sesuatu di atas kertas. Dahinya berkerut dan tertanya siapa yang berani mengetuk pintu biliknya. Oleh sebab mahu bersendirian, dia hanya membiarkan bunyi ketukan tersebut. Lakaran yang terhenti tadi disambung semula.

            Selang seminit kemudian, ketukan pintu berbunyi lagi. Riak wajah Rina semakin berubah. Geram dengan si pengetuk pintu, lantas dia bangkit dan membuka pintu bilik. Wajah Hanim direnung tajam. Namun Hanim sedikit tidak gentar dengan renungan tersebut.

            “Rina, ni aku ada bawa makanan untuk kau. Aku tau kau sedang lapar. Petang tadi kau tak sempat beli makanan, kan?”

            Bungkusan polistirena berwarna putih ditatapnya. Rina mengakui tidak sempat membeli makanan pada petang tadi kerana gangguan emosinya. Dan sekarang perutnya sedang kosong. Rina mahu mengambilnya dari tangan Hanim tetapi Hanim pula tidak membenarkannya selagi dia tidak dijemput masuk ke dalam bilik Rina.

            “Untuk apa?” Soal Rina dengan wajah yang dingin.

            “Saja, nak sembang dengan kau. Harap saja kita berdua satu kelas tapi kita lansung tak bertegur-sapa. Dah dua tahun, tau!” Sengaja Hanim mengatakan demikian bagi menarik perhatian Rina. Lagipun ia alasan yang bagus untuk Rina yang lansung tidak bertegur-sapa dengan rakan-rakan.

            Keluhan Rina dilepaskan lalu membenarkan Hanim masuk ke dalam biliknya. Hanim tersenyum girang. Satu langkah sudah berjaya diambil. Keadaan bilik yang malap diperhatikannya. Lampu syiling memang sengaja ditutup dan membiarkan lampu meja sahaja dibuka. Rina tidak pedulikan kehadiran Hanim di sebelahnya, malah menjamah makanan yang merupakan nasi goreng kampung sehingga habis.

            “Eh, kau masih ada rantai kunci berlian tu?!” Tegur Hanim setelah matanya terpandang pada objek tersebut. Rina hanya mengangguk kepala. Dan kemudian menanyakan kepada Hanim apakah dia juga memiliki rantai kunci yang sama?

            “Dulu aku ada simpan tapi aku bagi kat kawan aku untuk dijadikan sebagai hadiah perpisahan kami. Dia sebaya dengan kita, dapat tawaran melanjutkan pelajaran di Sabah,” ujar Hanim bernada sedih. Mendengarnya, Rina turut berubah sedih.

            “Apa khabar kawan kau kat sana sekarang?” Tanyanya ingin tahu.

            Hanim diam seketika. Senyumannya bertukar pahit. Rina seakan sudah menjangkakan sesuatu. Makanan sudah pun habis dijamahnya. Dia membungkus bungkusan putih itu dengan plastik jernih lalu membuangnya ke dalam plastik sampah di sudut bilik.

            “Maaflah kalau aku tanya pasal kawan kau. Kalau tak ada apa-apa lagi, bolehlah balik ke bilik kau.”

            Hanim menganggukkan kepala. Biarlah malam itu menjadi malam perbualan singkat bagi mereka berdua. Sesudah Hanim melangkah keluar, Rina segera menutup pintu bilik dan menguncinya. Sekali lagi dia mengeluh panjang. Perlahan dia berjalan dan duduk kembali di atas kerusi.Lakaran tadi dibiarkannya di atas meja.

            Sebuah laci meja ditariknya dan mengeluarkan sebuah fail lama. Lalu dia membuka fail tersebut. Salinan keratan akhbar tujuh tahun yang lalu diperhatikannya. Itulah kejadian buruk yang pertama kali berlaku dalam hidupnya.
Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura